GARA-GARA pengantin perempuan pengsan sewaktu majlis berlangsung, acara mewah itu terpaksa ditamatkan sedikit awal daripada aturan yang telah ditetapkan.
Kesian suami Farha, masih belum punya masa berdua dengan si isteri apabila Han menemani Farha di dalam bilik. Dia pula duduk di ruang luar, melepak bersama kawan-kawan yang masih berbaki.
"Han," Rengekan halus Farha menyedarkan Han yang sedang mengelamun jauh. Cepat-cepat Han membantu Farha duduk bersandar di kepala katil. Segelas air kosong diberi untuk gadis itu membilas tekak.
Farha meliarkan pandangan ke serata ruang. Rasa macam pernah tengok tapi dia nakkan kepastian. Maka, dia menyoal Han di sebelah. "Aku kat mana ni?"
"Homestay. Kau kat homestay, Farha. Lama kau pengsan tadi. Suami kau yang tolong angkat,"
"Mana dia?"
"Ada kat luar. Bersembang dengan suami aku,"
Farha mengeluh berat. Wajahnya diraup kasar.
"Tetamu lain macam mana?"
"Yang lain dah handle. Kau jangan risaulah. Kau tu kena banyak berehat. Kenapa kau sampai boleh pengsan ni?"
"Err... Sebab aku tak tidur semalam kut. Bila pagi ni, tak tahan rasa sakit kepala berdenyut-denyut. Itu yang sampai pengsan,"
"Hah? Tak tidur? Kau buat apa sampai tak tidur ni?"
Farha mengukir senyum kelat. Dia suka bila Han membebel-bebel kepadanya. Mereka bagaikan kembali ke masa lampau, zaman di mana masing-masing masih belum diikat.
"Aku takut, babe,"
"Hee... Takut sampai tak tidur malam. Memudaratkan diri kau sendiri. Takut apa? Takut nak kahwin? Sekarang kau dah kahwin, takut lagi?"
Tawa Farha meledak. Lengan Han dicubitnya manja. Ada-ada je telatah Hang yang mencuit hatinya. Tapak tangan hangatnya melekap di pipi mulus Han. Mata mereka bertemu.
"Lama aku tak jumpa kau. Aku rindu, babe,"
"Kau tu yang tiba-tiba hilangkan diri. Aku call, kau tukar nombor. Surat tak tinggal, apa pun tak pesan. Aku tak tahu kau pergi mana. Kau seronoklah kan tengok aku risaukan kau?" Suara Han berubah sebak. Cecair hangat bertakung di tubir mata.
Benak Farha diisi rasa bersalah. Pipi Han diusap-usap lembut. "Sorry, babe. Aku... aku tak terniat nak buat kau risau. Aku minta maaf okey?"
"Aku takkan maafkan kau..."
Gulp! Farha menelan liur kelat. Takkanlah Han marahkan dia sampai tak mahu memaafkan? Habis tu, nanti kat akhirat macam mana keadaannya? Dia tak dapat membayangkan dia merangkak mencari Han dalam himpunan manusia semata-mata maaf yang tidak tertunai sewaktu di dunia dulu.
"... Kalau kau tak cerita apa sebenarnya yang jadi dengan kau dulu,"
Bibir Farha mengukir senyum nipis. Tangan yang masih melekap di pipi Han ditarik semula. Dia bermain dengan jemari runcingnya. "Panjang ceritanya,"
"Mak aku mati waktu majlis kenduri kau. Hari yang sama juga kebetulan mama aku datang untuk jemput aku pergi,"
"Ma... Mama kau?" Mata Han membulat. Kalau mama yang dimaksudkan oleh Farha itu ialah Datin Afrina, dia tahu segalanya tentang wanita itu.
Datin Afrina tinggalkan Farha sewaktu dia masih bayi dengan seorang wanita asing di kampung. Mereka telah mengikat tali perjanjian. Wanita itu akan menyusukan Farha dan Datin Afrina tidak boleh mengambil semula apa yang telah ditinggalkan. Namun, si wanita tak menghalang hak Datin Afrina untuk bertemu dengan Farha.
"Dia tak pernah melawat aku sejak hari pertama dia tinggalkan aku. Aku tak boleh terima hakikat yang mama ialah ibu kandung aku waktu arwah mak bagitahu aku dulu. Aku pertikaikan kalau betul dia ibu kandung aku, kenapa dia tak pernah sekali pun datang jenguk aku di kampung,"
"Aku benci mama sangat-sangat sejak tu. Tapi bila dia tiba-tiba datang bermalam di rumah arwah mak, dia berjaya pujuk aku. Dia ajak aku ikut dia tinggal di Australia. Dia janji akan tolong aku pulih daripada kenangan hitam aku,"
Kening Han terangkat. Kenangan hitam? Tak pernah pula dia dengar hal ini keluar dari mulut Farha sepanjang mereka berkahwin. "Kenangan hitam apa?"
Mata Farha berkaca. Tangan Han digenggam erat sementara kepalanya tertunduk hiba. Dengan susah-payah dia bersuara, "Waktu aku sekolah dulu, ada orang pernah cuba cabul aku,"
Han tersentak. Genggaman Farha ditepis kuat. Bibirnya bergetar. "K... kau... dicabul? Ke... kenapa aku tak pernah tahu?"
"Benda tu dah lama jadi, Han..."
"Kenapa aku tak pernah tahu?" Suara Han melengking kuat. Dia terkilan apabila Farha tak pernah membongkarkan tentang ini sepanjang mereka berkenalan. Farha tak percayakannya ke?
"Aku tak pernah cerita kat kau, Han. Aku malu! Malu dengan kau, malu dengan abang kau!" Air mata Farha tumpah. Rahsia yang dipendam sekian lama kini terbongkar. Ironinya, Han sepertinya mula mahu menjauhkan diri. Han jijik dengan diakah?
Dada Han berombak kencang. Bebola matanya bergerak-gerak merenung terus ke wajah Farha. Tangisan hiba temannya itu tak dihiraukan. Dia menelan liur kelat.
"Si... siapa yang buat kau macam tu?"
"Han... Cerita lama—"
"Aku tanya siapa? Siapa! Kau jawab jelah apa yang aku tanya!" jerkah Han. Makin kuat tangisan Farha. Takut melihat teman baiknya diamuk badai amarah.
"Orang tu..."
***
ARSALAN cuba menumpukan perhatian kepada pemanduan. Namun, dia tak betah melihat keadaan Han di sebelah. Isterinya murung sejak pulang dari tempat Farha. Bila ditanya, sepatah sahaja Han jawab. Selebihnya, Han habiskan masa dengan termenung memandang ke luar tingkap.
Dia berdeham perlahan. Kepala Han langsung tak tertoleh memandangnya. Nampaknya, Han benar-benar larut dalam dunia sendiri.
"Ya rouhi," serunya. Sebelah tangan dijatuhkan dari stereng, merayap menggapai tangan kanan isterinya. Jari-jemarinya diselit ke celah-celah jemari Han. "Awak kenapa ni?"
"Tak... Tak ada apa. Cuma letih sikit,"
"Nak saya berhenti kat mana-mana ke? Kita tidur kat hotel dulu ke malam ni,"
"Saya nak balik rumah."
Keluhan berat terhembus perlahan. Arsalan pun bingung macam mana nak pujuk si Han. Dia tak dapat sebarang klu kenapa Han tiba-tiba berubah angin macam ni. Tapi sewaktu di homestay tadi, dia sempat meleraikan pergaduhan antara Han dengan Farha. Mungkin sebab itu Han ingin memencilkan diri.
Dia mengerling sekilas ke arah Han. Hatinya meronta-ronta ingin tahu apa yang dua sahabat itu bualkan. Tetapi mengenang keadaan Han sekarang, dia tahan dulu rasa itu.
"Kalau awak nak cerita, saya ada untuk dengar cerita awak," Sudahnya, hanya itu yang terluah dari bibirnya. Dia akan berikan Han masa sampai Han rasa selesa untuk bersembang dengannya.
"Awak," Han berkalih merenungnya.
"Ya, rouhi,"
"Terima kasih,"
Dia mengukir senyum manis. "Kasih diterima."
Happy reading!
Share this novel