BAB 26

Romance Series 18757

Bangunan setinggi 18tingkat itu dipandang. Tangan membetulkan kot di badan. Rimas betul dia berkot bagai begini. Ni Malaysia lah. Panas!

Ideologi siapa lah yang diguna pakai oleh orang korporat ini. Negara panas terik begini disuruh pakai kot. Tengok cuaca lah woi.

Razin melambai ke arahnya dari pintu hadapan bangunan tinggi dan megah itu. Senyuman lebar menghiasi wajah. Dia tidak pasti samada mahu membalasnya ataupun tidak. Akhirnya dia angkat juga tangan kanan. 

Razin meminta segala dokumen yang sudah ditanda tangan. Beg bimbit di serahkan kepada Razin untuk dibawa. Dia melenggang saja berjalan sambil ditemani Razin di tepi. 

Sepanjang perjalanan ke tingkat 12, Razin menerangkan serba sedikit tentang agenda mesyuarat hari ini dan juga perkembangan terkini Saven. Dia menyerahkan beberapa salinan nama dan gambar ahli-ahli pemegang saham terbesar.

“Jadi, aku tak boleh tendang sajalah 5 orang ini ya? Dah tua pun tak tahu nak bersara lagi.” 

Razin ketawa kecil. Selamba saja Ghazi ni. Kalau dia, kecut perut juga mahu kata begitu. Masa depan dia di syarikat ini boleh musnah sekelip mata. 

Mereka hanya berdua di dalam lift VIP tersebut. 

“Jadi, apa kuasa yang aku ada? Sebelum kerusi CEO itu dikosongkan, siapa CEO?” mata memerhati kertas ditangan. 

Razin menjawab dengan ringkas dan padat. Jarinya menunjuk gerangan manusia yang menjadi CEO syarikat ini sebelum kehadiran Ghazi. 

“Pftt !! Dia ke?” Ghazi meminta kepastian. 

Anggukan Razin mengiyakan soalan Ghazi. 

Hazirul CEO kepada Saven dulu? 

Mata membaca pula profil lelaki yang memegang jawatan itu. Dia mengangguk-angguk kecil. Latar belakang dan pengalaman Hazirul menjadikan dia orang yang paling layak untuk menyandang jawatan terbabit. Tetapi kalau mengikut kepada perkiraannya, Hazirul dan kejayaan berlipat-gandanya ini bukan hasil dari mendaki. Tapi hasil dari naik lif.

Dia akui kehebatan Saven dalam menghadapi perubahan semasa. Dan dia akui juga orang-orang hebat yang sudah melakukan yang terbaik untuk memajukan syarikat besar ini. Namun, sebagai sebuah syarikat sosial korporat, dia kecewa melihat kontribusi Saven. Saven banyak terpalit dengan agenda politik. Belum lagi dia buka kitab percukaian syarikat ini. Pasti lebih banyak bahagian gelapnya. 

“Jujurnya aku tak mahu peduli pasal semua ini. Tetapi, memikirkan nama aku sudah terpalit sekali.. Dan segala dividen yang engkau sudah iktiraf atas nama aku, aku rasa sedikit sebanyak benda ini akan beri kesan juga pada aku kalau aku tak ambil tindakan.” jelasnya. 

Bukan sedikit dividen yang sudah diterima. Kalau ada salah silapnya dari hasil pendapatan syarikat  itu, dia boleh ditarik sekali.

Pintu bilik mesyuarat VIP yang besar itu terbuka. Penuh dengan pakcik-pakcik sebaya Ayah atau lebih tua pun ada. Mereka semua bangun memberi hormat. 

“Ha.. Takpe.. Duduk.” ujarnya. Dia mengambil tempat di kerusi yang sudah Razin beritahu padanya tadi. 

Kot di badan dibuka. Tali leher juga dilonggarkan. Dia bukan seperti mereka yang boleh tahan berkot dan bertali leher dari pagi sampai ke petang. Boleh pendek nyawa kena jerut dek tali leher ni. 

“Hm.. Budak muda..”

“Budak kampung lah pula..”

“Baik beri jawatan itu pada anak aku saja.” 

Ketawa kecil kedengaran.

Ghazi tersenyum sinis. Memang dia sudah agak pandangan kaum-kaum veteran ini pada dia. Bukan dia yang pilih untuk duduk di kerusi ini. 

Mata memberi isyarat kepada Razin untuk mewakili dia dalam mesyuarat kali ini. Dia hanya mahu perhati dan belajar saja buat masa sekarang. 

Sedikit sebanyak Ghazi merasa kagum dengan cara kerja Razin. Sangat profesional. Baik dia ambil Razin ganti tempat dia saja kalau begini. Razin lebih layak tambah lagi dengan pengalaman bekerja yang sudah bertahun lamanya  dalam syarikat ini.

Dia bertepuk tapak setelah Razin selesai membentangkan laporan bulanan syarikat itu. Setiap cadangan dan ulasan Razin baginya sangat baik dan mudah difahami. Malangnya, yang lain tidak sependapat dengan dia. Kelat saja muka semua orang.

Razin menunduk dan tersenyum tanda amat menghargai pujian dan tepukan dari Ghazi. Dia kembali duduk di kerusinya.

“Hm.. Orang tua memang ego tinggi macam ni ya?” Kepala menggeleng sebaik sahaja mereka semua bersurai. Razin tergelak kecil mendengar komen Ghazi. 

“Biasalah, encik. Jom, saya tunjuk pejabat encik dekat mana.”

“Aisey.. Kena duduk dalam pejabat ke? Mati kebosanan lah aku nanti..”

Dalam tidak rela, kaki mengekor langkah Razin juga. Dia tersenyum apabila ada pekerja dan staff di situ yang menegur mereka. Nasib pekerja ramah-tamah. Kalau sombong macam ahli veteran tadi.. Memang dia jual terus Saven ni.

Sebuah bilik pejabat elit disediakan khas untuknya malah segala hiasan di dalam pejabat tersebut juga nampak baru. Dia memandang ke arah Razin. 

“Kau rasa perlu ke semua ni? Bagi aku meja dengan kerusi saja dah cukup kut. Ini siap bersofa bagai. Baik kau letak katil sekali dekat dalam ni. Alang-alang, boleh tido..”

Dia sudah mula membayangkan hidupnya akan berubah seratus peratus. Dalam hati dia mengeluh. Ini perubahan yang terlalu besar bagi dia. Fail-fail yang bertimbun di atas meja memberatkan lagi hati dia mahu duduk di singgahsana golongan korporat itu.

Punggung didudukkan juga ke kerusi apabila Razin sudah mempersilakan. Mata memandang ke sekeliling bilik. Tidak pernah terdetik walau sedikit pun didalam hati dia bahwa dia mahu duduk di dalam bilik begini. 

“Erm.. Jadi, apa aku kena buat sekarang?” soalnya.

“Untuk hari ini, Encik biasakan diri dahulu. Kalau encik nak pusing-pusing pun boleh. Kenal dengan pekerja. Ah! Lagi satu.. Mari saya kenalkan encik dengan setiausaha encik Ghazi.” Interkom di atas meja ditekan dan memanggil nama seorang perempuan untuk masuk ke dalam bilik. 

Tidak sampai seminit, pintu bilik pejabat di ketuk. Razin memberi izin orang di luar untuk masuk. 

Seorang gadis berbaju kemeja dengan skirt separa lutut masuk dan berdiri di hadapan meja. Bibirnya tersenyum manis. 

“Ini cik Inas. Nama penuh dia Syafinas tapi kami dekat ofis panggil dia cik Inas sahaja. Inas akan tolong Encik Ghazi dalam hal kerja. Kalau encik perlukan apa-apa atau tak faham apa-apa, boleh minta Inas untuk beri tunjuk ajar.”

Inas mengangguk dan tersenyum. 

“Nanti saya akan lekat nombor interkom saya di meja encik. Kalau ada apa-apa, encik boleh terus panggil saya.” ujar Inas pula. 

“Okay. So, sekarang.. Awak teman saya dan kenalkan saya dengan head department dalam syarikat ni. Boleh?” Bibir tersenyum penuh berharap. Ghazi bangun dari duduk dan menyarung kembali kot ke badan

Inas mengangguk dan  mempersilakan dia untuk keluar dahulu dan Inas mengekor dari belakang. Razin pula meminta diri untuk kembali ke tugasnya dan menyerahkan tugas membantu Ghazi kepada Inas. 

Inas membawa dia turun dan naik ke satu demi satu department. Sakit kepala dia cuba mengingati nama semua pekerja yang Inas kenalkan. Akhirnya dia putus asa saja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Boleh kata Inas ini semua orang dia kenal. Dia boleh ingat nama semua orang dalam setiap department yang mereka ziarah, sempat berborak dan membawang lagi. Macam tak sedar aje bos dekat sebelah. Power betul sifat berani mengambil risiko si Inas ni.

“Sorry lah encik. Saya dengan diorang ni memang rapat gila. Dah macam adik-beradik.” ujarnya sebaik sahaja pintu Lif tertutup.

“Jangan risau lah. Saya tak kisah. Asalkan tak lupa buat kerja pun dah cukup dah..” dalam hati dia risau juga kalau Inas ni asyik sangat berborak sampai lupa nak buat kerja. Dia dah lah tak tahu apa-apa ni.

“Yang itu encik jangan risau. Saya memang tip-top dalam kerja-kerja ni..” Ibu jari diangkat. Yakin dengan diri sendiri pun salah satu ciri-ciri yang penting juga dalam diri seorang pekerja yang bagus.

Semakin lama dia berborak dengan Inas ini, semakin menyerlah pula perangai loyar buruk Inas.

“Tak kisahlah, Nas.. Awak nak borak dan membawang sampai lusa pun tak apa. Yang penting, apa yang saya tak tahu awak kena ajar saya. Selagi saya tak mahir buat kerja, awak kena utamakan saya dalam segala hal. Faham?” 

“Faham, encik!” 

•••

Bunyi enjin kereta membuat Nuha melompat turun dari katil. Sebelum turun menyambut Ghazi pulang di bawah, sempat dia menilik diri sendiri di dalam cermin. 

Dia baca dalam internet, isteri kena lah ambil hati suami lebih lagi kalau suami baru pulang dari bekerja. Masa itu lah waktu paling berkesan untuk buat suami sayang lebih pada isteri. 

Tombol pintu dipulas. Senyuman melebar apabila melihat Ghazi. Terhegeh-hegeh membuka kasut dari kaki. Tangan Ghazi disalam penuh hormat. 

“Aik? Apasal senyum-senyum ni?” Lengan Ghazi dirangkul pula. Wajah Nuha tidak berhenti  tersenyum sejak dari tadi. 

“Ala.. Salah ke isteri nak sambut suami baru balik dari kerja?” Beg di tangan Ghazi beralih ke tangannya. Pipinya mengembung dengan dahi berkerut seribu.

Ghazi tergelak kecil. 

“Salah tu memang lah tak salah.. Cuma pelik aje.” Tangannya ditarik supaya mengekori Nuha. 

Walaupun penat, dia ikutkan juga. Lebih baik dia layan saja kerenah Nuha daripada dia terpaksa melayan rajuknya nanti. 

“Ta-Dah !! Harini saya masak.” Kerusi ditarik menyuruh Ghazi untuk duduk. 

Lauk di dalam mangkuk dipandang. Dato’ Uzair dan Datin Zarina diam seribu bahasa. Masing-masing melayan telefon pintar di tangan. 

“Makan sekali, Daddy. Nuha masak ni..” jemputnya. Nasi yang sudah disenduk buatnya itu ditarik mendekat. 

“Ha? Tak apa.. Ghazi makan lah. Daddy kenyang dah. Dinner dengan kawan tadi.” mata Dato’ Uzair kembali menonton rancangan di televisyen.

“Awak.. Cepatlah makan. Daddy dengan Mummy tu dah makan lah.”

“Makan pun paksa.” Lauk didalam mangkuk disenduk masuk ke pinggan. Kari ayam.. Hm..

Lantak lah! Rezeki juga. Rasa belakang kira. 

Tangan menyuap nasi ke dalam mulut. Mata ditutup, cuba menikmati rasa masakan air tangan isteri. Nuha setia menanti reaksi Ghazi. 

Wajah Ghazi kosong. Tidak tahu bagaimana mahu jelaskan rasa kari ayam Nuha ini. Belum pernah dia rasa kari ayam begini. Dahsyat..

Macam mana Nuha boleh ubah seratus peratus rasa kari ayam?

“Sedap tak?” Nuha sudah meminta pendapat. 

“Nuha.. Kau pernah makan kari ayam tak?” wajah dipaling menghadap Nuha.

“Kenapa?”

“Kau tak ada bakat lah, Nuha.. Kalau kau jadi patung aje dekat rumah ni pun, lagi senang hati aku. Jangan masak dah.” Tangan terus menyuap nasi ke mulut. 

Tangan memeluk tubuh. Ghazi ni langsung tak hargai usaha dia. Penat-penat dia masak.

“Mummy dah cakap dah masak yang ringkas-ringkas dulu. Ini tak, tak tahu masak tapi terus nak masak kari ayam.” Datin Zarina melaung dari ruang tamu. Dato’ Uzair pula sudah tidak mampu menyimpan senyum. 

Kaki dihentak. Mummy dan Daddy pun sama!

Dia meninggalkan Ghazi seorang diri di meja makan. Kaki melangkah naik ke atas. 

“Haih.. Asyik-asyik merajuk.” Omel Dato’ Uzair. Macam budak kecil. 

Ghazi mengangkat bahu. Nanti-nanti saja dia pujuk. Dia masih penat baru pulang kerja ni. Nuha kalau sehari tak merajuk dengan dia memang tidak merasa lengkap hidup dia kut.. 

“Macam mana kerja, Ghazi? Okay?” 

“Bolehlah Daddy.” dia memberi komen ringkas. Padahal sakit kepala hari-hari menghadap kerja yang tidak pernah habis. Lepas satu, satu hal yang harus dia fikir. 

“Ghazi sabar sikit. Nanti dah biasa, sudah tahu urus kerjaya dan masa.. Ada lah masa terluang nanti.” Datin Zarina pula memberi kata-kata semangat. Bukan dia tidak nampak riak wajah Ghazi itu. Penat bukan main. Tidak habis penat di tempat kerja, balik rumah kena melayan kerenah Nuha pula. 

Entah bila lah anak perempuannya itu mahu jadi lebih matang. Asyik mengharap Ghazi saja yang menjaga hati dia. 

Ghazi mempercepatkan kunyahan. Mata sudah layu. Kepala pun asyik teringat pada bantal saja dari tadi.  Lauk di dalam mangkuk di habiskan dan membasuh pinggan makannya sendiri di dapur.

“Ghazi naik ke atas dulu, Mummy, Daddy.” Beg bimbit di kerusi dibawa sekali. Telinga menangkap kata-kata penguat hati dari Dato’ Uzair supaya bersabar dengan rajuk Nuha nanti.. Dia tersenyum. Nak gelak pun dia sudah tiada tenaga,

Bulu romanya menegak setiap kali dia melalui tangga yang menuju ke tingkat paling atas. seram sejuk sahaja laluan ke tingkat atas itu. Dia kurang pasti samada memang kawasan itu sejuk semacam atau hanya dia seorang sahaja yang berasa begitu. Lorong tangga yang gelap dipandang. Tubuhnya terasa seperti diperhatikan.

Nanti-nanti saja dia fikirkan. Dia belum berpeluang mahu meneroka setiap pelusuk rumah agam ini. Pulang dari kampung, terus besoknya dia sudah perlu mula bekerja. Honerymoon? Bukan masanya dia mahu berbulan madu. Sudah cukup beruntung keluarga mertuanya tidak kisah dan faham keadaan diri dia sekarang. Cuma Nuha sajalah yang keras kepala sikit. 

Bilik tidur mereka gelap gelita. Sunyi sepi. Hanya bertemankan bunyi penghawa dingin saja. Nuha sudah terbaring diatas katil,membelakangi dia. Diam saja. 

‘Merajuk sungguh ni..’

Ghazi pergi membersihkan diri sebelum naik berbaring di sebelah Nuha. Semerbak wanginya bau minyak wangi Nuha. Tidur pun berminyak wangi. Patutlah kos sara hidup tinggi. Untung besarlah industri minyak wangi negara kalau semua isteri macam Nuha ni. 

Ghazi cuba untuk lena, namun gagal. Tadi sedikit punya penat dia rasa. Lepas mandi, terus hilang penat. Siling tinggi di atas kepala di pandang. Senyap. 

“Lamanya kau merajuk..” 

belakang badan Nuha yang terdedah itu dipandang sekilas. Dia tahu isteri dia tu belum tidur lagi. Baru kahwin beberapa minggu tetapi dia sudah hafal benar setiap gerak tubuh dan helaan nafas isterinya. Apalagi dengan suasana sunyi sepi begini. Bunyi nafas pun jelas. Keras. Tak puas hati apa lagi lah ni. 

Nuha berpaling tubuh menghadap Ghazi. Memandang wajah Ghazi yang selamba tu. Dalam hati, dia meminta untuk dipujuk. 

Ghazi membangunkan semula tubuhnya dan bersandar ke kepala katil. Tangan mengusap lembut rambut Nuha.

“Terima kasih sebab dah penat-penat masak untuk aku.” ucapnya. 

Nuha tersengih. Tubuh merapat ke Ghazi dan memeluk lelaki itu dari tepi. Kepala dilentok ke bahu lelaki itu. 

“Remote TV mana?” Mata meraba-raba bawah bantal kepala dan juga di meja kecil tepi katil.

“Hm? Remote? Ada sini!” Nuha mengeluarkan alat kawalan jauh dari belakang. 

Tangan Ghazi meminta.

“Nah! .. Jap!” Alat kawalan jauh di sorokkan di belakang semula.

“Cium dulu!” Bibir dimuncungkan.

Ghazi mengetap gigi. Geram betul dia dengan kenakalan si Nuha ni. Main-main pula. Dahi Nuha ditunjal. Tangan meminta alat kawalan jauh yang disorok.

“Tak boleh..” Sekali lagi Nuha memuncungkan bibir. Kali ini jari telunjuk mengetuk-ngetuk bibir merah jambu yang sudah siap disapu lipbalm tadi.

“Nuha Irdina..” Ghazi meminta sekali lagi. Nuha tetap begitu. Bibir mungilnya tetap muncung.

Tubuhnya mendekat membuatkan Nuha sedikit ke belakang. Tangan menahan tubuh Ghazi. 

“Kejap! Kejap!” Tubuh dibaringkan se selesa mungkin. Kedua tangan di letak di atas badan sekemas mungkin. 

“Okay! Cepat cium!” Bibir memuncung semula. Seperti tuan puteri yang menunggu kucupan dari putera idaman.

Kepala Ghazi menggeleng melihat telatah Nuha. Dia mengucup perlahan diantara kedua kening Nuha.

"Dah. Bagi remote tu."

Riak Nuha kecewa. Penat-penat aje dia muncungkan bibir yang cantik ini. Siap pakai lipbalm perisa strawberi lagi. Wajah di arahkan ke tempat lain apabila Ghazi mula mahu menuntut janjinya mahu beri alat kawalan jauh. Dia buat tidak dengar saja panggilan Ghazi.

Nuha ketawa sambil menjerit apabila kedua-dua belah pinggang dicucuk-cucuk oleh jari Ghazi. Badan sedaya upaya di beratkan supaya alat kawalan jauh yang terselit di bawah badannya tidak boleh dicapai. 

“Baik kau bagi sekarang..” 

Nuha menggeleng.

Makin laju jari Ghazi menggeletek. Penuh bilik tersebut dengan hilai tawa Nuha. Tidak sesepi tadi. 

Alat kawalan jauh cepat-cepat dicapai apabila badan Nuha teralih sedikit. Bibir tersenyum lebar. Mengejek.

Ghazi bersandar semula ke kepala katil. Tangan menekan butang-butang di atas alat kawalan jauh. 

Chup !

Matanya terbuka luas. Selamba aje cium dia tak minta izin.

“Awak tak nak cium, biar saya je yang cium awak.” Kedua tangannya memegang pipi Ghazi. Dia tersengih memandang kerutan di dahi. 

Asyik berkerut aje. Cepat tua nanti baru tahu.

Selimut ditarik menyelimuti tubuh. Dia berbaring menghadap Ghazi yang leka menonton televisyen. Dia mengesot rapat ke Ghazi. Mata ditutup. Sekejap saja dia sudah dibuai mimpi.

Kepala Nuha diusap perlahan. Wajah yang sedang lena itu ditatap. Hilang terus rasa penat yang memberat.

Suhu penghawa dingin dinaikkan sedikit. Melayan Nuha seperti melayan dua orang Dena. Lagi teruk dari Dena yang kecil tu.

•••

Mata Zack dan Hazirul saling bertentangan. Zack berlagak setenang mungkin. Wajah Hazirul yang mula membengis itu membuat dia sedikit gentar.

Hazirul mencebik. Alkohol di dalam gelas di teguk sehingga kosong dan menghentak gelas tersebut ke atas meja kaca di hadapan mereka. Bunyi riuh orang menari liar di luar sedikitpun tidak menganggu suasana sunyi sepi di dalam bilik VIP mereka. 

“Kau sudah fikir masak-masak kah?” akhirnya dia membuka mulut. Alkohol sedikit sebanyak mengurangkan rasa marahnya kepada Zack. 

Zack mengangguk lambat-lambat.

“Cukuplah.” Tangan menghalang Hazirul daripada menuang penuh lagi alkohol ke dalam gelas. Dia tidak mahu Hazirul mengamuk pula di sini gara-gara khayal.

Hazirul membaling gelas di tangan ke dinding.

“Kau tak payah nak baik sangat dengan aku. Kau pergi lah melutut dekat Ghazi! Itu yang kau mahu kan?!” Ton suara Hazirul meninggi.

Zack mengeluh panjang. Dia kembali duduk di sofa. Terus memerhati Hazirul meneguk alkohol sepuas hati. Sudah berbotol-botol alkohol yang sudah habis diminum. Hazirul ini memang panas baran. Salah sikit saja, mula lah dia mahu mengamuk tak kena tempat. Sampaikan dia pun sudah malas mahu bergaul dengan Hazirul. 

Kolar baju Zack ditarik kuat.

“Kalau kau buat kerja betul-betul.. Pasti dia dah merempat dalam lokap.” Suara Hazirul bergetar menahan marah. 

Zack hanya membiarkan Hazirul terus bercakap seorang diri. 

Satu tumbukan hinggap ke mukanya. Tubuh terjatuh ke tepi. Rasa sakit di tepi bibir ditahan. Dia bangunkan semula badan dari terus terbaring. 

Memang dia sudah agak. Hazirul akan mengamuk. 

“Aku tak mahu masuk campur lagi. Kalau kau tak berani bersaing secara adil. Maknanya kau tak layak di kerusi tu!” Zack merenung tepat ke dalam anak mata Hazirul. 

Bertubi-tubi gelas dicampak ke lantai, melepaskan rasa marah. 

Tangan Zack mengarahkan beberapa orang pelayan yang datang membantu untuk berhenti dan membiarkan saja Hazirul mengamuk. 

Botol arak diteguk puas-puas. Keluhan kuat keluar dari bibir. Hazirul ketawa terbahak-bahak.

“Adil? Kau ingat semua yang terjadi ini adilkah pada aku!” riaknya membengis.

Zack mengesat darah yang keluar di tepi bibir. Dia cuba merangka kata yang paling sesuai untuk diucapkan didalam situasi sekarang untuk mengelak amukan Hazirul yang seterusnya. Hazirul sudah banyak berubah. Lelaki ini dulunya seorang yang tenang dan mudah dibawa berbincang. Tetapi, sejak..

“Kau blah! Aku tak nak tengok muka kau lagi depan mata aku!”

Zack melepaskan keluhan. Berat hati dia mahu meninggalkan Hazirul di dalam keadaan begini. Hazirul kawan baiknya. Mula-mula Ali pergi meninggalkan mereka tanpa jejak, sekarang Hazirul pula. 

“Mungkin ini yang terbaik untuk kau buat masa ini. Kau boleh berehat dan tenangkan fikiran. Kau sudah jauh berubah dari Hazirul yang aku kenal.”

“Terbaik kau kata? Kau tahu tak semua orang pandang aku macam sampah sekarang ni?!” dia mendengus. 

Tangannya memegang kepala. Air mata bergenang. 

Zack kembali duduk disebelah Hazirul. Belakang badannya diusap perlahan, memberi semangat kepada lelaki itu. Bukan sehari dua mereka kenal, sejak dari sekolah menengah lagi. Segala rahsia Hazirul di dalam poketnya. 

“Apa kata kau balik kampung? Cari dia.” dia memberi saranan. 

Hanya seorang saja yang boleh membantu Hazirul. Lebih tepat lagi, hanya dia seorang saja yang membantu Hazirul keluar dari dunianya. 

Hazirul menggeleng. Kedua tangannya di pandang lama. Tangan yang sudah terlalu banyak berdosa ini tidak mungkin diterima lagi. 

Dia ketawa sendiri mengenangkan betapa malangnya hidup dia. Seandainya dia mampu memutar kembali waktu..

“Kau baliklah dulu. Ambil masa kau. Mengenai hal syarikat, kita selesaikan kemudian. Lagipun, rata-rata semua ahli lembaga masih tidak percaya pada kemampuan Ghazi.” Mata menjeling Hazirul yang menunduk sepi. 

Hazirul ini nampak saja seperti lelaki yang berani, tetapi sebenarnya Hazirul adalah lelaki paling penakut dia pernah jumpa. Sepanjang bergelar CEO, tidak pernah sekalipun Hazirul berani membangkang ahli lembaga. Malah, dia pula yang jadi kambing hitam mereka. 

“Aku nak balik mana, bro? Bapak aku sendiri tak mahu tengok muka aku ni.”

“Kau nak aku carikan kau teman malam ni?” telefon pintar dikeluarkan. Mahu mencari mana-mana adik lelaki yang terluang untuk teman Hazirul malam ini.

“Tak payah! Aku tak ada mood.” Hazirul mendengus. 

Dia sudah bosan dengan seks. Seakan-akan tiada yang mampu memenuhi keinginan dirinya. Lelaki atau perempuan, semua dia sudah bosan. Hanya melepaskan amarah sahaja yang mampu membuat dia merasa sedikit puas dengan hidup. 

“Kau tak rasa jijik ke?” mulut bertanya kepada Zack. 

Entah kenapa sejak dua menjak ini, dia betul-betul merasa jijik dengan diri sendiri. Jijik dengan diri dia yang langsung tidak punya batas dalam apa saja. Kalau dia mahu lelaki, dia datang pada lelaki. Kalau dia mahu perempuan, dia datang pada perempuan. 

Zack tersentak mendengar pertanyaan Hazirul. 

“Kenapa? Sekarang kau rasa aku jijik ke? Sebab aku gay?”

Hazirul mengangguk. Tangan menggenggam penumbuk. Jalan hidup yang dia rasa penuh bahagia dulu, sekarang berubah jadi satu jalan paling hina pernah dia lalui dan dia langsung tidak boleh berpatah kembali.

Zack ketawa sinis. Hazirul sudah mahu jadi malaikat pula ke?

“Benda itu penting ke? Kau takut nanti kau mati, kau tak masuk syurga? HAHA! Rul.. Baik kau pergi masjid lah. Kau buat apa dekat kelab malam macam ni. Tempat kau layak dekat masjid. Dengar khutbah agama!” dia membalas semula.

Geram dia melihat respon Hazirul. Bukan dulu dia ke yang ligat memperjuangkan agenda LGBT ini. Kenapa sekarang nak menyesal? Hidayah sampai ke? Dah buat dosa itu, sudahlah. Tak payah nak kata orang lain salah pula!

Hazirul diam. Wajahnya berkerut. Mungkin banyak sangat berfikir. 

“Mungkin apa yang aku sangka selama ini salah. Mungkin cara aku hidup salah. This might not be the right way to live. All this freedom leads to disaster.”

“Heh! Disaster? Lepas kau dah puas hidup, bermaksiat sana sini.. Kau tiba-tiba nak jadi paderi pula? Oh.. Salah. Ustaz kan korang panggil. Sedar lah! Kita ni tak diterima dalam mana-mana agama. Semua agama ni prejudis. Only God can judge us.”

Zack menuang alkohol ke dalam cawan dan meneguk sekali habis. Kalau benar Tuhan itu tidak benarkan homoseksual dan LGBT, kenapa tuhan jadikan dia gay?

“Only God can judge us? I think that is the most selfish word you, me and other people have said.” 

Zack merenung Hazirul, kosong. Kenapa tiba-tiba Hazirul mahu berlagak suci pula ni. 

“Seseorang pernah beritahu aku, apa yang betul tetap betul. Dan apa yang salah, tetap salah.” Hazirul berkata lagi. 

“Jadi, kau nak cakap kewujudan aku dan kita semua ni salah? Maknanya, Tuhan tu buat salah lah! Kau cakap lah dekat Tuhan, apasal dia buat salah!”

“That’s not what I meant. Apa aku maksudkan, kenapa semua ini terjadi? Kenapa kita buat salah dan kita rasa kita betul. Kenapa adanya orang macam aku dan kau. Kalau kewujudan LGBT ini salah, jadi buat apa kita hidup. Akhirnya mati lepas itu masuk neraka.”

Tersembur ketawa keluar dari mulut Zack. 

“Tahu pun lepas mati masuk neraka. The most rational answer is, kehidupan selepas mati itu tidak wujud. Kalau kau benar-benar percaya sangat kan.. Macam mana kalau lepas mati, kau tak hidup balik? Sia-sia lah kau buat baik, jadi baik.. Ikut piawaian yang kononnya Tuhan tentukan tu.”

Hazirul menunduk semula. Dia bingung. 

Zack membuka pintu bilik VIP mereka, membiarkan bunyi bising muzik yang membingitkan telinga masuk ke dalam bilik. Kepalanya tergeleng-geleng mengikut rentak muzik dengan cawan alkohol di tangan. 

“Listen! Everyone yang pious sangat tu.. They don’t know a thing about God. Yang diorang tahu, buka kitab je. Lepas itu, cakap cara kita salah. Kena ikut cara hidup yang mereka tentukan. Tapi, diorang sendiri tak bahagia pun! Masuk neraka juga! Buat dosa juga! Porn? Berlambak lah budak sekolah agama, sekolah katolik layan porno. We are not different at all. Kau ingat jadi pious ni, boleh padam semua dosa-dosa kau ke?”

Tangan direhatkan di atas bahu Hazirul. Hazirul sepatutnya bersyukur ada dia yang sanggup bersusah-payah bersama.

“Kau tak ingat macam mana keluarga kau buang kau bila kau kata kau gay? Aku dan komuniti ini yang bersama kau tau.. Kami ni lebih macam keluarga dari keluarga engkau sendiri.” Zack menambah lagi kerunsingan Hazirul. 

Hazirul terus membisu. 

“Aku tak kisah kau nak jadi straight balik semula.. Tapi, kau ingat! Selangkah kau tinggalkan kami, kau tak dialu-alukan lagi. Masa itu, kau jangan merintih pula tak ada kawan yang sudi dengan kau. Kalau kau rasa pak ustaz boleh jadi kawan lagi baik dari kitorang, silakan.” Suara Zack sedikit kuat.

Hazirul kembali meneguk air beralkohol di dalam botol. Kalini lebih lama pula tegukannya. Hampir separuh kosong.

Selesai meneguk, dia bangun dari duduk. Terhuyung-hayang. 

“Aku nak balik.” kepala sudah mula mahu pening. Kalau tadi pikirannya sarat dengan masalah, sekarang kepala terasa lebih ringan.

Tangan Zack menyokong tubuh Hazirul. Langkah kaki juga menjadi tidak stabil kerana menampung berat lelaki itu. 

“Jom, aku hantar kau balik. Kondo kan?” 

Hazirul mengiyakan. 

Sebelum keluar, Zack sempat menahan seorang pelayan dan meminta pelayan tersebut untuk memasukkan segala jumlah ganti rugi ke dalam tab-nya. Dia akan bayar semua nanti.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience