BAB 20

Romance Series 18757

"Along !"  Dahi Ghazi berkerut. 

Falah ketawa terbahak-bahak melihat wajah Ghazi. Terkeluar air matanya. 

Ghazi bangun dari tertiarap tadi. Kalau tak kerana ini abang dia, sudah lama dia beri tendangan maut saja. 

Leher digosok-gosok. Boleh mati dia tadi,  Along ni !

"Kalau kau tengok muka kau tadi, kelakar gila!" Air mata di lap menggunakan jari. Geli usus dia menggelakkan Ghazi. 

Ghazi mencebik. Mana kelakar nya, mana?

"Kau buat apa dekat sini?" Mata meneliti si abang dari atas ke bawah. 

Falah berpenampilan seperti dia juga. Mengikut tema parti. Along kenalan Dato' kah? 

Falah menghabiskan tawanya selepas itu dia kembali serius. 

"Tak ada apa. Buat kerja lah, nak buat apa lagi." Dia duduk di atas rumput, sama seperti yang dilakukan Ghazi tadi. Memandang air pancut mewah ini. 

Ghazi disebelah dipandang dengan ekor mata selepas itu tangannya naik separas kepala Ghazi. Rambut si adik ditarik sehingga kepalanya hampir ke wajah.

"Kau potong rambut? Macam tak percaya." Mata Falah terbeliak. 

Kepala di tarik dari pegangan si abang. Sakit lah woi! 

Rokok dari poket kemeja adiknga, dia tarik keluar. Apa Ghazi punya, dia punya!

Wajah adiknya itu cemberut, marah. 

Tetapi apa yang Ghazi boleh buat, dia karatae nanti apa pun tak dapat. Dapat sakit aje. Kah.

"Beli lah sendiri!" Kotak rokoknya dirampas. Kalini dia memasukkan kotak rokok itu ke dalam boxer.

Mata Falah membulat melihat tindakan tidak bermoral si adik.

Ghazi mengejek. Berani, ambillah! 

Falah menelan air liur. Rokok yang baru mahu dinyalakan tadi dipandang lama. Ragu-ragu dengan kebersihannya. Err..

Biar betul Ghazi simpan dalam boxer?!

"Nah! Ambiklah balik. Jijik." Terbang kembali rokok tersebut kepada Ghazi. 

Geli! Geli! 

Adik lelakinya itu tersenyum kemenangan. Lagi dia rasa mahu muntah apabila Ghazi menyalakan rokok tersebut. Entah-entah bau tengik. 

Asap rokok ditiup ke wajahnya. Geram saja dia lihat perangai Ghazi. Jangan sampai dia sekeh kepala si adik sorang ni. Derhaka! 

"Ah, kau kerja? Kerja apa?" Dia menyambung semula perbualan yang tertunda tadi. 

Falah keluarkan rokoknya sendiri dari dalam poket. Hujungnya dinyalakan.

Dia dan Ghazi memang perokok tegar dari sekolah. 

"Kerja jaga girlfriend kau lah."

Terkejut beruk juga dia apabila nampak adik sendiri jadi prince charming anak Dato' menteri itu. Mahu tak tercekik dia yang sedang mengunyah chewing gum tadi.

Kepulan asap dia hembus semula ke wajah Ghazi pula. Hambik kau. 

"Bukan girlfriend aku lah." Ghazi membangkang. 

Mata dikecilkan sebaik mendengar jawapan si adik. 

Kenapa tindakan tidak selari dengan kata-kata?

"Iya lah. Kau ni gold-digger ya? Bawa-bawa mengucaplah. Kalau takde duit, beritahu aku. Aku boleh bagi. Jangan kikis duit anak dara orang." Ujar Falah, prihatin. 

Dia rasa Ghazi ini sudah jauh tersesat. Adik yang dia tatang bagai minyak yang penuh ini, akhirnya jatuh ke lembah kesesatan begini juga. 

"Pandailah kau. Aku waras lagi lah." 

Minta duit pada Falah? Ah! Penipu! Falah ni lagi kaki kikis duit tabung dia, ada lah!

Sampai sekarang pun belum ganti lagi semua duit tabung dia yang Falah ambil senyap-senyap. Falah ini lagi pembuli dari dia, sekurangnya dia tidak buli adik sendiri!

Sebab dia sudah pernah rasa dibuli oleh Falah dari kecil! 

Falah mengusap dada. Konon dia lega lah tu adik dia masih beriman kepada Allah, bukan duit!

Kedua belah pipi Ghazi disentuh. Sudah lama dia tidak pulang, wajah Ghazi pun sudah semakin tua. Tidak lagi semuda dulu. 

Ghazi hairan melihat telatah Along-nya. Sudah kenapa dengan abang long ni? 

Bibir Falah memuncung, cuba melekap ke pipinya. 

Automatik kaki Ghazi menendang. 

Gila betul Along ni! Dia tahu Along dia tengah membujang, tapi tak kan lah terdesak sangat sampai nak cium dia. 

"Aku nak cium adik aku je. Macam masa kecik-kecik dulu.." kepala mula membayangkan kerenah Ghazi ketika kecil.

Ghazi dengan rambut panjang berikat dulu selalu mengekor dia kemana-mana. Selepas itu, hari-hari mesti cium dia.

"Jangan mengarut! Bila masa aku cium kau. Drama betul.." 

Dia malas lah mahu layan perangai tak betul Along ni. Lama sangat agaknya jadi gelandangan, sudah berjangkit perangai tak betul mereka.

Dia tahu lah Along ini polis, unit khas pula tu tapi jangan lah jadi gila awal sangat. Muda lagi.

Dia hormat pada Along. Lelaki ini hati besi. Bermacam-macam dugaan yang dia tempuhi sepanjang menjadi polis. Dihantar kemana-mana pun sanggup. Pernah sekali, Along ditugaskan mencari sindiket penyeludupan manusia, abangnya itu duduk berbulan lamanya di dalam hutan seorang diri. Selepas itu, dia dihantar ke luar negara pula sebagai pengintip untuk menjejaki penjenayah dikehendaki. Duduk di negara orang, seorang diri. Bertindak sendiri, dan bersiap sedia sahaja untuk mati dimana-mana. Apa saja yang Abang dia tidak buat, jadi tokan dadah pun pernah demi keamanan negara. 

Sebab itu juga makin lama Along ini jadi semakin tidak betul. Ikut suka hati dia mahu buat apa. Mungkin sudah terbiasa hidup tertekan, jadi dengan cara itu saja untuk dia merasa gembira. 

Falah mencebik. Tak nak cium takpe, takde duit raya! 

"Eh, Muya mana? Kau tak bawa dia sekali?" soal Ghazi. 

Dia rasa Munirah lagi nampak macam anak mama dan ayah berbanding Falah. Batang hidung pun susah nak balik kampung, apalagi orangnya. 

Falah mencebik selepas itu dia ketawa besar. 

"Kah! Aku dengan dia dah putus! Perempuan gila tu.. Tak betul!" Dia membuat isyarat mereng. 

Ghazi buat wajah selamba. Eleh, Memang dia sudah jangka. Tunggu meletup saja dua orang bercinta ni. 

Kalau diorang meletup, aku tumpang gembira. Kah. 

Dia masih tidak lupa bagaimana Falah ketawakan dia ketika berpisah dengan Suhana dulu.  

Rokoknya sudah tinggal separuh. Rokok si abang pula sekejap saja sudah hilang. 

"Iya ke? Kenapa aku rasa kau lah punca perpisahan? Punyalah kau berangan nak jadi hero malaya dia dari dulu, tiba-tiba putus. Konfem! Dia yang tinggalkan kau."

Falah mengetap gigi. Bila masa entah aku nak sangat jadi hero malaya Munirah tu! Dia yang terhegeh-hegeh dekat aku dari kecik, tunjuk muka montel dia tu dekat aku hari-hari. Lepastu, panggil-panggil aku main dengan dia hari-hari. Aku terpedaya dan diperdaya! 

"Aku hanyalah seorang lelaki yang tak matang dulu-dulu. Kalau aku Falah yang sekarang, Muya tu aku jentik sampai mati." 

Masing-masing berdiam diri. Namun tiba-tiba saja Falah meroyan. 

"Argh..Salah aku ke ha? Ha?!" Kolar baju si adik di cengkam kuat. Air mata bergenang. 

Tch. Falah ni emo betul lah. Rilek lah sikit, baru putus cinta. Bukan bercerai pun. 

Ghazi menggeleng. Dia betul-betul konfius ni, macam mana Along boleh lepas ujian jadi polis unit khas. Mamat ini mereng, lepastu penuh emosi. Buat sukahati dia saja. Patutlah Munirah tinggalkan dia. 

"Tenang, brader. Cuba cerita apa yang kau buat sampai dia marah." Tangan diletakkan ke dada si abang. 

Falah melepaskan cengkamannya. Dia duduk kembali menghadap air pancut.  Tidak berkutik. 

"Benda terakhir kau buat dengan dia, apa?"  Tanya Ghazi apabila Falah langsung tak bersuara.

Falah menggumam, cuba mengingati. 

"Aku makan..Ha, tak.. tak.. Kitorang dating lepastu terus dia nak putus."

Mata Ghazi terbeliak. Sempat ke abang dia ni berdating? Aik?

"Bukan kau kata kau sibuk ke? Sempat pula.. Sebelum ni kau kata kau cover kes dadah kan. Jadi gelandangan."

Falah mengangguk. Benar! 

"Kerana cinta, aku relakan tau. Masa aku kerja, aku sanggup pergi jumpa dia. Tapi, begini dia layan aku!" 

Ghazi sudah dapat mengagak apa yang sebenarnya terjadi. Kalau difikirkan perangai 'main langgar' Along ini, hanya ada satu kemungkinan. Mungkin..

"Along, kau pergi dating pakai baju gelandangan tu ya?" tekanya walaupun dia sudah dapat mengagak jawapan Along. 

Falah mengangguk dengan penuh yakin. Tanpa sedikit pun rasa bersalah.

"Aku rasa ini yang terbaik untuk Muya. Daripada berlaki-kan kau yang tak betul ni."

Mahu saja dia debik muka abang long dia ni. Kalau dia jadi Munirah pun dia dah tinggalkan dah Falah ni. Tebal betul muka Munirah berjalan berdua dengan gelandangan. Dating pula tu! 

"Kenapa ha semua orang ni tak nampak effort aku. Aku tengah kerja tau. Aku sanggup tinggalkan kerja aku demi cinta." Rungut Falah. 

Ghazi menggeleng. Kerja jadi gelandangan? Ha, meroyan lah kau bang. 

"Tunggu lah. Aku cari minah saleh berganda lagi lawa dari dia tu. Dia ingat aku tak ada taste ke. Hah!" 

Apa-apa sajalah. Dah putus tu, putus sajalah. Berlagak tough konon. Dia putus dengan Suhana dulu pun berair mata, apalagi Falah dan Munirah yang dari kecil syok sesama sendiri ini. 

"Eh, tapi kenapa kau dekat sini pulak?" 

Kenapa Falah disini. Ada kes juga ke? Orang korporat ni tokey dadah ke..

Falah menggeleng. 

"Tak.. Aku wakilkan ketua aku aje pada masa yang sama cover kes viral makwe kau lah. Ketua aku ganti tempat aku, dia pula pergi jadi gelandangan." Falah tersenyum mengejek. 

Kenapa entah dia rasa ketua Along ni yang kena ketuk dengan Along dia. 

"Macam mana kau boleh dekat sini? Itu yang aku musykil sangat. Ayah ada call beritahu kau dekat KL, tapi kenapa kau tak duduk rumah aku je?" Giliran Falah pula bertanya. 

Ikutkan banyak persoalan yang dia mahu Ghazi jawab tapi mereka tidak punya masa. Ini pun, dia datang menegur Ghazi kerana ada anak buah yang lain take-over kerja dia. 

Ghazi angkat bahu. Dia pun tidak tahu bagaimana mahu jawab. 

"Takdir.. Dan, taknak aku duduk rumah kau. Macam tong sampah, nanti aku yang kena kemas. Baik aku duduk dengan Hijjaz." 

Falah berfikir-fikir.

"Oh.. Hijjaz. Budak yang selalu mengekor kau tu. Yang kalau bergaduh masa silat, dia punya gebang lagi besar dari buku lima dia. Cakap dekat dia, hati-hati. Polis tahu." 

Falah bangun dan membersihkan punggung seluar. Jam ditangan di kerling. Dia perlu sambung tugasnya semula. 

Tadi dia ambil time-off kerana Ghazi. Melihatkan Ghazi sihat-sihat saja di Kuala Lumpur ini, tidak perlulah dia minta cuti lagi. Rancangnya dia mahu mencari adiknya itu, tidak sangka dengan mudahnya mereka bertemu di sini. 

Falah menepuk bahu sasa Ghazi. Dia agak kagum. Baru beberapa tahun tidak berjumpa, tubuh Ghazi sudah banyak berubah. 

"Oh, Along. Mama dah jumpa 'harta karun' kau dalam bilik." Ujar Ghazi sebelum abangnya itu berlalu. 

Kaki Falah berhenti. Mata meminta kepastian dari Ghazi. Anggukan Ghazi begitu meyakinkan. 

Aduh.

Patutlah Mama miscall dia berpuluh-puluh kali haritu!

•••

Seseorang memerhati Ghazi dari sebalik dinding. Dia hanya bersandar melihat rambut kusut masai Ghazi yang baru bangun tidur itu. 

Air yang sedang dibancuh menimbulkan seleranya. 

"Oh mak kau!" Ghazi mengusap dada. 

Mahu sakit jantung aku! 

Magnus hanya tersengih tanpa berkata apa. Tangannya mahu mencapai cawan di tangan Ghazi. 

"Apa? Buat lah sendiri." Cawan dijauhkan dari tangan Magnus. 

Dah lah masuk rumah tak bagi salam. 

"Alah, aku nak sikit je.." Wajah Magnus bertukar sedih. Mengharap belas kasihan dari lelaki itu. 

"Buat sendiri." Dia berlalu ke ruang tamu meninggalkan Magnus sendirian. 

Tubuh di dudukkan di atas sofa. Bunyi kicauan burung-burung di pagi hari begini terasa begitu menenangkan.

Magnus duduk juga disebelahnya. Mata memandang Ghazi dengan penuh minat.

"Apa yang kau nak?" Keluhnya. 

Dia malas lah mahu memenatkan otak berfikir niat Magnus ke sini. Magnus pula dari tadi asyik tersengih saja. 

Nasib semua orang dalam rumah ini sudah pergi bekerja manakala, dia pula sekejap lagi sudah perlu bersiap untuk ke tempat kerja. Dia nak rehat sekejap pun tak dapat dengan kehadiran Magnus disini.

"Mesti dia tatang kau dari kecil kan? Tiada sedikit pun kecelaruan didalam jiwa kau." Rambut Ghazi dibelainya. 

Kalini dia menjauhkan kepalanya dari disentuh Magnus. 

"Mana dia?" soal Magnus. Mata melihat sekeliling. 

"Mana siapa pula.." Ghazi buat tidak faham. Dia ada banyak persoalan mengenai Magnus tetapi disimpan sendiri.

Mata Magnus kembali memandang wajahnya. Senyumannya sinis. 

Wajah di dekatkan sehingga hanya beberapa inci saja dari wajah Ghazi. 

"Dia yang kau panggil 'kaduk' tu.." Bisiknya. 

Ghazi tersentak.

Lelaki ini tahu? Lelaki ini dengar? Tapi bagaimana? 

"Aku kenal 'kaduk'. Aku tahu dia sudah lama mati. Kau.. Keturunan dia kah?" ujar Magnus lagi, masih dalam keadaan berbisik. 

Dia menenangkan debaran di jantung. Dia tidak boleh membiarkan Magnus dengan mudah dapat membaca reaksinya. 

Magnus ketawa. Wajahnya tersenyum manis dan mesra.

Tiba-tiba dia bersuara normal semula. Pisau di tangan. 

"Kalau aku bunuh kau, dia pasti datang." ugutnya. Senyuman lebar menghiasi wajah.

Tangan menikam ke perut Ghazi. Mata Ghazi terbeliak. Belum sempat dia mengelak, pisau sudah laju menikam ke perutnya. 

Mama, Ghazi sayang mama! Ayah, adik abang! 

Mata ditutup. Dia sabar menunggu rasa sakit hadir di segenap tubuhnya. 

Tak sakit? Aik? 

Magnus ketawa terbahak-bahak. Pisau ditangan di lepaskan. 

Tangan menggosok perut sendiri. Tak, takde luka langsung. Tetapi dia yakin pisau tadi sudah terbenam. 

Mata mencari jawapan daripada Magnus yang sedang ketawa. 

"Aku tak akan cederakan kau. Aku bersumpah atas nyawa aku untuk cari dia demi 'Magnus'." Tangannya diangkat dan di arah ke kiri Ghazi. 

Kepala Ghazi berpusing ke kiri. 

Kaduk sudah duduk di tepinya. 

Magnus melompat naik ke atas sofa dan mencangkung. Dia menongkat dagu memandang kaduk. 

"Kau tidak berubah. Terus-terusan meratapi nyawa yang sudah pergi." Magnus berkata sesuka hatinya. 

Wajah bersih Kaduk dipandang. 

Ah.. Begitu rupanya. Kaduk tidak pernah lupa. Atok moyang dia yang sudah lama mati itu sudah dilupakan. Kecuali oleh Kaduk.

Mulut Kaduk terbuka sedikit. 

"Dan kau juga tidak berubah. Lihat apa kau sudah buat pada lelaki ini, dia tidak boleh tampung kau didalam tubuhnya kerana dendam yang kau bawa."

Mata Ghazi terbeliak.

"Kejap. Yang dalam tubuh ni siapa?" Dahi Ghazi berkerut. 

Riak wajah kaduk tidak berubah. Cukup berhati-hati. 

"Aku Magnus. Seorang kawan yang bersumpah setia kepada seorang raja." Mata Magnus memandang Ghazi dan seterusnya memandang Kaduk. 

"Aku bukan raja siapa-siapa. Pulanglah, tidak perlu lagi kau mencari aku."

Ghazi terdiam. Dia mahu lihat dan dengar saja. Cerita best ni! 

Magnus menggenggam penumbuk. 

"Hayat manusia dan hayat kita , tidak sama! Kau bukan manusia! Hentikan angan-angan kau! Kau terlalu agungkan Kaduk! Dia lelaki biasa yang lemah, langsung tidak mampu melawan sakitnya sendiri! Dia tinggalkan kau, anak dan isterinya dalam sekelip mata. Lemah!" Suara Magnus bertukar garau. Nafas nya kedengaran berat. Tangan menghentak-hentak di atas sofa bagi melampiaskan rasa marahnya. 

Kening Kaduk berkerut. 

Mata Magnus terarah kepada Ghazi. Dia ketawa sinis. 

"Dia Ghazi. Bukan Kaduk." Magnus bertegas. 

Ghazi mengangguk bersetuju.

Wajah Kaduk bertukar kelam. Air mata darah mengalir ke pipi tanpa riak wajahnya berubah.

"Aku tahu." Perlahan ucapan Kaduk. 

Badan dibangunkan dari kerusi. Mata memandang Magnus. Dia berdiri di hadapan lelaki berambut putih itu. Ya, rambut Magnus sudah putih semuanya. Kali terakhir dia melihat lelaki ini rambutnya masih hitam pekat. 

"Aku akan jaga dia dengan baik selama aku hidup." Ghazi berkata tegas. 

Mata Magnus tajam merenungnya. 

"Dan selepas itu apa? Kau mati. Hayat kau pada kami hanya beberapa tahun saja lamanya."

Bibir Ghazi terukir senyum nipis. 

"Aku akan bawa dia bersama." 

•••

"ASSALAMUALAIKUM.." laungnya dari luar. 

Selipar di buka. Dia mencari kelibat orang tua itu. Entah kemana pula Atok pergi ni..

Bekas makanan yang Mama beri tadi diletak ke atas meja. Cerek air di atas dapur disentuh. 

Masih panas. Maknanya Atok pasti berada berdekatan rumah saja. 

Haih. Risau betullah Atok duduk seorang diri di rumah ini. Kenapa tak mahu duduk dengan keluarga mereka sekali.

Suara Atok Ishak-nya dari luar membuatkan kaki Ghazi berpusing semula ke ruang tamu. 

Senyuman diberikan menyambut Atok yang berada di luar. 

"Lah.. Bila Ghazi pulang?" Selipar dikaki dilepaskan. 

"Baru tadi. Atok ni keluar kenapa tak kunci pintu? Bahaya lah." 

Atok menepuk dahi sendiri. Dia terlupa. 

Ghazi menggeleng. Kalau asyik terlupa saja, kena rompak nanti macam mana.

Dia meminta Atok untuk melihat keadaan tangannya. Berbanding dia, Atok lebih tahu. Kalau dia perlu belajar, Atok pula memang dari kecil dianugerahi kelebihan yang satu ini. Dengan mudah lelaki tua itu boleh tahu yang tangannya pernah patah.

"Ghazi main di mana sampai patah begini?" Atok Ishak ketawa. Ghazi ini dari kecil memang lasak.

Dia mengangguk apabila keadaan tangan Ghazi baik-baik sahaja. 

Ghazi menggaru kepala yang tidak gatal. Entah lah tok.

"Atok jangan bagitahu sesiapa tau. Ni Ghazi dengan Atok saja tahu." 

Lelaki tua itu menggeleng. Kalau bab jatuh luka semuanya rahsia dia dengan Ghazi. Sebab itu lah Irham asyik membebel padanya. Penat dia back up cucu sendiri. 

Ghazi yang dulunya comel loteh itu sudah besar panjang. Sudah jadi seorang lelaki hebat. Rasanya seperti baru semalam Ghazi lari dari rumah dan  menyorok di rumahnya kalau mahu dirotan oleh si Ayah. Dia dengan isterinya dulu adalah pem-backup setia Ghazi. Bukan dia tidak faham dengan perangai tegas dan garang Irham itu. 

"Atok, Ghazi nak tanya lah.." Ghazi meminta izin. 

"Tanya lah." Atok sudah mengunyah kuih yang dibelinya dari gerai dihujung kampung. 

"Ayah atok orang yang macam mana?" 

Mata memandang Atok penuh berharap. 

Lelaki tua itu ketawa. 

"Entahlah, Ghazi. Atok pun tak pernah jumpa dia. Mati muda, Ghaz. Atok pun tak besar lagi." 

Ghazi kecewa. Susah juga mahu mencari orang yang pernah berjumpa atau mengenali Kaduk. Seakan-akan sosok itu tidak pernah wujud dan tidak pernah berbekas di memori sesiapa.

"Tapi, ada lah peninggalannya satu dua untuk Atok. Mak Atok simpan sebagai kenang-kenangan supaya Atok tak lupa padanya walaupun Mak Atok sudah kahwin lain."

Harapannya berputik semula.

"Boleh Ghazi tengok tak, tok?" 

Atok mengangguk.

"Tapi, Ghazi cari sendiri di loteng. Atok letak semua barang-barang lama di loteng. Sayang mahu buang. Kenang-kenangan dengan arwah nenek dulu." 

Lelaki tua itu sambung menghirup air kopinya selepas itu tangannya terhenti.

"Oh ya. Kalau Ghazi ada jumpa keris lama, beri pada Atok. Atok ingat nak jual, mahal juga tu." 

Erk! 

"Ke..ris? Bagi pada Ghazi sajalah, atok. Ghazi nak lekat dekat dinding." Dahinya berpeluh. 

Dalam banyak-banyak barang, keris itu juga Atok nak jual. Janganlah dia tidak jumpa pula keris kaduk itu, mahu menangis air mata darah dia nanti.

Entah-entah Atok dah jual. Orang tua ni bukan ingat sangat pun lagi!

Dia cepat-cepat bangun dan meminta diri. Loteng rumah Atok ini bukan kecil, dia sudah dapat membayangkan betapa penuhnya loteng rumah tersebut dengan barang dan kotak-kotak lama.

•••

Magnus tersenyum. 

Kaduk menepuk bahunya dan menggeleng. Dia tidak mahu Ghazi memberi kata putus. 

"Kau tahu apa maksudnya kalau kau mengikat diri kau dengan dia?" Magnus berdiri menghampiri Ghazi. 

Sedikitpun dia tidak takut dengan pandangan Magnus.

"Macam aku juga. Kalau aku mati, Magnus akan mati bersama aku." Sambung Magnus lagi. 

Ghazi mengangguk, tenang. Dia tahu. Semuanya sudah tertulis di dalam tulisan terakhir Kaduk. 

Kaduk tahu hayatnya tidak panjang, dan dia juga mahu 'kaduk' meneruskan hidup seperti biasa, tanpa dia. Kerana itu walaupun Kaduk menyimpan keris milik sang raja itu, dia tidak pernah mengikat diri si raja dengan dirinya.

Kaduk menghilang sebaik sahaja Ghazi mengangguk yakin. 

Magnus mendengus kuat, selepas itu dia  mengeluh pula. 

"Dia yang tidak mahu melepaskan Kaduk mahupun engkau, Ghazi. Dia tidak boleh menerima kenyataan yang hayat manusia terlalu singkat." Suara Magnus sayu sahaja. 

Dia penat mengejar Kaduk bertahun lamanya. Dia juga seperti lelaki itu, menderita kerana terlalu terikat dengan insan manusia. Apabila hayat mereka berakhir, hanya mereka yang sentiasa mengingati dan meratapi. Manusia, keturunan mereka  akan beransur-ansur melupakan mereka yang sudah tiada.

Ghazi hanya mendengar. 

Air mata darah keluar dari birai mata Magnus. 

"Kami tidak pernah lupa. Kematian berpuluh tahun lalu terasa hanya beberapa tahun saja bagi kami. Apa yang terpahat dihati kami, akan sentiasa segar luka mahupun bahagianya.." Tapak tangan sendiri di pandang kosong. 

Tangan Magnus yang hangat dan hidup itu dipandang lama. Satu hari nanti tangan ini juga akan beku dan sejuk, tidak bernyawa lagi. Dia sudah terbiasa merasa kehilangan tetapi tidak pada Kaduk. 

Kaduk masih dan berterusan meratapi pemergian sahabatnya. Sudah bergenerasi lamanya, namun luka lelaki itu masih lagi berdarah. 

Kehadiran Ghazi membuat kaki Kaduk terikat lebih kuat di dunia ini. Sayang Kaduk kepada Ghazi lebih besar lagi dari sayangnya kepada sahabat yang sudah mati. Kalau lelaki ini mati, pasti memberi kesan yang lebih teruk kepada Kaduk.

"Kaduk bersama kau dari kau kecil ya?" Magnus melepaskan keluhan berat.

Mereka bukan seperti jin yang sentiasa memesongkan manusia. Mereka punya hati dan perasaan. Kehidupan mereka teratur seperti manusia. Malah, salah bagi mereka untuk merentas masuk ke dunia ini. Sepertimana ada sesetengah manusia yang mahu melawan halangan yang ditetapkan di antara dua dunia, begitu juga mereka. 

Seperti manusia yang masuk ke alam mereka dan tidak mahu pulang, begitu juga mereka. Seperti dia dan Kaduk. 

Namun ada juga golongan mereka yang merentas masuk ke dunia ini untuk mendapat kekuasaan. Supaya umat manusia mengagungkan mereka. 

Ghazi mengangguk membenarkan pertanyaan Magnus tadi. 

Sejak kecil memang dia sudah nampak Kaduk. Malah, Kaduk sudah seperti ahli keluarganya sendiri. 

Ghazi senyum nipis. Tiba-tiba dia teringat satu memori yang selama ini tidak pernah timbul di dalam fikirannya. 

Setiap kali dia merajuk kerana dirotan ayah, dia akan duduk di pangkin tepi sungai di belakang rumah Atok. Kaduk akan datang dan memujuknya. Waktu itu, dia ingat Kaduk manusia biasa sepertinya. 

Apabila dia dapat tahu bahawa Kaduk tidak wujud, dia tidak pernah lagi bercakap seorang diri dengan Kaduk walaupun sosok itu selalu ada bersama. 

Bagi Kaduk, proses dia membesar mungkin hanya beberapa hari. Bagi dia, Kaduk sudah bersamanya selama 20 tahun. 

Begitu besar beza tempoh masa pada mereka. 

Dia jadi sedikit faham penderitaan yang Kaduk alami. 

"Sudah berapa ramai manusia yang mati dihadapan mata engkau?" soal Ghazi. 

Dia menghirup air yang dibancuh tadi sehingga habis. 

"Kalau campur Magnus, satu hari nanti.. Sudah 5orang. Tetapi, hanya Magnus yang sanggup mengakhiri penderitaan aku." Magnus tersenyum. 

Benar. Hanya kematian yang boleh mengakhiri kesedihan dan penderitaan mereka. Sekalipun mereka kembali ke dunia mereka, ingatan mereka kepada yang sudah tiada tidak akan pudar. Lebih menyakitkan apabila tiada lagi manusia yang mengingati si mati. Hanya mereka yang tidak pernah lupa akan kebaikan orang yang sudah pergi.

Bunyi motorsikal di luar rumah mengejutkan mereka. Magnus lantas bangun dan meminta diri. 

"Nanti aku datang lagi." Dia menghilang di sebalik dinding yang memisahkan dapur dan ruang tamu.

Mata Ghazi terkebil-kebil. Air liur didalam mulut ditelan.

Boleh tak kalau Magnus jangan buat trik pelik begitu! 

"Ghazi. Kau ada nampak kunci loker aku tak?" Tan masuk terkocoh-kocoh. 

Dia mencari di bawah majalah-majalah yang berserakan. Dia sudah lambat ni!

Ghazi mengangkat bahu dan menggeleng. 

Dia mahu membersihkan diri dan ke tempat kerja selepas ini. Tan dibiar sendiri. 

•••

Kawasaki Ninja yang sedang memecut laju itu beransur perlahan kelajuannya dan akhirnya berhenti di sisi jalan raya besar. 

Helmet dibuka. Ghazi menongkat motor.

"Kenapa, Ayu? Kereta Ayu rosak ke?" Dia menghampiri si gadis. 

Hidayu tersenyum lega. Nasib lah penunggang motor itu abang Ghazi. Dia sudah kecut perut tadi, takut orang jahat ke apa.

Hidayu menggeleng menjawab pertanyaan Ghazi. 

"Pancit lah abang. Ayu rasa ada orang tabur paku dekat jalan tadi, sebab masa keluar rumah lepas subuh tadi memang tayar kereta Ayu okay je."

Terangkat kening Ghazi. Lepas subuh? Ayu sudah tersadai disini dari lepas subuh kah?

Tak kan lah tak ada orang tolong.

"Bukanlah, Abang. Ini Ayu baru balik kelas, nak ke rumah. Baru perasan dah pancit. Ayu tak tahu pula nak tukar tayar. Tayar spare ada, tapi tak faham lah pula cara memasangnya. Dah google pun bengap juga lagi." Telefonnya ditayangkan di depan mata Ghazi. 

'Blog post cara-cara tukar tayar kereta.'

Ghazi ketawa. Dah perempuan tu perempuan juga lah. Tahu bawa kereta aje, lain-lain semua tak tahu.

"Okay, tepi. Biar Abang buat." Dia mencangkung menghadap tayar yang pancit. 

Hidayu sudah ke tepi. 

"Eh kejap, tayar lain tak pijak paku juga kan? Cuba Ayu pergi check betul-betul. Takut malam nanti dah leper aje tiga lagi tayar tu. Abang risau yang memang betul je ada orang tabur paku atas jalan." 

Hidayu berlari memusingkan kereta memeriksa satu per satu tayar. Jangan yang lain pun kena paku juga sudahlah. Teruk betul orang ni! 

Setelah yakin, dia kembali ke tepi Ghazi dan melapor. Sekejap saja tayar keretanya sudah dibuka dan tayar  sementara sedang dipasang. 

"Betul lah eh cakap Abah Ayu. Abang Ghazi ni boleh buat macam-macam." Hidayu galak ketawa sambil memegang hujung tudungnya. 

Angin kuat yang bertiup dek kerana kelajuan kereta lalu lalang ini seakan cemburu dengan auratnya yang tertutup sempurna.

Ghazi ketawa sambil menggeleng. 

"Semua orang pun boleh buat apa abang buat ni, Ayu. Ni dalam kelas memandu tak ada ajar ke?"

Rasanya masa zaman dia ambil lesen dulu, ada belajar tukar tayar.

Hidayu menggeleng. Takde pun! 

"Patutlah. Lepasni kena selalu simpan nombor pomen kereta tau. Kalau kereta  breakdown tengah jalan macam ni, boleh call orang datang tolong. Tak tau tukar tayar ke apa, kena selalu ada nombor telefon kawan-kawan yang boleh datang tolong." Pesannya. 

Hidayu mengangguk faham. Dia mana ada kawan lelaki, semua perempuan. Dari tadi dia call abah aje, itu pun tak berjawab. 

"Terima kasih, Abang Ghazi." ucapnya ikhlas apabila lelaki itu selesai menukar tayar dan mengemas peralatan membaikinya. 

Baju lelaki itu yang putih tadi sudah terpalit sedikit kekotoran dari tayar yang berlumpur.

Hidayu serba salah. 

"Sorry. Baju abang dah kotor. Ayu bayar upah abang tolong tukar tayar." Tangan menyeluk masuk ke dalam beg.

"Takpe, Ayu. Abang tolong ikhlas.  Lagipun, kerja mudah aje tu. Nanti Abang pusing balik rumah tukar baju aje." Duit huluran Ayu ditolak kembali. 

Dia betul-betul merasa tiada perlunya Hidayu membayar hasil pertolongan sekecil itu. 

Ghazi naik semula ke atas motor. Sebelum menyarung helmet, dia berpesan lagi.

"Ingat pesan abang. Jangan berani sangat macam tadi, keluar dari kereta. Kalau jadi lagi, call orang terdekat dulu, tau. Bahaya perempuan sorang-sorang tepi jalan begini." 

Hidayu mengangguk sekali lagi. Dia melambai motor Ghazi sebelum masuk ke dalam kereta. 

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience