BAB 13

Romance Series 18760

PRANG! 

Berderai serpihan-serpihan gelas kaca yang dilemparkan itu. Tangan meramas kuat rambut sendiri. 

"Tak guna! Tak guna!" Sofa kulit di depan mata di tendang sekuat hati dan berkali-kali. 

"Dalam banyak lelaki, dia ni juga kau mahu! Aku di depan kau selama ini, sebelah mata kau tak pandang!" Satu lagi gelas kaca pecah ke lantai. 

Gambar Nuha Irdina di sisi katil di ambil dan di bawa ke dada. Gambar itu dicium berulang kali seakan-akan dia mencium orang yang sebenar. Selepas puas, jarinya bermain-main pula dengan mata dan hidung si gadis di dalam gambar. Cantik! 

Nuha memang cantik, bagaikan bidadari di matanya. Dadanya berdegup kencang. 

Dia bernafas kuat. Melihat gambar saja sudah menaikkan nafsu lelakinya apalagi kalau dia dapat menyentuh gadis itu depan-depan. 

Dia janji dia akan sayangkan dan cintakan Nuha Irdina. Dia janji dia akan beri apa saja yang Nuha mahukan asalkan Nuha Irdina sanggup bersamanya hingga akhir hayat. 

Penumbuk digenggam melepaskan rasa geram. 

"Dasar perempuan tak tahu untung! Aku sukakan kau, kau sukakan lelaki lain pula! Mudah betul kau berubah hati!"

•••

"TERIMA KASIH." 

Ghazi bersalam dengan Doktor Razuan selepas selesai menjalani rawatan. Dia meminta simen di tangannya dibuka dan di ganti dengan anduh sahaja memandangkan tulang tangannya sudah semakin kuat. Doktor Razuan sendiri pun hairan dengan healing skill Ghazi. Ikutkan ambil masa paling kurang pun sebulan ke 6minggu juga baru tulang yang patah ini boleh bersambung dengan sempurna. Tapi Ghazi? cuma beberapa minggu. Sedangkan X-ray yang dia terima dari hospital kerajaan dulu menunjukkan bahawa kecederaan tangan lelaki ini agak parah. 

Ghazi hanya tersengih. Dia bukan doktor, mana lah dia tahu macam mana tulang dia boleh pulih dengan cepat begitu. Si Razuan ni lah yang patut lebih tahu kan. Dia ini belajar pun tak tinggi!

Doktor Razuan sempat mengingatkan dia supaya tidak memberi tekanan kepada tangan yang masih belum pulih sepenuhnya pada masa yang sama lelaki itu mencatat jadual terapi untuk tangan Ghazi yang patah di atas ipadnya. Sekeping kad ber-cip dan berwarna emas dihulur. 

"Baiklah. Kad ini nanti appointment seterusnya Encik Ghazi serahkan saja pada receptionist, tak perlu tunggu nombor atau register macam biasa. Beri pada receptionist dan mereka akan terus boleh check appointment Encik Ghazi dengan jabatan ortopedik." Terang Doktor Razuan. 

Ghazi kagum. Wow, VIP access.

"Dengan kad ni juga Encik Ghazi boleh guna VIP Facilities di sini." 

Mata Ghazi membulat. Hebat betul penangan orang kaya ya. Tak sangka ada fasiliti VIP dekat sini. So, aku boleh guna lah lift warna emas yang aku nampak masa lalu menuju ke sini tadi. Oh yeah! 

Ghazi bangun dari kerusi dan mengekori Doktor Razuan apabila dia nampaknya agak bingung dengan kegunaan kad tersebut. 

Satu-satu laluan khas dari jabatan Ortopedik sehingga ke lobi utama ditunjukkan padanya untuk memudahkan Ghazi datang sendiri nanti. Sepanjang laluan terdapat pelbagai jenis fasiliti lain yang tidak pernah dia lihat selama ini di mana-mana hospital. Cafe mewah, hall, lobi tempat melepak, kolam renang yang di khas kan untuk tujuan perubatan pun ada. Cuma semua fasiliti mewah ini hanya boleh digunakan oleh orang-orang kaya yang mampu bayar kad VIP seperti yang berada di tangannya ini.

Patutlah orang kaya berlagak. Sebab mereka ada duit. Hah. 

Setibanya di lobi, tangan Ghazi bersalaman dengan Doktor Razuan. 

Lelaki itu hanya tersenyum senang dan menunduk dengan penuh hormat walaupun sudah berkali-kali dia menghalangnya. Dia ini orang biasa aje. Yang dihormati tu Dato'Uzair, bukan dia.

Belum pun dia melangkah keluar dari pintu kaca mewah hospital tersebut, dari jauh Ghazi sudah boleh lihat sosok Fitri yang sedang berdiri tegak dengan kereta mewah yang selalu Dato'Uzair naiki. Fitri melambai ke arahnya. 

Haih. apa lagi ni..

Dengan berat hati kaki dihayun menghampiri lelaki yang berdiri segak ditepi kereta dari tadi, menantinya. 

Pintu dibuka sebaik saja Ghazi berhenti. 

"Silakan, Encik Ghazi." Ujar Fitri masih dengan senyuman. 

Ghazi senyum paksa. Punggung di labuhkan ke dalam kereta tanpa banyak soal. Memang dia malas mahu bertanya itu ini. Pasti tiada jawapan. Baik dia ikutkan sahaja dulu. 

Sempat juga dia beritahu Fitri bahawasanya tidak perlu lah lelaki itu ber encik-encik dengannya. Apalagi sama umur. Pelik rasanya. 

Ghazi mengeluh. Macam-macam betul lah yang jadi pada dia sejak dia jumpa Nuha Irdina ini. Lepas satu, satu. Mental dia tak sempat nak rehat pun. 

Fitri ketawa mendengar kenyataan dari Ghazi. Bukankah selalunya kita lagi suka kalau orang tunjuk hormat kepada kita?

"Itu orang lain. Bukan aku. Rimas ada lah." balas Ghazi, ringkas. 

Dia ini bekas mat rempit. Tukang jaga lembu kambing di kampung saja. Bayangkan menunduk hormat dengan bekas mat rempit macam dia. Ha ha. Tak sesuai langsung. 

"Kalau macam tu, aku ber-kau aku saja boleh kan?" 

"Boleh sangat." Ghazi membuang pandang ke luar tingkap.

Jalanraya yang sesak ini langsung tidak menganggu mereka malah semua kereta beralih ke tepi pula memberi ruang kereta ahli politik ini untuk lalu. Beberapa orang polis bermotosikal mengiringi mereka dari depan dan belakang.

Mudah sungguh jadi orang kaya. Tidak perlu bersesak-sesak.

"Kenapa Dato' panggil aku?" Akhirnya dia bersuara. Kalau tidak dari tadi krik krik saja. 

Fitri pun macam tiada tanda-tanda mahu menjelaskan tindakannya menjemput Ghazi dari hospital hari ini. Sudah seminggu juga Ghazi mereput di rumah. Hari ini baru keluar itu pun sebab ada temu janji dengan doktor dan  kerana dia benar-benar tidak tahan dengan simen di tangan ini. Nak menggaru pun tak dapat.

Seminggu jugalah hidup dia tenang tanpa kehadiran Nuha. Rasa macam mimpi saja dia boleh berehat dengan tenang.

Fitri mengangkat bahu. Sebaik saja tiba di pejabat, Dato' Uzair sudah menggelabah suruh dia mencari Ghazi. Nasib lah cik Nuha ada nombor encik Hijjaz. Encik Hijjaz yang beritahu lokasi dan rancangan Ghazi hari ini. Kalau tidak, berlari kesana kesini juga dia mencari serata Kuala Lumpur. 

Sengihan di bibirnya mekar. Oh, sebab ini lah dari pagi tadi Nuha tidak habis-habis call dia. Penuh juga peti masuk, dia saja malas mahu buka. 

Fitri menggeleng. Ghazi ni. Kesian cik Nuha. Mati-mati ingat ada apa-apa jadi pada Ghazi.

Ada aku kisah. Daripada Nuha sibuk fikirkan diri dia, baik Nuha pergi belajar masak.

"Oh, lupa pula aku kenalkan pada kau, Ghazi. Abang driver ni namanya Musa." Tangan Fitri terarah kepada brader dengan kemeja putih di sebelah. Lelaki itu hanya tersenyum sambil matanya fokus dengan pemanduan. 

"Saya Ghazi, bang. Sorry kena jemput saya pula." ujar Ghazi dengan sengihan di wajah. 

Abang Musa yang memandang dia dari cermin pandang belakang juga ketawa kecil. 

"Tak ada hal lah, Ghazi. Memang kerja abang." Balas abang Musa.

Fitri laju keluar dari kereta sebaik sahaja kereta mewah itu berhenti. Pintu di sebelah Ghazi dibuka. 

Semua mata melopong memandang mereka. Staff-staff yang mengenali Fitri cepat-cepat memberi tunduk hormat. 

"Kenapa semua orang tunduk ni?" Mata melihat penampilan diri sendiri. Baju Tshirt dengan seluar jeans semata ditambah pula pakai anduh macam orang baru lepas kena belasah macam ni.

Terlepas ketawa Fitri. Dia pun tak tahu kenapa semua orang tunduk hormat kepada Ghazi. Mungkin mereka sudah terbiasa melihat Fitri mengiringi orang kenamaan jadi mereka fikir Ghazi adalah salah seorang dari orang-orang kenamaan yang selalu dia iringi.

"Ghazi!"

Mereka bertiga berpaling. Mr.Zack berlari-lari anak mendapatkan mereka berdua. Senyuman dibibirnya lebar betul. Seronok sangat ke dapat jumpa dia? 

Ghazi sebelah angkat keningnya kepada Fitri. Fitri pula angkat kedua bahu. Tah ! 

Tangan kiri Ghazi disalam penuh hormat. Sudah macam orang korporat jumpa tan sri- tan sri pula gaya si Zack ini. Tah apa yang Zack ni gembira sangat. 

Selama ni bos dia ni tidak pernah lah bermanis muka serupa member rapat begini dengan dia. Apa mimpi brader ni. Salah makan ubat ke?

"Nak naik jumpa Dato' Uzair ke?" Tanya mr Zack. Fitri mengangguk bagi pihak Ghazi. 

Mr Zack mempunyai tujuan yang sama seperti dia. Mereka izinkan saja lelaki kacukan itu menyertai mereka sekali walaupun sebenarnya seram sejuk juga dengan sikap terlebih mesra Mr Zack ini.

Keluar dari lift, seorang demi seorang staff menunduk hormat. Rasa mahu pening kepalanya asyik menunduk kembali walaupun Fitri kata dia tidak perlu tunduk balik pun. Dia betul-betul hairan ni!

Kenapa tiba-tiba dia dilayan seperti VIP pula?! 

Arg! Dia tak selesa betul lah dengan keadaan sekarang. Apalagi agaknya yang akan terjadi sebentar lagi..

•••

NUHA Irdina bernyanyi-nyanyi masuk ke kelas. Segala kain-kain yang baru ditempahnya dari laman sesawang diletakkan di atas meja menjahitnya. Jari mula menekan-nekan ipad di atas meja untuk melihat semula lakaran baju yang telah dia lukis. 

Berpandukan gambar tersebut, tangannya lincah melukis dan menggunting kain yang baru di keluarkan dari plastik. Telinga di sumbat airpod supaya fokusnya tidak diganggu oleh bunyi bising kawan-kawan sekelas.

Kedua bahunya disentuh seseorang. 

"Oh mak kau!"

Aiman ketawa terbahak-bahak sambil menekan perut. Nuha bengang. Kening berkerut menahan marah. 

Tangan terus mahu mencucuk perut Aiman dengan gunting. Nasib mamat ni sempat elak, kalau tak hospital lah jawabnya. 

"Bahaya lah, Nunu." bebel Aiman. 

"Nunu? siapa Nunu?" Hada pula bersuara dari meja sebelah. Matanya memandang hairan. Dia turut ketawa apabila jari Aiman menunjuk kearah Nuha. Nuha lah Nunu tu. 

Nuha menjeling Aiman tajam. Sukahati dia aje!

"Habistu kau tu apa? ManMan?" 

Kah. Tak sesuai langsung!

Aiman berdecit beberapa kali sambil menggerakkan jarinya ke kiri dan ke kanan.

"I you panggil, hubby." 

"Eww.." Nuha dan Hada berkata serentak. 

Menggigil diorang dengar Aiman membahasakan diri sendiri, hubby.

Aiman ketawa mengekek. Eleh, lebih baik lagi dia dari si Ghazi tu. 

"By the way, I nampak boifren you dengan Uncle Uzair minggu lepas. Bagus betul lah! Mula-mula mengorat you, sekarang baik dengan daddy you pula. Genius!" 

Nuha mencebik. Tak habis-habis lagi si Aiman ini mahu mengutuk Ghazi. Kalau aku cucuk mata dia tu nanti, baru dia tahu.

Hada dan Nuha berpura-pura tidak mendengar apa yang Aiman bebelkan. Biar lah Aiman ni meroyan sorang-sorang. Asyik pandang orang miskin ini teruk aje. Macam dia bagus. 

Aiman duduk pula ke atas meja Nuha sambil tangan di masukkan ke poket seluar. Cuba menarik perhatian Nuha. 

"Kenapa you suka sangat dekat dia? I tak faham lah. You tahu kan darjat you dengan Ghazi tu tak sama langsung lah, Nuha. He doesn't deserve you at all." Aiman menyemarakkan api kemarahannya sendiri. 

Kalaupun dia tidak mencuba, dia tahu Nuha tidak akan dapat kahwin dengan Ghazi pun. Tetapi melihatkan kemesraan Uncle Uzair dengan Ghazi tempoh hari, dia jadi tidak senang duduk. Uncle Uzairi bukan seorang lelaki yang mudah didekati apalagi mahu cuba mengambil hatinya, jauh sekali!

Entah-entah Ghazi guna-gunakan keluarga Nuha ini demi kepentingan diri sendiri. Nuha kena sedar. 

"You gali kubur you sendiri kalau you masih teruskan hubungan you dengan dia. He's a bad guy." 

Tangan Nuha terhenti. Sudah lama dia sabar saja dengan perangai Aiman ni. 

"So? You rasa I patut kahwin siapa?" soalnya. Tenang. 

Aiman tersenyum. 

"Me. Marry me, and I will love you sincerely and eternally."

Nuha memusingkan bola matanya ke atas dan berhenti ke arah Hada. Entah sudah berapa kali dia dengar lamaran Aiman padanya tetapi setiap kali itu juga dia langsung tidak dapat merasakan tarikan antara mereka. Kosong. Suram. Malah rasa menjengkelkan pula. 

Tidak seperti tarikan yang dia rasakan ketika bersama Ghazi. Berbunga-bunga dan bahagia. Lebih-lebih lagi apabila bersama Ghazi, dia sentiasa merasa dikasihi dan dilindungi walaupun lelaki itu selalu beku saja. 

"Nope. I cannot feel any attraction between us." 

Dia tidak kisah kalau dia perlu mengejar cinta Ghazi seumur hidup. Jadi, tidak perlulah Aiman berulang-ulang kali mengingatkan dia tentang perbezaan status antara dia dan Ghazi. Cukuplah Ghazi seorang aje yang mengulang-ulang perkara yang sama. 

Aiman senyum sinis. 

"And I cannot see your future with him."

Rambut panjang Nuha di sentuh dan dicium.

"Hei! Apa kau ni!" Dahi Nuha berkerut. 

Dia tidak suka sungguh dengan perangai Aiman yang satu ini. Sudah macam pervert! 

"Aku tunggu kau sampai bila-bila. I love you." Ujarnya sambil mengenyitkan mata lalu berlalu ke mejanya sendiri.

Nuha mendengus. Rambut panjangnya dibawa ke depan. Geram betul lah! 

Hada di sebelah di pandang. 

"Kau jangan rapat sangat dengan dia tu dah, Nuha. Macam tak betul je aku tengok makin hari." Bahu digerakkan. Geli dengan kelakuan Aiman tadi. 

Nuha mengangguk. Aiman di hantar dengan ekor mata. Aiman yang dulu penakut tu semakin hari semakin berani menyentuh-nyentuh dia. 

"By the way, Ghazi macam mana?" tanya Hada. Tangannya juga sibuk menggunting kain di atas meja.

Menguntum senyuman Nuha selepas itu masam semula. Gunting ditangan dihentak kuat ke atas meja. 

"Macam biasa lah dia tu. Aku ni tak cukup cantik nak runtuhkan ego dia tu!" 

Kan mudah kalau dia ada rujukan gambar wanita idaman Ghazi. Kalau perlu buat pembedahan plastik pun dia boleh buat. Biar Ghazi tunduk melutut! HA HA HA.

Hada menggeleng kepala. Berangan lah kau puas-puas Nuha. Berangan banyak-banyak sikit hari Ghazi lari cari orang lain baru tahu.

"Kau tak rasa ke Ghazi tu suka perempuan yang humble aje? Dari apa kau cerita, yang aku rasa dia tu cuma suka perempuan yang humble. Biasa-biasa. Apa kata kau cuba jadi perempuan yang macam tu. Mesti dia cair." sarannya. 

Nuha ni selalu over sangat. Kalau dah tersembul semua aset-aset tu, Ghazi pun takut agaknya. 

"Tak kan lah. Maksud aku, Ghazi tu tak kan suka yang biasa-biasa je. Kalau dia suka yang biasa-biasa, mesti dia okay je kan dengan yang luar biasa kan.." 

Hada tepuk dahi. Malas lah mahu terangkan pada Nuha ni. Dia tak tahu ke penerimaan setiap orang tu berbeza. ada orang suka perempuan seksi, ada orang tak suka. Mudah. 

"Setiap penerimaan orang ni berbeza tau. Macam Aiman tu, hensem juga tapi kenapa kau tak suka dia?" Akhirnya dia terangkan juga. Aduh. 

Nuha muncung. 

"Sebab mamat tu annoying." 

"Ha, camtu jugalah pada pandangan Ghazi tu. Kau annoying." Patung di sebelahnya di ukur menggunakan tape. 

Nuha terdiam. Sedang berfikir. 

Jangan dia fikir idea yang bukan-bukan lagi sudah lah. 

•••

GHAZI bersalaman dengan beberapa orang yang melepasinya. Satu-satu tangan di sambut sambil senyuman tidak lekang dari bibir. Akhir sekali dia bertemu dua muka dengan imam surau kecil kawasan perumahan mereka itu. 

"Lama Tok tak nampak Ghazi. Sibuk sangat kerja tu." Ujar lelaki tua sebaya atoknya di kampung. 

Ghazi hanya menyengih. Segan pula mahu jawab yang dia asyik tak sempat datang ke masjid saja. Imam Hasyim mengajaknya ke rumah bersama beberapa orang lagi untuk minum petang. Konon bini dia masak lebih harini. 

"Hai. Tok imam sebenarnya nak kenalkan kau dengan anak dara dia, Ghazi." sampuk Abang Rizal, jiran sebelah rumahnya. Imam Hasyim dan beberapa lagi jemputannya turut ketawa. 

Memang dah lama dia menunggu kedatangan Ghazi ke masjid. Saja mahu Ghazi berkenalan dengan anak daranya yang masih menuntut di universiti itu. Lagipun dia memang cukup berkenan dengan peribadi Ghazi. Jarang anak muda macam Ghazi mahu ke masjid apalagi sertai orang tua macam mereka semua ini.

"Apa salahnya. Kalau berjodoh, hati ayah mana tak senang. Tak ada jodoh, takpe." balas imam Hasyim. Ghazi hanya menggaru kepala. Berat pula hati dia mahu menjawab, takut terberi harapan pula. 

Nak dijodohkan dengan anak tok imam, dia ini kerja pun cukup isi perut sendiri saja. Apalagi anak tok imam yang belajar tinggi begitu. Dia pernah terserempak. Memang lawa. Cantik begitu sekali, hati lelaki mana tidak tertarik. Tetapi dia sedar diri. Segan dia mahu dijodohkan dengan anak gadis tok imam ini, dia belajar pun tak tinggi.

"Ha, panjang umur anak tok." Ujar abang Rizal. Mata memerhati ke arah pagar surau mereka. 

Seorang gadis bertudung bawal melepasi dada dengan baju sweatshirt labuh dan jeans straight cut itu datang berjalan masuk ke dalam perkarangan surau. 

Sudah macam bidadari cantiknya. Wajah bujur sirih dengan kening terbentuk cantik. Hujung kain tudung dipegang kuat supaya tidak ditiup angin. 

Hati Ghazi berbunga-bunga. Bibirnya mahu mengukir senyum namun sempat ditahan. Malu dia kalau tok imam perasan. Tak boleh pandang lama-lama, matanya beralih semula ke arah tok imam. 

Tu dia. Semua lelaki yang berpangkat bapak orang ini sama macam dia. Pandang tak lepas. Tak sedar langsung ada bini dekat rumah. Ceh. Kasi can lah orang bujang aje yang pandang.

Telefon di dalam kocek seluar bergetar. Ghazi mengeluarkannya dan melihat ke skrin lalu dimasukkan semula ke dalam kocek. 

"Abah, Mak cakap sebelum balik, tolong singgah belikan gula." Ujar Hidayu sebelum kakinya menanggalkan kasut. 

"Ha, yelah. Ayu, sini Abah nak kenalkan." Imam Hasyim menggerakkan tangannya sedikit memanggil Hidayu supaya menghampiri mereka.

Hidayu akur. Senyuman manis masih tidak lekang dari bibir, begitu juga senyuman di dalam hati Amir Ghazi. Wajahnya sedaya upaya di bekukan supaya tiada siapa terperasan bunga-bunga cinta yang mekar didalam hatinya kini. 

Kelat betul rasa air liur yang ditelan semakin Hidayu mendekati mereka. Mahu tak terkeluar juga suaranya kejap lagi ni.

Mata bulat dengan alis matanya yang terbentuk cantik itu. Bulu mata lebat. Mak aih, lawa macam perempuan arab pula bila dilihat dekat-dekat. Hidung saja hidung melayu, kecil dan comel. 

Amboi, Ghazi. Sempat lagi kau komen muka anak dara orang. 

"Ini Ghazi. Yang baru pindah rumah Hijjaz tu. Yang ayah cerita pada Ayu haritu." 

Uish. Imam Hasyim ni promote aku habis-habisan dekat anak dia. Besar pengharapan lelaki tua ni pada aku. Tiba-tiba aku jadi tidak kisah pula kalau mahu dijodohkan dengan Hidayu. Nak aku bersila depan Imam Hasyim sekarang pun boleh!

Hidayu tersenyum manis memandang Ghazi selepas itu dia menjeling tajam.

Mahu terberhenti juga  jantung nya dijeling sebegitu. 

Mak aih! Garangnya! 

"Cakap dekat abang Hijjaz, kereta tu jangan parking sukahati. Habis kereta Ayu tak dapat keluar pagi-pagi sebab kena block." bebel Hidayu. 

Ghazi terdiam. Terkunci habis mulutnya. 

Yang lain sudah tergelak memandang Ghazi. Imam Hasyim pula tepuk dahi sendiri. 

"Okay. Nanti abang sampaikan." Apa aje kau harap Ghazi oi. 

Kau ingat awek ni nak ber-hai assalamualaikum selamat berkenalan dengan kau ke apa. 

"Ingat tau! Bagitahu abang Hijjaz. Kalau tak, dengan abang Ghazi sekali Ayu jerit pagi-pagi." sekali lagi Ayu mengingatkan sebelum dia berlalu masuk ke ruangan solat wanita. 

Bahu Ghazi ditepuk. 

"Sabar, Ghazi. Anak dara tok imam yang tu memang garang macam singa sikit." Abang Hafiz memujuk. 

Terkebil-kebil mata Ghazi. 

Tok Imam pula hanya menggeleng. Jatuh air mukanya, anak garang macam singa. Datang-datang saja sudah sound orang. 

"Tak apa. Lawa anak tok." puji Ghazi. Dia sudah tersengih-sengih menahan malu kena sound dengan anak dara orang. Itu lah, jangan menilai hanya dari rupa. Tapi dia yakin, dalam garang ada lembutnya di Ayu tu. Tapi malang, lembut Ayu bukan untuk tatapan dia agaknya.

Yang lain mencebik. Ghazi bodek tok imam ke apa ni! 

"Kalau lawa, datang rumah." Usik tok imam Hasyim pula. Kepala Ghazi diusapnya macam anak lelaki sendiri. 

"Insya Allah. Ada jodoh, saya datang tok. Tak ada jodoh, saya minta ampun maaf awal-awal." Tangan tok imam Hasyim di salam dan diciumnya. 

Semua ketawa terbahak-bahak. Pandai aje Ghazi ini kalau dalam hal mengambil hati orang tua macam mereka. 

"Jangan risau, Ghazi. Baru seorang. Ni, abang pun ada adik perempuan bujang. anak sedara pun ada lagi yang bujang ni. Kalau rasa perlu match-maker, panggil aje." Abang Rizal pula beri saranan. 

Uish

Seorang ini pun dah garang macam singa, kalau jumpa lagi dua tiga empat calon, mahu bermacam perangai lagi yang ada. Kah. 

Getaran dari dalam kocek seluar sekali lagi mengganggu sesi berborak mereka. Ghazi berdecit perlahan membaca mesej di dalam telefon. 

"Okay lah, bang tok imam. Ghazi kena gerak dulu. Ada hal sikit." Tangan dihulur untuk bersalaman. Tok imam dan yang lain-lain mengeluh. Baru ada masa terluang mahu melepak dan berborak-borak, Ghazi pula sudah mula minta diri. Kejap lagi pasti seorang demi seorang bini telefon panggil balik. Alahai. 

"Alah, ada bini tak pe. Orang bujang macam saya ni, balik pandang kipas je." Ghazi dan lain ketawa besar. 

Belakangnya ditepuk-tepuk oleh tok Imam. Ada saja gurau si Ghazi ni. Pasti sejuk perut mak di kampung ada anak lelaki ramah tamah begini. Disukai ramai. Kemana-mana pergi pun sentiasa dialu-alukan.

Setelah mendapatkan keizinan, Ghazi menyarung selipar ke kaki. Yang lain memerhati lelaki itu berjalan menuju ke pagar. 

Mereka menghantar Ghazi hanya dengan pandangan.

•••

KAKI dihentak-hentak perlahan. Sudah 30minit juga dia menunggu di sini. Rokok pun sudah habis beberapa batang. Orang yang dia tunggu-tunggu tidak muncul juga.

Nuha sampai nanti, memang aku picit-picit muka dia. Siap lah! Berpeluh juga aku tunggu di tengah panas terik ni walaupun bawah pokok. 

"Awak!" 

Suara Nuha dari kejauhan dapat ditangkap oleh telinganya. Kepala berpusing 360darjah mencari sosok Nuha Irdina tetapi tidak berjaya. Hanya apabila salah seorang daripada keramaian orang itu mengangkat tangan baru dia perasan. 

Punggung yang mahu diangkat dari bangku tadi terhenti. Mata Ghazi terbuka luas. Mulutnya sedikit ternganga. 

Betul kah apa yang dia lihat ini? Erk?

Nuha Irdina datang dengan berbaju kurung dan bertudung litup. Sesuai dengan wajahnya. 

Ghazi menelan air liur. 

Angin apa yang sampai dan meresap masuk ke Nuha ni. Mak aih. Berlawa-lawa ni nak kemana.

Nuha tercungap-cungap mengambil nafas sebaik sahaja Ghazi sudah berada dihadapan nya. Ini semua takde parking punya pasal lah! 

Ghazi kejang. Mata memandang Nuha dari atas ke bawah tidak berkerdip. Boleh mati akibat terkejut dengan perubahan tiba-tiba ni! 

"Cantik tak?" Nuha berpusing menunjukkan pemakaiannya kepada Ghazi. 

Baju kurung moden dengan sulaman benang emas itu nampak berkilauan  dibawah terik cahaya matahari. Manakala tudung bawal yang dia minta Hada pakaikan tadi juga terletak cantik menutup segala mahkota dan juga lekuk tubuhnya yang seksi itu. 

Ghazi mengangguk. Mahu menitik juga air liur dia melihat penampilan Nuha yang baginya tersangatlah sempurna ini. 

"Cantik ke tak?" Nuha memasamkan muka. 

Ghazi ni asyik diam membisu saja dari tadi ni sudah kenapa. Selalu nya bukan banyak ke yang dia mahu komen. 

"Cantik." ton suara dikawal supaya tidak terlalu teruja. 

Dah memang cantik, dia cakap lah cantik.

Gigi putih yang tersusun cantik itu ditayang. Lega hatinya mendengar komen Ghazi. Takut juga kalau Ghazi kata dia ni dah gila. 

"Mana dapat baju ni?" soal Ghazi. Sebatang lagi rokok dinyalakan. Tak sampai berapa minit yang lalu dia sudah habiskan sebatang, ini ditarik keluar satu lagi. Sekejap saja asap rokok sudah ditiup ke wajah Nuha. 

Tangan Nuha mengibas-ngibas hadapan wajahnya. Asap rokok dari Ghazi buat dia terbatuk-batuk. Lelaki ni kalau tidak dapat rokok sehari macam tak boleh hidup aje. 

"Huk..Huk.. Baju raya tahun lepas saya lah." Pedih mata. Rosaklah eyeliner cat's eye dia nanti. Dah penat lukis cantik-cantik, mata berair nanti terkesat pula. 

Ghazi mengangguk-angguk. 

"Ha, kenapa kau panggil aku keluar ni? Dah la panas, berpeluh dah ni." Baju dikibas-kibas. Basah di bahagian dadanya dek kerana peluh. 

Nuha tersenyum manis. Dengan tudung menutup kepala, senyumannya nampak lebih cantik. Seakan-akan tudung tersebut menyerlahkan lagi kecantikan wajah si gadis. Setiap bahagian wajah yang selama ini tersorok dek rambut, kalini nampak lebih jelas. Baru dia perasan, kening Nuha memang sudah sedia cantik walaupun tidak dilukis tebal-tebal. Dia ingat selama ini kening lukis saja. 

Bila gadis itu  tersenyum, lesung pipitnya sebelah kanan lebih dalam dari sebelah kiri. 

Eh, kejap. Dah kenapa aku pergi belek muka dia pula ni. Aduhai. 

"Nak ajak awak dating." 

Mata Ghazi membulat.

Ya Tuhan! Lagi?! 

"Tak nak lah. Aku penat. Kau pergi cari orang lain lah dating dengan kau." Kaki dilajukan meninggalkan Nuha di belakang.

Malas. Malas. Malas. Dia mahu balik dan tidur lagi bagus. Buat penat aje dia datang kesini.

"Ala.. Awak, tunggu lah!" lambat-lambat dia berlari memandangkan kain menghadkan saiz langkah kakinya.

Ghazi menonong terus ke hadapan. Pandai-pandai Nuha lah mahu jaga diri sendiri. 

"Adoi!!" Rengekan Nuha menampar telinganya. 

Laju kepalanya berpusing ke belakang. Serta merta dia mendengus kasar. 

Budak ni tidak habis-habis buat hal lah.

Dia berpusing kembali menuju ke arah Nuha yang sudah terjelopok di atas jalan. Ghazi mencangkung dihadapannya.

"Sakit?" Soalnya selamba. Rokok ditangan diketuk perlahan supaya abu rokok tersebut jatuh ke bawah. 

Nuha mengangguk. Kening berkerut menahan kesakitan pada masa yang sama dia rasa mahu menangis saja.

Mata meminta belas kasihan dari Ghazi. 

Awak.. tolonglah saya. Sakit..

"Padan muka." Ghazi tersenyum mengejek. Geli hati dia tengok kerutan di dahi Nuha Irdina.

Pap! 

Kepala di usap. Matanya tajam menikam wajah gadis bertudung litup itu. Mahu sahaja dia picit sampai penyek wajah Nuha.

Selamba aje dia pukul kepala aku dengan beg kulitnya. Dah la keras! Kalau benjol, siap kau! 

Nuha memuncungkan bibir. Dia malas mahu layan perangai menyakat Ghazi. Baik dia cari cara menghilangkan rasa sakit kakinya yang terseliuh ini. Layan Ghazi, makin menjadi-jadi sakitnya nanti. Sakit kaki dan sakit hati!

Perlahan-lahan dia bangun dari terjelopok tadi dan terlompat-lompat menuju ke arah bangku kayu yang tersedia di bawah pokok tempat dimana Ghazi duduk menunggu dia.

Sesekali dia merengek menahan sakit.

"Auw.. Auw.." 

pergelangan kaki diusap perlahan supaya tidak terasa begitu tertekan. Mahu terseliuh juga uratnya ni. Sakitnya! 

"Itu lah. Pakai lagi kasut tinggi-tinggi. Kan dah merasa." 

Ghazi yang berdiri di hadapan dijelingnya. Diamlah! Membebel aje, orang dah la tengah sakit. Bukan nak tolong dukung ke bawa pergi hospital ke. Kena bebel ada lah! 

Keluhan dilepaskan.

Rokok ditangan dipenyekkan ke atas jalan. Dia mencangkung di hadapan Nuha, mahu melihat kaki gadis itu dengan lebih dekat. Selepas mengenal pasti kecederaannya, Kaki Nuha dinaikkan ke atas lututnya. 

"Tahan sikit." ujarnya. Perlahan-lahan jari menekan dan mengurut-urut urat yang membengkak dan terseliuh. Ditolak sedikit-sedikit urat tersebut supaya kembali ke tempat asalnya. 

"Auw! Auw! Sakitlah.." 

Tangan menekan kuat bahu Ghazi setiap kali jari tangan kiri lelaki itu menolak-nolak uratnya yang membengkak. 

Prakk!!

"Auch!!!" Bahu Ghazi ditolak sekuat hati. Kaki ditarik dari genggaman lelaki itu. Sampai terkeluar air mata dia menahan sakit. Mummy !!

"Adoi. Sakitlah. Macam ni ke balas jasa orang dah tolong." punggung di tepuk-tepuk menghilangkan pasir yang melekat. 

Ghazi mendengus kasar. 

Kalau tidak sebab tengah sakit, dah lama dia sekeh kepala Nuha ini. Orang dah tolong, bukan nak berterima kasih. Ditendangnya aku lagi ada lah. 

Wajah Nuha masam mencuka.

Tangan menekan-nekan kakinya sendiri. Tak mahu Ghazi urut dah. Sakit! 

Eh? Hilang sakit dah? Tadi masa bunyi Prakk tu, rasa macam dah patah kaki aje.

Eh? 

Mata memandang Ghazi dan memandang pula kakinya. Bengkak yang mahu membiru tadi pun semakin pudar birunya. 

"Jangan lupa, bayar! Ingat aku urut free ke.." tangan berpeluk tubuh. Bangga. 

Nuha senyum simpul. Serba salah pula sebab tolak Ghazi sampai terjatuh tadi. ehehek.

Dia menyarung semula kasut tumit tingginya. Ghazi pula mengambil tempat di sebelah. Berkepul-kepul lagi asap berterbangan ke udara dari dalam mulutnya. 

"Awak pandai mengurut ke?" 

Ghazi mengangguk. 

"Belajar dari mana?" soalnya lagi. 

"Atok."

"Atok awak pandai mengurut lah eh?" lagi..

Ghazi memandang ke wajahnya. Berdegup kencang jantung Nuha. Wajah Ghazi terasa begitu dekat. Dia jadi perasan setiap perkara kecil di wajah lelaki itu. Ghazi ini bermisai dan berkumis juga tetapi halus. Mesti selalu shave ni. eh, sempat lagi kau Nuha Irdina. 

"Cuba sebelum bercakap tu pakai otak. Dah aku belajar mengurut dari atok aku, mestilah dia pandai mengurut. Noob." Dahi Nuha ditunjal beberapa kali. Stress betul dia kalau dengar soalan dari mulut gadis ini. Soalan tak pakai otak.

Lembap. 

"Ala, tanya pun marah." 

"Bukan marah, tapi soalan tu soalan tak berapa pandai." 

Ghazi terus menghembus asap rokoknya ke udara.

Mereka berdua melayan perasaan masing masing. 

Di dalam fikiran Ghazi sibuk memikirkan cara bagaimana mahu buat bentuk huruf menggunakan asap rokok.

Di dalam fikiran Nuha pula sibuk memikirkan samada Ghazi suka atau tidak penampilan nya hari ini atau ada kekurangan yang perlu dia perbaiki. 

Lelaki di sebelah dijeling dengan ekor mata. Ghazi fokus ke arah awan. 

Bagi Nuha mesti seronok jadi awan, dapat kena tenung oleh Ghazi. 

Bagi Ghazi pula, mesti seronok jadi awan. Tak payah buat apa-apa. Duduk je dekat atas tu. Pusing dunia.

Sekarang dua-dua khusyuk merenung awan pula. Dating tenung awan pun sudah mampu membuat hati Nuha Irdina melompat kegembiraan. Gila betul lah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience