11 | Hot issue

Romance Series 14468

   RUANG halaman rumah sunyi sepi. Masing-masing tak berani membuka mulut bersuara lantaran melihat Angah sedang berpeluk tubuh dengan wajah yang serius.

"Apa dah jadi ni, umi?" soal Angah, serius seraya melemparkan pandangan ke arah Han yang sedang berpura-pura tidak tahu apa-apa. Gadis itu hanya selamba mengayun buaian sambil bermain dengan anak saudaranya sebelum Angah mengarahkan anak itu dibawa masuk ke dalam rumah. Biar mereka yang dewasa sahaja ada di sini untuk berbincang.

"Lah, apa yang jadi? Adik kamu ni cuma dilamar orang je." balas umi, tenang.

"Tulah, Angah. Rileks la." De menyahut. Dia mengerling pula ke arah Teh yang sedang merenung jauh ke luar pagar rumah. Bagai ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikiran adik lelaki bongsunya. Lantas dia bergerak menyentuh bahu itu.

Teh tersentak lalu segera berpaling menghadap De. Hanya mereka tiga beradik lelaki sahaja yang lepas balik ke rumah. Along pula terkandas di tempat kerja, tak boleh ikut serta. Semuanya terkejut beruk bila mendapat tahu Han si bongsu sudah disunting orang. Maka kata sepakat dicapai, mereka pulang berkumpul di kampung pada hujung minggu.

"Fikir apa?"

Teh tersenyum lalu menggeleng-gelengkan kepala. Dia menjatuhkan pula pandangan pada wajah Han. Jauh di lubuk jiwa yang paling dalam, dia tahu semua orang sedang berat hati untuk melepaskan Han ke tangan lelaki lain.

"Awak dah lama kenal lelaki tu ke?" soalnya, ingin tahu jawapan yang datang sendiri dari mulut Han walhal umi sudah menceritakan segalanya dari awal.

Han menggeleng. "Tak ada la lama sangat."

"Lepas tu, awak yakin ke nak jadi isteri dia?" Angah menyampuk. Dalam ramai-ramai, dialah yang paling jelas menentang. Reaksi wajahnya sahaja sudah ketara menunjukkan bahawa hatinya tak gembira langsung pun dengan perkhabaran ini.

"Bukannya saya kahwin terus dengan dia. Baru nak bertunang kan? Kitorang pun masih dalam fasa berkenalan."

Pening dengan kerenah abang-abangnya. Masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza membuatkan emosinya bercelaru saat ini. Dahlah lamaran diterima tanpa rela! Sekarang ni nak kena menghadap soalan maut daripada tiga orang manusia ini pula. Nasiblah Along tak join sekali. Kalau tak, dia dah K.O awal-awal.

"Teh, kau kata kau jumpa adik hari tu kan? Takkan kau tak tahu apa-apa?" Angah menyoal Teh pula, sedia tahu yang adik lelaki terakhirnya itu memang agak rapat dengan Han. Mungkin atas faktor umur yang tak jauh berbeza membuatkan mereka lebih serasi bersama. Tambahan pula, hanya Teh dan Han yang masih belum berkahwin dalam keluarga.

Teh menjeling sekilas ke arah Han sebelum menggeleng-gelengkan kepala. Dia menafikan soalan Angah. Memang dia tak tahu apa-apa.

"Hai, sudahlah! Isu adik dilamar orang je tapi korang bersembang macam adik ni diapa-apakan!" Puan Hanim mencelah, tak betah terus menyaksikan wajah tegang anak-anak lelakinya. Secara tidak langsung, celahan itu telah berjaya meloloskan Han yang tersepit di tengah-tengah. Han sendiri sudah nyawa-nyawa ikan sekarang.

"Betul! Korang tak seronok ke nak dapat adik ipar lelaki?"

Angah meraup wajah seraya mengeluh berat. De menjulingkan mata sebagai balasan. Hanya Teh yang kekal tak bereaksi apa-apa.

"Ini bukan pasal seronok tak seronok, dik. Ini pasal awak nak jadi milik orang. Angah bukan tak happy awak dah nak berkahwin tapi angah takut apa-apa jadi kat awak."

"Apa yang apa-apa jadi kat saya?" Han menyoal polos. Sungguh dia tidak mengerti apa yang abang-abangnya sedang risaukan.

"Kita tak tahu latar belakang budak laki tu. Buatnya dia kaki botol ke, kaki judi ke? Paling teruk kalau dia sebenarnya bapak ayam. Tak pasal-pasal je awak dijual kat customers dia."

Beristighfar panjang mereka yang lain mendengar keluhan Angah. Sampai macam tu sekali ya Angah fikirkan?

"Kau tak payahlah fikir sampai macam tu. Insya-Allah semuanya okey je. Yang penting, adik." De yang cuma senyap sedari tadi bersuara. Wajah Han jadi tatapan tajamnya.

"De tak izinkan awak keluar bersuka-suka dengan budak laki tu..."

"Bukan De je. Kitorang! Angah dan Teh sekali." Teh menyampuk.

"Pergaulan tetap kena jaga. Bincang bila perlu. Jumpa bila patut. Tapi awak tanya-tanyalah juga kawan-kawan budak laki tu, macam mana perangai sebenar dia. Jenis goyang kaki lepak mamak ke, suka bertukar pasangan ke, apa-apa jelah yang awak dapat pastikan dia tu lelaki yang terbaik untuk jadi suami awak."

Panjang lebar pula amanah si De. Nampaknya semua memang mengambil berat terhadap isu kahwin ini. Padanlah isteri masing-masing sayang sangat dengan suami mereka. Jenis caring dan protective sampai kadang-kadang Han rimas dengan perangai abang-abangnya.

Tapi selagi tujuannya untuk menjaga keselamatan dan maruah Han, Han turutkan sahaja kehendak mereka. Dia tahu pastilah mereka mahukan yang terbaik buat satu-satunya puteri Encik Makhtar ini.

"The rest, biar kitorang uruskan." De tersenyum senget. Dipandang Teh dan Angah silih berganti sebelum sama-sama berpeluk tubuh merenung Han.

"Korang jangan nak buat perangai eh! Jangan nak belasah anak orang sesuka hati."

"Siapa nak belasah siapa? Kitorang tak cakap pun nak belasah budak tu."

"Bukan boleh percaya! Fikir saya tak ingat ke apa yang korang dah buat kat Amran dulu?"

"Ah, Amran... memang patut pun kena belasah. Apa kes ajak anak dara orang mandi sungai sekali!" Angah membidas garang.

Dia takkan lupa peristiwa beberapa tahun dahulu. Sebaik sahaja dia mendapat berita yang Amran, budak kampung mereka sedang bermandi-manda dengan Han di sebatang sungai, terus diajak adik-beradik yang lain menyerang.

Lintang-pukang Amran berlari menyelamatkan diri lantaran takut disesah empat serangkai itu. Mereka bukanlah gengster kampung tapi bila hal berkaitan dengan Han, semuanya jadi terlebih protective.

Disebabkan itu, tak ada lagi anak muda kampung yang senang-senang mahu merapati Han. Sebab itu jugalah Han masih tak berpunya biarpun teman-temannya yang lain galak bercinta.

Teh melabuhkan punggung di sebelah Han. Buaian yang berayun perlahan itu langsung berhenti dihempap beban tubuh sasa Teh.

"Jangan risaulah. Kitorang pun faham yang awak dah besar, patut ada rumah tangga sendiri. Tapi sebelum kitorang serahkan awak bawah jagaan lelaki lain, kitorang cuma nak pastikan awak dapat yang terbaik. Semua sayangkan awak. Tak nak awak menyesal waktu sekerat jalan nanti. Faham kan?"

Terharu, Han menyembamkan kepala ke dada Teh. "Awak jangan kahwin sampai bila-bila, please."

Tersentak Teh dengan permintaan Han. "Ke... kenapa?"

"Nanti saya jealous kena share awak dengan perempuan lain."

Tawa Teh meledak kuat. "Lepas tu fikir saya tak jealous awak ada lelaki lain?"

Risau Puan Hanim melihat gelagat anak-anaknya. Biarpun dia tahu hubungan mereka tak lebih daripada sekadar adik-beradik, dia tetap tak suka melihat Teh yang terlalu berlembut melayan Han.

"Dah-dah! Kes dah ditutup. Jom masuk makan." ajak Puan Hanim. Semua bersurai masuk ke dalam rumah.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience