KEBETULAN, Arsalan turun tepat pada waktu Mama dan Han sedang sibuk menguruskan hidangan di meja makan. Diintai dapur mencari kelibat seseorang namun tak kenampakkan pula.
"Cari siapa, Arsalan Asad?" Mama menegur. Arsalan tersentak lantas ketawa kecil menutup malu.
"Kakak mana, ma?"
"Kat atas kut. Uruskan suami dan anak-anak la tu. Ni turun dapur, ingatkan cari bini. Rupa-rupanya cari kakak."
Arsalan mengerling sekejap Han yang sengaja menyibukkan diri mengangkat mangkuk ke meja makan. Eleh, pura-pura tidak mendengar la tu!
"Cari bini buat apa, hari-hari tengok muka dia." balasnya perlahan. Mama tersenyum seraya menggeleng-gelengkan kepala.
"Dah siap semua, ma." Han mencelah, memberi laporan ringkas tentang hidangan sarapan pagi itu.
"Arsalan, pergi panggil yang lain turun makan."
Arsalan menganggukkan kepala. Kalau tak disuruh pun dia sudah sedia maklum apa yang patut dibuatnya.
Dia naik ke tingkat atas, memanggil ahli keluarga yang lain untuk ikut menyertai sarapan berjemaah di ruangan khas. Usai itu, dilabuhkan punggung di sebelah Han.
Full house bila semua ada di tempat masing-masing. Syukurlah masih boleh makan berjemaah sebelum Kakak akan pulang ke rumahnya hari ini setelah seminggu mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri majlis kenduri sebelah Arsalan.
"Arsalan dah fikir ke nak honeymoon di mana?" Suara Kakak tiba-tiba memecahkan kesunyian yang ada. Arsalan tergamam. Dikerling Han sekejap sebelum dia menggeleng-gelengkan kepala.
Han dah ingatkan semalam tapi dia yang memilih untuk tidak berfikir soal itu buat masa sekarang. Banyak lagi benda yang perlu diuruskan. Honeymoon tu kalau ada rezeki, tak kelam-kabutnya.
Kakak mencebikkan bibir. Sudu dan garfu pada tangan diletakkan di tepi pinggan lalu dia mencapai sehelai tisu mengelap minyak di tepi bibir.
"Akak agak dah. Kalau suruh Arsalan fikir sendiri, macam nilah. Tunda, tunda. Entah sampai tahun depan pun masing-masing sibuk dengan kerja je."
Satu sampul coklat diletakkan di atas meja lalu ditolak kepada Arsalan. Terpinga-pinga si adik memandang huluran itu. Rasuah ke ni?
"Apa ni, kak?"
"Bukalah dulu. Tengok sendiri."
Tak khusyuk lagi nak makan. Tangan kanan Arsalan bergerak meraih sampul itu lalu dibuka dengan berhati-hati. Dadanya berdebar-debar, sama seperti Han yang juga sedang menunggu apa isi sampul itu.
Dua helai tiket ditarik keluar. Lama Arsalan memerhati isi pemberian itu sebelum wajahnya berubah terkejut.
"Bali, kak?"
Kakak tersenyum-senyum seraya menganggukkan kepala. Pakej berbulan madu di Bali, Indonesia. Tempat yang dikatakan paling sesuai untuk pasangan yang baru kahwin.
"Sebelum masing-masing masuk bekerja macam biasa, luangkanlah masa berdua. Korang tu pasangan baru kahwin. Mestilah nak kena ada masa untuk bermesra dulu. Ya tak, honey?" Mata Kakak melirik pada suaminya di sebelah. Abang ipar Arsalan hanya mengangguk-angguk setuju.
"Nanti akak bagi tahu berapa harga tiket ni. Alan bayar balik,"
"No need. Akak belanja. Anggap jelah ini hadiah daripada akak dengan abang."
Jawapan selamba Kakak buat Arsalan ternganga. Ini hadiah paling mahal pernah dia terima! Murah betul hati pasangan itu sampai sudi menempah penerbangan ke negara jiran.
"Pasal hotel pun dah settle. Korang tinggal nak pergi check-in and enjoy je."
"Kak! Besar sangat nilai hadiah akak ni." celah Arsalan. Tak tenang hatinya sekarang. Dia berkira-kira untuk menolak pemberian itu. Bukannya dia tak boleh keluarkan duit sendiri untuk berbulan madu. Malu pula rasanya bila dibelanja mewah oleh si kakak sulung.
"Tak besar mana pun. Akak seronok tau Alan dah jumpa jodoh. Serba-serbi elok pula tu," Mata Kakak mengerling sekejap Han yang menyepi di sebelah Arsalan. Tersipu malu si gadis dipuji kakak ipar.
"Masa majlis hari tu, akak tak bagi apa-apa hadiah pun. Jadi, akak belanjalah Alan. Lagipun, ini bukan duit akak je. Ada duit Abang juga."
Kornea mata Arsalan beralih memandang Abang pula. Lelaki itu berpura-pura sibuk mengurus anak daranya yang merengek minta disuap makanan.
"Ambil jelah, Alan. Kalau betul kau nak bayar balik, kau kena janji satu benda dengan kitorang." Giliran Abang pula memujuk.
"Apa?"
"Bawa balik anak saudaralah. Kesian Najwa tak ada sepupu lagi ni."
Semua ketawa halus tatkala melihat Arsalan terbata-bata. Sakanlah yang lain mahu menyakat, menambah lagi bahang di wajah Arsalan.
Mama bergerak mencuit lembut pipi gebu cucu sulungnya sambil menyoal, "Najwa nak kawan tak?"
"Nak!"
"Lelaki ke perempuan?"
"Perempuan!" Semangat si dara menjawab. Terujalah bila mendengar perkataan 'kawan'. Untung boleh buat geng main masak-masak sekali nanti.
"Dengar tu, Arsalan, Han? Kalau boleh, biarlah setahun seorang. Meriah sikit rumah besar ni nanti." Papa tersenyum lebar membayangkan wajah cucu-cucunya yang pasti comel belaka. See the leg la! Macam mana datuk, itulah cucunya.
Wajah Han merah menyala. Amboi, ingat dia kilang ke nak beranak setiap tahun? Kalau senang nak jaga, tak apalah juga.
"Jangan lupa pula, lusa je korang dah nak kena fly. Buatlah preparation. Kemas apa yang patut." Kakak menyelit memberi peringatan. Tersentak seketika Arsalan dan Han.
Yalah, lusa!
Arsalan mengeluh. Nak tak nak, terpaksalah mereka terbang ke Bali memandangkan tiket telah ditempah untuk mereka berdua. Sayang kalau nak dibiar burn.
***
ARSALAN keluar dari bilik air dengan wajah yang segar. Almaklumlah, baru lepas mandi. Tuala masih elok di atas kepala dibuat mengesat rambut yang menitiskan air mandian. Sementara itu, dia menghayun langkah mendapatkan Han di katil.
"Dah siap packing ke?" soalnya bila perasan ada sebuah bagasi besar di tepi pintu.
"Hmm," balas Han seraya mengambil alih tugas Arsalan. Arsalan hanya perlu menadah kepala kepada Han, biar si isteri yang tolong mengeringkannya. Sampai terpejam mata Arsalan menikmati urutan selesa itu.
"Semangat betul awak." Arsalan mengulas perlahan. Bukannya nak pergi esok tapi lusa. Han dah siap kemas pula dah!
"Tak apa la packing awal-awal. Tak kalut dah nanti." Han membidas malu. Halah, nampak macam dia terlebih teruja pula nak pergi berbulan madu.
Arsalan tersenyum nipis sahaja lalu mengerling jam yang terlekat pada dinding. Malam masih muda. Matanya pun belum diberati kantuk.
"Kita nak buat apa malam ni?"
Sampai senget-senget muka Han berfikir aktiviti apa yang sesuai untuk dibuat malam ini memandangkan masing-masing belum mengantuk.
"Jangan kata nak kena main batu seremban lagi. Saya tak nak." Sebelum Han mencadangkannya, Arsalan telah menolak dulu awal-awal. Mampus dia kalau nak dipaksa main permainan itu lagi. Tangan Han lebih bertuah daripadanya. Sah-sah gadis itu menang juga pada penghujungnya!
"Alahhh," Han mengeluh panjang. Ha, baru nak mengusulkan cadangan itulah tu!
Tergeleng-geleng kepala Arsalan melihat telatah nakal si isteri. Sengaja betul Han nak kenakan dia dengan diajak bermain batu seremban sedangkan gadis itu sedia tahu siapa pemenangnya nanti.
Tiba-tiba pandangannya menyorot jatuh pada sebuah sudut di dalam bilik. Bagai ada mentol menyala di tepi kepala, Arsalan bersuara teruja.
"Saya tahu kita nak buat apa malam ni!"
Happy reading! Agak-agak apa benda yang Arsalan nak buat malam tu eh?
Share this novel