BAB 18

Romance Series 18757

"ABANG GHAZI !" 

Dena terkedek-kedek berlari menuruni tiga anak tangga dari luar pintu hadapan itu sebaik sahaja matanya menangkap sosok Ghazi yang sedang mengunci pagar rumah mereka. 

Ghazi berpaling dan terus tersenyum lebar. Dia mendepakan tangannya apabila Dena hampir beberapa langkah saja mahu sampai padanya.

Ciuman di pipi melekat.

"Abang pergi mana? Dena rindu abang.." Kepala dilentokkan ke bahu Ghazi. 

Dalam ramai-ramai abang yang dia ada, abang Ghazi yang paling dia sayang. Abang Ghazi baik dan tak pernah marah Dena. 

Pipi Dena dicium pula. 

"Ei, bau air liur basi. Dena tak mandi lagi eh? Dah pukul berapa ni tak mandi lagi." Rambut kusut masai Dena dibetulkan. 

Beg yang tadi di letak ke tanah, dia angkat nya semula dan melangkah ke rumah besar tersebut. 

Jeritan dari Danial dan Iskandar pula kedengaran. Mereka tinggalkan segala basikal dan mainan mereka semata-mata mahu mendapatkan Abang Ghazi. 

Danial menumbuk-numbuk tubuh Ghazi manakala Iskandar pula melompat dan berpaut di belakang.

Ghazi ketawa. Sudah lama dia tidak melayan kerenah adik-adik ini. 

"Okay, dah. Abang penat ni. Ayah dengan Mama mana?" tanya dia kepada dua orang adik lelaki kembar itu. 

Keduanya mengangkat bahu.

"Ayah baca buku dekat dalam, Mama keluar pergi kedai." Dena menunjukkan ruang tempat letak kereta Mama yang kosong.

"Pandai pun Dena. Iskandar dengan Danial ni apa pun tak tahu." Puji Abang Ghazi mereka. 

Si kembar mencebik. Serta merta mereka mencubit Dena yang berada di dalam dukungan Ghazi. Sudah besar pun mahu berdukung lagi..

Dena mula merengek. Ghazi memukul belakang adik-adik lelakinya apabila mereka mahu melarikan diri. 

"Assalamualaikum! Ayah! Ghazi dah balik ni.." Laung Ghazi sebaik sahaja pintu kayu yang besar itu ditolak.

Dena melompat turun mendapatkan si ayah yang sedang menyusun permainan masak-masak di atas meja ruang tamu itu. Dia turut sama bersila.

Ayah  berpaling. Senyuman terukir di bibir lelaki tua yang sudah beruban di kebanyakan bahagian rambutnya. 

"Akhirnya tukang urut Ayah ini balik juga." Bahunya diketuk-ketuk.

Seakan memahami, Ghazi tersengih dan duduk di belakang si ayah. Tangan menekan bahu ayah. 

Ayah sibuk melayan Dena bermain. Lepas satu-satu cawan dan pinggan mainan itu dihulurnya. Ayah pula terus menyuap makanan halimunan ke mulut selepas itu dia memuji.

Ghazi menggeleng. Dena ini kalau sudah main, semua orang pun kena main dengan dia.

"Tak nak lah. Dena masak bukan sedap pun. Abang makan makanan yang sedap je." Tolak Ghazi. Dia menyakat si adik bongsu itu. 

Bibir Dena sudah cembeng. Nak buat-buat menangis lah tu.

Bunyi enjin kereta diluar rumah mendapat perhatian mereka bertiga. Dia sudah tahu sangat siapa yang baru pulang. Selesai Ayah sendawa, Ghazi melepaskan urutannya.

Dia menyambut Mama di pintu apabila wanita itu melangkah masuk dengan beg-beg plastik di tangan. Dena mengambil satu-satu beg plastik dan diletakkan di bawah meja. 

"Mama.. Ghazi dah balik ni!" Wanita separuh abad yang masih nampak cantik dimatanya itu di peluk kuat. 

Puan Syahirah terkejut. Seperti tidak percaya apa yang dia lihat depan mata. Ghazi betul-betul sudah pulang! Tidak sia-sia lah rajuknya setiap malam.

"Anak kesayangan dah balik, terus lupa dengan suami kesayangan." Suara Encik Irham kedengaran. Lelaki itu kembali menelaah bukunya.

Puan Syahirah mencebik. Mengada saja lebih orang tua ni. Pipi lelaki itu di cium. Mata dibulatkan. Puas hati?

Encik Irham menjelir lidah. Hatinya dipalit rasa suka apabila si isteri melayan kerenah manjanya.

"Eww.." Jerit Dena sambil mengejek-ejek Mama dan Ayah. Ghazi pun sama.

Ayah ni dah tua bangka pun nak acah macam orang baru kahwin. Manalah dia tak dapat ramai adik. Buat orang bujang seperti dia ini jeles saja. 

Ayah berlalu ke dapur mengekori Mama. Barang-barang dapur yang baru dibeli di susun masuk ke dalam peti ais. Sesekali dia memeluk wanita itu dari belakang, serta merta lelaki tua itu mengaduh setiap kali dia mahu memeluk si isteri. 

Ghazi menggeleng. Orang bujang dalam rumah ini pasti terus rasa nak kahwin kalau melihat kebahagiaan Mama dan Ayah. Macam orang tak jumpa setahun padahal hari-hari berdua dalam rumah ni.

Melihat gelagat Mama dan Ayah, dena pula tinggalkan mainannya dan ssgera merebut Mama dari Ayah. Ditolak kuat tubuh si Ayah dengan tangan kecilnya. 

"Ni Mama Dena.." Dena merengek. 

"Apa pula. Ni isteri Ayah. Mama Ayah punya." Encik Irham mengabaikan rengekan si anak bongsunya itu. 

Macam tak tahu. Dena ni kaki buat drama air mata. 

Pap!

Satu pukulan hinggap ke tubuh si suami. Kepala Dena diusap-usap. 

"Biasa Ayah ni. Takpe, Mama dah pukul dah." ujar Puan Syahirah. Air mata di pipi anak kecil itu diseka dengan jari. 

Dena tersenyum kemenangan. Dia menang, sekali lagi. Menggunakan taktik yang sama, air mata! 

Puan Syahirah memanaskan semula lauk pagi tadi. Dena pula sudah bawa semua mainannya ke dapur dan bermain di lantai. Takut sangat tu si Ayah datang rampas Mama dia semula.

"Macam mana hidup Ghazi di KL? Seronok?" Tanya Ayah. 

Ghazi menggeleng. 

"Tak seronok langsung. Ghazi tak buat benda berfaedah sangat. Banyak buat benda tak ada faedah saja dekat sana. Bosan lah Ayah. Tak macam dekat kampung, udara pun segar." Jelasnya. 

Dia mahu duduk di kampung saja tetapi dia tahu sangat, Ayah tak akan bagi. Daripada dulu lagi lelaki tua ini bising suruh dia pergi merantau, belajar dari melihat dunia. Tapi, dia tak suka. Dia lagi suka terperap saja di dalam kampung ini. 

"Kalau macam tu, Ghazi duduk je dengan Mama.." Mama memberi saranan namun belum sempat mama menghabiskan kata-katanya, ayah sudah mencelah.

"Jangan mengada. Ghazi sepatutnya keluar lihat dunia, jumpa bermacam jenis orang dan ragam, ada bermacam pengalaman hidup. Jangan duduk bawah ketiak Mama saja.." Ayah membantah. 

Mama sudah merajuk. Langsung tidak bercakap. Apa salahnya kalau dia mahu anaknya sentiasa di sisi? Orang lelaki mana tahu susah payah beranak. 

Ghazi hanya memandang. Kalau dia tidak menjawab ini, makin lama pulak rajuk mama.

Kepala dijatuhkan ke riba si ibu. Rasa tenang saja dapat menghidup bauan Mama.  Dia kenal sangat bauan minyak wangi yang selalu Mama pakai. 

"Takpe lah, Mama. Lagipun kalau Ghazi tak keluar, macam mana nak jumpa jodoh.." Dia tersengih. Rambutnya diusap-usap oleh ibu tersayang. Mengada betul dia. 

"Kenapa? Ghazi dah jumpa jodoh ke?" Kalini buku ditangan di tutup. Badan ditegakkan. Cermin mata dibuka. Dia rasa ingin tahu pula. 

Laju kepala Ghazi menggeleng. Risau dia kalau ayah anggap perkara ini serius. Lebih lagi dia memang di dalam umur yang wajib pergi cari jodoh.

Encik Irham mengeluh. Ingat Ghazi sudah jumpa calon isteri tadi.

Ghazi bangun dari duduk. Dia ingin naik ke atas untuk membersihkan diri. Badan sudah terasa melekit. Tangan Mama dan Ayah disalam. Tadi lupa pula dia mahu salam tangan mereka.

•••

Ghazi memancut air paip ke dalam kandang. Beberapa ekor lembu mengerumuninya. Sesekali dia menggosok mereka dengan berus.

Sah lembu-lembu Ayah ni semua rindu dekat dia. Baru korang tahu bila aku takde, masa aku ada korang mengumpat aku kan.

Pakcik Hassan, pekerja ladang mereka datang membantu. Tahi-tahi lembu dicedok keluar ke longkang. Senang sikit kerjanya kalau Ghazi ada. Masa Ghazi ke Kuala Lumpur, dia seorang saja yang membersihkan kandang ini apalagi kalau mereka melepaskan lembu. Jenuh dia pusing kampung mencari. 

"Hai Abang.." Sapa satu suara menggoda. 

Pakcik Hassan sudah mengekek ketawa. Habislah Ghazi..

"Apa dia?" soal Ghazi bersuara tegas. Anak dara ketua kampung ni tak habis lagi gediknya. Bilalah nak normal budak ni.

Haura melompat masuk ke dalam kandang. Dia tidak kisah langsung kalau kasut barunya itu terpijak najis-najis lembu. Kalau mahu jadi isteri abang Ghazi, kena lah berani buat kerja begini. 

Penyodok di tepi kandang ditarik. Dia turut membantu.

"Saja nak tolong abang. Abang balik kampung lama ke ?" Sekejap saja kawasan tempat dia berpijak sudah bersih dari najis. Tangan dia sudah biasa. 

"Lama ke sekejap ke, Haura kisah apa.." Ghazi melayan. Haura ini sebaya adiknya Aisyah. Baru lepas SPM. 

Haura mengangguk. Mestilah dia kisah. Kalau lama, sempat lah dia mengorat abang Ghazi. Dari kecil dia menaruh hati terhadap lelaki ini, Abang Ghazi selalu menemani dia dan Aisyah ke sekolah. Malah, ketika sekolah dulu bekal makanan Abang Ghazi selalu diberi pada dia kalau duit makannya sudah habis buat beli jajan.

Sejak itu dia berangan mahu jadi pengantin perempuan abang Ghazi. 

"Mestilah kisah. Boleh mengorat abang lama sikit." 

Pak Hassan sudah bersorak menyokong Haura. 

Ghazi menepuk dahi. Pecah juga ketawa kecilnya melihat telatah adik kecik ni.

Budak-budak perempuan sekarang berani betul. Baru habis sekolah, dah gatal. Pergilah masuk universiti ke apa ke. Betullah kut, perempuan lebih cepat matang. Dia sudah terbiasa dengan gelagat nakal si Haura ini. Dari sekolah rendah Haura sudah declare mahu kahwin dengan dia. 

Die teringat ketika pertandingan sajak di sekolah rendah, Haura menang tempat pertama. Sajaknya bertema cinta. Lagi terkejut apabila isi sajaknya penuh dengan ungkapan perasaan cinta pada dia. Lebih haru jadinya apabila juara perlu membaca sajak sendiri di atas pentas. Sekolah menengah dia dan sekolah rendah Haura pula hanya bersebelahan. Bunyi bacaan sajak Haura jelas kedengaran hingga ke dalam kelas.

Merah padam wajah dia apabila sajak cinta Haura ada menyebut-nyebut nama Ghazi di dalamnya. Nama penuh pula tu! 

Seharian juga lah dia diketawakan oleh rakan sekelas. Namun, dia bangga dengan Haura ketika itu. Anak sekecil itu tapi sudah pandai reka sajak.

Macam-macam lah Haura ini. 

"Mengarut aje lah Haura ni." Ghazi sambung menggosok lembunya yang sudah penuh dengan lumpur.

Wajah Haura di kerling dengan ekor mata. Budak kecil yang comot dan nakal ini sudah besar rupanya. Dia tidak pernah perasan. Di dalam matanya, Aisyah dan Haura masih dua budak perempuan yang selalu berpegangan tangan dengannya ke sekolah dulu.

"Haura tak ikut Aisya kerja ke?" soal Ghazi. Pelik juga. Bukan Haura dan Aisyah ini selalu berkepit ke..

Haura menggeleng. Dia banyak membantu ayah di ladang saja sementara menunggu keputusan tawaran sambung belajar. 

"abang Ghazi suka perempuan macam mana? Nanti Haura dah habis belajar, Haura suruh ayah pinang abang."

Terbatuk-batuk Ghazi. Haura ni..

Pakcik Hassan dikerling. Nasib lah Pakcik Hassan sedikit jauh dari mereka. 

"Haura tahu tak, nanti Haura masuk Universiti ada ramai lagi lelaki yang lebih baik dari abang. Jangan tergopoh-gopoh memilih, Haura. Haura kena cari lelaki yang stabil, ada kerjaya, boleh jaga Haura dengan baik.." jelas Ghazi. 

Dia tiada perasaan sebegitu terhadap Haura. Dimata dia, Haura seperti seorang adik sahaja. Tetapi siapa dia mahu menolak jodoh. Yang penting, Haura perlu habiskan belajar dahulu. Mana tahu ada lelaki yang lebih baik untuk Haura di universiti sana. Kalau mereka berjodoh, dia tidak akan menolak. 

Haura muncung mendengar kata-kata Ghazi. Kan bagus kalau dia lebih tua, sama tua dengan abang Ghazi. Pasti lelaki itu tak akan menolak cintanya.

Dia tidak kisah mengenai harta mahupun kerjaya. Abang Ghazi lengkap segalanya walaupun lelaki itu tiada kerjaya yang hebat ataupun duit yang menimbun. Dia sudi hidup bersusah senang bersama. Lagipun semua orang dalam kampung ini mahu bermenantukan lelaki ini. Sudahlah rajin, baik, boleh buat macam-macam. Dari bertukang sehinggalah ke dapur. Sejuk mata mak pak mertua kalau dapat abang Ghazi sebagai menantu.

Kepalanya ditekan kuat oleh Ghazi persis seperti apa yang selalu Ghazi lakukan pada dia dan Aisyah ketika kecil. 

Haish. abang Ghazi ni tidak pernah lihat dia sebagai seorang perempuan.

Lelaki itu melompat masuk ke kandang sebelah pula. Fokus dengan kerja membersihnya.

Haura hanya termenung melihat gelagat lelaki itu.

•••

"HA? Kau suka abang Ghazi? Ish, takde orang lain ke.." Aisyah mengunyah roti di tangan. Kain diangkat. Dia duduk bersila di atas kerusi bangku kantin sekolah itu.

Haura mengangguk yakin. Dia sudah berangan mahu kahwin terus lepas SPM nanti tetapi anganannya mati mengingatkan kata-kata si ayah. Selagi dia tidak habis belajar di universiti, jangan harap mahu kahwin. 

Namun selepas itu wajahnya mengukir senyum kembali mengingatkan janji si ayah pula bahawa ayahnya sudi pergi meminangkan Ghazi kalau dia sudah habis belajar tapi itu pun kalau Ghazi masih membujang. 

Kaki dihentak. 

Kalau tunggu dia habis belajar, lama lagi.

"Takde. Abang kau sorang je dalam hati aku ni tau." 

Aisyah mengeluh. Kenapalah dalam banyak-banyak lelaki, abang Ghazi dia itu juga Haura berkenan. Dia tidak dapat bayangkan Haura jadi kakak iparnya apalagi dari kecil pergi sekolah, makan semua bersama.

"Abang Falah aku ada? Kau tak mahu pula?" 

Haura buat gaya geli. Mata Aisyah membulat. Kau geli dengan abang aku ya!

"Bukan lah. Abang Falah kau tu kasar. Muka takde aura kasih sayang. Kelat aje muka dia, sombong pulak tu. Lain dari abang Ghazi.." Perkataan 'Ghazi' disebut dengan nada manja.

Aisyah sudah menyeringai. Sah lah Haura ini sudah angau.

Bagi dia abang Ghazi lebih kasar lagi. Abang Falah lagi penuh kasih sayang dan mudah lembut hati, cuma abang sulungnya itu tidak begitu ramah. Lain dengan Abang Ghazi. Abang Ghazi kasar tetapi dia memang suka menunjukkan keprihatinan terhadap orang lain. Sebab itu semua budak kecil pun suka kepada Abang Ghazi lagi dari Abang Falah. 

Dia kalau mahu minta apa-apa, semuanya minta pada abang Falah. Kalau minta dengan abang Ghazi, asyik kena bebel tak pun kena marah ada lah.

"Ei.. Abang Ghazi tu garang tau. Kau tak duduk serumah, mana kau kenal hati budinya."

Haura pekakkan telinga. Dia tak kisah langsung pasal itu. Yang penting, abang Ghazi lelaki yang baik. 

Aisyah menggeleng lagi. Haura ini memang tidak boleh diselamatkan sudah.

•••

Bunyi burung berkicauan dari tingkap yang sudah terbuka luas itu menganggu tidurnya. 

Jam di telefon dipandang. Sudah mahu masuk tengahari. 

Tali baju yang jatuh dari bahu itu ditarik semula naik ke atas. Mulut menguap seluasnha sambil kedua belah tangan diangkat. Puas tidurnya! 

Mesej dari Ghazi dibaca dan dia mengeluh.

'Aku dekat kampung lagi lah!'

Lamanya Ghazi ini balik ke kampung. Dia sudah rindu. Dia tak suka perlu ke hospital selalu setiap kali dia menghadapi kejatuhan mental kerana trauma dan tertekan. Hanya mesej-mesej dari Ghazi menjadi ubatnya apalagi kalau dia dapat melihat wajah itu, terus tenang tekanan perasaan yang dia hadapi. 

Al-quran pemberian Ghazi dipandang sepi. Buku berkulit hitam itu dicium dan dibawa ke dada sambil bergolek-golek di atas katil.

Bau buku buruk, tapi pada Nuha itu bau cinta. 

Bibirnya tersenyum melihat dan membaca tulisan tangan lelaki itu. 

Apa sajalah kekurangan Ghazi ini, dia jadi ingin tahu. Ghazi sempurna di matanya, tiada cacat cela.

Jarinya menyentuh tulisan tersebut. Ghazi menulis cerita-cerita lama berkaitan terjemahan ayat-ayat yang berkaitan. Mudah difahami. Cerita tentang kaum-kaum terdahulu, kisah-kisah yang pernah diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w dan juga pengajaran dan nasihat-nasihat baginda.

Dia jadi ralit membacanya. Sambil dia baca, dia membayangkan Ghazi yang sedang bercerita. Hatinya jadi tenang.

"Nuha, Nuha nak makan tak?" Sapaan Datin Zarina menghentikan bacaannya. Anggukan diberikan.

Datin Zarina tersenyum senang. Dia gembira dengan perubahan Nuha yang semakin lama semakin pulih walaupun ada masanya Nuha akan tantrum tiba-tiba, sekurangnya anak itu sudah mahu keluar dari kegelapannya sendiri.

Nuha bangun dari katil setelah meltakkan semula al-quran di atas meja. Rambut disikat dan dikepilkan dengan penyepit rambut. 

"Pakai elok-elok. Fitri ada dibawah, malu kalau Fitri nampak kulit gebu ni." Peha si anak yang terdedah ditampar perlahan. Nuha hanya tersengih. 

Dia masuk ke dalam wardrobe besar yang terletak di belakang set televisyen. Di dalam itu juga ada pintu untuk ke bilik air ber-jakuzi. Dinding televisyen besar itu ditolak ke tepi. 

Tidak ramai yang tahu biliknya. semua yang masuk ingat ini hanya dinding, tetapi sebenarnya disebalik dinding ini ada satu bilik besar yang lengkap dengan segalanya. Tempat menonton wayang secara peribadi pun ada, bukan sekadar wardrobe besar sahaja. 

Datin Zarina meninggalkan Nuha di dalam bilik. Dia turun semula ke bawah bersama Fitri dan Dato'Uzair. 

"Nuha turun tak?" Dato'Uzair menjemput Fitri untuk minum kopi yang baru dituang. 

Datin Zarina mengangguk, senang. Dia mengambil tempat di sebelah Fitri.

"Fitri, Hal tempoh hari.. Berkenaan Ghazi itu, kau lupakan saja. Jangan bawa mulut pada sesiapa." Dato'Uzair mengingatkan.

Dia tidak mahu perkara itu tersebar sebelum Ghazi memberi jawapan. Lebih banyak buruk dari baiknya. Ghazi berhak menentukan hidupnya sendiri. 

Fitri mengangguk faham. Kopi di dalam cawan dihirup sehingga kosong. 

"Baik, Dato'."

Nuha muncul dari sebalik dinding. Wajahnya tersenyum manis. Rambut yang panjang itu ditocang, terletak cantik di bahu. 

Fitri membalas senyuman Nuha dengan penuh hormat. Nuha sentiasa nampak cantik saja. 

Tubuh ramping itu menghampiri mereka dan duduk disebelah Datin Zarina. Dia tidak berkata apa-apa. Terus menyenduk makanan masuk ke dalam pinggan. 

"Oh, lupa pula saya. Nanti hari jadi Nuha, Fitri jangan lupa datang. Kad tema nya nanti minta pada Datin." 

Hiasan lampu dan bermacam lagi sudah mula dibina di luar. Pekerja-pekerja event planner beramai-ramai diluar. Dia mahu parti kali ini jadi yang terbaik dari parti-parti hari jadi Nuha sebelum ini. Dia sanggup habis beribu-ribu sekalipun asalkan pada hari itu, Nuha akan gembira.

Kalau Nuha mahukan tema putera dan puteri, dia akan ubah suasana rumah ini jadi persis istana terus!

Mata mengerling ke arah tingkap kaca yang besar itu. Jalan menuju ke entrance sudah penuh dengan lampu yang bersarat-sarat ditepinya malah dia siap menyuruh mereka membina pagar sementara untuk menggantung lampu-lampu kecil itu supaya kelihatan mewah dan megah pada malam hari jadi Nuha nanti. Pokok-pokok dan bunga-bunga berwarna putih menutup kawasan lapang padang rumahnya yang kosong dan menghijau itu, supaya tetamu hanya akan nampak rumah agam mewahnya sahaja. Disebalik pokok tersebut, dia susun pula meja-meja bulat untuk menjadi tempat menjamu dan juga booth-booth makanan di tepi nya.

Nuha menguis-nguis makanan di dalam pinggan. Dia tidak rasa mahu menyambut hari jadi langsung.

Terperasan dengan riak wajah Nuha, Dato' Uzair membuka mulut. 

"Daddy janji, Hari jadi Nuha kalini will be the best one of your life." 

Nuha tersenyum nipis. 

Dia tahu parti kali ini akan jadi yang paling membosankan dalam hidupnya. Apa gunanya. Dia sudah lah hilang maruah, lelaki yang dia mahukan tidak mahu padanya, sikit hari gosip pasal dia pula pasti akan keluar. Dia menunggu hari saja untuk hidup dia musnah sepenuhnya. 

Kepala nya disentuh lembut. 

"Mummy, boleh tak kita tak payah sambut hari jadi Nuha tahun ni?" mata memandang wajah wanita di sisi. 

Datin Zarina terdiam. Mata mencari jawapan dari Dato'Uzair. 

Melihatkan ketegangan yang sedang berlaku, Fitri meminta diri terlebih dahulu meninggalkan 3 beranak itu sendiri di meja makan.

"Kenapa? Nuha tak suka?" Akhirnya Datin Zarina membalas. 

Nuha menggeleng. Memang dia tidak suka. Dia malu mahu berhadapan dengan orang ramai. Dia takut teringat-ingat semula peristiwa lalu.

"Tapi Nuha, hari jadi Nuha hanya setahun sekali. Daddy rasa sedih kalau tak dapat sambut hari jadi Nuha." Dia hanya mahu menggembirakan anaknya. 

Dia akan beri yang terbaik dan buat Nuha tersenyum semula. 

Melihat wajah sayu si ayah, Nuha jadi tidak sampai hati. apalagi memikirkan bermacam persediaan sudah diatur. 

"Okay.. Kita sambutlah." Sengihan diberi walaupun hatinya tidak rela. 

Wajah Dato'Uzair kembali bercahaya. 

Makanan di dalam pinggan terasa kelat. Hilang seleranya. Kepala mula berfikir-fikir apa yang perlu dia buat selepas ini. Sudah lama dia tidak ke kelas kerana faktor kesihatan. Dia sudah bosan juga asyik membeli belah sahaja. 

•••

Tangan membelek-belek baju yang digantung berderet di dalam kedai ekonomi tersebut. Niatnya hanya mahu membawa Dena berjalan-jalan di pekan tetapi Dena sudah berlari masuk mencari patung mainan pula di dalam kedai ini.

Alang-alang itu,  dia mahu beli baju sekali. Asyik pakai baju yang sama saja. Orang pun sudah boleh teka esok dia akan pakai baju apa.

Dena berulang-alik dari sudut permainan ke sudut pakaian lelaki, meminta pendapatnya tentang mainan mana yang patut dia beli. Tocang anak kecil itu ikut terlompat-lompat mengikut gerak tubuh. 

Ghazi senyum sendiri. Adiknya Dena ini sudah semakin besar. Rasa baru semalam dia dukung dan tidurkan Dena setiap malam. Baru semalam Dena dibawa pulang dari hospital. Wajah polos bayi kecil itu sekarang sudah banyak kerenahnya.

Tangan menarik baju yang mencapai standard penerimaan. Dia mengukur baju tersebut ke badan sendiri dan memandang ke arah cermin. Rock gila lah! 

Baju bergambar tengkorak itu dipandang. 

Cool juga ni. Sesuai dengan personaliti nya. 

Dia memanggil pekerja kedai tersebut untuk membantu dia mencari saiz baju. Terhegeh-hegeh salah seorang pekerja datang dengan lineyard tergantung di leher. 

Ghazi memilih lagi corak lain yang dia suka.

"Ghazi? Awak Ghazi kan? Amir Ghazi." 

Ghazi tersentak. Tangan berhenti menggerakkan susunan baju yang bergantung. Suara yang cukup dia kenal. Tak! Suara yang sentiasa dia kenal.

Mata dibawa ke tepi. 

"Suhana?" Suaranya menyebut nama si gadis dengan lembut. 

Suhana tersenyum manis. Jantung Ghazi berdegup kencang.

Ah! Gadis ini tidak pernah berubah. Tetap terlihat cantik dan manis, tiada kekurangannya di mata Amir Ghazi, tidak pernah ada kurangnya Suhana. 

Gadis itu masih sama. Tudung labuhnya yang menutupi segala lekuk-lekuk di badan, wajah yang bersih berseri, senyuman yang menawan, alis matanya, keningnya.. Wajah yang selalu menghantui hidup seorang Amir Ghazi. 

Ghazi membalas senyuman Suhana. Hanya dengan Suhana saja dia boleh tersenyum begini. 

Dena datang terkedek-kedek lagi membawa sebungkus lagi mainan. 

"Abang Ghazi! Yang ni boleh tak?" Mainan tersebut diangkat tinggi. 

Ghazi mengangguk. Tetapi Dena masih tidak puas hati. Dia pulang semula ke sudut mainan. Perempuan.. Perempuan..

Suhana ketawa. 

Dengar Suhana ketawa saja sudah boleh buat Ghazi melayang-layang. Ya! Suhana cinta pertamanya. 

Suhana kekasih pertamanya. Teman wanita pertamanya. dan dia sentiasa mahu gadis itu juga menjadi wanita terakhir.

"Budak perempuan memang macam tu." Ujar Suhana. Matanya menatap kedalam anak mata Ghazi.

Wajah Ghazi memerah. Segan dia apabila bertemu dua mata dengan Suhana. 

"Su kerja sini?" Soal Ghazi. 

Suhana mengangguk. 

Mengangguk pun cantik. Aduh, bahaya ni.

"Ghazi? Kerja mana?" 

"Ah.. Ghazi kerja pelayan kafe aje, Su." Giginya ditayang. Terasa bagai mimpi dapat berjumpa kembali.

"Pelayan pun kerja, Ghazi. Su yakin satu hari nanti Ghazi akan berjaya juga. Ghazi selalu begitu, nampak sahaja bersantai-santai tetapi Ghazi rajin dan kuat berusaha sampai dapat apa Ghazi mahu." 

Dia jadi malu pula dipuji sebegitu. Suhana selalunbegini, kata-katanya tegas tetapi ada kelembutan tersendiri.

Baju ditangan Ghazi diminta. Suhana mencangkung mencari bungkusan baju mengikut saiz lelaki itu tanpa perlu bertanya. Dia tahu sangat saiz baju Ghazi. 

"Eh, takpe Su. Biar Ghazi cari sendiri." Ghazi turut mencangkung. 

Suhana ketawa lagi. 

Ya tuhan, mahu tercabut jantung aku sat lagi ni. Dia ketawa saja, jantung aku berdegup bagai mahu pecah. 

"Ghazi ni apalah. Ni kerja Su. Duduk sana diam-diam!" Arah Suhana. 

Automatik Ghazi berdiri tegak. Suhana saja yang mampu mengawal Amir Ghazi.

Dia lihat saja perlakuan gadis itu. Senyuman terukir. 

Suhana seorang gadis yang baik dan kuat berusaha. Suhana tidak pernah melihat dia seperti mana orang lain. Selain Mama, Suhana adalah satu-satunya wanita yang dia puja. 

Senyuman Ghazi mati apabila Suhana berpaling dan menyerahkan bungkusan plastik yang berisi baju kepadanya.

Ghazi sarung baju itu ke badan. Suhana pula mengkritik. 

Dia jadi teringat pula kenangan ketika mereka bercinta. Segala bajunya semua harus dibeli dan dipilih oleh Suhana. Begitulah pentingnya Suhana di dalam hidup dia. Tanpa Suhana, dia tak akan buat keputusan apa pun. Baju raya pun mahu sama warna, kalau tak sama dengan keluarganya pun dia tidak kisah. tapi mesti mahu sama warna dengan Suhana juga!

Dating pun dia selalu menemani Suhana ke kedai buku, dari situ lah dia banyak belajar tentang agama. Suhana selalu rekomen buku-buku yang baik untuknya.

Dulu dia tak ada motorsikal atau apa-apa. Samada mereka berdua naik perkhidmatan awam atau berbasikal berdua ke pekan. Dia kayuh basikal sendiri, Suhana kayuh basikalnya sendiri. Kalau di kawasan berbukit, jenuh dua-dua menolak basikal masing-masing. Setiap kali mahu dibantu, suhana akan marah dan kata 'Basikal Ghazi, Ghazi tolak sendiri. Dan basikal Su, Su akan tolak sendiri!'. Ah, Suhana tidak pernah minta dilayan seperti puteri raja.

Malangnya, mereka terpaksa berpisah. Perpisahan yang begitu menyakitkan. Kenangan bersama sentiasa terpahat dihati dan tidak pernah berhenti berdarah.

"Okay tak?" Soal Ghazi. 

Suhana mengangguk. Disua lagi dua bungkus baju lain. Ghazi menerima saja. 

Apa Suhana suka, dia pun suka juga!

Dena datang lagi dengan mainan di tangan. 

"Abang! Dena nak yang ni!" Sebuah patung besar diseretnya. 

Mata Ghazi terbeliak. Habislah dia sekejap lagi. Kena bawa patung besar ini pula.

Suhana ketawa. Dia mengangkat ibu jari kepada Dena tanda 'bagus'. Dena tersengih. Comel!

"Abang, Kakak ni cantik.." Puji Dena. Kedua pipi Suhana disentuh dengan tangan kecilnya. 

Ghazi melopong. Wajah merah padam. Dena ni, cover lah sikit oi..

"Thank you, Dena. Dena pun comel. Nama Dena apa?" Tangan kecil Dena dipegang. Suara di lunakkan. 

Lesung pipit Dena kelihatan apabila dipuji begitu.

"Nurruz Iddiyana." Jawab Dena, malu-malu. 

Pipinya dicubit. Suhana kembali berdiri menghadap Ghazi. 

"Oh, Su masih duduk di rumah yang sama kah?" Dia tertanya-tanya kerana sudah agak lama juga dia tidak pernah nampak Suhana di kampung. Rumah ayah Suhana cerah saja setiap malam tapi gadis itu tidak langsung kelihatan.

Suhana menggeleng. Berat hati dia mahu menjawab tetapi dia sudah tidak mahu berahsia dengan Ghazi. Cukuplah sebelum ini dia menipu Ghazi dan perasaannya sendiri. Dia sudah nekad mahu hidup dengan penuh kejujuran, dia mahu mencari bahagianya sendiri. 

Suhana tersenyum manis. Gadis ini tidak pernah lekang dengan senyuman. Sehebat mana pun dugaan, Suhana tidak malah jarang sekali mahu mengeluh. Kerana itu dia jatuh cinta!

"Su masih disini, tetapi tidak dirumah Abah Su. Lepas kita SPM, Abah Su jodohkan Su dengan kenalannya. Su sudah kahwin, Ghazi. Dan juga sudah bercerai." Kepala Dena diusapnya. 

Dena memeluk pinggang Suhana, menikmati usapan lembut di kepala. 

Hati Ghazi retak seribu. Jadi kerana itu lah Suhana tinggalkan dia. 

"Kenapa Su tak beritahu Ghazi? Kalau tidak, Ghazi sudah.." 

Suhana menggeleng. 

Senyuman diwajah Suhana buat hati Ghazi terasa peritnya.

"Su mahu Ghazi teruskan hidup. Tidak perlu mempertahankan kita sedangkan ketika itu Su hanya mementingkan Abah Su aje. Sekarang Su dah belajar dari pengalaman dan Ghazi pun perlu belajar dari pengalaman juga." 

Dena ditolak masuk ke pelukan Ghazi apabila anak kecil itu sudah mula memejam mata. 

Ghazi dukung Dena dan melentokkan kepala adiknya ke bahu sebagai sokongan.

Wajah Ghazi suram. 

"Tak pernah ke saat bersama Ghazi penting bagi Su?" Soal Ghazi. Nadanya perlahan. 

Suhana menggeleng.

"Saat bersama Ghazi adalah saat-saat terindah yang pernah hadir dalam hidup Su.. Tapi, Su tak mahu Ghazi terus hidup di dalam kenangan lama. Kita sudah jadi dua orang yang asing."

Ghazi senyum.

"Jadi, kita masih boleh jadi kawan kan?" 

Gigi bertaring Suhana jelas kelihatan. Senyumannya melebar. 

"Mestilah! Ghazi ingat Su ni sombong sampai macam tu ke.." Suhana memalingkan wajahnya ke arah lain. 

Ghazi ketawa. Seakan-akan Suhana yang dulu muncul kembali.

"Bukan Su memang sombong ke masa kita mula kenal dulu?" Keningnya terangkat. 

Mata Suhana mencerlung.

"Amir Ghazi bin Irham Hadi!" Suhana menyebut nama penuhnya. 

Ghazi ketawa terbahak-bahak. Dia tidak pernah merasa gembira sebegini.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience