BAB 28

Romance Series 18757

Tangan menarik selimut tebal hingga menutupi pinggang. Dia berbaring berbantalkan lengan. Mata memandang dinding putih. 

Rancangan di televisyen langsung tidak menarik. Mata pula tidak mahu lena. Malamnya terasa sunyi dan kosong. 3 hari dia di Perak atas urusan kerja. Sebelah dipandang kosong. Ghazi cepat-cepat mencapai telefon di dalam poket seluar kerjanya. Nombor telefon Nuha di dail. 

“Umm.. Ya, awak..”

“Kau tidur dah ke?” bibir mencebik. Lena betul Nuha ni tidur, sedangkan dia di sini mahu lelap mata pun tak lepas.

Gumaman Nuha mengiyakan tebakannya tadi. 

“Awak kenapa tak tidur lagi.. Dah pukul 3pagi dah ni..” nak tak nak saja Nuha menjawab. Mungkin mengantuk sangat.

“Kau boleh tidur lena walaupun aku tak ada dekat sebelah.” suara Ghazi mendatar. 

Dia dapat membayangkan bagaimana seronoknya Nuha tidur tanpa dia di sisi. Nuha ini tidur sikit punya lasak.

“Awak rindu saya eh..” Nadanya bertukar ceria. Suara mamai tadi beransur hilang. Dia ketawa kecil. 

“Baru 3 hari dah rindu. Entah-entah hari-hari awak tak boleh tidur kan..” tebak Nuha lagi.

Air liur ditelan.

“Mana ada.. Err.. Kau seronok ke aku tak ada?” 

Tangan kembali menekan butang alat kawalan jauh. Rancangan filem seram dibiar terbuka. Sedikit pun wajah hantu di dalam televisyen tidak langsung menakutkan dia. Dia lagi takut kalau Nuha tertidur dan biar dia berborak seorang diri.

“Mestilah tak! Saya rindu! Bila awak nak balik..”

Bibir Ghazi menguntum senyum. Nada manja Nuha selalu buat dia tersenyum sendiri, cuma kali ini dia tidak perlu menyembunyi senyumnya kerana Nuha tiada di depan mata.

Fikiran membayangkan riak wajah Nuha yang baru bangun tidur itu. Dengan rambut panjang yang kusut masai.

“Kalau aku balik, aku dapat apa?”

Sunyi untuk sesaat dua. Tiada jawapan. Baru dia mahu membuka mulut bertanya lagi, Nuha menjawab. 

“Erm.. Dapat saya..” ketawa kecil kedengaran. 

Ketawa yang mampu membuat jantung Ghazi berdebar hebat. Rasa teruja menyelubungi hati dan perasaannya. Nasib sajalah mereka terpisah beratus kilometer jauhnya. Kalau tidak, nafsu lelaki yang satu ini pasti sudah menguasai diri. 

Belakang tengkuk di usap, menenangkan keterujaannya yang kian meninggi. Parah sungguh rasa rindunya kali ini walaupun setiap hari Nuha ber-video call dengannya. Dia cuba menumpukan perhatian kepada rancangan filem di televisyen tetapi fikiran dan pendengarannya lebih tertarik kepada suara si isteri di corong telefon.

Nuha bercerita rutin dan aktiviti hariannya kepada Ghazi. Memang rutin mereka setiap malam, Ghazi akan mendengar dia bercerita sehingga tertidur. Dari saat dia bangun dari tidur sehinggalah dia kembali tidur semula.

Sesekali Ghazi tergelak membayangkan Nuha bercerita disebelahnya dengan riak wajah yang bermacam. Mungkin kerana inilah kebanyakan suami jadi rindu apabila isteri tiada di sisi. Perlakuan-perlakuan spontan dan ringkas sebegini menebal kan lagi rasa rindu. Dia sudah terbiasa mendengar suara Nuha dan merasai sentuhannya.

“Lepastu, sedap tak kau masak?” soalnya. Beratus juga duit keluar semata kerana Nuha mahu masuk kelas belajar memasak. Kalau tidak pandai masak juga, sah! Bini dia tak ada bakat.. Nampaknya sampai tua lah mereka makan masakan kedai saja. Dia bukan kisah sangat Nuha pandai masak atau tidak. Kalau Nuha tak boleh masak, dia boleh masak untuk keluarga mereka sampai tua pun tak apa. Tak ada hal lah. 

“Sedap sikit.”

Jawapan Nuha buat dia ketawa terbahak-bahak. Sedap sikit tu sama macam tak sedap langsung lah tu. Bukan boleh percaya deria rasa Nuha Irdina ni. Apa aje yang dia masak dia cakap tak sedap? Semua dia mengaku sedap.

“Hmph! Awak ni.. Saya usaha tau. Bukan nak puji, gelakkan orang lagi ada lah!”

“Yalah! Yalah! Thank you sayang sebab sudi belajar masak untuk aku.”

Nuha dihujung talian tersenyum-senyum. 

“Awak tak menggatal kan dekat sana?”

“Gila ke? Mana ada. Aku kerja aje lah. Jaga kau seorang pun dah sakit kepala.” dia membela dri sendiri. 

Kepala sudah tergeleng-geleng memikirkan kemungkinan dia pasang lagi satu. Menilai kemampuan diri sendiri, dia benar-benar tidak mampu. Apa lagi mahu mencuba-cuba main kayu tiga. Macam cari nahas saja.

“Saya tanya je. Mana tahu awak terpengaruh dengan kawan-kawan awak tu..”

Kawan-kawan dia?

Bibirnya tersenyum nipis. Ketawa ditahan. Ingatkan Nuha tidak pernah ambil kisah hal pengaruh orang sekeliling selama ini. Takut juga ya..

“Kawan aku semua baik lah.”

“Memanglah baik tapi perangai semua kaki perempuan. Entah-entah.. Awak pun ada pasang niat kan..”

Nuha masih tidak puas hati. Lagi Ghazi jauh dari dia, lagi tinggi buruk sangka dia pada Ghazi. Kalau tidak kerana hari-hari dia call, entah dia sudah terbang terus ke negeri perak sana. Ghazi pula terlalu berahsia dengan dia. 

“Tak baik buruk sangka pada suami tau.” Ghazi bertegas. 

Takut kalau lagi dilayan sangkaan Nuha ini, jadi masalah lain pula kemudian hari. Apa lagi lah yang tidak cukup. Sebelum ini Nuha mahu kawal semua sosial media dan aplikasi di telefon dia, dia sanggup beri kata laluan semua akaun sosial media yang dia punya malah setiap mesej yang masuk pun dia benarkan Nuha baca dan buat macam telefon sendiri. Syak wasangka isteri ni memang kritikal betul. Bila-bila masa boleh tercetusnya perang dunia.

“Bukanlah. Saya tanya je.”

“Amboi.. Sedap dia punya tanya. Dah macam kena tuduh aje aku rasa tadi.”

Nuha bercakap perlahan seorang diri. Mengutuk Ghazi. Butir bicaranya tidak jelas di dalam telefon. Ghazi hanya membiarkan. Sesekali dia menyampuk apabila Nuha mengutuk dia melampau-lampau. Jujurnya dia tidak ambil hati langsung. Bukan sehari dua dia sudah dengar sesi luahan tidak puas hati Nuha. Setiap hari juga dia dengar.

Yang dia pelik, dia langsung tidak marah sedikitpun. Kalau dengar Nuha mebebel tidak puas hati berjam-jam lamanya pun tidak apa. Mungkin dia dah gila kut. Kalau orang lain buat begitu, sudah lama kena sepak terajang dari dia. 

Kelopak mata memberat. Akhirnya dia tertidur ditemani dengan lagu bebelan Nuha.

•••

Nafas ditarik panjang-panjang dan melepaskannya sekali hembus. Kepala digaru. 

Rambut sudah hilang kemasnya. Hari ini dia terpaksa juga menapak pulang ke rumah besar ini memandangkan hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan Ayah dan Ibu tirinya yang keberapa. Dia sendiri sudah malas mahu kira berapa kali bapa dia sudah berkahwin lagi. Kesemua isteri-isteri Ayah sudah berputus asa dengan sikap lelaki itu. Lelaki yang tidak pernah puas. Pasti ada sahaja yang tidak memuaskan hatinya lagi. Lelaki yang dia rasa tidak layak diberi cinta!

“Ha? Balik juga kau ke rumah aku ni.” Ujar Tan Sri Rahman sebaik sahaj dia membuka pintu untuk anak lelakinya. Wajah tersenyum sinis melihat Hazirul dari atas ke bawah. 

Hazirul hanya berdiam diri. Dia di sini hanya atas dasar hormat. Bukan kerana mahu beramah-mesra dengan si ayah mahupun mana-mana ahli keluarganya.

Setelah membuka kasut di kaki, dia melangkah masuk ke dalam rumah. 

Mata meliar memandang satu persatu ahli keluarganya. Dia mempunyai 3 orang adik-beradik tiri. Dengan ibu kandungnya, dia anak tunggal juga merupakan satu-satunya anak lelaki Tan Sri Rahman. Manakala, adik beradik tiri yang lain yang juga datang dari isteri yang berbeza merupakan anak-anak perempuan. Mahu tidak mahu, ayah memang tiada pilihan lain selain membawa dia pulang ke rumah ini. 

Mungkin itu balasan kepada ayah kerana ketamakannya. Punya anak lelaki gay seperti dia, yang tidak berguna. Tidak boleh meneruskan keturunan Tan Sri Rahman juga tiada waris lain yang boleh mewarisi harta peninggalannya nanti. 

Dia ketawa jahat di dalam hati. Entah bila lah akan tiba hari dimana dia akan lihat Tan Sri Rahman ini akan jatuh tersungkur di mata dunia. 

“Abang dah balik!” Yuhanis menjerit dari arah ruang tamu tempat mereka semua berkumpul. 

Hazirul hanya menyambut jeritan Yuhanis dengan senyuman. Sudah lama dia tidak nampak Yuhanis. Yuhanis merupakan anak kepada bekas isteri ketiga ayah. Selepas bercerai, Yuhanis dibawah jagaan ibunya tetapi selepas itu ibunya berkahwin lain dan meninggalkan Yuhanis kepada ayah. Akhirnya, ayah menghantar Yuhanis belajar dan menetap di luar negara memandangkan isteri-isteri baru ayah tidak mahu menjaga anak yang bukan anak mereka. 

Lagi dua adik tirinya tidak bertegur sapa langsung. Masing-masing sibuk dengan telefon pintar. Mereka juga menerima nasib yang sama. Ibu mereka dibuang apabila habis madunya. Mereka di sini hanya kerana harta Tan Sri Rahman.

Seorang gadis yang hampir sebaya umur dengannya datang memeluk pinggang Tan Sri Rahman. Ibu tirinya yang entah keberapa ini tidak lekang dengan senyuman. Baju yang menampakkan lurah dada itu membuat dia mahu termuntah. Dia sudah bosan dengan perempuan-perempuan begini. Perempuan kaki kikis yang menggunakan tubuh mereka untuk meruntuhkan rumah tangga orang lain. 

Muak! Dia sanggup mendatangi lelaki daripada mendatangi perempuan. Perempuan sekarang tidak bernilai langsung. Terdedah sana sini dan tidak punya harga dan maruah diri. Seperti perempuan yang disamping ayah sekarang ini dan juga perempuan-perempuan yang pernah bersekedudukan dengan ayah. Hina!

Bosan dengan perkahwinan dan akad nikah, ayah bersekudukan sahaja dengan wanita-wanita simpanannya. Tidak pelik bagi mereka adik-beradik untuk melihat wanita yang berlainan keluar dan masuk dari bilik master bedroom itu. Tan Sri Rahman hanya simpan wanita yang terbaik untuk diberi jawatan isteri. Contohnya, Azura. Wanita yang sedang asyik bercumbuan dan berpelukan di depan mata mereka sekarang ini. Isteri ayah yang paling baru. 

“Macam mana kerja?” Tan Sri Rahman cuba memecah kesunyian antara mereka semua di meja makan tersebut. Hanya bunyi garfu dan sudu saling berhentakan sahaja memenuhi ruang makan mereka.

“Okay.” Hazirul menjawab malas.

“Yuha mahu buka bisnes sendiri. Boleh tak, pa?” Yuha pula membuka mulut. Matanya penuh berharap. 

Tan Sri Rahman tergelak. Dia langsung mengangguk.

“Tapi, you ada pengalaman ke nak handle business?”

Yuha tersengih. Menidakkan.

“Kalau begitu, Rul.. You masukkan… Ah! It’s okay. Rul dah tiada kuasa. Nanti Papa tolong minta recommendation dari kawan Papa.” 

Hazirul mengunyah makanan didalam mulut dengan perasaan geram. Dia geram melihat pandangan mata Tan Sri Rahman padanya. Penuh sinis.

Yuha menjerit keterujaan.

Sebuah kek yang cantik dibawa dari arah dapur. Beberapa orang pembantu rumah riang menyanyikan lagu ulang tahun kepada Tan Sri Rahman dan Azura. Kek yang baginya sangat mewah. Entah berapa ribu pula harga kek sederhana besar ini. 

Tan Sri Rahman mengeluarkan pula sebuah kotak dari bawah meja. Dia membuka kotak tersebut dan mempersembahkan isinya kepada Azura. Sebuah rantai emas bertahtakan berlian yang pasti mahal harganya. 

Hanya Yuha dan pembantu rumah yang lain saja yang bertepuk tangan. Dia dan dua lagi adik tirinya hanya buat tidak tahu. Fokus kepada makanan di dalam pinggan. 

“I will give you my best  performance tonight, daddy..” Pipi Tan Sri Rahman dicium apabila rantai emas mewah itu tersarung kemas di leher. 

“Rul.. I need to see you now. In my room.” Arah Tan Sri Rahman. Dia terbuai dengan sentuhan Azura padanya. Ciuman diberikan kepada Azura sebelum dia melepaskan rangkulannya.

Hazirul mengeluh, malas.

Pintu bilik pejabat ditutup rapat. Dia tidak mahu perbalahan dia dan ayah didengari oleh ahli keluarga yang lain pula nanti. Terutamanya Yuhanis. Yuhanis terlalu memandang tinggi kepada ayah. Langsung tidak nampak sisi hitam lelaki tua ini. Bilik kedap bunyi ini memang tempat yang paling sesuai untuk mereka berbalah berdua. 

“What’s your plan now?” 

Tan Sri Rahman menjatuhkan punggung ke sofa biru gelap itu. Wine di dalam botol di tuang masuk ke dalam cawan yang sudah tersedia di atas meja kopi di hadapan mereka. 

Hazirul mengangkat kedua bahu. Wajahnya tidak beriak. Dia tiada rancangan mahu menjatuhkan Ghazi dari kerusi terhormat itu. 

“What do you mean? Nothing? Kau mahu biar satu syarikat kutuk aku? Jatuhkan air muka aku? Lepas aku letak kau di kerusi itu sebelum ini, kau langsung tak mampu pertahankannya!” Nada masih tenang namun riak wajahnya sinis. 

Dalam hati sudah berbakul-bakul makian kepada anak lelaki satu-satunya ini. Tidak cukup lagikah Hazirul menjatuhkan air muka dia. 

“Dasar anak tak guna.” Tan Sri Rahman mengumam. 

Hazirul gelak sinis. Kata-kata yang sentiasa merenggut tangkai hatinya. Kerana kata-kata itu, dia rasa mahu mati setiap hari. 

“Kau sama macam mak kau. Tak boleh pakai.. Dari kecil sampai besar langsung tak bagi apa-apa manfaat pada aku.” 

Penumbuk dikepal. Genggamannya kuat sehingga terasa sakitnya kuku menekan kulit tapak tangan.

“Apa ayah nak aku buat lagi? Bunuh dia?” gigi diketap. Nadanya ditahan supaya tidak meninggi. 

Dia tahu kuasa si ayah. Sekali dia mencabar lelaki tua ini, pasti akan ada balasan balik dari lelaki tua tak guna itu. 

“If you have to, just do it! Cleanly. Ada otak, fikir lah!”

Wajah ditunduk. Bibirnya terukir senyum Wajahnya tersenyum tetapi hati dia sakit.

“Why don’t we just give him back what is his. Ayah ada bisnes-bisnes besar lain..”

“But Not Saven! Kau jangan ajar aku macam mana nak cari duit. Kau besar macam ini hasil dari usaha aku. Kau berjaya sebab aku. Kau kaya raya, ada segalanya kerana aku. Kau berjalan atas dunia ini bawa nama aku. Kau berani ajar aku cara untuk hidup pula sekarang?”

Dompet Hazirul ditarik keluar dari poket kot-nya. Kredit kad bermacam-macam warna di keluarkan dan dicampak ke wajah anak lelakinya itu. 

“Semua ini kau dapat kerana aku. Apa yang kau sudah beri untuk bayar segala jasa baik aku untuk kau dari kau kecil sampai besar? Aku terpaksa jaga kau sebab mak kau yang gila tu.. Kalau tak kerana aku, kau duduk merempat saja di rumah anak yatim sana. Aku ingat, aku bawa kau balik dan besarkan kau.. Kau akan banggakan aku. Tapi, kau jatuhkan air muka aku saja ada lah!”

Air mata ditahan. Kenapa Ayah perlu hina wanita yang mengandungkan dia. Bukankah wanita itu juga isteri yang Ayah pernah cinta? Yang bersama Ayah ketika dia bukan sesiapa!

Kenapa dia tiada kuasa untuk menjatuhkan lelaki ini? Kenapa lelaki tua ini diberi kelebihan menguasai dunia dan menjatuhkan orang-orang seperti dia!

Mana Tuhan yang akan memberi keadilan dan membela manusia teraniaya? Bertahun lamanya dia menunggu saat itu. Saat dimana segala penganiayaan dia dan ibunya rasa akan dibalas seadilnya. Atau apa kah Tuhan tidak pandang orang seperti mereka?

Dibiarkan si ayah melepaskan ketidak-puasan hati kepadanya. Selepas satu satu kata-kata penghinaan keluar dari mulut lelaki itu.

“You’re a total loser. Aku beri kau isteri, kau sia-sia kan.” Kepalanya ditolak pula.

Dia langsung tidak merasa tolakan di kepala. Fikirannya melayang kepada bekas isteri. Isteri yang sentiasa bersabar dan tabah melayari perkahwinan dengannya. Yang sentiasa bersama ketika dia memerlukan. Tidak pernah sekali pun si isteri memperlekehkan dia. Satu-satunya wanita yang mendapat pengikhtirafannya. 

“Apa lagi aku boleh buat untuk betulkan kepala otak kau yang tak berguna itu!”

Kata-kata Tan Sri Rahman sedikit pun tidak memberi kesan kepada perasaan dan emosi Hazirul. Tangannya menggigil. Tidak tahu kenapa. Dia rasa sayu dan rindu.

“Sudah! Kau berambus dari depan mata aku!” 

Dia bangun dari duduk. Sesi dia ditengking akhirnya tiba di penghujungnya. Memang dia tiada rancangan untuk membela diri. Tiada maknanya membela diri di depan Tan Sri Rahman. Sejak dia melangkah ke rumah ini, dia sudah buang jauh-jauh jiwa dan perasaannya. Dia cuma boneka pada si ayah yang gilakan kuasa dan harta.

Dia mahu cepat-cepat keluar dari rumah itu. Rumah neraka!

Panggilan Yuhanis langsung tidak dipedulikan. Bukan dia peduli pun dengan orang-orang dalam rumah itu. Akhirnya, mereka akan bawa diri masing-masing juga. Kasih sayang? Pergi mampus dengan kasih sayang! Semua itu hanya dongeng. 

•••

“Kau selesaikan lah mana-mana yang belum setel, Razin..” Ghazi gelak mengekek.

Pedal minyak ditekan sehabis boleh. Lebuhraya yang tidak begitu banyak kereta memberi dia kesempatan untuk memecut laju. Razin membebel di hujung talian. Ghazi hanya menadah telinga. 

“Benda remeh-temeh macam tu kau sorang pun boleh setel. VIP aje pun. Bukan tanggungjawab aku membodek VIP ni.” jelas Ghazi. 

Keretanya menyelit-nyelit di antara jarak kereta-kereta lain. Dia mahu cepat sampai ke Kuala Lumpur. 

Tugas dia ke Perak hanya untuk memeriksa dan bertemu dua muka dengan setiap pemilik dan peneraju rumah-rumah anak yatim yang mendapat tajaan dari Saven. Tetapi, tiba-tiba sahaja ada beberapa ahli politik yang juga mahu menyelit masuk menyertai sesi suai kenal dia. Tak tahu malu betul!

Sekarang dia faham kenapa Saven banyak terpalit dengan agenda politik. Nampaknya budaya ini sudah dibiasakan sejak dari dulu lagi. Belum lagi dia periksa bidang industri lain. Buat masa ini, dia mahu fokus kepada membersihkan Saven dari imej buruk. 

“Thanks, bro.” Ujarnya apabila Razin sanggup mengambil alih tugasnya itu. 

Dia memang boleh mengharapkan Razin di dalam situasi begini. Buat masa ini, Razin adalah orang yang paling boleh dipercayai di dalam syarikat. Dia sudah membuat semakan tentang latar belakang Razin. Dia jadi terkejut apabila membaca tentang latar belakang lelaki itu. 

Razin merupakan salah seorang anak yatim yang juga mendapat tajaan daripada Saven. Idea Mama juga untuk menaja pendidikan dan pelajaran anak-anak yatim yang punya hasrat untuk bersaing dan mencabar hierarki sosial masyarakat. Dia mahu saja telefon Mama dan beritahu kepada wanita itu bahawasanya idea dan impian Mama sudah terealisasi. Razin adalah buktinya. Seorang anak yatim yang tidak punya keluarga dan harta,  berani mencabar dunia dan kini, dia berdiri sama tinggi dengan ahli-ahli korporat. Pasti Mama akan merasa bangga sehingga berair mata jika mendengar berita ini.

Mungkin, itu lah antara sebab kenapa Saven ditubuhkan. Kerana Mama mahu menyama tarafkan mereka yang tidak bernasib baik dan memberi mereka peluang dan ruang yang sama seperti orang lain. Peluang untuk mereka mendaki naik ke hierarki tertinggi. 

Dia tersenyum sendiri. Tidak sangka dia punya ibu bapa yang mempunyai cita-cita paling mulia dalam dunia.

Dari kecil, dia sentiasa mendengar cerita-cerita dongeng yang Mama reka yang menggambarkan seorang manusia yang berani mencabar dunia dan membela mereka-mereka yang tidak berkuasa. Dia sentiasa terinspirasi dengan kisah dongeng begitu. Tidak sangka, Mama benar-benar cuba merealisasikan kisah dongeng rekaannya sendiri. 

“Mama.. Mama idola Ghazi sampai bila-bila.” ucapnya perlahan. 

Kereta membelok masuk ke persimpangan Sungai Besi. Jam ditangan di lihat. Kalau sempat, dia mahu Isyak’ di rumah saja namun hasratnya lebur. Keadaan jalan raya yang agak sesak mematikan niatnya. 

Telefon pintar dicapai. Sambil menunggu kereta di hadapan bergerak, Ghazi memeriksa dan mencari masjid ataupun surau yang terdekat. Dia takut nanti sampai sahaja di rumah, dia jadi terlalu penat dan malas mahu solat pula. 

Nama Nuha terpampang di skrin telefon. 

“Dah sampai Sungai Besi dah.” Ghazi menjawab ringkas. 

“Erm.. Singgah masjid dulu. Takut penat sangat sampai rumah nanti.” 

Dia menggerak-gerakkan tubuh ke kiri dan ke kanan. Sakit belakangnya kerana memandu terlalu lama.

Leteran Nuha bikin dia sakit telinga. Ini lah orang perempuan. Tidak pernah puas hati dengan usaha orang lelaki. Dia sudah memecut dari Perak ke Kuala Lumpur pun masih belum cukup usahanya itu di mata Nuha Irdina. Bukan setengah jam pemanduan tau!

“Kau makanlah dulu. Jangan tunggu aku. Jammed ni..” 

Hatinya dipalit rasa risau pula. Kesian pula membiarkan Nuha menunggu dia untuk makan malam bersama. Terus hilang rasa tidak puas hati tadi. Dia pasti Nuha juga cuba berikan yang terbaik buatnya. 

“Okay-okay. Lepas habis Isyak, aku terus balik okay?” janjinya.

Suara Nuha yang tadi sayu bertukar ceria. Dia menamatkan panggilan apabila kereta di hadapan sudah mula bergerak laju. Aplikasi waze dibuka. Keretanya mengikut saja telunjuk waze yang mengarahkan dia untuk menuju ke mana. Kereta membelok masuk ke dalam perkarangan sebuah masjid dan berhenti di salah satu kotak parking yang kosong. 

Enjin kereta dimatikan. Mata melihat sekeliling. 

Bersusun-susun motor di hadapan masjid. Kotak parking kereta pula tidak begitu penuh. Nampaknya ramai jemaah nya terdiri daripada penduduk sekitar lah ini. Tekanya sendiri. 

Dompet dan segala barang-barang penting dimasukkan ke dalam kocek seluar. Manakala beg silangnya disorok dibawah kerusi. Risau kalau-kalau ada perompak atau kaki pecah kereta pula disini. 

Lampu kereta berjenama mewah itu berkelip beberapa kali menandakan bahawa kereta telah dikunci. Kaki dilayangkan menuju ke arah pintu hadapan masjid. 

Dari jauh dia dapat melihat kelibat beberapa orang jemaah yang sedang berborak-borak santai di hadapan masjid sebelum azan berkumandang. Siap minum air teh lagi dengan meja dan kerusi bersusun di satu sudut. Memang sempoi lah kalau dapat melepak begitu hari-hari. Jarang sungguh lah mahu lihat suasana begitu lagi di masjid-masjid bandar ini. 

Selalunya tepat pukul 9 dah tutup pagar. DIa masih ingat lagi, ketika sekolah rendah dahulu.. Masjid adalah tempat yang sentiasa dibuka. Malah sesiapa saja dibenarkan berteduh di dalam masjid. Ada juga orang-orang gila dan gelandangan yang tiada arah tuju selalu tumpang tidur di masjid kampung mereka. Pada masa yang sama, mereka ikut berjemaah setiap subuh. Pada yang bukan islam pula, mereka jadi tertarik dengan sifat aman damai agama ini. Tetapi tidak sekarang.. Lihat saja bagaimana Masjid dilayan sebagai satu tempat mewah yang hanya dibuka pada waktu-waktu tertentu sahaja. Siap kena halau lagi kalau dah sampai masa tutup pagar. Aduhai..

Dia terpandang sebuah kereta berjenama yang dari tadi tidak menurunkan lampu spotlight. Mata Ghazi mengecil. Sakit. Lampu spotlight tepat pula ke arah pintu masjid. Bagus betul abang ni. Bawa-bawa tutuplah lampu tu..

Tangan mengetuk perlahan cermin di bahagian pemandu. Niatnya hanya mahu minta si pemandu menutup lampu saja. Kasihan pada atok-atok yang tengah melepak minum air teh tu.. 

Perlahan-lahan cermin pemandu turun. Hujung bibirnya naik 

“Assalamualaikum, Encik.. Maaf, tapi saya nak minta tolong tutup spotlight encik. Kesian orang dalam masjid terlebih cahaya dah ni.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience