BAB 29

Romance Series 18757

Dua gelas air Teh’o Ais diletakkan di hadapan mereka. Ghazi mengucapkan terima kasih sambil jarinya menaip-naip teks di atas skrin telefon. Memaklumkan kelewatan nya pulang ke rumah pada Nuha.

Hazirul pelik. Ghazi ini langsung tidak menjaga air muka sendiri sebagai orang korporat. Bawa pula dia minum di kedai mamak begini saja. Aiseh..

Tadi dia agak terkejut juga apabila melihat wajah Ghazi terpacak di luar keretanya. Niatnya hanya mahu berehat saja di depan masjid itu. Dia stress. 

Stereng kereta diketuk berkali-kali melepaskan rasa bengang dan marah. Air matanya tidak mahu keluar langsung. Di depan ayah tadi air matanya mahu merembes keluar sangat. Bila sudah ada peluang untuk menangis, dia tidak boleh menangis pula. 

Masjid di depan mata dipandang lama. Sinis saja senyumannya. 

Mimbar yang terletak cantik di hujungnya dipandang hina. 

“Rumah Tuhan? Hah!” 

Dia pandang pula satu per satu wajah orang-orang yang berdiri dan berbual-bual di kawasan masjid tersebut. Semuanya wajah alim-alim. Hidup mereka pasti lebih mudah. Sebab itu mereka semua tidak rasa seperti apa dia rasa. Merasa Tuhan tidak adil! 

Mereka semua ini pasti masuk syurga kerana takdir hidup mereka elok-elok saja. Sedangkan orang seperti dia? Layak ke neraka saja! 

Stereng kereta diketuk lagi. Dia geram! Kenapa Tuhan tak adil sangat pada dia! Punya ayah yang berperangai macam syaitan. Ibunya pula terlantar di wad gila. Dia pula anak tidak berguna yang penuh dosa. Hina dan jijik. 

“Kalau benar Tuhan itu adil, datangkan pada aku seseorang yang boleh beritahu aku apa yang betul!” Mata memandang tajam pada mimbar masjid. 

Dia sumpah! Kalau Tuhan tidak tolong dia kali ini, dia akan berputus asa saja dari semua agama. Dia akan ikut apa yang Zack kata. Tuhan tidak wujud. Kehidupan selepas mati yang diuar-uarkan dari 1400tahun yang lalu itu hanya rekaan semata-mata.

Tok! Tok!

Hazirul kaget. Terus kembali ke realiti. Dia menoleh ke cermin tingkap. Butang kecil di tepi ditekan. 

“Assalamualaikum, Encik.. Maaf, tapi saya nak minta Encik tolong tutup spotlight. Kesian orang dalam masjid terlebih cahaya dah ni.” 

Lelaki itu tersenyum lebar. 

“Ghazi?”

“Oh, Encik Hazirul rupanya..”

Huluran tangan Ghazi disambut. Dia melihat lelaki itu atas bawah. 

“Kau buat apa disini?” tanya Hazirul. 

Kening Ghazi melengkung naik ke atas. Ibu jarinya menunjuk ke arah masjid di depan mereka. Tidak pasti samada dia harus jawab soalan itu atau tidak. Kalau dah datang masjid, tak kan nak berdisko pulak. 

Mata Hazirul berkelip beberapa kali. 

“Rul? Asal tak minum? Minumlah.. Aku boleh belanja mamak je..” Teh’O Ais disedut puas-puas. 

Lega. Memang dari tadi dia cari air sejuk. 

Hazirul terbatuk kecil. Dia sambut air di atas meja. Bukan dia kisah sangat mamak atau tidak, cuma jarang sekali dia datang ke gerai-gerai begini.

Ghazi memesan roti canai untuk dia mengisi perut. Hazirul menggeleng apabila Ghazi meminta dia memesan juga. 

“Selalu ke kau datang masjid tadi? Ramai juga jemaah tadi. Kalau jumaat, konfem bentang tikar atas jubin lantai.” dia ketawa.

Hazirul menggeleng. Jangan cakap selalu datang, itu pertama kali dia datang masjid ada lah! Terpinga-pinga juga dia nak solat tadi.

Dia bukanlah seorang yang begitu tegas dalam hal agama. Malah, dari kecil agama ini bukanlah perkara penting pun dalam kehidupan mereka. Sehingga sekarang dia masih ragu-ragu dengan fungsi agama dalam kehidupan seseorang. Buat apa bergantung kepada agama dan Tuhan sedangkan segala pencapaian hasil dari usaha kita sendiri. 

“Kau selalu ke? Pergi masjid.” giliran dia pula bertanya. 

Dia tidak sangka Ghazi ni kaki masjid. Dia tahu memang ada juga orang kaya yang sellau ke masjid, menderma ke masjid.. Untuk dapat berkat. 

“Ikut keadaan. Kalau sempat, aku pergi.”

“Kau pergi? Kenapa? Kau pergi tanpa sebab? Ke dekat masjid ada persatuan perniagaan ke apa?”

Sedutan air Ghazi terhenti. Riak hairan diberikan kepada Hazirul. 

“Lah.. Aku pergi sebab nak solat lah.”

Hazirul terdiam. Dia cuba memahami maksud Ghazi tetapi dia langsung tidak nampak kebaikan Ghazi bersolat tiap hari macam orang-orang masjid itu. Daripada solat, baik gunakan masa itu untuk mencari duit.

“Aku dengar kau sudah kahwin dengan Nuha. Tahniah!” 

“Terima kasih. Doa yang baik-baik untuk aku dan Nuha. Kau bila nak kahwin?” 

Roti canai Ghazi sampai. Dia mengeluarkan wet tissue dari dalam kocek dan mengelap tangannya sebelum mula makan. Malas mahu bergerak ke tempat mencuci tangan. Niatnya mahu mengisi perut saja. Alang-alang sudah terserempak dengan Hazirul, tidak sedap pula kalau tidak ajak minum sekali. 

“Aku tak boleh kahwin lah, Ghaz. Macam lah kau tak tahu kenapa.. Lagipun, lelaki macam aku ni tak layak.” 

Dia asyik memerhati Ghazi makan. Air liur ditelan. Macam sedap lah pula. Menyesal sikit sebab jual mahal tadi. 

Pinggan roti canainya ditolak kepada Hazirul. Meminta Hazirul untuk jamah sekali. Dia pun bukan mahu mengenyangkan perut sangat. Nanti di rumah, dia perlu teman Nuha makan juga. 

Hazirul menyambut. Tercapai juga keinginannya. 

“Ghazi.. Kalau aku tanya sesuatu boleh tak? Aku tak kisah kalau kau tak nak jawab. Aku faham.” Mata memandang Ghazi sekilas. 

Roti canai di dalam pinggan sudah tinggal separuh. Riak Ghazi membenarkan dia bertanya.

“Kenapa semua orang, majoriti lah.. Pegang pada agama? Maksud aku, penting sangat kah ada agama? Aku tak dapat rasa langsung kegunaan agama dalam kehidupan aku.”

Helaan nafas panjang kedengaran dari arah hadapannya. Lelaki itu berpeluk tubuh. 

“Aku tak pasti samada aku adalah orang yang layak untuk beri jawapan, dan aku tak pasti samada kau akan terima dengan baik atau tidak jawapan dari aku.”

Hazirul faham. Dia berhenti makan dan duduk tegak menghadap Ghazi. 

“Aku cuba terima.”

“Berlapang dada lah. Aku tidak jamin setiap kata-kata aku akan terasa manisnya. Mana yang baik, kau ambil, mana yang tak baik kau abaikan saja."

“.. Kalau kau mahu aku beri definisi agama macam dalam buku, agama ini penting untuk mengajar manusia tentang buruk dan baik sesuatu perkara. Untuk mengajar kita dan membentuk jiwa kita menjadi bersih.” 

Hazirul melongo. Tidak faham malah tidak dapat telan apa yang baru saja Ghazi kata. Jiwa yang bersih? 

“..Itu kalau kau baca buku teks. Kalau ikut pada pandangan aku, agama adalah batasan. Yang menjaga seseorang manusia daripada melampaui batas.”

Air dalam gelas dihirup. Dia tidak faham kenapa agama mahu menjadi batas dan penghalang pula kepada manusia.

“Bukankah lebih baik jika seseorang manusia tiada batasan? Dunia pun jadi lebih maju.”

“Betul.. Tapi, pernah tak kita terfikir.. Tak kira apa yang kita lakukan, kita tidak pernah merasa puas dengan apa yang kita sudah dapat? Kita terus mahukan lagi dan lagi. Kerana manusia diciptakan dengan sifat keterbatasan. Dan jujurlah, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat mencapai satu tingkat yang dipanggil ‘ketidak-batasan’” 

“..Jiwa itu satu percampuran dari nafsu, akal dan angan-angan. Disentuh pula oleh hasutan syaitan. Rasanya apa akan jadi pada kita jika semua ini bercampur menjadi satu?”

Hazirul mengangkat bahu. Dia tidak pasti.

“Keinginan. Manusia mencipta keinginan, desire. Lebih tepat lagi, keinginan tanpa batasan kalau tidak dikawal dengan baik. Dan disinilah agama memainkan peranan. Agama mengingatkan dan mengajarkan kita bagaimana mahu mengawal keinginan. Dengan cara meletakkan had dan batas. Dosa dan pahala. Baik dan buruk.”

“Manusia dicipta bersifat terbatas. Manusia adalah satu ciptaan yang rapuh tetapi istimewa. Tidak seperti binatang dan tumbuhan yang Tuhan sudah tentukan aliran dan gaya hidup mereka sama saja dengan yang lain-lain. Manusia istimewa. Tuhan beri kita satu ciptaan yang sangat rapuh tetapi dengan ciptaan itu kita terevolusi. Kalau ikut pada kajian saintifik, kita ini Homo-Sapiens. A being who is weak but genius. Bergantung sepenuhnya kepada otak untuk meneruskan hidup. Dulu, kita di hirarki terbawah dalam food chain, tapi hari ini kita di hirarki teratas di dalam rantaian makanan. How amazing we are..”

“Tapi, kisah apa pada Homo-sapiens. It's just a prehistoric theory. Kalau kita ikut kepada cerita dalam Al-quran sendiri, Allah menganugerahi Nabi Adam dengan pengetahuan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 31: Dan Allah mengajarkan Nabi Adam semua nama-nama benda dan kegunaannya..”

“Dan kerana anugerah akal fikiran ini juga lah Nabi Adam menerima tugas maha berat yang diamanahkan oleh Allah iaitu menjadi khalifah di bumi. Ada cerita di dalam al-Quran dimana Allah menawarkan amanahnya sebagai Khalifah Allah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang untuk dipikul tetapi mereka tidak sanggup memikulnya kerana takut akan gagal menyempurnakannya. Menurut Ulamak, amanah tersebut adalah tanggung jawab menegakkan dan melaksana kan agama Allah di muka bumi sesuai dengan kelebihan manusia yang dianugerahi akal fikiran.”

“.. Tapi, hari ini anugerah yang satu ini digunakan untuk melawan perintah Allah hanya kerana keinginan. Di situlah agama menjadi batasan antara manusia dan hawa nafsu keinginan yang tidak terbatas. Allah tidak kejam, malah Allah hadiahkan kita agama untuk menjadi penghalang antara kita dan dosa dan membawa kembali kita kepada jalanNya. Tidak kira lah berapa banyak dosa kita sekalipun, asalkan kita ikhlas kembali kepada Allah, kembali meletakkan batas kepada diri kita dengan mengawal hawa nafsu kita dan beribadah kepada Allah.. Kita akan baik-baik sahaja.. Apa kita kira hidup tanpa batasan akan mengundang kebahagiaan?”

Hazirul menelan air liur. Khusyuk mendengar cerita Ghazi. Dia tidak pernah sangka ada cerita menarik yang diceritakan di dalam al-Quran. Dia tidak pernah baca pun. 

“Sifat manusia adalah terbatas. Kita tidak mampu hidup dalam ketidak-batasan. Kita akan hancur, mental kita mungkin akan rosak. Kerana kita mencari-cari sesuatu yang boleh memuaskan kita sepanjang masa. Hakikatnya, tiada apa didalam dunia yang mampu memuaskan keinginan nafsu yang di hasut oleh syaitan. Kita tidak meletakkan batasan kepada jiwa dan keinginan kita. Akhirnya, kita akan hilang diri sendiri. Kita akan merasakan hidup ini tiada makna dan arah tuju. Hanya hidup dan mati. Tiada pembelaan atas setiap kesengsaraan yang kita sudah rasa.. Hanya Allah saja yang memiliki sifat ketidak-batasan.”

“.. Tuhan tidak perlukan kita, kita yang memerlukan Tuhan. Tanpa kita, Dia masih Tuhan. Tanpa Dia, kita bukan sesiapa. This - is - the Being we are messing with.”

Jam tangan dikerling. Membulat besar matanya. Mesti merajuk teruk Nuha kejap lagi ni. 

“Sekalipun orang macam aku? Masih diterima?” bergetar juga jiwanya mendengar kata-kata terakhir Ghazi.

Dia cemburu melihat orang-orang lain yang hidup lebih baik dari dia. Dia tiada sesiapa yang boleh mengajar dia malah keluarga sendiri pun hancur dan sudah hanyut entah ke mana. Air ber-alkohol sudah macam air sirap saja bagi golongan seperti mereka ini. 

“Tuhan tiada sifat manusia. Apa sahaja perasaan negatif yang kau rasa dan anggap, Tuhan tak begitu.”

Keadaan sekeliling sudah mulai kurang manusia. Hanya tinggal budak-budak bawah umur yang lemak bermain permainan online secara berjemaah di beberapa buah meja. 

“Tapi, aku risau lah mahu berubah jadi baik. Tiada orang boleh tolong aku. Macam mana kalau aku sudah mahu jadi baik, tetapi kawan itu tinggalkan aku terkontang-kanting seorang diri. Tiada arah tuju.”

Ghazi ketawa terbahak-bahak.

“Maaflah aku cakap ni. Aku harap niat kau nak berubah tak jatuh merundum bila dengar apa aku mahu kata.”

“Takpe. Aku tak kisah. Kau cakap jelah.”

“Itulah angan-angan paling femes dalam kalangan manusia. Angan-angan mahu seseorang pimpin tangan mereka sampai masuk syurga. Kalau boleh, sampai dah lepas pintu syurga baru lepaskan tangan tu.”

“Maksud kau?”

“Maksud aku.. Orang macam tu tak wujud. Seakan-akan kau mengharapkan seseorang datang bagi hidayah pada kau. Setiap kali kau tertinggal hidayah kau dekat rumah, orang tu tolong bagi yang baru. Macam orang tu tak ada benda lain nak buat selain bantu kau dapat hidayah. Macam orang tu tiada dosa dan pahala sendiri yang dia mahu fikirkan.”

Hazirul tersentak. 

“Percayalah, kau tak akan jumpa kawan begitu. Kawan yang baik ramai, tapi kawan yang suci tanpa dosa ni memang tak wujud. Jangan harap ada orang akan pimpin tangan kau, tapi, belajar pimpin sesama sendiri. Bila kau buat salah, ada kawan yang boleh betulkan kau. Dan bila dia buat salah, kau boleh betulkan dia.”

“..Bukan seorang dua manusia yang gagal berubah kearah kebaikan, ramai. Sebabnya? Dia berangan macam kau lah. Harap ada orang pimpin tangan. Tak tinggalkan mereka. Kalau boleh, masa nak solat pun nak kena ajak hari-hari dan tiap waktu. Bila kawan tinggalkan, mereka give up. Salahkan masyarakat. Sedangkan salahnya pada diri sendiri. Mengharapkan kebaikan datang bergolek.. Hidayah tu kalau tersepak batu kecil lepastu tiba-tiba ingat mati pun sudah dapat hidayah lah tu. Tak perlu tunggu hidayah besar-besar datang. Lihat dengan hati, rasa dan cintakan kebaikan dengan keikhlasan.”

“.. Tiada manusia yang tak buat dosa dan pendosa terbaik adalah pendosa yang sentiasa bertaubat.”

Hazirul mengeluh panjang. Dia akui kebenaran kata-kata Ghazi itu. Memang dia mementingkan diri sendiri. Mengharap orang datang menyelamatkan dia tanpa dia usaha sendiri. Dan selepas itu, dia menyalahkan Tuhan pula atas apa yang terjadi pada dirinya. 

“Kau rasa macam mana aku perlu mulakan perubahan? Solat 5 waktu?” 

Dia mahu mencuba. Macam kata Ghazi, tersepak batu kecil pun dapat hidayah. Dia ni sampai dah masuk masjid berjemaah sekali dah. Kalau hidayah sebesar itu pun dia masih tak nampak, buta sangatlah kut hati dia ni.. 

“Hm.. Itu memang wajib. Tapi susah wei kalau kau nak solat 5 waktu sekali gus. Kau mulakan dengan istiqomah masuk tandas baca doa dulu.. Solat tu cuba lah penuh 5 waktu kalau boleh.. Tak boleh, esok cuba lagi..” sarannya. 

Sedikit sebanyak pandangan dia terhadap Hazirul berubah. Lelaki ini agak mudah diajak berborak. Tidak terasa hati. Dia pun tidak perlu bertapis-tapis kata sangat. Hazirul seorang lelaki yang baik dalaman nya. 

•••

“Hoi, Ghazi!”

Ban melambai tangan dari meja hujung sekali. Joseph juga berada di situ. Ghazi mengangkat tangannya. 

“Lepas kahwin dia terus lupa kita, Joe..” Ban menarik muncung. 

Ghazi kahwin dulu dari dia pula tu. Padahal dia yang serabut kepala fikir pasal kahwin. Ghazi senang saja, terus kahwin. 

Ghazi menampar kepala Ban. Sesedap rasa saja Ban kata dia lupa member. 

“Aku sibuk sikitlah.” Kerusi di sebelah Ban ditarik. 

“Iya lah. Dah jadi tokey besar.. Boleh lah kau bagi aku kerja lepas ni. Kerja yang mahsyuk sedikit, Ghazi.” pinta Joseph. 

Tangan Ghazi rijek proposal minta kerja Joseph. Dia sama sekali tiada kuasa mahu masukkan siapa-siapa dalam syarikat sesukahati dia. Malah itu sudah melanggar polisi jabatan sumber manusia mereka. Kalau Joseph mahu, dia boleh pergi apply kerja macam orang lain juga. Tiada jalan pintas!

Wajah Joseph berubah kecewa. Memang dia sudah agak. Anganannya mahu masuk ke syarikat se-gah itu boleh dikuburkan sahaja. Kalau dia memohon kerja di situ, panggil interview pun tak lepas kut.

“Cik Nuha mana? Eh.. Puan Nuha.. Kenapa kau tak bawa sekali?” sudah lama dia tidak nampak Nuha. Kali terakhir adalah ketika di parti hari jadinya beberapa bulan lepas. 

Joseph juga bersetuju dengan pertanyaan Ban. Dia rasa sedikit terpinggir. Kedua-dua teman rapatnya sudah kahwin, hanya dia saja masih single dan available begini. Manalah jodoh dia ni! Dia mahu kahwin juga..

“Nuha tak sihatlah. Aku tak nak lah bawa dia keluar, nanti macam-macam.. Kau kenapa tak bawa Eliya?” 

Ban membuat bentuk C ke perutnya. Tanda Eliya sedang sarat dan dia tidak mahu memberi tekanan kepada Eliya. 

“Mesti penat jadi kau kan, Ghazi. Melayan gosip-gosip begitu.. Kalau aku jadi kau, mengamuk lama sudah aku.” Joseph menolak air yang dipesan oleh Ghazi ke depannya. 

“Gosip apa?”

“Lah.. Gosip pasal kau dengan Nuha lah. Bermacam-macam panggilan dia bagi pada kau. Yang paling femes, diorang kata kau kaki kikis. Menumpang harta bini. Bini tanggung hidup kau.” Joseph menghangatkan topik perbualan mereka. 

Ban pecah ketawa. Geli perutnya apabila teringat semula artikel-artikel gosip tersebut. Muka tak bersalah ini yang jadi mangsa keadaan. Dia langsung tidak faham dengan wartawan-wartawan gosip begitu. Seronok sangat ke simbah minyak dalam api?

“Oh.. pasal itu ke? Nuha tiap malam mengadu pada aku. Aku malas lah nak layan. Diorang tu cari cerita je. Takde cerita, buat cerita pun jadi lah.” 

Dia sudah baca artikel-artikel berkenaan. Memang melampau tetapi apa gunanya mahu berbalas-balas kenyataan dengan media masa. Mereka lagi suka kalau kita buka mulut. Biar mereka syok sendiri bermain dengan cerita rekaan mereka sendiri. Sikit hari, termasuk jerat mereka sendiri juga. 

“Yang penting sekarang, aku dan Nuha baik-baik saja. Gembira dan bahagia. Orang luar tak perlu masuk campur rumah tangga kami.” jelasnya.

“Betul tu.” Ban menyokong.

Dia suka cara Ghazi. Yang langsung tidak mempeduli kan pandangan orang lain padanya. Apa yang dia kisah cuma pandangannya sendiri. Sedangkan satu Malaysia dok mengutuk dia sekarang ini. Mana tidaknya, seorang mamat yang entah mana asal-usulnya. Bekerja pula hanya sebagai seorang pelayan, tapi dapat kahwin dengan anak menteri. Memang kena cop kaki tumpang kekayaan bini lah!

Peminat-peminat Nuha Irdina apa tah lagi. Sejak media sosial gadis itu dibersihkan dari segala gambar yang menjolok mata, sejak itu juga munculnya berpuluh-puluh lagi akaun palsu Nuha. Mereka naikkan semula gambar-gambar Nuha yang menjolok mata di akaun-akaun tersebut. Dia jatuh simpati. Pasti tertekan mereka berdua perlu menghadapi perkara begini. Seakan-akan tiada jalan keluar untuk Nuha.

Wajah Ghazi dipandang sepi. 

Ghazi langsung tidak terkesan dengan apa yang sedang terjadi. Tenang dan bersahaja sentiasa.

“Kau sayangkan Nuha kan sebenarnya dari dulu lagi?” tebaknya.

Bibir menyeringai. Mahu mengusik Ghazi dan melihat reaksi lelaki itu. Iya lah. Ghazi selalu saja beku. Tidak mudah untuk membongkar rasa hati lelaki bernama Ghazi. Dia pun tidak sangka Ghazi memilih untuk kahwin dengan Nuha sedangkan dulu dia kata lain.

“Siapa tak sayang bini..”

Ceh.. Ghazi ni.

“Aku tanya kau sayang Nuha kan? Bukan aku tanya suami mana tak sayang bini. Aku cakap, Ghazi sayang dan cintakan Nuha tak?”

Mata Ghazi beralih ke arah lain. 

Ban give up. Apa yang susah sangat mahu menuturkan kata-kata cinta, dia pun tidak faham. Bukan susah pun. Cakap pakai mulut je. 

“Benda begitu penting sangat ke?” dia beri jawapan selamat. 

Cinta? Dia tak percaya lah cinta-cinta ini. Tak bawa kemana pun. Dia tidak terdidik dengan kata-kata cinta. Dia terdidik dan dibesarkan dengan layanan kasih sayang. Sekalipun Mama dan Ayah juga tidak selalu menggunakan perkataan i love you dan you love me. Tetap juga hubungan mereka berkekalan sampai tua malah cinta dan kasih sayang mereka semakin kuat lagi.

“Mestilah penting. Perempuan ni suka kata-kata tau.  Aku beri kau tips pikat hati isteri.. Kalau bini kau tengah panas hati, kau cakap ‘iloveyou’ dekat dia. Konfem hati dia terus sejuk.”

“Pandai-pandai aje kau..” dia ragu-ragu dengan tips rumah tangga dari Ban. Dia sendiri pun kena baling periuk belanga. Nak cakap pasal sejukkan hati bini pula. Hati Eliya pun dia tak dapat nak sejuk kan selama ini. 

“Ehem! Boleh hormat orang single tak?” Muka Joseph masam. 

Ban dan Ghazi memandang Joseph. Mereka mengangguk serentak. Pecah juga ketawa mereka melihat wajah masam Joseph. Tak sesuai langsung muka Joseph nak pura-pura merajuk. 

Lagipun Joseph ni muda lagi kalau mahu fikir kahwin. Umur tak sampai 25tahun pun lagi. Berseronok-seronok lah dulu. Lainlah macam dia dan Ban yang memang sudah wajib kahwin. Lagi lama membujang, lagi desperate jadinya. 

Setelah menghabiskan makanan di dalam pinggan masing-masing, mereka bertiga bertukar-tukar cerita mengenai hidup masing-masing. Yang pasti, cerita Joseph lebih banyak kepada rungutan dia yang masih membujang. Ban pula meroyan mengenai kerenah Eliya yang tidak habis-habis. Ghazi cuma mendengar. Kalau dia buka mulut nanti, dengan dia sekali meroyan macam Ban. 

Sungguh lah, menjadi seorang suami ini memerlukan had kesabaran yang tinggi. Dia tidak pelik jika ramai lelaki bergelar suami di luar sana mengambil jalan mudah dengan menggunakan kekerasan terhadap isteri. Lelaki sebegitu masih tidak layak menyandang pangkat suami kerana dengan mudahnya tergoda dengan perasaan marah.

Dia bangga dengan Ban. Walaupun Eliya selalu marah-marah dan mengamuk, belum lagi Ban melawan dengan kekerasan dalam mengawal baran isterinya. Padahal tiap hari juga berbunyi notifikasi mesej dari Ban yang meroyan pasal bini sendiri. 

Bahu Ban ditepuk. 

“Kau suami yang hebat, Bro..” 

Mulut Ban ternganga. Dia rasa macam nak demam aje mendengar pujian dari lelaki di sebelah ini. Ghazi tersalah makan ubat ke apa.. Baik semacam.

“Kenapa kau tak elak bila dia baling barang pada kau?” Joseph menyampuk. Mata tertumpu kepada benjolan di dahi Ban. Ketawa ditahan. 

“Kalau aku elak, makin banyak lah barang dia baling.” Balas Ban. 

Dia sendiri pelik dengan baran Eliya. Eliya gadis yang lemah-lembut. Mahu tinggi suara pun jarang sekali. Tetapi, semenjak mengandung.. Baran Eliya seakan tidak boleh dikawal. Mungkin Eliya tertekan kerana isu mereka kahwin ekspress. Tohmahan-tohmahan dari keluarga mereka sedikit sebanyak menganggu emosi wanita berbadan dua itu.

“Aku pun tak tahu lah. Buat masa sekarang, sabar saja yang aku boleh buat. Aku harap lepas bersalin, Eliya tak meroyan dan tertekan aje. Aku risau juga.” Kepala sudah mula terbayang-bayang isterinya meroyan. Takut memberi kesan pada anak yang bakal lahir itu nanti pula. 

Dia tidak menyesal kerana berkahwin. Tetapi melihatkan keadaan Eliya sekarang, dia meragui keputusan yang telah dibuat. Apa lebih baik lagi kah kalau mereka gugur kan saja kandungan itu dulu?

“Kau jangan fikir bukan-bukan. Apa kata kau bawa Eliya jumpa doktor.. Just in case kalau Eliya benar-benar sedang tertekan, sekurangnya dia sudah di bawah pemerhatian doktor dari awal lagi. She will get extra attention from specialists.” saran Joseph. 

Dia rasa itu adalah nasihat yang terbaik boleh diberikan kepada Ban buat masa sekarang. Dia tiada pengalaman, baik dia serahkan saja masalah ini kepada mereka yang lebih tahu. 

“Betul tu. Aku setuju.”

Wajah Ban yang suram dan berserabut itu buat dia rasa simpati pula. Apabila lelaki berkahwin, seluruh hidup mereka akan diberikan kepada anak dan isteri. Tiada lagi ruang untuk diri sendiri. Sekarang pun dia sudah mula terasa beban tanggungjawab seorang suami. Kemana-mana dia pergi dan apa sahaja yang dia buat dia harus memikirkan Nuha terlebih dahulu. Ban pula akan menimang cahaya mata. Pasti lebih berat lagi dugaan jiwa yang sedang ditanggung lelaki itu. 

“Well, this life is no longer about us.” Ban ketawa hambar.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience