03 | Me-time

Romance Series 14468

LIP balm berperisa strawberi kegemarannya dioles lembut di bibir. Sentuhan terakhir selepas dia meratakan bedak Baby Johnson ke segenap wajah. Usai memastikan penampilannya pada pagi ini sempurna, barulah dia beredar dari bilik tidur.

"Amboi, cantik Cik Kiah kita pagi ni! Nak ke mana?" tegur Farha sambil menyuap roti titab ke dalam mulut. Dia menyediakan sarapan ringkas sahaja memandangkan semalam, Han berkali-kali berpesan kepadanya bahawa Han akan mengajak keluarganya keluar bersiar-siar pada awal pagi.

"Entahlah. Aku bawa diorang window shopping je kut." balas Han sambil sibuk menyarung stoking ke kaki, menutup aurat yang kerap kali kaum Hawa terlepas pandang.

"Hm, aku harap tak terserempak dengan koranglah. Aku nak keluar dengan kawan aku tengah hari nanti."

"Kawan lelaki ke perempuan?"

"Perempuanlah." Acuh tak acuh Farha menjawab. Wajah toya dipasang. Han tersenyum senget.

"Jangan lelaki sudah. Ingat sikit, buah hati kau tu dalam genggaman aku lagi ni." Han menggenggam penumbuk. Konon-kononnya dalam genggaman tangan kecil itu ada kekasih Farha seperti yang diperkatakan.

Farha tersipu malu mendengar usikan Han. Bahu Han ditolak manja. "Aku tahulah,"

Perbualan mereka tak panjang tatkala Puan Hanim dan Encik Makhtar memunculkan diri di situ. Kedua-duanya lengkap berpakaian kemas, bersedia untuk keluar bersiar-siar.

"Assalamualaikum, pak cik, mak cik!" sapa Farha, mesra. Salam itu dijawab mereka.

"Dahlah, aku pergi dulu." pamit Han. Sempat dia menggigit roti dalam pegangan Farha. Terliur melihat roti bakar yang disapu dengan seri kaya dan marjerin serta dihiasi dengan telur tiga suku di atasnya itu. Nampak begitu menggiurkan!

Farha menjerit sambil menolak-nolak wajah Han. Namun, cubaannya tak berjaya. Sebahagian besar roti itu sudah selamat mendarat ke dalam perut tong Han. Dia mengetap bibir.

"Roti aku pun kau nak sapu," omelnya sambil memuncungkan bibir. Geram betul dengan telatah teman serumahnya. Kalau tak difikirkan dia sedang dalam proses penilaian untuk menjadi kakak ipar si Han, dah lama dia cepuk gadis muda itu lalu diberi makan kepada buaya di dalam Zoo Negara.

Bibir Han tersengih lebar lalu dengan selambanya, Han melabuhkan kucupan ringkas di pipi Farha. "Kau nak apa? Aku belanja."

"Tak payahlah," rajuk Farha masih bersisa.

"Serius ni?"

Farha terdiam. Sayang pula nak ditolak. Dahlah jarang-jarang si Han nak offer macam ni. Kalau Shopee ada jualan hebat 7.7 sekalipun, Han mungkin tak bermurah hati seperti hari ini.

"Simpan dulu bahagian tu. Nanti bila-bila aku tuntut." putusnya.

"Okey! Aku pergi dulu." pamit Han seraya berlari-lari anak mendapatkan kedua-dua orang tuanya yang sudah lama tercongok di ruang tamu.

***

MATAHARI sudah naik tegak di atas kepala, membebaskan sinarannya tanpa halangan ke segenap ceruk yang ada. Tatkala merasa bahang itu meresap sampai ke dalam ruangan bilik tidur, dia terjaga daripada lena. Terpisat-pisat dia duduk bersila selepas bermalas-malasan menggeliat di atas katil seminit yang lalu.

Kedua-dua belah mata masih terpejam rapat. Mulut yang menguap luas ditekup dengan sebelah tapak tangan. Lambat-lambat dia turun dari tilam bersaiz bujang itu lalu merembat tuala yang tersidai di ampaian.

Baru sahaja dia melondehkan seluar pendek yang tersarung di tubuh, tak semena-mena pintunya terkuak luas. Kepala Firash terjengul di situ. Arsalan terperanjat lalu menjerit kuat. Jeritannya bersatu dengan suara Firash yang ikut terkejut.

Dalam kekalutan itu, Arsalan pantas melilit tuala ke tubuh. Dia sudah berhenti menjerit. Matanya menjeling tajam Firash yang masih berdiri kejung di muka pintu. Sebelah kening dijongketkan, acah ganas.

"Kau nak apa sergah bilik aku tiba-tiba ni? Tangan ada kan? Ketuklah pintu bilik tu dulu!"

Bum!

Geram, Arsalan mencampakkan sebiji bantal tepat ke wajah Firash. Firash meledakkan tawa sambil mengutip bantal itu.

"Aku tak sengajalah. Aku ingat kau tidur lagi." Firash mempertahankan diri. Rasanya baru 15 minit yang lalu dia mengintai bilik ini dan mendapati Arsalan terbongkang lena di atas katil. Sejadah masih tak berlipat, kopiah pula kekal di atas kepala. Jelas-jelas Arsalan tidur semula selepas Subuh.

"Kau mandilah dulu. Nanti dah siap-siap, turun makan. Aku dah sediakan breakfast." pesan Firash sebelum menutup rapat kembali pintu bilik. Arsalan menghela nafas panjang.

Jam bulat yang tergantung di dinding dikerling sekejap. Terbeliak matanya melihat jarum pendek sudah berdetik ke angka 10 pagi. Lantas dia cepat-cepat menyudahkan urusannya sebelum turun ke tingkat bawah untuk menjamu selera.

Anak-anak tangga dituruni satu persatu. Dari jauh lagi dia sudah boleh mencium haruman masakan Firash. Untung ada housemate anak tukang masak ini. Demand sahaja apa yang diidamkan oleh tekak. Nescaya Firash akan cuba menunaikannya dengan skill yang sedia ada.

Kerusi kayu ditarik perlahan lalu dia melabuhkan punggung di situ. Sebiji pinggan dicapai dan dia mencedok spaghetti bolognese ke dalamnya.

"Kau stay up sampai pukul berapa semalam?" soal Firash seraya menuangkan teh panas ke dalam sebiji cawan. Kemudian, dia menolaknya ke hadapan Arsalan.

"3 pagi." jawab Arsalan bersahaja. Pukul 3 pagi itu masih dikira awal baginya yang seringkali perlu menyiapkan kerja pejabat. Bukannya tak boleh disempurnakan di pejabat namun dia lebih suka vibes di dalam bilik tidur. Terasa seakan lebih bersemangat.

"Kau ni selalu macam tu. Tak eloklah berjaga sampai pagi buta. Kau tahu tak jiran aku tu mati sebab pembuluh darah dia pecah tiba-tiba," Nampak gaya Firash the great 'atok' dah mula menyerlahkan bakat leternya.

"Badan kita semua ni ada sel kanser. Aktif tak aktif je. Kalau selalu sangat tidur lewat, tak mustahil kita boleh mati sebab kanser je,"

"Kalau dah nak mati, buatlah apa pun, mati juga." bidas Arsalan. Bosan sebenarnya mendengar leteran Firash. Balik-balik, isi sama yang diulang siar.

"Memanglah kalau dah takdir kita mati, mati juga akhirnya. Tapi kita boleh pilih jalan kematian kita. Benda boleh dielak, elak. Setiap benda ada hak. Badan kita pun tak terkecuali. Kalau kita tak bagi rehat yang cukup kat badan kita, kita ni dah dikira zalim sebab tak tunaikan haknya,"

Bidas? No hal. Firash ni dulu Raja Debat waktu alam persekolahan. Cakaplah apa sahaja, pasti mantap dipangkah Firash.

"Lagipun Allah cipta pagi untuk bekerja. Malam untuk berehat. Kalau kita tak tunaikan apa yang Allah dah ciptakan, kita dah lawan fitrah,"

Arsalan menolak sedikit pinggan yang sudah kosong. Sampai habis makanannya tapi leteran Firash masih tak jumpa penghujung. Teh yang masih berasap tipis dicicip berhati-hati.

"Bukannya aku buat perangai tu hari-hari. Hujung minggu je aku tidur lewat nak siapkan kerja yang berlonggok. Dahlah, rimas aku dengar kau membebel. Aku nak keluar pagi ni." ujarnya sambil bangkit dari kerusi. Pinggan dan cawan kotor dibawa ke sinki untuk dibasuh.

"Pergi mana pula?"

"Me-time."

"Lantak kaulah! Tapi yang penting, kau balik nanti bawa KFC untuk aku. Drumstick tau! Jangan lupa mesti ada Loaded Go Bowl sekali."

Firash pesan macam nak beli makanan kat mamak. Arsalan mencebik meluat mendengarnya. Kalau tak memikirkan jasa Firash sebagai tukang masak di rumah ini, tak kuasa dia nak mengotakan janji.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience