SAMPAI ke atas Farha dapat mencium bau harum masakan. Usai membersihkan diri, dia turun ke dapur untuk memastikan apa yang menyinggah di rongga hidungnya tadi tepat. Sah! Kelihatan Han sedang sibuk memasak sendirian di situ.
Dia mengambil tempat di meja pulau sejurus selepas mengeluarkan sebotol air sejuk dari dalam peti ais. Kemudian, air itu dituangkan ke dalam sebiji gelas kaca.
"Mimpi apa kau semalam sampai kau turun masak awal pagi ni?" tegur Farha. Gelas yang penuh tadi dirapatkan ke tepi bibir seraya diteguk isinya.
Han mengerling sekilas ke arah Farha sebelum kembali menumpukan fokus pada kuali. Bibirnya mengoyak senyuman lebar.
"Amboi, kau! Buat macam aku ni tak pernah turun memasak eh? Kan hari ni shift aku pula."
Farha tergelak kecil. "Yelah, aku tahulah yang hari ni shift kau. Tapi selalunya pukul 7.30 pagi baru kau terpacak kat dapur. Ni pukul 7 pun tak sampai lagi, babe!"
"Ah, kau! Aku tak masakkan untuk kau baru tahu! Dah masak, banyak cekadak pula. Cepat tolong aku kupas telur dalam sinki tu." arah Han.
Dia dah siap merebus beberapa biji telur dan dibiarkan berendam dengan air paip agar kulitnya lebih mudah terlerai nanti.
Farha bergegas membuat seperti apa yang disuruh. Telur rebus yang direndam dengan air paip sejurus habis direbus memang akan memudahkan kerja. Malah bentuknya pun cantik tak berlubang bila dikupas.
"Nasi lemak, babe?"
"Haah. Tiba-tiba tekak aku ni mengidam nak makan nasi lemak."
"Hish! Kau pregnant ke apa mengidam-mengidam bagai ni?"
Han menjulingkan mata. Sementara dia menyiapkan sambal tumis, Farha mengambil tugas untuk menghidangkan makanan di meja makan. Siap sahaja segala urusan, mereka sama-sama melabuhkan punggung di situ untuk menjamu selera.
"Macam mana plan aku hari tu? Cun tak?" soal Han, merujuk kepada hangout tempoh hari.
"So far, not bad."
"Kau sembang apa je dengan Teh?"
"Adalah! Kau mana boleh tahu."
"Eh, kau!"
"Ini hal orang tua-tua. Kau budak kecil, diam."
Han mencebikkan bibir, menyampah! Tahulah dia yang kalau Farha jadi berkahwin dengan Teh, Farha akan naik taraf menjadi kakak iparnya. Tapi harus diingat, Han dan Farha sebaya.
"Kau tak ada masalah ke nak ada kakak ipar sebaya ni?" Giliran Farha pula yang menyoal. Sepotong timun dicapai dan dikunyah-kunyah, melengkapkan rasa asli nasi lemak sambal tumis ikan bilis buatan Han.
"Masalah apa pula?"
"Yelah, ada orang yang tak suka kawan-kawan dia berkahwin dengan abang sendiri. Kau bayangkanlah, kawan yang kita tahu baik buruk dia tu dah jadi sebahagian daripada keluarga kita. Kau sanggup?"
"Baguslah macam tu. Daripada aku izinkan diorang berkahwin dengan perempuan mana hala, baik lagi diorang kahwin dengan kawan aku sendiri. Aku pun tak payah susah-susah fikir macam mana nak adapt dengan kakak ipar aku."
"Kau ni memang cerdiklah! Cerdik sebab fikir aku calon yang sesuai untuk Teh."
Han menjerit meluahkan rasa meluatnya sementara Farha pula tergelak kuat. Riuh meja makan pada pagi itu.
***
  SENTUHAN terakhir, dia menyembur minyak wangi sebelum keluar dari bilik dan menuju ke tingkat bawah. Kelihatan Firash sedang ralit menjamu selera di ruang makan. Arsalan singgah sebentar di situ.
"Makan weh," ajak Firash. Ekor mata mengerling sekilas Arsalan yang sudah siap berpakaian kemas. Sehelai kemeja hijau cair yang dipadankan dengan seluar panjang hitam tersarung di tubuh sasa itu. Tali leher pun sudah berikat rapi.
"Tak apalah. Aku nak cepat pagi ni, ada meeting. Aku makan roti je."
Arsalan merembat sebungkus roti Gardenia berperisa coklat dan dimasukkan ke dalam kocek seluar. Nasib ada stok makanan kering yang dia baru beli beberapa hari lepas.
"Kalau macam tu, kau tunggu kejap. Aku nak tapau makanan kau. Nanti kau bolehlah makan waktu rehat."
"Kau masak apa?"
"Nasi goreng kampung. Aku masak lebih sebab semalam kau tak makan malam pun. Kau tak lapar ke?"
Dia menepuk-nepuk perlahan perut yang rata. Tak sedar pula apa yang perut itu rasa lantaran dia cuma fokus kepada hal kerja sahaja sekarang.
"Bolehlah. Kau tapau lebih sikit. Boleh aku pass kat orang lain."
"Lemak kau! Aku masak untuk kau je tau. Bukannya nak buat kenduri-kendara."
Arsalan ketawa geli hati. Huluran Tupperware berisi nasi goreng buatan Firash disambut. Dia mengucapkan terima kasih yang kemudiannya dibalas bersahaja oleh Firash.
"Tapi kalau kau nak kahwin nanti, bolehlah upah aku jadi catering kau."
Bila Firash mengusik sebegitu, serta-merta pipi cerah Arsalan merona malu. Makin seronok Firash nak menyakat.
"Ha, mulalah nak blushing tu! Dahlah, kau pergilah kerja sekarang. Aku pun nak siap-siap buka gerai aku."
Tubuh Arsalan terseret sampai ke muka pintu ditolak Firash. Senang kerja, tak payah berjalan banyak. Dia langsung menyarung kasut kulit hitam ke kaki. Sebelum dia beredar ke kereta, sempat dia menyoal Firash.
"Kau memang tak nak kerja kat syarikat tu dah ke?"
Firash menayangkan wajah serba salah. Tangan menggaru-garu belakang kepala sambil dia membuang pandang ke arah lain. Dia lagi memikirkan jawapan yang sesuai buat soalan Arsalan. Ini bukan kali pertama Arsalan menyoal sebegitu namun dia masih teragak-agak dalam memberi jawapan.
"Aku ingat nak hidupkan balik business catering ayah aku tu. Dusun ayah aku tu pun banyak hasilnya. Kalau aku tak menjual, siapa nak habiskan semua buah tu? Sayang nak dibiar mereput je kat dusun."
"Kau boleh upah mana-mana orang untuk jagakan dusun tu. Kau tak payahlah susah-susah berjaga kat gerai waktu tengah panas lagi."
"Aku sendiri yang buat keputusan nak berdikari. Tak apalah kerja panas pun. Arwah ayah aku dulu pun macam tu juga,"
Arsalan mengeluh berat sebaik mendengar jawapan Firash. Bukan tak dipujuk. Dah penat berhabis air liur memujuk Firash kembali bekerja di syarikat seperti biasa tetapi Firash tetap Firash. Degilnya sampai tahap negeri kayangan.
"Kiranya aku memang tak ada chance la nak buli kau sebagai pekerja aku?"
Bibir Firash tercebik. Tangannya laju menolak bahu Arsalan sambil berkata, "Ah, sudahlah kau! Tadi kata nak cepat-cepat attend meeting!"
"Meeting pukul 9.30. Lambat lagi,"
"Oh, bersembang pasal aku boleh! Nak makan breakfast yang aku buat tak boleh pula. Kau ni memanglah!"
Tawa Arsalan pecah. "Bersembang pasal kau tak apa. Bincang masalah ummah."
"Ya-ya je kau! Dahlah, pergi kerja cepat."
"Halau nampak?"
"Yelah. Memang aku halau kau pun. Kalau kau tak pergi kerja lagi, makin melalut otak kau duduk dengan aku. Pening kepala aku nanti."
Arsalan mengalah. Dia mempamit Firash sebelum beredar ke kereta. Firash pula setia menunggu di muka pintu, lagak seperti seorang isteri yang menghantar pemergian suaminya ke tempat kerja.
"Alan, Alan... bilalah kau nak kahwin?"
Happy reading!
Share this novel