BAB 25

Romance Series 18757

Mata dibuka perlahan-lahan. Hembusan nafas di leher terasa. Serta-merta pelukan di pinggangnya di ketat-kan apabila dia menggerakkan tubuh. Bibirnya tersenyum sebaik memusingkan badan ke arah belakang.

Jari menyentuh hujung hidung lelaki yang sedang lena diulit mimpi itu. Bibir di rapatkan ke bibir si lelaki. Rambut Ghazi yang jatuh menutup mata disisir dengan jarinya, risau menganggu lenanya pula.

Pandangan jatuh pula pada tubuh Ghazi yang tidak berbaju. Dia jadi terharu kerana baju yang sepatutnya ditubuh Ghazi sudah bertukar ke tubuhnya. Ghazi sangat menjaga dan melindungi aurat dia sebagai perempuan. Tangan naik ke pipi dan mengusap lembut wajah lelaki yang sudah bergelar suami.

“Hmm..?” Mata Ghazi terbuka sedikit memandangnya. 

Wajah Nuha memerah. Cepat-cepat dia berpusing semula ke belakang. Jantungnya berdetak hebat apabila bibir Ghazi menyentuh ke leher. Ghazi mengetatkan lagi pelukannya. Dia dapat mendengar setiap hembusan nafas Ghazi.

Tangan cuba merungkai pelukan Ghazi dari pinggang. 

“Kenapa? Kau malu eh?” Usik lelaki di belakang. 

Gelak kecil dari Ghazil membuatkan Nuha menjadi lebih kelam-kabut. 

Jari-jemari Nuha digenggam lembut. Rambut yang panjang itu dirapikan.

Ghazi membisik doa ke telinga Nuha.  Perlahan.

“Semoga Nuha Irdina menjadi isteri yang baik, yang taat, yang menjaga maruah diri dan suami, yang sentiasa memperbaiki diri dan istiqomah dalam perubahan-perubahan yang baik..” sambungnya lagi.

Nuha tersipu-sipu malu. Dia suka mendengar suara Ghazi membaca doa untuknya. Kalau boleh, hari-hari dia mahu didoakan begini. Terasa benar-benar disayangi.

Tubuh berpusing menghadap Ghazi. Mata mereka bertembung. Lengan merangkul leher lelaki itu supaya mendekat ke wajah.

“Saya sayang awak selama-lama-lama-lama-lamanya..”

Bibir Ghazi tersenyum nipis.

“Iye ke? Kalau aku tak bagi perhatian pun kau sayang aku lagi ke?” duganya.

Nuha memukul perlahan dada bidang itu. Ghazi ni kalau tidak usik dia, tak boleh ke?

Tubuhnya ditarik lebih rapat ke tubuh Ghazi. Mata ditutup rapat. Bibirnya memuncung sedikit. Dia sudah sedia!

Cup!

Mata terbuka luas. Tangan menyentuh dahi.

“Dahi je?” Kening berkerut naik ke atas. Dia ingat nak kiss mulut tadi.

“Dahi aje lah. Dah nak subuh ni. Kau fikir apa ha? Gatal..” Dahi Nuha dijentik perlahan. Dia bangun dari katil dan mencapai tuala yang berlipat di dalam almari.

Mata memandang Ghazi, geram. Ghazi ni main-mainkan dia lah!

Bantal di tumbuk kuat. Nasiblah dah jadi suami. 

Telefon pintar dibawah bantal di capai dan mencari mesej dari Mummy. Mummy dan Daddy terpaksa pulang ke Kuala Lumpur malam tadi juga kerana hal kerja Daddy yang tiba-tiba memerlukan dia di sana. Nuha lega membaca mesej dari Mummy mengatakakan mereka selamat sampai ke rumah.

Cincin silver dijari manis disentuh. Rasa seperti mimpi saja yang dia sudah berkahwin. Sorang.. Tolong tampar pipi dia supaya dia sedar dari mimpi ini.

Kedua tapak tangan menepuk kuat kedua-dua belah pipi. 

Sakit! Dia betul-betul tidak bermimpi lah ni kan..

Bibir menyeringai. Bantal peluk ditarik masuk ke dalam pelukan dan berguling-guling di atas katil. Mata memerhati siling bilik. Memori kembali ke hari semalam.

Hari dimana dia dan Ghazi disatukan. Dia bersyukur kerana keluarga Ghazi amat mengalu-alukan kehadiran dia, Mummy dan Daddy di dalam keluarga ini. Walaupun majlis pernikahan mereka tidak se-gah mana, baginya itulah majlis paling indah. 

“Nuha.. Aku nak kau tahu, kalau kau terima aku jadi suami kau.. Kau kena terima aku luar dan dalam, buruk dan baik, bersama aku hingga hujung nyawa. Aku faham kalau kau tak sanggup dan mahu batalkan pernikahan ini.” Ghazi bersandar pada pintu dengan baju melayu berwarna putihnya. Hensem!

Nuha memandang tidak berkedip. Ghazi yang sudah segak dengan baju melayu dan samping itu buat lidahnya kelu. Wajah menunduk. 

Agaknya apa pandangan Ghazi pada pakaian dia kalini. Ini pertama kali dia berselendang begini. Baju yang Mama dan Mummy pilih ini cantik atau tidak ya pada Ghazi.. Err..

“Kenapa?” Ghazi menghampiri. Dia berdiri di belakang Nuha dan memandang ke dalam cermin.

“Err.. Awak rasa saya cantik tak pakai macam ni?” Selendang yang terjatuh di bahu di pegang. 

Mata memandang pantulan wajah Ghazi di dalam cermin. Lelaki itu meneliti penampilannya. 

“Pernah ke kau tak cantik?” Puji Ghazi. 

Wajah Nuha berona kemerahan. Ini lah pertama kali dia dengar Ghazi puji dia dengan ikhlaa. Puji lah lagi..

“Awak nak saya pakai tudung macam ni ke lepas ni? Saya boleh pakai kalau awak mahu..”

Ghazi menggeleng. Dia tidak senang dengan apa yang Nuha kata.

“Aku suka kau pakai tudung. Suami yang tak suka isteri pakai tudung tu dayus. Tak tahu jaga aurat isteri, tak mahu ambil tahu pun. Suka lelaki lain pandang isteri dia, berbangga-bangga apabila punya isteri yang cantik. Aku nak kau pakai kerana ikhlas. Kalau aku boleh paksa, aku akan paksa. Tapi, apalah gunanya paksaan untuk hati yang tidak rela.”

Kerusi bangku kecil di tepi meja solak dia diduduknya. Mata menatap wajah Nuha yang sudah cantik dengan solekan yang nipis dan ringkas. Dalam hati, dia memuji. Nuha memang sudah sedia cantik. Wajah halus mulusnya itu apabila disolek begitu, tampak lebih indah lagi. 

“Dosa tidak menutup aurat tetap ditanggung oleh si isteri sendiri. Tapi, suami pun berdosa kalau tidak mendidik dan menasihati isteri untuk menutup aurat. Aku tak mahu kau tutup aurat hanya kerana aku suka kau tutup aurat. Andai kata nyawa aku tak panjang, kau masih nak tutup aurat walaupun selepas aku mati atau tidak? Kalau ya, aku orang paling gembira. Kalau tak, aku boleh tunggu dan sama-sama belajar pasal aurat dengan kau sampailah kau boleh ikhlaskan hati tutup aurat kerana Allah.”

“Erm.. Kalau saya buat sikit-sikit sampai saya ikhlas, boleh kan?” 

Ghazi mengangguk. Bukan setakat boleh, kalau Nuha mahu dia belanja sepuluh helai tudung pun dia sanggup.

“Ah, aku nak minta maaf pada kau. Sebab aku tak ada banyak duit, majlis nikah kita kecil macam ini aje yang aku mampu buat masa sekarang. Kalau kau tak sudi, aku faham..” air mukanya berubah. Lebih lembut. 

“Tak..” Tangan memusing-musing hujung selendang. 

“Saya tak kisah..” Tambahnya. Dia benar-benar tidak kisah akan majlis yang serba ringkas begini. Lagi pun keluarga mereka sudah berjanji akan mengadakan resepsi memandangkan Daddy adalah sosok terhormat. Cuma belum ditentukan lagi tarikh resepsi mereka nanti. 

Senyuman Ghazi membuat dia juga ikut tersenyum. Terpancar rasa bahagia dari sinar mata masing-masing. 

“Ha! Abang Ghazi ni pergi masuk bilik pengantin ni kenapa?!” 

Terkejut dengan kemunculan tiba-tiba Aisya. 

“Alah.. Ni bilik abang lah..” 

“Tapi… Kak Nuha bukan abang punya.” gadis belasan tahun yang berbaju kurung itu membalas semula.

Wajahnya bertambah merah. Adik beradik ni memang cakap main lepas aje ke.. Malu dia jadinya..

Aisya berdiri di hadapan menghalang Ghazi dari melihat dia.

“Nanti jadi abang punya juga kan. Apa masalahnya..”

Tangan menekap muka. Sungguh! Dia benar-benar malu sekarang ni!

Aisya menolak tubuh si abang supaya keluar dari bilik. 

Nuha bangun dari baring apabila pintu bilik air berbunyi. Dia membetul-betulkan rambut yang kusut masai lalu turun dari katil. Dia mahu lekas-lekas membersihkan diri. 

“Nuha.. Tolong pilihkan baju..” Tangannya ditangkap, menghalang dia dari melangkah masuk ke bilik air. 

Baju? Erk..

“Tapi, awak boleh je pilih sendiri selama ni.”

“Itu sebab aku tak ada isteri sebelum ni.”

Bibir diketap. Saja je Ghazi ni..

Dia berlalu juga ke almari baju dan memilik mana-mana baju yang dia rasa dia mahu Ghazi pakai hari ini. Sebaik saja Ghazi menyambut baju hulurannya, dia kembali menuju ke bilik air.

“Nuha.. Aku pergi surau dengan Ayah tau.” 

Kepala diangguk. 

“Jangan lupa solat subuh, okay?” 

Angguk lagi.

“Kahwin je terus bisu..”

Ei.. Ghazi ni..

“Iye.. Saya solat nanti. Awak ni, orang nak pergi mandi lah!”

“Oh.. Lupa. Malam tadi kan..”

Pap!

Tuala berwarna putih itu selamat di muka. Ghazi tersengih mengejek apabila pintu bilik air tertutup rapat. Tuala di tangan disangkut ke tombol pintu bilik air. Sebelum keluar ker surau, dia menekan kunci pintu bilik tidur supaya tiada sesiapa yang masuk ketika Nuha sedang membersihkan diri. 

“Nuha.. Aku pergi surau dulu, okay?”

“Okay~!”

•••

Kaki mengayuh laju basikal berjenama CT-Bike itu selaju yang boleh. Habis saja kelas fardhu ‘ain tadi, dia terus keluar dari masjid. Ada perkara lebih penting yang harus diselesaikan. 

Basikal membelok masuk ke dalam ladang getah. Sesekali pasti ada saja suara pekerja-pekerja ladang getah Ayah yang menegurnya dan dia hanya membalas dengan senyuman. Kemudia baru fikir borak, sekarang bukan masa yang sesuai. 

Dari jauh mata menangkap kelibat Ghazi yang sedang membantu Pakcik Hassan membersihkan kandang dan menyuntik ubat vaksin untuk lembu-lembu mereka. 

Nuha melompat turun dari basikal. Terjatuh terus basikal bergesel ke tanah. 

“Awak!!” Jeritnya. Berpeluh-peluh dia mengayuh selepas itu berlari pula menghampiri Ghazi. 

Ghazi mengangkat kepala sedikit. 

“Awak, sini lah!” Tangan melambai memanggil. 

Ini lah kerja mereka berdua setiap hari. Setiap pagi dia akan berlalu ke masjid untuk belajar mengenai fardhu ‘ain, manakala Ghazi pula tolong Ayah di kandang atau pun pergi menoreh. Ringkas, tapi dia suka begini. Tidak seperti ketika dia di Kuala Lumpur. Asyik buat perkara yang sama. Kalau di kampung, dia boleh berjumpa dan berkenalan dengan ramai orang. 

Sebaik sahaja Ghazi di hadapannya, tangan terus memeluk tubuh lelaki itu.

“Eh.. Aku busuk ni. Tangan pun tak basuh.” 

“Ala.. Saya tak kisah pun. Saya ada masalah besar ni, awak..” Bibir sudah cembeng. 

“Masalah apa pula kalini?” dia berlalu ke paip air berdekatan, mahu membasuh tangannya yang kotor kerana membersihkan kandang dan lembu tadi. Tangan kembali memeluk Nuha apabila yakin bahawasanya tangannya sudah bersih. 

Tudung Nuha yang sudah terkedepan itu dibetulkan. 

Macam-macam betul masalah Nuha ni. Hari itu malu kerana tidak mahu join kelas Iqra’ dengan budak-budak kecik, dia minta tolong persatuan wanita masjid itu untuk ajar Nuha. Selepas itu sedih pula sebab kena umpat dengan makcik-makcik bawang kata dia manja sangat kerana Ghazi menjemput dan menghantar hari-hari ke masjid, tak boleh pergi sendiri. Jadi, dia baiki basikal Aisya yang sudah longgar rantainya untuk kegunaan Nuha ke kelas. Kalini apa pula?

“Awak.. Akak-akak tu minta saya masak untuk juadah orang masjid jumaat ni. Esok lah tu!” 

“Lah.. Kenapa tak cakap aje yang kau tak pandai masak?” 

Nuha mencebik. Ghazi ni tak faham lah. Kalau dia berkeras kata dia tak pandai masak, mestilah dia kena umpat nanti.

“Saya dah cakap lah tapi diorang kata kalau tak cuba tak tahu. Rasa tu belakang kira. Tak kan lah saya nak tolak.. Diorang minta saya masak pulut kuning..”

Mata Ghazi terbeliak. 

“Pulut kuning? Banyak cekadak punya makcik-makcik.. Kau jangan layan sangat kerenah diorang tu. Laki diorang yang suruh diorang masak, ni nak lepas tanggung jawab dekat kau lah ni.”

Kepala sudah sakit. Kenapalah makcik-makcik bawang ini semua begini perangainya. Baru seminggu di sini, macam-macam kerenah mereka pula. Ini kalau sebulan, Nuha boleh jadi ahli baru persatuan membawang ni.

“Itu lah. Aku suruh belajar mengaji dengan aku aje, kau tak mahu. Kan dah terpaksa menghadap masalah-masalah macam ni.”

Mengaji dengan Ghazi?! Tak nak! 

Dia ingat lagi hari pertama Ghazi suruh dia ke masjid sertai kelas mengaji, tahu-tahu rupanya suami sendiri yang buat sukarelawan ajar budak kecik belajar Iqra’ dan Muqaddam. Lepas itu, Ghazi pembengis ni marah pula dia depan budak-budak berumur 5-6 tahun itu. Malu tau! Dah la dia sorang umur 22tahun tapi baru merangkak nak belajar mengaji. Dia lagi sanggup layan makcik bawang hari-hari dari kena belajar mengaji dengan Ghazi. Asyik kena marah aje!

Kepala menggeleng laju membantah saranan belajar mengaji dengan Ghazi itu. Dah la garang..

“Ala.. Macam mana ni awak. Tak ada ke orang yang ambil upah masak pulut kuning dekat sini?” soalnya. Dia sanggup bayar berapa pun asalkan air muka dia tidak rosak depan kakak-kakak masjid tu.

Ghazi berfikir-fikir.

“Rasanya tak ada. Kalau ada pun, dah petang-petang macam ni, takde orang nak buat kut. Last minute..”

Nuha kecewa. Nampaknya dia perlu telan malu saja lah esok. 

“Sudahlah.. Tak payah fikir. Kau balik dulu.. Nak makan apa? Nanti balik aku singgah beli. Tomyam?”

Kening  Nuha berkerut-kerut berfikir. Alih-alih dia putus asa saja. Memang dia tak boleh buat apa lagi. Nak masak, takut lain pula yang jadi. 

“Mama dengan Ayah balik bila?” Fikiran tertumpu pada Mama dan Ayaha pula. Mama ada urusan di Kuala Lumpur, jadi hanya dia, Ghazi, Aisya, kembar dan Zaim saja di rumah. Itu pun Zaim jarang pulang, lebih suka duduk tidur di resort sungai keluarga yang beberapa kilometer jauhnya dari rumah mereka. 

Kembar pula sekolah sampai petang. Pulang nanti, Ghazi yang menjemput mereka atau mereka berdua berbasikal bersama sahaja. 

Bibir tersenyum mengingat telatah kembar yang agak lasak itu. Mesti seronok kalau ada kembar, semuanya sama. Kawan baik pula tu. Apa Danial ada, Iskandar pun mesti ada yang sama. 

“Malam ni kut..” Ghazi membalas ringkas. Dia mengangkat tangan kepada pekerja-pekerja Indonesia yang sudah mahu pamit pulang ke rumah Sempat dia berpesan pada mereka untuk datang awal pagi esok. 

“Erm.. Saya nak makan nasi goreng pattaya! Awak beli tomyam lah untuk Is dengan Dan. Untuk Aisya pula, Aisya mesti nak kuey teow Kungfu!” 

“Amboi.. Kau dah lagi pro dari aku ni. Aku pun tak tahu apa adik aku nak makan.” 

Nuha tersenyum. Bangga. Tengoklah, dia ni kakak ipar yang bertanggungjawab okay. Lagipun hari-hari dia melepak di rumah dengan adik-adik. Banyak benda dan perkara yang mereka kongsi. Ghazi pula hanya nampak muka kalau dah senja saja. 

Bila dipuji sebegini, terus lupa masalah pulut kuning tadi. 

“Balik ni, kayuh perlahan-perlahan. Bahaya. Dah lah kawasan kampung ni berbukit, kau tahu nak race aje.”

Basikal Nuha yang sudah jatuh ke tanah di dirikan semula. Dia memeriksa keadaan rantai basikal sebelum menyerahkannya semula kepada Nuha. Jadi satu masalah lagi pula nanti kalau rantai longgar di tengah jalan. 

“Okay.. Tapi, pulut kuning macam mana?”

“Jangan fikir dah. Pergi balik. Dah nak petang ni.” 

Nuha akur. Selepas melambai ke arah Ghazi, dia kembali mengayuh basikal pulang ke rumah.

“Kenapa tu, Ghazi?” Soal Pakcik Hassan yang juga sudah berkemas-kemas meletakkan bekas makanan dan minumannya ke dalam bakul motorsikal.

“Takde apa, Pakcik. Macam biasa. Bini saya kena buli lah. Apa lagi.”

•••

Nuha mengeluh lagi. Dia rasa tidak mahu bangun tidur harini. Tempat tidur Ghazi di sebelah sudah kosong, padahal selepas subuh tadi dia ada saja berbaring di sebelahnya. 

Aish.. Apa lah dia mahu jawab nanti. Konfem dia kena kutuk nanti. 

Bantal menekup muka dan menjerit sekuat hati. Menyesal dia tidak belajar masak. Waktu-waktu beginilah skill memasak amat penting. 

Lama dia memerhati dinding. Keluhan terlepas lagi. 

Nampaknya terpaksa jugalah dia memberitahu hal sebenar. Sekurangnya boleh juga dia meminta untuk menyediakan makanan lain saja. Kalau beli bungkus saja dari kedai pun elok juga. 

Kaki melangkah menuruni tangga ke tingkat bawah. Dia mahu minum air, menghilangkan dahaga dan juga menghilangkan rasa beban di hati. 

“Hmm? Bangun dah.” Suara Ghazi menegurnya. 

Mata Nuha terkebil-kebil. Memandang seperti tidak percaya. Mulut terbuka kecil. 

Sebuah periuk ter-isi dengan pulut kuning di tambah pula sebuah lagi periuk kecil yang penuh dengan rendang daging. Mata memandang Ghazi dan pulut kuning bergilir-gilir. 

Dena pula sedang leka menikmati pulut kuning dengan rendang daging tersebut di atas meja. Menari-nari tubuhnya di atas kerusi bangku yang tinggi itu. 

Puan Syahirah dan Encik Irham ketawa melihat wajah Nuha. Ditambah lagi apabila teringat cerita yang Ghazi beritahu tadi. 

“Nuha kena buli ni.. Lain kali Nuha jangan dengar sangat caka-cakap diorang tu..” Ujar Puan Syahirah. DIa memanggil Nuha duduk disebelahnya. 

Encik Irham pula mengangguk setuju. Kasihan pula dia dengan anak perempuan yang seorang ini.

“Kalau Nuha nak tahu, memang tugas sediakan juadah ni tugas diorang. Tiap minggu dapat dana dari masjid siapkan juadah untuk jemaah bawa balik lepas jumaat. Ini diorang pas kerja dekat Nuha, dana tu entah kemana lah tu..”

Ehhh ??!! 

Anggukan dari Ayah mengiyakan apa yang terlintas di fikiran sekarang ini. Memang dia kena tipu ke apa ni?!

“Mama masak ke semua ni?” Jari menunjuk ke arah pulut dan rendang. Mata sudah rambang mahu mencuba. 

Ayah ketawa besar. Mama pula sudah masa mencuka apabila Ayah ketawa. 

“Seumur hidup Ayah ni, belum lagi Mama boleh masak pulut kuning. Masak makanan-makanan pelik, Mama tahu lah. Ini semua suami awak lah yang masak. Chef besar dalam rumah ni..”

Ghazi tersenyum bangga. Kedua belah keningnya terangkat. 

Nuha kagum. Ghazi boleh masak juga? Dia dengan Ghazi memang sangat-sangat berbeza ya. Dia satu apa pun tak tahu buat. 

Bibir mengucapkan terima kasih tanpa berbunyi kepada suami tercinta. Lelaki itu membalas dengan cara yang sama. 

“Nanti.. Kau bungkus rendang dengan pulut ni ya, sayang. Ikat macam kedai mamak aje. Asyik kena buli je, macam mana ni..”

“Saya tak kena buli lah..” Pipinya mengembung. 

Dena yang kecil ni pun ketawakan dia. 

Nuha mengikut Ghazi naik ke atas. Memang rutinnya, kalau Ghazi mahu mandi, dia akan siap-siapkan letak baju di atas katil. Rasanya itu sahaja kerja yang dia tahu buat. Setakat kemas sikit-sikit itu dia tahu lah tapi rumah Mama dan Ayah ini setiap hari akan ada orang datang tolong kemas.

Pintu bilik di tutup rapat. Tangannya ditarik dan dia masuk ke dalam pelukan Ghazi. 

Ghazi senyum nakal. 

Ah, dia tahu sangat kalau Ghazi sudah senyum nakal begini. Dia masih malu tapi dia suka. 

Tangan melingkar ke leher Ghazi. Wajah dirapatkan. 

Cup!

“Terima kasih, awak..” ucapnya. Mata masih tidak lepas bertentang dengan sepasang mata yang tajam dan romantis itu. 

Lingkaran di pinggangnya semakin ketat. Pandangan mata Ghazi juga bertukar lebih nakal. 

“Kau tahu tak.. Kau tengah goda aku sekarang ni.” Bibirnya melekat ke dahi Nuha. Keinginannya memuncak. 

Tangan Nuha menahan dada Ghazi yang semakin mendekat.

“Kejap! Kenapa awak kahwin saya?” Tangan menghalang Ghazi dari meneruskan aktiviti tak senonoh dia.

“Ha? Kenapa tiba-tiba tanya?” Nuha ni buat spoil lah. 

Lingkaran tangan Ghazi di longgarkan. 

“Mestilah. Semua perempuan mesti nak tahu kenapa suami dia pilih dia.” dia tetap mahu jawapan. Kalau tidak, hatinya tak akan tenang. Bukan kah Ghazi selalu tolak cinta dia.. Malah tanpa fikir dua tiga kali, Ghazi asyik suruh dia cari lelaki lain.

Tangan Ghazi merangkul pinggang Nuha kembali. Dia tidak mahu serabutkan fikiran memikirkan hal remeh-temeh begini.Mereka dah kahwin. Setel. Kenapa mahu susahkan hati sendiri fikirkan perkara yang tidak penting.

Nuha pusing membelakangi Ghazi. Lagi dia tatap wajah itu, makin kuat pula tarikan suaminya ini. 

“Kita tengah on-heat kan.. Boleh postponed soalan ni kemudian tak?” Leher Nuha menjadi sasaran. Dia menarik rapat tubuh Nuha kepadanya.

“Awak aje yang on-heat. Saya tak..” Tubuh cuba dijarakkan. Dia bukan bodoh sehingga tidak faham bahasa tubuh lelaki yang memdambakan belaian kasih dan sayang. Leher cuba mengelak dari terus menjadi sasaran bibir nipis itu. 

Keluhan perlahan kedengaran. 

“Kalau macam tu, aku buat kau on-heat. Jom!” dia masih tetap mahu mengelak dari menjawab. 

Tangan mula dimasukkan ke dalam baju. Kalau Nuha tidak terasa dengan sentuhannya, mungkin sentuhan kulit ke kulit boleh merangsang keinginan yang satu itu. 

“Arghhh ! Sakitlah Nuha..” Serta-merta dia mengaduh kesakitan. Tangan diusap perlahan tempat yang sudah semakin merah. 

Geram betul. Nuha ni sejak kahwin,. Makin menjadi-jadi pula kegiatan cubit-mencubitnya. Kenapa semua bini suka cubit laki sendiri. Aish.

“Orang tanya elok-elok, tak jawab..” Dia berlalu ke almari dan mengeluarkan sepasang baju dan seluar yang sama warna dengan bajunya.

“Sebab kau baik.” ujar Ghazi. Kepala yang tidak gatal, digaru. 

Dia tidak pandai mahu bermanis mulut dan ber-romantik-romantik seperti yang Nuha mahu.

Mata Nuha meminta dia untuk menjelaskan dengan lebih panjang lagi. Aduhai..

Macam kena jawab soalan lisan pula. Ini berapa patah perkataan pula yang Nuha mahu dia karang ni. 

Ghazi duduk di sebelah Nuha. Dia tidak pasti samada jawapan yang akan diberi nanti adalah jawapan yang Nuha mahu dengar, tapi itu lah jawapan yang boleh dia fikirkan setakat ini. 

"Kau seorang perempuan yang baik. Sebab tu aku kahwin kau.”

“Tapi.. Ada ramai lagi perempuan baik selain saya. Dalam kampung ni, ramai perempuan yang lebih baik dari saya yang awak boleh pilih.” 

Ghazi mengangguk. Betul lah tu.. 

“Memang lah. Tapi, aku nak kau.”

Pipi Nuha memerah. Ghazi ni saja je membuai perasaan dia!

“Tapi dulu awak tak nak pun saya.” Dia tidak puas hati lagi.

“Haish.. Iya lah. Kau tu anak orang kaya, gila ke nak kahwin dengan lelaki tak ada duit macam aku ni.” Dia semakin kehabisan jawapan dan dia masih tidak dapat mencerna apa kebaikannya menjawab soalan Nuha ni. 

Kenapalah perempuan suka imbas kenangan lalu. Kenangan yang tak penting pula tu.

“Aku pilih kau sebagai isteri sebab kau baik. Luaran dan dalaman kau baik. Luaran kau nampak liar tapi kau seorang perempuan yang menjaga maruah diri. Kau ada hati yang baik, tak pandang rendah pada orang lain walaupun hidup serba mewah. Mulanya perangai kau kerek tapi lama-lama aku dapat terima yang itu perangai hasil didikan 22tahun. Jadi, bukan salah kau lah.” 

“.. Dan sepanjang aku kenal kau, aku tak pernah dengar kau mencarut. Kan baik tu. Tak tahu lah kalau kau mencarut belakang aku kan.” Ghazi tergelak kecil. 

“.. Dan sepanjang aku kenal kau, segala kata-kata yang keluar dari mulut kau tu tak pernah ada yang buruk. Bukan ke itu satu kelebihan yang susah aku nak cari dalam diri orang lain. Seorang perempuan yang baik bukan sekadar pada agamanya saja. Semua orang boleh jadi lebih baik dalam beragama kalau dididik dengan baik. Tapi, untuk cari seorang perempuan yang baik hatinya, perangainya, kata-katanya.. Itu tak mudah. Pada kau, benda ni tak berapa penting. Detail kecil begini tak beri kesan apa-apa dalam perhubungan. Tapi, tidak pada aku. Cinta boleh dipupuk bila-bila masa. Rasa menerima dan diterima perlukan seumur hidup kalau mahu diwujudkan dalam suatu perhubungan.”

Wajah Nuha yang baru bangun tidur itu dipandang dalam-dalam.

“Aku tak mencari kesempurnaan, Nuha. Mungkin betul lah kau kata, kenapa aku tak pilih Suhana aje. Serba serbi menenangkan. Sempurna. Aku tak mahu cakap pasal cinta kerana hati manusia mudah berbolak-balik. Aku hanya mahu tekankan rasa tanggung jawab sahaja. Aku kahwin kau kerana aku mahu masuk syurga. Bukankah sebab terbaik untuk berkahwin dan bercinta adalah kerana Allah s.w.t? Tiada apa yang akan membela kau dan aku, dan orang lain dihari pembalasan nanti yang lebih baik dari pembelaan Allah. Dan kau, tiket aku untuk ke syurga. Samada aku jaga amanah Daddy ini dengan baik, atau tidak sahaja. Punya banyak nasihat dan pesanan Daddy bagi pada aku masa aku minta mahu kahwin dengan kau tau.. Begitulah berharganya kau dimata aku, Nuha.. Kau bukan setakat amanah Daddy sahaja, kau amanah Allah pada aku."

Tangan Nuha dibawa masuk ke dalam genggaman tangannya.

"Perkahwinan datang dengan tanggungjawab. Bukan cinta. Berapa ramai pasangan yang galak bercinta namun akhirnya kecundang juga dalam melayari bahtera perkahwinan?"

"..Kalau kau mahu aku berdrama cinta dengan kau, mungkin satu hari nanti hati kau berubah. Tetapi, kalau kau mahu bersama aku melayari bahtera perkahwinan kerana Allah, dan satu hari nanti kau mahu kita bertemu semula di hadapan Allah sebagai pasangan suami isteri, jadi.. Terima aku seadanya. Dan aku akan jaga dan lindungi kau seperti nyawa aku sendiri.”

Nuha sebak. Dia terharu dengan setiap bait kata-kata yang keluar dari bibir Ghazi. Tiada mana-mana lelaki yang pernah memuliakannya sebegini. Malah, dia tidak pernah jumpa kasih sayang begini.

“Cinta boleh datang dan pergi. Tetapi, rasa kasih sayang dan tanggungjawab akan sentiasa terpahat dalam diri. Aku hanya kau mahu jadi suri hati dan peneman aku. Aku mahu kau ingatkan aku bila aku terlupa dan leka. Aku tak minta kau layan aku seperti raja, tapi.. Tolong ingatkan aku bahawa aku hanya seorang hamba."

".. Nuha.. Aku boleh berjanji-janji manis pada kau kalau aku mahu. Macam dalam drama-drama dan sosial media. Tapi, aku tak kan buat tu. Aku rasa, tidak sepatutnya aku mengatakan hal yang aku tidak yakin. Memberikan kau gambaran-gambaran kebahagiaan yang tidak pasti. Hidup bukan imaginasi. Apa kau mahu, kau boleh dapat.”

“.. Dan kalau satu hari nanti, cinta dalam hati kau pudar disaat bahtera kita dilanda ombak dan badai.. Masih sanggupkah kau berada di sisi aku, menghadapi segalanya dengan sabar dan yakin? Aku hanya mahu seorang istri yang akan tetap memilih aku sebagai suami di dunia dan akhirat. Perkahwinan tak indah. Lupakan saja gambaran-gambaran drama cinta dalam kepala kau. Dan fokus kepada aku. Lelaki yang banyak kekurangan dan yang akan usaha sebaik mungkin demi kau dan keluarga kita.”

Tangan terus memeluk tubuh Ghazi. Dia rasa bersalah kerana asyik ragu-ragu dengan keikhlasan Ghazi. Sedangkan sudah terlalu banyak kasih sayang lelaki itu yang sudah dibuktikan dengan tindakannya. 

Dahinya menyentuh bibir Ghazi.

“Aku suka kau. Atau kau mahu aku tulis dekat dahi aku yang aku suka isteri aku?” Usiknya. 

Tangan Nuha mencubit peha Ghazi. Dia dah lah tengah sebak ni, Ghazi mahu mengusik dia pula. Iya lah! Dia yang salah..

Tangan sasa itu mula melingkar semula ke pinggang. Tubuhnya ditolak perlahan supaya jatuh ke atas katil. Mulanya dia terbuai dengan layanan Ghazi namun selepas itu baru dia tersedar. Tangan menolak dada bidang itu supaya menjauh. 

“Tak baik tau tolak suami.”

Bibir diketap. Ghazi ni selalu guna kuasa veto dia sebagai suami. Ei! Lepas nikah saja, Ghazi terus buka kitab suami isteri dengan dia. Hak-hak suami dan hak-hak isteri. Geram juga dia dengar. 

“Kau tak takut ke aku pergi kerja dalam keadaan on-heat begini?” dia mengugut pula. 

Ghazi yang sudah mahu bangun dari katil itu ditarik semula supaya jatuh. Bibirnya tersenyum nakal. Tubuh Nuha dirangkul ke dalam pelukan kasih sayang.

“Semoga Nuha Irdina menjadi seorang isteri yang solehah di dunia dan akhirat, yang mampu menjadi tiket bagi ibu, bapa dan suaminya ke syurga.”

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience