10 | Merisik

Romance Series 14468

   KINI, tayar kereta sudah berhenti bergolek di hadapan sebuah bangunan separa kayu dan batu. Lama dia merenung, memastikan alamat yang ada dalam iPhonenya sama dengan yang nyata. Rasa-rasa pemanduannya sudah sampai ke destinasi yang tepat, barulah dia mematikan enjin.

Dari jauh dia ke sini semata-mata untuk melamar seorang gadis menjadi suri hatinya. Diharapkan tujuan murninya itu bakal berbalas dengan hasil yang setimpal.

Dia dapat merasakan dadanya bergemuruh kencang. Lantas dikerling Firash di sebelah. Hm, mamat ni mestilah kena ada! Firash ni dah macam PA dia. Ke mana sahaja dia pergi, Firash wajib menemani.

"Betul ke ni, bro?" soal Arsalan, sekadar mahu mengajak Firash berbual. Sedikit sebanyak, keadaan Firash yang cuma senyap dari awal tadi menambahkan debaran dalam dadanya.

"Betullah ni kut. Dia kata ada tempayan besar kat depan rumah. Hah, itu batok!"

Jari telunjuk Firash menudingkan ke satu arah. Sebuah tempayan besar yang lebih sinonim dengan nama batok terletak di tepi tangga rumah. Dah tak ramai yang nak pakai batok lagi dah sekarang. Boleh tahan unik keluarga si Han ni.

"Dah, jom!" Melihat Arsalan yang bagai teragak-agak untuk keluar dari kereta, Firash terlebih dahulu mengajak. Arsalan menyusul selepasnya.

Salam dilaungkan beberapa kali dan nasib mereka baik. Seorang wanita bertudung labuh menyambut kedatangan mereka. Bila Arsalan melihat wajah si wanita, hatinya bertambah yakin bahawa ini memang rumah Han. Risau juga dia. Buatnya kalau tersilap rumah, tak pasal-pasal orang lain yang jadi bininya.

"Anak-anak semua ni dari mana?"

"Kitorang dari KL. Datang rumah mak cik ni sebab ada hajat,"

Mulut si wanita terlopong seraya kepala diangguk-anggukkan. Bila sebut ada hajat, maka fahamlah dia.

"Naiklah atas. Sebelum tu, basuh dulu kaki kat situ." ujar si wanita dengan senyuman manis.

Firash dan Arsalan akur sahaja. Barangkali keluarga ini sangat mementingkan adab dan tradisi Melayu selagi tidak melanggar syariat.

Batok didekati. Mereka mencedok air di dalamnya menggunakan sebuah gayung yang tersedia. Selesai sahaja, mereka terus naik ke atas dan mengikut langkah wanita itu ke ruang tamu.

"Pak cik kat kandang dia lagi. Nanti baliklah tu. Kamu semua nak jumpa dia ke?"

"Err... ya,"

"Nama mak cik, Hanim. Dah lama duduk kampung ni. Bila anak-anak mak cik dah besar, dah bekerja semua, tinggallah mak cik dengan pak cik je kat rumah ni." ramah Puan Hanim ajak bersembang. Firash dan Arsalan layankan sahaja. Namun, yang banyak bercakap mestilah Firash. Arsalan pula lebih kepada memerhati.

"Eh, banyak pula kita sembang! Mak cik tak kenal lagi kamu berdua ni,"

"Ah... saya Firash, cik. Ini kawan saya, Arsalan."

"Amboi, sedap nama orang sekarang!"

Mereka tersengih dipuji Puan Hanim. Tiba-tiba kedengaran ada salam dilaungkan di luar rumah. Puan Hanim bingkas bangkit menyambut.

"Itu pak cik kamu dah baliklah tu. Kejap ya!"

Seorang lelaki separuh umur berjalan masuk ke dalam rumah. Biarpun usianya sudah lanjut dan mungkin sahaja hampir menginjak ke angka 70-an, namun tubuh kekar itu masih nampak begitu gagah dan berdaya. Arsalan terkagum sendiri.

Tak pelik pun kalau melihat tubuh orang kampung sebegitu. Nama pun orang kampung yang tugasnya lasak dan aktif. Tak workout pun dah boleh ada sixpacks, nyah!

Pandangan mereka bertembung sekejap dengan anak mata si lelaki tua. Wajah itu tenang namun mereka dapat merasakan aura kewibawaan yang tersebar luas.

"Siapa ni?"

"Diorang dari bandar. Datang ni ada hajat. Abang duduklah dulu, sembang-sembang. Saya ke dapur nak buatkan air kejap." Puan Hanim meminta diri.

Encik Makhtar mengambil tempat berhadapan dengan dua orang anak muda itu. Takbir ringkas keluar perlahan dari ulas bibir tatkala punggungnya menyentuh kusyen sofa.

"Tua-tua ni, seksa sikitlah nak duduknya. Kalau dah duduk, nak bangun cepat-cepat memang tak berdaya." Encik Makhtar berbasa-basi. Dipandang dua wajah di hadapannya silih berganti.

"Kamu berdua ni nama apa?"

Buat kali kedua Firash dan Arsalan memperkenalkan diri. Arsalan menelan liur kelat berkali-kali. Biarpun lelaki tua di hadapannya ini nampak begitu tenang dan lembut, hatinya tetap cuak. Nak melamar anak orang wei! Siapa je tak cuak?

"Kami datang ni ada hajat," Firash menyenggol bahu Arsalan. Dia menghantar isyarat supaya Arsalan masuk line sekarang.

"Hati ni dah berkenan dengan bunga yang ada di taman. Kalau bunga tu masih belum dipetik, sudi tak pak cik biarkan saya jadikan bunga tu milik saya?" Tenang Arsalan mengatur bicara. Lembut terluah dari ulas bibir merahnya. Sepasang matanya pula tetap memandang wajah Encik Makhtar, memerhatikan segala gerakan tubuh yang terhasil.

***

   HAN menggigit kuku ibu jarinya. Dia tak senang duduk. Ke sana-ke mari dia berjalan bagi meredakan perasaan gelisahnya sekarang.

Dari awal pagi tadi dia mendapat pesanan ringkas daripada Arsalan yang memberitahu lelaki itu sudah sampai di rumah kedua-dua orang tuanya. Namun, sudah tidak ada sebarang updates lagi dah yang masuk sesudah itu.

Umi dan abah pun tak ada membuat panggilan kepadanya. Dia risau! Tak betah berahsia lagi, dia menghayun laju langkah mendapatkan Farha di tingkat bawah.

Tersentak Farha tatkala Han melabuhkan punggung di sebelah saat dia sedang ralit menonton televisyen. Wajah Han dikerling sesekali.

"Kau apahal? Muka macam ayam berak kapur je."

"Farha,"

"Ya,"

"Aku risau ni."

"Risau kenapa pula?"

"Ada orang masuk melamar aku. Tapi tak dengar apa-apa cerita lagi ni."

"Hah?" Mata Farha terbelalak luas. Terbantut terus fokusnya kepada siaran tv yang sedang berlangsung. Isu Han dilamar orang lebih menarik untuk dibawa bergosip sekarang.

"Kau biar betul!"

"Betullah."

"Kau kenal ke lelaki yang masuk melamar tu? Mana kau tahu? Eh, kau tak cerita kat aku pun! Tup tup dah lamar terus, apa cer?"

Farha menayangkan wajah tidak puas hati. Dia teman serumah si Han kut! Malah mereka membesar sama-sama di kampung. Sampai hati Han tidak mengkhabarkan apa-apa kepadanya.

"Kenal tu... biasa-biasa je. Aku tak berapa tahu sangat pasal dia. Tapi-"

Jeda. Bunyi panggilan masuk menarik minatnya. Kelam-kabut Han mencapai telefon bimbit.

"Mak aku call!"

"Angkat! Angkat!" Orang lain yang dipinang, orang lain gelabah.

Han menjawab panggilan itu. Nafasnya ditarik panjang dan dihembus perlahan. Berkali-kali dia mengulang perbuatan itu supaya jiwanya meraih sedikit ketenangan.

Suaranya diceriakan. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sekejap tadi. Dia mempamit sopan Puan Hanim dalam talian.

"Umi ada nak cakap sikit ni."

"Ya, umi. Cakaplah. Selama ni tak pernah pun nak intro, tiba-tiba hari ni intro kenapa?" Han tergelak kecil dengan lawak sendiri. Walhal dia lagi mengawal degupan jantungnya yang terasa ingin pecah sekarang!

"Tadi ada dua orang lelaki datang rumah. Diorang bercakap pasal kamu,"

Dup! Dap! Dup! Dap!

"Cakap apa? Amboi, datang bawa gosip pula."

Han mengerling sekilas ke arah Farha yang khusyuk menumpang dengar. Bibir merahnya sudah lama pucat. Liur ditelan berkali-kali sampai tekaknya kering.

"Nak bergosip apa pula dah? Diorang datang nak melamar kamulah!"

"Lepas tu... umi abah cakap apa?"

"Umi minta maaf la. Umi teruja sangat bila dapat tahu dia betul-betul nak memperisteri Han, umi terima."

"Umi!" Han membentak geram. Sekarang ni siapa yang dilamar? Dia atau umi? Argh!

Farha di sebelah sudah bantai gelak dengan suara yang ditahan daripada keluar. Sampai bergolek-golek tubuh itu di atas sofa mentertawakan Han.

"Tak apalah. Korang kenal-kenallah dulu. Kalau rasa tak serasi, cakap. Ni umi nak minta kamu balik kampung hujung minggu ni, boleh?"

"Okey. Nanti Han cuba balik,"

Talian dimatikan. Han memuncungkan bibir, geram dengan Puan Hanim masih tersisa. Tahulah tak sabar nak dapat menantu lelaki sulung pun tapi janganlah sampai dirinya diketepikan pula!

Lengkaplah 10 bahagian yang pertama. Okey tak tu? Kalau okey, cuba menyahut sikit. Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience