35 | Kenduri

Romance Series 14468

      PILI shower dipulas ketat. Air pancuran sudah pun berhenti. Han memanjangkan tangan meraba-raba bahagian penyidai. Dia mencari tuala di situ tapi apa yang dia sentuh cuma besi sejuk.

Ah, sudah! Jangan cakap yang dia dah tertinggal tuala dengan pakaiannya di luar. Ini semua sebab Arsalan! Kalau Arsalan tak menyakatnya tadi, dia tidak akan terlupa.

Bersama hati yang sebal dia menapak ke pintu bilik air. Kaca legap itu dikuak sedikit lalu dia menjengulkan kepala mengintai ke luar. Kipas angin di dalam bilik tidur terpasang menandakan ada orang.

"Abang," serunya untuk memastikan memang ada manusia di situ.

Tak lama selepas itu kedengaran suara garau Arsalan menyahut, "Hmm,"

Sah! Arsalan memang ada di luar. Macam mana nak keluar kalau lelaki itu masih ada di situ? Han menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Buntu sekejap dia memikirkan tindakan yang perlu dia ambil.

"Kenapa, sayang?" soal Arsalan. Aneh barangkali kerana diseru tanpa sebab.

"Tuala dengan baju saya ada kat luar eh?"

"Hm, ada kat atas katil ni."

"Boleh tolong ambilkan tak?" pintanya.

"Ambillah sendiri,"

Bang!

Han terkaku. Apa masalah Arsalan ni? Minta tolong elok-elok pun tak nak buat kenapa?

"Tolonglah,"

"Ambil sendiri." Rengekan manja Han tak lut. Selamba Arsalan membidas dengan arahan tegas. Han mengetap bibir. Geramnya dia dengan singa jantan tu!

"Abang, janganlah main-main. Saya sejuk ni!"

"Saya tak main-main, sayang. Keluar ambil sendiri. Saya tengah ada kerja nak buat ni,"

"Tinggallah kejap! Tak sampai seminit pun awak nak hulur saya tuala dengan baju tu," Tubir mata Han memanas. Sampai hati Arsalan buat dia begini! Kejam!

"Awak minta tolong saya kan tadi? Saya tak nak tolong, awak tak boleh marah-marah saya,"

Tengok tu! Manalah Han tak naik darah kalau kena menghadap loyar buruk si Arsalan Asad hari-hari.

Bam!

Han menghempas pintu kaca itu. Air matanya mengalir tak tertahan lagi. Cepat betul hatinya sensitif dengan perangai Arsalan sejak kebelakangan ini. Arsalan pun satu, makin kuat mengusik!

"Eii, tolong isteri pun tak nak! Asyik pentingkan kerja je. Tak nak kawan!" Dia melepas geram di dalam bilik air. Dinding ditumbuk berkali-kali. Anggap je macam tengah tumbuk muka Arsalan yang menjengkelkan itu.

Tiba-tiba pintu kaca itu diketuk dari luar. Tangisan dan tumbukan Han terjeda. Matanya berkelip-kelip memandang pintu. Dari bahagian dalam ini dia boleh melihat ada bayangan hitam di luar sana.

"Nak tuala tak? Saya dah berdiri depan ni," Suara garau itu kedengaran.

Orang dah nangis baru reti nak pujuk! Sengaja betul nak sakitkan hati orang.

"Raihan Amani," Nama penuh diseru. Han membatukan diri, masih merajuk dengan Arsalan.

"Okey, kalau tak nak saya patah baliklah. Tuala ni nanti ambil kat katil,"

Sepantas kilat dia menguak pintu. Arsalan yang baru berkira-kira ingin beredar tercengang di situ. Lalu, dia menghulurkan tuala dalam genggaman.

Bila Han menyuakan tangan untuk menyambut, Arsalan menarik huluran itu. Hulur, tarik, hulur, tarik. Berkali-kali Arsalan ulang tingkah yang sama. Bertambah sakit hati Han melihat senyuman senget yang menghias wajah kacak itu.

Bibir diketap geram. "Bagilah elok-elok!"

"Ni saya bagi elok-eloklah ni. Saya tak campak pun kat awak,"

Han merenung tajam wajah Arsalan. Seminit dua huluran tadi masih kaku di situ. Rasa-rasa itulah waktu yang sesuai untuk dia ambil tuala dari tangan Arsalan, dia cuba merebut.

Namun dia tak sangka Arsalan dah pasang perangkap awal-awal. Tuala yang dicengkam erat oleh Han ditarik kuat. Secara tak langsung tubuh Han berpusing masuk ke dalam dakapan Arsalan.

"Err..." Han menelan liur kelat. Hatinya gugup bila dirangkul tubuh hangat sang suami. Wajah tak berani diangkat apabila dia sedar yang dia masih berkemban dalam kain basahan.

Bila Arsalan menyauk tubuh kecilnya masuk ke dalam cempungan, Han meronta-ronta tidak mahu. Makin dia cuba membebaskan diri, makin erat pautan Arsalan pada tubuhnya.

"Sayang, kalau awak tak nak bertambah malu baik awak duduk senyap-senyap." Arsalan mengingatkan. Wajah merah Han ditenung lama.

Dah berbulan-bulan jadi suami isteri pun Han masih malu dengannya. Orangnya nakal tapi bila Arsalan dah mula buka langkah, si nakal itu terus berubah jadi tikus. Penakut!

"Lepaskan sayalah! Saya nak bersiap. Nanti lambat pula nak sampai kenduri Farha."

"Sekejap je, sayang."

"Arsalan Asad!"

"Saya janji sekejap je."

Han pantas menekup wajah ke dada yang berbalut baju nipis itu. Rasa malunya tak terbendung lagi sampai telinganya berdesing bingit.

Melihat keadaan itu, tawa Arsalan pecah kuat. Guess who's the winner? Mestilah jejaka paling tampan idaman Malaya ini.

1-0!

***

       LENGAN sasa si lelaki dipaut erat. Sebelum mereka mula melangkah ke dalam bangunan yang dituju, dia menjeling dulu wajah lelaki di sebelah.

"Hei, kenapa pucat sangat ni?" tegurnya. Pucuk hidung mancung itu dicuit dengan jemari lalu tapak tangannya naik menyapu peluh dingin yang memercik di dahi si lelaki.

"Sayang, abang tak ready la nak jumpa dia." luah si lelaki.

Dia tak jadi melangkah sebaliknya menatap anak mata bening milik sang suami. Bebola itu bergetar kecil, mereaksikan rasa yang bertapuk dalam jiwa.

Bahu itu ditepuk-tepuk perlahan, memujuk perasaan gundah-gulana si lelaki. Sebaris senyuman nipis bergayutan di bibir.

"It's okay, abang. Garang-garang dia bukannya nak makan abang pun."

"Kalau dia makan juga?" Soalan Arsalan saat ini kedengaran begitu keanak-anakkan. Dia tak mampu menahan tawa daripada berhamburan keluar.

Agak-agak sudah reda, dia kembali menumpukan perhatian kepada Arsalan. Pipi itu diusap-usap perlahan, memujuk.

"Kalau dia makan juga, saya yang akan makan dia. Rawr!" Dia berpura-pura menayangkan taring bersama tangan yang digayakan sedang mencengkam sesuatu. Arsalan membalas dengan cebikan.

"Eleh, gebanglah awak!"

Dia bantai gelak lagi sampai merah habis wajah. Tak semena-mena, jari Arsalan menjentik dahinya.

Pap!

"Aduh, bang! Sakitlah," rengeknya.

"Dah-dah. Cepat!"

Kalau tadi Arsalan seakan-akan takut untuk melangkah masuk ke dalam bangunan yang tersergam indah di hadapan mata. Kini, Arsalan yang mengheretnya ke sana.

Mulutnya terlopong luas saat melihat dewan luas yang dipenuhi dengan ramai tetamu. Nampak sangat mewah malah elegan dengan gabungan warna putih dan hitam.

"Assalamualaikum, Datin," sapanya lalu menyalam tangan seorang wanita yang berdiri di tepi pintu. Ada sekuntum bunga palsu yang dipin pada tudung bawal si wanita menandakannya salah seorang ahli keluarga pihak pengantin.

"Waalaikumussalam. Eh, Han! Ingatkan tak datang tadi."

"Eh, mestilah datang! Bestie sejak sekolah rendah nak kahwin kan?"

Datin Afrina mengangguk-angguk sebelum pandangan itu beralih kepada Arsalan yang berdiri tegak di sebelahnya. Arsalan menundukkan sedikit kepala, menghormati Datin Afrina.

"Ini suami Han ke?"

"Haa... iya, suami-"

"Hann!" Belum sempat Han memperkenalkan suaminya, sudah ada satu suara yang menjerit kuat. Bila dia berpaling, seorang gadis bergaun merah hati terus memeluknya erat. Han terpempan.

"Farha!"

Bila dua orang gadis yang sudah lama berpisah bertemu, berlakulah jejak kasih. Mereka berpelukan di tengah laluan sambil terlompat-lompat seperti beruk kena belacan. Kalau Arsalan tak menarik Han ke tepi, Han dan Farha masih tak berhenti menjerit teruja di situ.

"Lama aku tunggu kau! Ingatkan kau tak nak datang dah majlis aku ni," Bibir Farha tercebik-cebik. Ada air yang bertakung di tubir mata.

"Aku wajib datanglah, babe! Terlewat sikit sebab ada hal tadi," Han menjeling sekilas kepada Arsalan. Lelaki itu cuma tersengih lebar bila tersedar dirinya sedang disindir dalam diam oleh si isteri.

"Kau janganlah menangis! Ni hari bahagia kau, babe. Comot muka kau nanti. Penat je make-up cantik-cantik."

Farha ketawa sambil cuba menghapuskan air mata. Dikerling lelaki tinggi yang berdiri setia di sebelah teman baiknya sedari tadi. Bertuksedo hitam kemas. Nampak sepadan dengan penampilan Han yang bergaun putih gading, kod warna pakaian majlis hari ini.

"Err... babe, ini siapa?"

Han tersenyum lebar. Dia merangkul lengan Arsalan supaya nampak lebih mesra.

"Kenalkan, inilah suami aku yang aku selalu cerita tu."

"Han! Seriously? Ini kan..." Farha menelan liur. Matanya membulat seluas-luas alam. Tak percaya dengan apa yang baru dilihatnya sekarang.

"Han, seriuslah?"

"Seriuslah. Ini suami aku."

Farha mengeluh berat. Tangan kanan dibawa ke dahi, mengurut-urut perlahan pelipis sebelum tubuh itu melorot jatuh tanpa amaran.

"Farha!"

Han pandang Arsalan. Arsalan pandang Han. Liur diteguk kelat. Ah, sudah! Sampai pengsan Farha dibuatnya, parah sangat dah ni!

"Awak, macam mana ni?" Han gugup. Hujung jemarinya dah sejuk menggeletar menghadapi situasi ini. Selalu baca dalam novel je pengantin nak buat hal pengsan waktu majlis. Kali ini dia sendiri yang berada dalam scene itu.

Jammed sekejap otaknya memikir tindakan yang perlu diambil. Ish, kalau macam ni dia pun boleh pengsan tiba-tiba.

"To... tolong! Pengantin perempuan pengsan!"

Bingitlah ruang dewan yang dah sedia bising itu. Kebetulan si lelaki memang sedang mencari pasangannya. Bila mendengar jeritan kecemasan itu, dia terus bergegas mendapatkan Farha yang berada dalam pangkuan Han.

"Biar saya angkat dia," ujar suami Farha. Disambut tubuh yang berbalut gaun putih beropol-ropol itu lalu dibawa pergi.

Han lap peluh di dahi. Phew, settle satu masalah!

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience