BAB 9

Romance Series 18773

Nuha masuk ke dalam bilik dengan perasaan berang. Dia menghenyakkan punggung ke atas sofa. Alat kawalan penghawa dingin ditekan. 

Kalau dia tahu siapa yang menganiaya Ghazi, pasti dia pergi serang orang tu. 

Mata menunduk memandang lantai. Kaki menguis-nguis karpet bulu berkualiti tinggi dan lembut itu. Hati nya sayu. 

Puas dia memikirkan siapa orang yang menghantar geng-geng motor tersebut untuk membelasah Ghazi. Lelaki itu langsung tidak buat salah apa pun. 

Pulak tu, Ghazi pula yang akan ditahan reman usai keluar dari hospital nanti. Sebab? Penjaga budak budak motor yang masuk wad itu memfailkan kes ke atas Ghazi. Kecederaan yang anak anak mereka alami lebih teruk dari Ghazi. Undang-undang apakah ini!

Yang Ghazi pun satu. Tak tahu nak melawan langsung. Kalau dia tidak bersalah, lawan aje lah. Hish. Ni diam dan terima saja. 

Nuha berfikir fikir akan cara untuk melepaskan Ghazi dari kes berat ini. Dan dia pasti ada orang lain di sebalik semua ini. Ghazi suka benar berahsia dengan dia. Itu yang buat dia lebih sakit kepala. 

Ghazi perlu cakap dan minta saja pada dia. 

"Cakap sajalah! 'Nuha, tolong aku.' Kan mudah?" 

Tapi tidak. Dia mahu setel sendiri juga. Macam lah banyak sangat duit dia mahu naik mahkamah nanti.

Dia bengang dengan perangai ego Ghazi. 

"Bagus. Pergilah duduk dalam penjara tu. Tak payah keluar. Baik sangat kan." Bebel Nuha seorang diri. Lengan memeluk tubuh. 

Tiba tiba bibirnya tersenyum lebar. Kedua-dua pipi yang semakin memerah dipegang. 

"Hati-hati balik. Aku call nanti, kau dekat tempat lain. Siap kau aku cari sampai dapat." 

Terngiang-ngiang pesanan Ghazi ketika dia mahu pulang tadi. Garang-garang pun dia masih dapat merasakan kasih dan keprihatinan Ghazi padanya. 

Iphone dari dalam beg di keluar kan. Dia menaip-naip di atas skrin telefon pintar keluaran Apple tersebut sambil senyuman masih tidak dapat disembunyikan. 

'Saya dah sampai rumah.' 

Butang hantar ditekan. Telefon di letak ke dada. Bahagianya! 

Notifikasi masuk. Cepat cepat dia duduk tegak. Mata di tutup dan menekan skrin. 

Selepas itu mata dibuka perlahan-lahan. Berdebarnya mahu membaca balasan dari Ghazi. 

' k. ' 

Senyuman Nuha mati. 

Ghazi ni memang lah! Sekurangnya tulis lah penuh kan! Hish! 

Telefon dibaling ke sebelah. Panas betul hati membaca balasan Ghazi. Nak taip 'okay' pun malas sangat. Tak payah pakai telefon lagi bagus!

Jari naik ke butang baju hadapan. Satu satu butang sleeveless top-nya dibuka. Niatnya mahu mandi dan selepas itu dia harus menyiapkan segala tugasan belajarnya.  Deadline pun sudah semakin hampir. 

Ting! 

Bunyi notifikasi masuk lagi. Malas malas Nuha kembali ke sofa tempat dia duduk tadi. Jari menyentuh skrin. 

'Jangan lupa makan.' 

Mesej dari Ghazi lagi. 

Nuha gigit bibir. Matanya seakan tidak percaya apa yang dibaca. Dia melompat setempat kerana terlalu teruja dan gembira.

Terus rasa mahu turun ke dapur dan makan terlebih dahulu sebelum mandi. 

Butang baju dipasang semula. Nuha berlari lari anak sambil bernyanyi riang turun ke bawah. 

•••

Telefon di letakkan semula di atas meja. Dia sudah siap siap mahu membaringkan tubuh dan tidur. Tadi dia sibuk melayan doktor Nazrin dan jururawat jururawat cantik mencuci luka. 

Penghawa dingin di kecilkan. Hijjaz sudah hilang entah ke mana agaknya. Dari tadi keluar tak balik-balik. 

Ghazi merenung memandang dinding yang kosong. Sebahagian dirinya rasa serba salah kerana memungkiri janjinya pada Ayah. Dia tidak sepatutnya izinkan 'benda' itu mengawalnya. 

Ketukan di pintu buat Ghazi jadi sedikit terkejut. 

Wajah Hijjaz muncul dari sebalik pintu. 2 bungkus beg kertas McDonald berada di dalam pelukan. Hijjaz masuk dengan penuh hati-hati. Sesekali dia memandang ke luar pintu untuk memastikan tiada jururawat yang melihat dia dan beg kertas McDonaldnya. 

Beg kertas di letak kan di atas meja dan meja beroda itu ditarik mendekati Ghazi. Ghazi yang tadi sudah berbaring, bangun semula. Tangan diseluk masuk dan beberapa batang kentang goreng di capai dan di sumbat ke mulut. 

Hijjaz naik ke atas katil dan duduk bersila berdepan dengan Ghazi. Burger BCG dikeluarkan. Untuk Ghazi pula Triplecheese Burger. Pek yang membungkus burger itu di buka. 

Mulut di buka luas-luas dan mengunyah makanan dengan rakus. 

Ghazi dilihatnya mencicah kentang goreng ke dalam sos dengan tangan kiri.

Hijjaz merenung ke dalam anak mata Ghazi mencari jawapan. Begitu banyak persoalan yang timbul di fikirannya. 

"Apa?" Soal Ghazi apabila ditenung seperti mahu ditelan. Mulut terus menyumbat kentang goreng. 

Hijjaz menghela nafas panjang. 

"Ghazi. Kau tak nak cerita apa apa ke pada aku? Tentang apa yang jadi. Macam mana kau pukul budak-budak itu separuh mati?" 

Ya. Separuh mati. Baru tadi dia pergi melawat mangsa-mangsa Ghazi. Sukar mahu dia gambarkan kalau itu kena pada dirinya sendiri. Memang dah lama dia K.O. 

Ghazi memandang wajah Hijjaz. Mata lelaki itu masih tidak berganjak dari memerhati wajahnya. Hijjaz memang sungguh sungguh. 

"Kalau aku beritahu, aku tak nak kau buka mulut pada sesiapa. Rahsia aku biar jadi rahsia aku." 

Hijjaz mengangguk laju. 

"Apa kau dengar pasal aku di kampung tu semuanya betul. Aku dapat warisan tok moyang aku." Ghazi mula berbicara. Air pepsi di atas meja diambil dan disedut puas puas. 

Hijjaz setia menanti kata kata Ghazi yang seterusnya. 

"Sejak aku kecil lagi aku memang ada pendamping. Masa kecil, ayah aku ingat aku ni ada kawan imaginasi saja tapi benda tu melekat dengan aku sampai besar.. Ikut pada ingatan aku, dari aku kecil aku ingat benda tu salah seorang dari ahli keluarga kami yang duduk sama dengan kami. Jadi setiap kali aku bercakap sorang-sorang, ayah aku orang yang paling risau."

".. Jadi ayah aku tanya atok aku. Atok aku pun tak tahu. Atok aku minta orang orang tua di kampung Atok aku untuk tengok kan. Jadi.." kata-katanya terhenti. Mata tetap ke wajah Hijjaz. Lama. 

"Jadi?" Hijjaz sudah tidak sabar sabar. 

Ghazi buat muka selamba. Kentang goreng terus di sumbat masuk ke dalam mulut. 

"Atok tu cakap, yang melekat dekat aku ni warisan tok moyang aku. Sepatutnya memang dah di buang. Boleh kata ditinggalkan selepas tok moyang aku mati. Banyak ritual mereka buat untuk ingatkan si pendamping yang tok moyang aku dah mati. Tapi.."

"Tapi?" Hijjaz jadi lebih tidak sabar. Mulutnya juga sudah berhenti dari mengunyah. Cerita Ghazi lebih menarik dari cerita cerita seram dia pernah layan di pawagam. 

Ghazi senyum sinis. 

"Benda tu melekat dekat aku lah pulak." ringkas saja dia mengakhiri cerita. 

Hijjaz tidak puas hati. Apani?! 

Cerita tak detail betul. Macam mana boleh melekat dekat Ghazi pula?!

Ghazi ketawa kecil. Memang sengaja dia buat suspen. Baru lah best! 

"Tak ada lah. Atok yang tengok tu dia tahu benda ni tok moyang aku punya sebab dia selalu nampak benda ni duduk atas kubur atau berdoa sebelah kubur tok moyang aku. Lepas itu, bila dia datang rumah aku, dia cam lah benda tu. Kebanyakan masa benda tu tak memudaratkan aku pun cumanya Tok Moyang aku dulu ambil benda ni buat perubatan dan kekebalan. Orang dulu dulu. Cam biasa lah. Sebab klise." 

Hijjaz mengangguk. Kalini dia pula yang menghirup air pepsi. 

"Macam saka ke?" Soalnya. 

Ghazi menggeleng. 

"Tak. Saka ni perjanjian. Memang harus dan wajib diturunkan. Kalau macam kes tok moyang aku ni, dia dapat dari hasil pergi bertapa bertahun tahun. Kau jangan nak tanya aku pula mana dia pergi bertapa. Aku mana tahu, dia dah lama mati sebelum aku lahir lagi. Ayah aku pun tak lahir lagi masa dia mati. Nasab aku dengan dia dah jauh sangat dah." 

"Ohh…" Mulut Hijjaz sudah melopong. Leka. 

"Atok aku cakap benda ni bunian. Benda ni melekat dekat aku sebabnya aku kuat semangat masa kecil dulu. Satu lagi sebab aku ni darah panas. Memang ciri ciri yang dia suka lah. gitu." 

Ghazi makan dengan berselera. Dia berharap Hijjaz adalah orang yang tepat untuk dia berkongsi rahsia. Kalau Hijjaz berani-berani buka mulut, memang dia belasah Hijjaz sampai warded. 

"Masa kecil, benda ini tak ganggu hidup aku. Siap aku boleh bermain-main lagi dengan dia. Tiap malam ayah aku tarik aku tidur dengan diorang sebab malam malam aku selalu tak tidur sebab main dengan 'bendahalu' tu." 

"Masa kecil juga aku ada perangai pelik di mana aku selalu lah cuba benda benda bahaya. Tapi Alhamdulillah, hidup sampai sekarang. Mama aku cakap aku ni lasak bukan main. Memang susah nak cakap."

"Jadi bila dah besar ni aku selalu juga terfikir, aku ingat benda yang aku buat masa kecik ni normal. Sebab aku nampak benda tu buat yang sama. Contohnya panjat pokok malam malam, atau berdiri atas air atau duduk bertenggek atas bumbung malam-malam. Kira aku ni terdidik hasil dari tengok dia lah. Aku ingat dia orang betul macam aku. Apa dia buat, aku pun nak cuba juga." 

Hijjaz hanya mendengar. Patutlah Ghazi ni suka buat perangai pelik pelik dulu. Tak ada rasa takut langsung. 

"Bila masuk silat dan lain lain seni mempertahankan diri, perlahan-lahan aku rasa benda tu sebati dengan diri aku. Percaya tak kalau aku cakap, masa sekolah dulu aku selalu nampak benda ni bersilat depan rumah aku. Aku jadi takjub dengan cara dia jadi aku selalu berlatih sekali." 

"Bila dah praktis, aku cuba amalkan lah kan. Dekat korang ke, dekat gelanggang silat ke. Tapi bila darah aku panas, aku tak dapat kawal diri. Setiap kali aku marah, badan aku rasa terbakar. Macam sedang kena bakar hidup hidup."

Membulat mata Hijjaz. Selama ni dia kena pukul dan belasah dengan Ghazi sebab Ghazi tengah praktis silat kat dia rupanya. Tak guna!

Ghazi mengeluh. 

"Itu lah sebabnya sampai separuh mati budak budak tu aku kerjakan. Self-Defense aku kuat. Benda tu bantu aku. Janganlah kau tanya aku kenapa sampai separuh mati aku belasah budak-budak tu. Aku pun tak sedar apa aku buat. " 

Hijjaz mengangguk lagi. Dia faham keadaan Ghazi. Tiba-tiba satu persoalan terdetik didalam fikirannya. 

"Jadi Ghaz. Aku dah lama lah nak tanya since aku tak pernah nampak kan. Macam mana rupa benda halus tu? Macam puntianak ke? Muka hodoh, rambut panjang? Baju putih berdarah? Kau boleh nampak lah kan.." 

Dahi Hijjaz dijentik. Banyak sangat tengok wayang, macam ni lah jadinya. 

Hijjaz memegang dahi. Sakit nak mampus! Jentik pun sakit. Kalau kena siku lah dahi dia ni, mahu retak juga tempurung dia. 

"Banyaklah kau. Tengok lagi wayang banyak-banyak. Aku boleh nampak dia je. Lain lain aku tak nampak. Kalau aku boleh nampak semua tu, dah lama aku tunjuk dekat kau. Hospital ni lagi berlambak benda tu agaknya." Gelak Ghazi. 

"Wajah dia eh.. Hm. Macam manusia lah. Kalau macam hantu yang kau gambarkan tu, memang tak lah aku boleh ingat dia ni family aku masa aku kecik dulu. Bebal." 

Hijjaz pula ketawa mengekek. Ya tak ya juga. Boleh tahan bodoh juga dia ni. 

"Muka dia camne? tua tak? Iya lah. Kalau dari zaman tok moyang kau, kira tua gila dah lah kan. Tua kerepot? Nama dia kau tak tanya ke? Mana tahu nama dia ada dalam sejarah. Fuh." Bertubi tubi soalan dia bagi. 

Ghazi hanya menggeleng. Hijjaz ni ingat cerita dia ni macam cerita hero marvel ke apa. 

Dia berfikir fikir sejenak. 

"Muka dia, masa aku kecik. Dia baya ayah aku. Bila aku dah besar, dan ayah aku dah semakin tua, dia nampak lagi muda dari ayah aku. Muka dia, hm.. bersih? Tah la. Susah aku mahu jelaskan. Dia selalu pakai baju warna hitam atau zamrud. Rambut dia macam rambut aku juga panjangnya. Atau boleh kata aku yang tiru rambut dia sebab dari kecik aku rasa dia ni satu sosok yang gagah. Idola camtu." 

Ghazi berfikir-fikir lagi cuba mengingat lebih banyak tentang 'benda' yang selalu mendampinginya. 

"Aku pernah berborak dengan dia berapa kali je sepanjang 25tahun aku hidup ni. Apa boleh aku cakap, He's one wise man. Dia cakap bila perlu dan kata kata dia penuh hikmah. Cara dia bercakap sopan, macam orang dulu dulu. Nama dia pula. Hm.. Ghazi." 

Bulu roma Hijjaz menegak. Cara Ghazi menyebut namanya sendiri tadi dirasakan amat menyeramkan. Macam bukan Ghazi yang sebut.

"Ghazi? Itu kan nama kau." Hijjaz gelak dibuat-buat. Cuba menghilangkan rasa seram sejuknya. 

Ghazi mengangguk. 

"Ha'ah. Nama aku. Memang aku tak percaya lah itu nama dia bila dia beritahu aku nama dia Ghazi. Tiba-tiba aje boleh kebetulan pula. Mengarut!" 

"Tapi, bila aku fikir-fikirkan semula. Sebenarnya itu memang nama dia. Maksud aku, diri dia bersatu dengan diri aku. Hidup aku adalah hidup dia. Dia mungkin mengikut kehidupan orang yang dia dampingi. Dan hidup aku dan dia adalah satu kehidupan yang sama. Secara automatiknya, nama dia pun Ghazi. Kalau dia hidup berdamping dengan tok moyang aku, aku pasti nama dia kaduk masa tu." Sambung Ghazi lagi sambil meletakkan tangan di dagu. 

Hijjaz mengangguk. Ada betulnya juga. 

"Ah! Satu lagi. Selalunya kan benda camni takut ayat ayat quran. Kau selalu gi masjid semua tu sebab kau nak elak dia lah eh? Sejak kes silat tu, kau dah selalu tak lepak dengan kita orang, lepastu duk melepak dekat masjid aje." soal Hijjaz panjang lebar. 

Sekali lagi dahinya dijentik kuat. 

Koma juga aku ni kejap lagi sebab kena jentik. Sakit lah!

"Kau ingat aku pergi masjid, solat tunggang terbalik sebab nak kan hikmahnya saja kah? Aku nak dekatkan diri dekat tuhan pun salah. Apalah."

Hijjaz menyengih. Terasa bersalah pula. 

"Aku solat, dia pun solat. Aku masuk masjid, dia pun masuk masjid. Kalau aku kafir, dia pun kafir. kau faham?"

"Ohh. Ya tak ya. Kau cakap dia ikut hidup kau kan. Kira dia ni macam parasite dalam hidup kau lah. Dia menumpang. Apa kau makan, dia makan." 

Ghazi mengangguk. Triplecheese burger di tangan disumbat masuk ke dalam mulut.

"Ehhh. Tapi kau cakap tok moyang kau ambil benda ni untuk tujuan perubatan dan kekebalan. Kau tak kebal pun aku tengok? Masuk hospital juga. Ragu ragu betullah dengan mindset Atok Moyang kau ni." 

Hijjaz mengecilkan mata. Iya lah. Kata kebal. Ni atok moyang Ghazi kena tipu dengan bunian ke macam mana ni. 

"Entah lah. Aku rasa kekebalan yang dimaksudkan kat sini ni untuk elak aku mati sia sia je kot. Kau rasa aku boleh hidup lagi ke kalau dah kena belasah beramai ramai macam tu. Takde belas kasihan langsung dekat aku, kau tahu?! Lagi satu, kalau betul kebalnya, asal tok moyang aku mati muda? Ceh." 

Ikutkan dia tidak begitu percaya dengan benda-benda mengarut begini. Kekebalan? Memang satu haram jadah dia tidak termakan. Rasa kebergantungan kepada Allah itu penting. Bukan bergantung kepada benda halus begini. 

Dia cuma mangsa keadaan saja disini. Mangsa atas hasil kekarutan Atok Moyang sendiri. Kalau Atok Moyangnya masih hidup, mahu dia basuh orang tua itu. 

"Ha'ah. Patutlah tadi doktor Nazrin cakap pada aku yang kau punya healing skill lain macam. Tulang rusuk kau yang retak tu, makin pulih. Katanya kalau orang lain, tak boleh bangun woi. Kau rilek lagi boleh makan burger." Sempat dia mengutuk Ghazi. 

Ghazi membaling kertas burgernya ke muka Hijjaz.

Yang itu dia tidak mahu ambil tahu. Memang dari kecil dia punya healing skill tubuh yang sangat bagus. Bukan sebab benda benda pendamping ini.

"Tapi, ingat Hijjaz. Kau bawa saja cerita aku ni sampai kubur kau. Jangan buka mulut. Kalau tidak, aku suruh dia santau kau!" Ghazi menakut-nakutkan Hijjaz. 

Mulut Hijjaz ternganga. Walaupun dia tidak percaya dengan ugutan Ghazi tapi memikirkan kemungkinan pendamping Ghazi ada dan dengar apa yang mereka borakkan ini, dia jadi takut pula. 

Mulut di-zip tanda rahsia ini akan dibawa sampai kubur.

"Habistu, kes kau macam mana?" 

Ghazi mengangkat bahu. Dia malas mahu memikirkan benda begini buat masa sekarang. Dia berharap dia boleh minta peguambela saja nanti. Ikutkan untuk mengupah peguam sendiri, dia jauh dari mampu. 

Hijjaz memikirkan cara untuk mengeluarkan Ghazi dari situasi berat ini. Ada kemungkinan Ghazi boleh menang kes kalau ada bukti yang kukuh tapi semua saksi tidak nampak kejadian penuh. Dan kebanyakan mereka yang terlibat semuanya memutar belit cerita. Kalau hanya cerita Ghazi seorang saja yang betul dan tanpa bukti pula tu, berhasilkah? 

Wajah Ghazi dipandang. Sekarang dia harap Ghazi dapat guna otak genius-nya untuk keluar dari masalah ini. 

Aha! Mungkin boleh membantu. 

"Ghaz. Kau tidak rasa ke kau boleh minta Nuha tolong kau? Weh, kau tahu kan Nuha tu siapa? Sekali petik, kes kau boleh gugur terus tau." 

Dia sudah selidik latar belakang gadis itu tadi. Dia juga mengekori Nuha dari belakang sampai ke rumah gadis itu. Ghazi betul betul dah jumpa lombong emas! 

Ghazi menggeleng. Tangan kirinya di gerak-gerakkan tanda dia tidak mahu Nuha terlibat. Boleh kata, dia tidak mahu berhutang budi dengan gadis itu. Nanti macam macam lagi kerenah Nuha dan muka cekodok pisang Nuha dia perlu hadap.

Hijjaz mengeluh. Apalah Ghazi ni! 

Ini bukan masa nak jaga air muka! 

"Haish. Aku tak tahu lah apa yang kau ego sangat dengan dia, Ghazi. Baik aje aku nampak Nuha tu. Kalau kau suka dia, cakap sajalah." Bebel Hijjaz. 

Tersembur air pepsi ke luar dari mulut. Wajah Hijjaz lah mangsa semburan dia. eww.

Sakit tulang rusuk dia menyembur tiba tiba. Adeh..

"Gila ke? Aku tak suka dia lah, oi."

Nak putus nyawa dengar kata kata Hijjaz. Baik aku mati aje lah kalau sampai orang cakap aku suka kan Nuha ni. Budak kerek tu? 

Kepala dipicit-picit. Kenapalah semua orang asyik mengaitkan dia dengan Nuha Irdina! 

"Ah, kisah pula aku kalau kau suka dia atau tidak. Tapi kalau kes ni drag sampai perlu naik mahkamah, biar aku saja yang pergi minta budi baik Nuha tu. Anggap saja aku yang berhutang budi pada dia. Dia nak buat apa dekat aku pun, aku sanggup. Daripada aku kena menghadap ayah kau di kampung, beritahu yang kau masuk penjara. Aku lagi sanggup Nuha tu jual aku, tahu tak."

Puas hati Hijjaz. Ghazi ini kalau nak tunjuk hero depan perempuan pun, ukur lah baju di badan sendiri dulu. 

Ghazi menarik selimut dan terus berbaring. Hijjaz tidak dipedulikan. Baik dia tidur dari mendengar bebelan Hijjaz ini.

"Ha, tidur! tidur! Aku tengah cakap hal penting ni. Kau pergi tidur pula." Kertas kertas sampah McDonald tadi dikemasnya. 

Nasib kawan baik, tau. Dia sanggup bersusah susah demi Ghazi. 

•••

Keadaan jalan raya yang lengang pada pagi hujung minggu menambahkan keriangan hati Nuha Irdina. Punat kawalan audio radio itu dikuatkan. 

Lagu kpop nyanyian dari HyunA itu dimainkan. Sesekali bibirnya mengikut lirik lagu badannya pula digerak-gerakkan mengikut rentak. Kedua belah tangan mengawal stereng keretanya. 

Kereta Mini Cooper tersebut masuk ke perkarangan hospital dan diparkir berhampiran pintu masuk. 

Beberapa jenis tupperware berwarna-warni yang diletakkan di tempat duduk belakang dicapai. Dia melihat-lihat solekannya di cermin sebelum keluar dari kereta. Destinasi yang dituju adalah bilik Ghazi. 

Punat kunci kereta ditekan untuk mengunci. 

Baju blouse berwarna ungu cair separa lutut, rambut dibiar lepas melepasi bahu sehingga ke pinggang. Cuma hari ini pakaiannya menutup bahagian atas nya. Dia tahu Ghazi tidak suka. 

Punat lift ditekan. Hampir 5minit juga dia menunggu untuk pintu lift terbuka. Sebaik sahaja pintu lift terbuka, wajah Hijjaz adalah manusia pertama yang dia lihat. 

"Eh, Cik Nuha. Nak naik jumpa Ghazi ke?" Sapa Hijjaz yang dari tadi sibuk menghadap telefon pintarnya. 

Nuha mengangguk sambil tersenyum. Sebelum masuk ke dalam lift, sempat dia bertanya akan tujuan kepergian Hijjaz. Lelaki itu perlu hadir ke kelas memandangkan ada hal yang perlu dia selesaikan dengan kawan kawan.

Hijjaz meminta dia untuk tolong tengok-tengokkan Ghazi sepanjang pemergiannya dan membantu lelaki itu apa yang patut. 

Nuha melambai -lambai ke arah Hijjaz. Lelaki itu hanya tersenyum manis. 

Hensem juga. Tapi Ghazi aku hensem lagi. Ha Ha ha ! 

Nuha bernyanyi riang menuju ke bilik Ghazi. Sesekali tersenyum ke arah jururawat yang bertugas. 

Pintu dia buka tanpa mengetuk. 

"Awak.. eh, awak! Awak buat apa? Meh sini orang tolong." 

Nuha cepat-cepat mendekati Ghazi yang dari tadi terkial-kial membuka bajunya. Dia membantu Ghazi menarik keluar bajunya dari badan pada masa yang sama tidak terlalu menggerakkan tangan yang bersimen. Takut lain pula yang jadi. 

"Alah. Tak payahlah. Aku buat sendiri je." Ghazi cuba menghalang tetapi gagal. Nuha yang degil ni, main sukahati dia aje masuk tak ketuk pintu. 

Kalau aku tengah buka seluar tadi macam mana. Hah. 

Baju nya sudah siap di buka menyerlahkan tubuh Ghazi yang sedang dan berotot di bahagian bawah perut. Untuk sesaat dua dia tidak dapat mengalihkan pandangannya. Selepas itu dia cepat-cepat memandang ke arah tingkap.

Buat malu aje lah kau ni, Nuha. Anak teruna orang tu!

"Seluar?" Soal Ghazi. Iya lah. Dah rajin sangat buka kan baju, buka kan sekali lah seluar ini. 

Wajah Nuha Irdina memerah. 

"Tu awak buka lah sendiri!" 

Pulak. Tadi berani sangat nak tolong. Ceh. Penakut rupanya. 

Bibir menyimpan senyum. Rambut Nuha ditarik sebelum berlalu masuk ke dalam bilik air. Terjerit kecil gadis itu kerana sakit. 

Pintu bilik air tertutup. Nuha duduk menenangkan jantungnya yang berdebar hebat. Kalau Ghazi suami dia, dah lama dia peluk. 

Mak aih. Gatalnya engkau Nuha Irdina Uzair ! 

Bantal dan katil Ghazi dikemas ala kadar. Baju yang tadi dibuka pun dilipatnya kemas-kemas. Apa? Ingat dia ini anak orang kaya yang manja sampai tidak tahu buat kerja rumah ke. Please lah! Kacang aje ni. 

Telefon Ghazi di tepi katil di ambil dan di alih ke meja sementara dia mahu mengemas cadar katil yang tidak lurus. 

Tiba-tiba fikirannya menjana idea. Telefon pintar Ghazi di capai. Dia mencuba nasib. 

"Yes!" Jerit nya dalam keadaan berbisik. teruja.

Nasib Ghazi tak pakai kata kunci. Fuh. Berani betul Ghazi ni tak kunci telefonnya. Tapi kalau tak kunci, maknanya tak ada lah benda tidak senonoh dalam ni kan. 

Nuha terharu. 

Iya lah. Lelaki selalu jaga dan kunci telefon elok-elok sebab ada simpan benda tak senonoh, tak pun curang. Selalunya begitu lah. Abang Ali dulu pun paling pantang orang check telefon nya sebab ada benda yang dia sorok. 

Apa apa aje lah. 

Peti whatsapp dibuka dan dia mencari namanya. Jari menaip sesuatu dan butang hantar ditekan. Telefon pintar tersebut diletakkan semula apabila bunyi kunci pintu bilik air dibuka. 

Nuha buat muka selamba seperti tidak bersalah. Telefon nya dibuka dan dia screenshot siap-siap mesej yang ditulis dari fon Ghazi tadi. 

"Apa kau buat senyum sorang-sorang ni?" Ghazi curiga. Mata dikecilkan..

Cuba menilai kejujuran Nuha. 

"Kau ada buat something eh?"

"Mana ada. Tak baik tau fitnah orang." Cepat cepat Nuha counter-attack semula. Perasaan bersalah disembunyikan disebalik mata yang bulat dan meyakinkan. 

Ghazi duduk di atas katil. 

"Awak nak makan tak? Saya ada bawa makanan dari rumah." Nuha cuba menukar topik. 

Dia menolak meja beroda itu mendekati Ghazi di atas katil. Tupperware berwarna warni dengan pelbagai lauk itu di buka dan dihadapkan di depan Ghazi. 

"Kau masak ke?" Soal Ghazi. 

Mata tajam merenung ke arah gadis berblouse ungu itu. Harini pemakaiannya nampak lebih elok dari semalam. 

Didalam hati dia memuji. 

"Ha, tak apa. Dah tahu dah." Belum sempat Nuha membalas, dia sudah jawab sendiri. 

Nuha mencebik. Saja aje nak menyakitkan hati dia. Iya lah! Memang bukan dia yang masak. 

Tetapi sekejap saja sakit hatinya membara, selepas itu sejuk semula sebaik sahaja melihat Ghazi mencapai sudu dan menyuap sup ayam yang dibawanya ke mulut. 

"Pandai mak kau masak. Sedap." Komen Ghazi sambil memuji keenakan masakan Datin Zarina. Tangan sambung menyudu makanan masuk ke dalam mulut. 

Sebenarnya dia sudah muak dengan makanan hospital. Tak ada rasa langsung. Tak lalu mahu telan.

Mata Nuha membulat. 

"Macam mana awak tahu Mummy yang masak?" soalnya kepada Ghazi.

"Yelah. Tak kan kau pula yang masak. Kalau kau masak, aku tak komen sedap. Sebab aku tahu, mesti tak sedap punya." Balas Ghazi. Sempat lagi perli dia. 

Ya tuhan. Rasa nak tolak je mamat ni jatuh ke bawah. Biar padan muka dia! 

"Tahu lah! Orang tanya mana awak tahu mummy yang masak. Entah entah orang gaji yang masak. Ha?" Nuha masih tidak puas hati. 

Kenapa lah setiap kali berjumpa, ada saja kata kata lelaki ini yang buat dia sakit hati. 

"Air tangan orang gaji tak sedap macam air tangan mak." Ringkas saja jawapannya. 

Nasi di dalam bekas lagi satu didekatkan di hadapannya. Dia menyudu nasi ke dalam mulut pula. Peduli lah doktor marah atau tidak. Boleh mati kebulur dia makan makanan tidak ada rasa hospital ini. Tidak habis habis bubur tawar yang dia perlu hadap. 

Nuha mengambil cawan di meja tepi katil dan menuang air teh'o yang dibawa dari rumah. Ini semua mummy masak khas untuk Ghazi apabila dia memberitahu keadaan Ghazi di hospital kepada Mummy malam semalam.

Pagi-pagi lagi Mummy sudah kejut dia supaya pergi menghantar semua makanan ini kepada Ghazi. Kenapa tiba-tiba dia rasa dia anak tiri? Pertama kali Mummy marah dia pagi tadi sebab malas bangun.

Cawan berisi air teh'o diletakkan di depan Ghazi lalu duduk memerhati Ghazi makan dengan penuh berselera. 

Tidak sia sia dia bangun awal pagi. Kalau dia tahu Ghazi ke bulur sebegini, pukul 6 pagi tadi dia sudah sampai ke sini. 

Gembira hatinya melihat Ghazi begitu berselera 

"Lama lagi ke awak kena duduk hospital?" 

Ghazi mengangguk. Malas mahu jawab. Dia mahu makan. 

Nuha mendiamkan diri memberi Ghazi keselesaan menikmati makanannya. Telefon pintar di keluarkan dan dia membuka whatsapp. Teks yang tadi dia tulis dari telefon Ghazi dibaca. 

'I love you'

Nuha menahan diri dari tersenyum. Takut Ghazi perasan pula.

'I love you too'  

Balasnya di dalam hati. 

Walaupun dia tulis sendiri, tapi rasa macam Ghazi yang tulis. Ha Ha Ha. 

Lelaki itu dipandang sembunyi-sembunyi. 

Rambut Ghazi yang tidak berikat dan panjang sehingga ke bahu itu menyerlahkan lagi kehensemannya. Rambut Ghazi lebih cantik dari rambut dia walaupun dia hari hari pergi salon pun tidak akan dapat layer cut semula jadi macam Ghazi. Siap berwavy-wavy lagi volume rambutnya.

Dia dapat membayangkan jika lelaki itu berambut pendek. Mesti lagi hensem dan nampak lagi garang dari sekarang. 

Ghazi ini sepatutnya jadi model. Ataupun jadi abang askar atau polis. Mesti menakutkan. Tak ada siapa berani lawan. 

Ketukan di pintu menghentikan kelakuan Nuha. Ghazi juga begitu. Terhenti seketika suapannya. Mata memandang ke arah pintu.

Wajah dia tolehkan menghadap Nuha. Mata mengajukan persoalan. Nuha pula hanya mengangkat bahu sebagai jawapan kepada apa sahaja persoalan Ghazi sekarang ini. 

Bertelepati pula diorang ni. 

"Assalamualaikum ya Ghazi.." Ban memberi salam sambil kepalanya menjengah ke dalam sebelum melangkah masuk. 

Hok aloh. Ban rupanya. 

Ghazi membalas dengan anggukan dengan tangan kiri diangkat separuh. Jawab dalam hati sudah cukup. Mulutnya penuh. Tidak sopan pula kalau dia bercakap dalam keadaan mengunyah begini. 

Mata Ban terpandangkan Nuha yang sedang duduk di sofa. Lawa macam biasa cik Nuha ni. Sungguh benarlah Ghazi ini buta. 

"Wow. Cik Nuha ada dekat sini juga. Teman cik abang sayang ke?" Usik Ban sambil menayang susunan giginya.  

Satu plastik makanan dan minuman yang dibeli dari kedai runcit di tingkat bawah diletak di atas meja. Tiada buah tangan yang mewah, ada roti aje. 

Ghazi membantah apa yang di katakan Ban. 

Pandai pandai aje mamat ni. Sahaja mahu buat perkara jadi lebih rumit. 

Nuha menjeling. Geram betul dengan Ghazi ni. Apa salahnya pun. 

Mereka berdua bertukar-tukar cerita. Bermula dari kisah dia dipukul beramai-ramai sampai lah ke kes dia akan di tahan reman selepas keluar nanti. Dia buat keputusan untuk beri kerjasama saja buat masa sekarang. Lain-lain akan difikirkan kemudian kalau benar kesnya akan dibuka di mahkamah. 

"Kau yang kena pukul, kau yang akan disalahkan? Wow. Hebat betul." Ban sudah tergelak mendengarkan cerita Ghazi. Kesian pun ada. 

Ghazi hanya menyengih. Dia pun pening juga tetapi buat masa sekarang, dia mahu lihat saja apa akan jadi. 

"Biasalah bro. Inilah nasib orang miskin macam aku."

Lebihan air teh'o dihabiskan. 

Nuha hanya duduk berdiam diri di sofa sambil bermain telefon. Masih terasa hati dengan kata-kata Ghazi tadi. Jujurnya, apa yang Ghazi tidak suka pada dia. Sedikit pun Ghazi tidak pernah memberi dia peluang untuk membuktikan diri.

Dia nak mogok! Tidak mahu borak dengan Ghazi dah.  

Ban perasan keadaan tegang di antara mereka berdua. Sesekali dia bertanya Nuha itu ini namun hanya dijawab sepatah-sepatah saja oleh gadis itu. Ghazi pula hanya buat tidak kisah. Aduhai. 

Dia menyiku lengan Ghazi sambil memberi isyarat mata meminta supaya lelaki itu ramahkan mulutnya berborak dengan Nuha. Mulanya Ghazi menolak tetapi akhirnya dia mengalah apabila didesak.

Ban duduk di kerusi dan melayan surat khabar yang diletak khas di satu sudut di dalam bilik. Cuba memberi ruang kepada mereka berdua.

Ghazi mengeluh perlahan sambil menjeling Ban.  

"Nuha. Aku nak air, boleh?" Cawan teh'o tadi di angkat supaya gadis itu faham bahawa dia mahukan air teh'o yang dibawa Nuha dari rumah tadi. 

Nuha bermalas-malasan mendekati Ghazi. Lagi lama dia pandang wajah itu, nanti makin lembut pula hati dia. Tidak!

Bekas air teh'o dibuka dan dituang ke cawan Ghazi. 

Mata Ghazi cuba mencari anak mata Nuha. Dia mahu memandang tepat ke dalam kolam mata gadis itu. Namun gagal. 

Merajuk betul ni.

"Terima kasih. Kau marah aku ke?" Dia relakan juga hatinya bertanya. Ah. Nuha ni memang saja aje. 

Kalau tidak kerana Nuha bawa semua makanan sedap-sedap ini untuk dia, dia pun malas nak pujuk. 

Nuha hanya mengumam. Malas dia mahu membuka mulut. Nanti lagi dia layan Ghazi, makin banyak lah kata-kata menyakitkan hati yang dilemparkan kepadanya.

Ghazi menjeling Ban lagi. Ban masih tidak puas hati. Matanya memberi isyarat. 

'Pujuk lah..'

Ghazi berpaling semula ke arah Nuha. 

"Sorry lah. Aku main main je tadi. Okay, cik adik sayang?" 

Ah. Dia memang tidak pandai lah nak pujuk-pujuk perempuan ni. Adik-adik dia ramai lelaki lagi dari perempuan. Lagipun semua adik beradik perempuan dia perangai kasar. Mana ada lemah lembut macam Nuha ni. 

Nuha menahan senyum. Berbunga-bunga hati dia mendengar panggilan Ghazi padanya. Hilang terus rasa marah. 

"Okay." Akhirnya bibirnya tidak dapat menahan senyum. 

Tidak adil betul. Sekejap saja dia sudah memaafkan Ghazi. 

Kenapa cepat sangat kau lembut hati dengan dia ni, Nuha.. 

Ban lega. 

Ghazi senyum sinis. Macam budak budak nak merajuk. 

Air teh'o yang dituang oleh Nuha tadi diteguk sampai habis. Dia sudah dapat membayangkan sekejap lagi pasti dia berulang alik ke tandas. 

Haih. Nak pujuk cik adik sayang ni punya pasal lah ni. 

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience