PLOP!!
Titik air yang jatuh dari ranting kayu pokok itu direnung. Nafas di hela panjang. Dia tidak tahu berenang, apalagi mahu menyelam ke dasar sungai besar ini.
Kelibat barang miliknya yang jatuh ke dasar sungai langsung tidak kelihatan.
Bunyi derapan tapak kaki di sebalik semak samun mengunci mulutnya. Dia naik dan bertenggek di atas rimbunan pokok.
'Ha.. Manusia saja.'
Anak matanya tetap kepada sosok tubuh sedang yang sibuk memancing. Sesekali lelaki itu bercakap-cakap sendirian. Kalau manusia lain nampak, pasti dia sudah dituduh gila. Tetapi, tidak pada dia. Lelaki itu bercakap dengan seorang lagi penghuni sungai tersebut.
Dia tidak dapat menangkap perbualan mereka tetapi tangan dan kakinya mula memberi reaksi apabila lelaki manusia tersebut terjun masuk ke dalam sungai.
Hatinya sabar menunggu lelaki itu timbul walaupun kaki dan tangan sudah mahu terjun saja dari atas pokok ini.
"Buargh!" laung si manusia sebaik sahaja dia mengeluarkan kepala dari dalam air.
Sebilah keris dengan ukiran unik ditangan dibelek-belek.
"Ini milik kau?" Soal lelaki manusia itu. Mata memandang ke atas pokok tempat dia sedang bertenggek. Perlahan kepalanya mengangguk.
Keris di hulurkan padanya.
"Ambil lah. Jaga baik-baik."
Dia melompat turun dari pokok besar tadi. Keris di tangan lelaki itu di ambil.
"Kau bukan dari sini ya? Apa kau buat di sini? Ini bukan tempat kau." Jarinya menunjuk ke arah tanah tempat mereka berpijak.
"Aku perantau." Dia menggunakan bahasa yang sama.
Lelaki itu ketawa besar.
"Wujud lagi kah perantau di sini. Kecuali, kau merantau merentasi sempadan yang tidak sepatutnya kau rentas." Kalini tangannya menghala ke arah hutan belantara di belakang mereka.
"Nama kau siapa?" Soal lelaki itu lagi. Kali ini kakinya melangkah menghampiri dirinya. Hati di kuatkan.
Mata lelaki itu merenung ke dalam anak matanya. Senyuman dibibir mekar menampakkan susuan gigi putihnya.
"Aku, kaduk.. Aku duduk dekat kampung sana tu." Kampung di seberang sungai menjadi arah jari telunjuknya.
"Kau dari sana, bukan? Aku selalu nampak perentas seperti kau." Jarinya beralih semula ke hutan belantara.
Dia mengangguk mengiyakan tekaan lelaki bernama kaduk itu.
"Kau tahu tempat ini tak sesuai untuk kau. Di sini ramai pemburu. Jaga keris kau elok-elok kalau kau tak mahu jadi hamba sifat nafsi manusia." Peluh di dahi di kesat dengan lengan tangan yang basah.
Keris ditangan di renung dalam-dalam.
"Boleh kau jagakan keris aku?" Keris ditangan dipersembahkan kepada Kaduk.
Kaduk menggeleng. Keris pemberiannya di tolak.
"Aku tahu apa maknanya kalau aku ambil harta milik kau. Aku bukan orang yang layak." Kepala dia di usap perlahan oleh Kaduk.
"Rasanya, kalau anak lelaki aku lahir nanti dan membesar.. Agaknya dia akan jadi seperti kau tak? Berapa umur kau? Ah, lupakan. Otak aku ini tidak mampu mahu hadam apa yang kau bakal jawab." ujar Kaduk lagi. Wajahnya sentiasa dengan senyuman.
Tok!
Seketul batu hinggap ke kepala Kaduk. Serta-merta darah mengalir keluar dari anak rambutnya.
"Kau gila ke bercakap sorang-sorang!" Jerit salah seorang dari lelaki yang mentertawakan mereka.
Tangan di genggam kuat mahu melepaskan rasa marah namun riak wajah Kaduk seakan memberi amaran supaya dia tidak bertindak.
Kumpulan lelaki tadi berlalu apabila Kaduk tidak menjawab mahupun membalas kembali kata-kata mereka.
"Kenapa kau biar mereka buat begitu?"
"Ada masanya kita tidak perlu melawan. Ha! Aku tahu.. Apa kata aku bagi kau nama. "
Kening terangkat. Beri dia nama? Belum pernah ada manusia mahu beri nama pada makhluk seperti mereka.
"Hm.. Kaduk. Nama kau, Kaduk. Jadi, bila aku bercakap dengan kau, orang akan fikir yang aku bercakap dengan diri sendiri."
Eh?
"Kau tak marah kah mereka semua panggil kau gila?"
Kaduk menggeleng. Dia membasuh luka di kepalanya dengan air sungai yang jernih itu.
"Gila bukan satu perkataan yang hina pun."
Kepala digarunya. Tidak faham langsung dengan Kaduk.
"Kau muda lagi. Nanti bila kau sudah berumur macam aku, kau tahu lah. Dikawal amarah tak memberi apa apa balasan."
"Kau pesilat?" Tubuh Kaduk yang penuh dengan otot di pandang. Dia selalu nampak kaum manusia bersilat di tepi sungai besar itu.
Anggukan Kaduk menjawab pertanyaannya. Baju yang basah dikibas ke udara.
"Tapi, aku bukan pahlawan. Aku bersilat sekadar sebagai perlindungan diri sendiri."
Bajunya disarung ke badan walaupun sudah basah lencun.
"Kau pahlawan, bukan? Lihat pada keris kau, bukan calang-calang orangnya kau ini." Mata Kaduk memerhati keris di tangan juga anak panah di belakang tubuh dia.
Dia tersenyum bangga. Kepala mengangguk.
Mata Kaduk membulat.
"Wah. Muda lagi kau sudah berpangkat."
Kaduk duduk di tepi air. Dia juga turut mencangkung di sisi Kaduk menunggu umpan pancing dimakan ikan.
Kaduk riang bercerita perihal anaknya yang akan lahir tidak lama lagi memandangkan dia sudah lama ingin mempunyai anak. Matanya bersinar-sinar membayangkan rumah kecil mereka akan riuh dengan tangisan dan gelak tawa anak sulung mereka nanti.
Tiba-tiba suasana berubah. Langit yang cerah bertukar gelap. Kalau tadi mereka di tepi sungai, sekarang sudah berbumbungkan atap rumah kayu.
Kaduk dilihat terbaring lesu di depan mata. Anak kecil di dalam pelukannya di cium buat kali terakhir sebelum isterinya mendukung anak itu pula.
"Kau dah datang?" Ujar Kaduk dengan suara yang terlalu perlahan. Ombak di dada lelaki itu juga lemah.
"Apa yang sudah jadi? Serasanya aku baru pergi beberapa minggu dan kau.. Kau sudah terbaring nazak di sini." Dia datang dan duduk di sisi Kaduk. Matanya jelas kerisauan.
Lelaki itu hanya tersenyum. Mulutnya mengeluarkan darah berwarna hitam pekat.
Mata di kerdipkan meminta dia untuk mendekat. Telinga di dekat kan ke bibir Kaduk. Beberapa patah kata yang buat dia marah namun tangannya disentuh lembut.
Air mata mengalir jatuh membasahi bantal tempat kepalanya dibaringkan. Dada kaduk berombak perlahan, separuh badannya sarat dengan jaring-jaring datah berwarna hitam yang membuatkan tubuh lelaki itu menjadi gelap. Seakan-akan ada sesuatu yang meratah tubuhnya dari dalam.
"Satu-satunya yang aku kesal adalah.. Aku tidak dapat lihat anak aku membesar." Suara kaduk tersekat-sekat.
Wajah Kaduk berubah pucat. Entah sudah berapa lama lelaki itu menahan sakit menanti kepulangan nya.
Mata Kaduk tertutup rapat setelah dia menarik dan menghembus nafasnya yang terakhir.
Hatinya sakit. Anak di dalam riba isteri Kaduk di pandang dalam-dalam.
"Ishak. Aku mahu namakan anak aku, Ishak."
Terngiang-ngiang suara dan senyuman Kaduk di dalam ingatannya. Betapa lelaki itu sangat sabar menunggu kelahiran putera sulung itu. Dan segala impian bahagianya sudah diragut oleh kematian.
Kepala Ishak disentuh perlahan. Gigi diketap. Kematian sahabat baiknya benar-benar merentap jiwa. Hatinya menangis menghantar pemergian Kaduk.
•••
"GHAZI.."
Lengannya ditepuk perlahan. Ghazi tersedar. Mata melihat sekeliling. Senyuman Dato'Uzair jelas di pandangannya.
"Ghazi baik-baik kah? Mimpi ngeri ya?"
Air matanya mengalir ke pipi. Dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba matanya basah. Mata digosok sehingga kering.
"Sudah. Ghazi nak subuh sekali dengan pakcik tak?" Dia sudah bersiap-siap dengan kopiahnya.
Jujurnya selama ini jarang dia menapak ke masjid walaupun jaraknya sejengkal sahaja dari rumah. Anak lelakinya pun tidak pernah mahu menemani dia ke masjid. Sejak Ghazi mengajak dia subuh di masjid bersama dulu, dia jadi rindu pula suasana berjemaah di sana. Alang-alang Ghazi ada ini, dapat lah dia lepas rindunya.
Ghazi mengangguk. Selimut dilipat kemas dan diletakkan di atas sofa. Dia meminta diri untuk membersihkan badan dahulu.
Dato'Uzair duduk menunggu. Telefon pintar dibuka, portal berita dibacanya. Selepas itu dia menyemak pula laman saham.
Tidak sampai setengah jam, derapan kaki Ghazi yang sedang turun tangga itu kedengaran. Senyum sahaja anak teruna itu.
"Jom, pakcik!" Ajaknya. Kunci motor superbike kawasaki Ninja itu di ambil dari atas meja.
Mata Dato' Uzair membulat. Biar betul Ghazi mahu bermotorsikal ke masjid. Motor berkuasa tinggi pula.
"Pakcik beli untuk Ghazi tapi pakcik tak pernah rasa lagi kan tunggang motor ni. Hari ni pakcik ride pergi masjid dengan Ghazi." Bibirnya tersengih.
Dato'Uzair hanya menggeleng. Macam-macam lah orang muda ini. Jangan dia tergolek kebelakang sudah lah. Seram juga memikirkan dia yang sudah tua ini mahu membonceng di belakang. Takut terbang pula dia ditiup angin dek kerana kelajuan luar biasa motor ini.
Enjin motor dihidupkan.
"Belum pernah ada orang tercampak dari motor, pakcik." Gelak Ghazi mendengar alasan tidak munasabah Dato'Uzair.
Ghazi sudah naik ke atas motor. Hanya tinggal menunggu Dato' Uzair naik sahaja.
"Haih. Pakcik ikutkan saja lah. Kalau pakcik tergolek jatuh ke belakang, Ghazi jangan lupa pusing balik." Kopiah di atas kepala dibuka dan di simpan ke dalam kocek seluar.
Sengihan Ghazi menjadi-jadi. Geli sungguh hati dia melihat gelagat Dato'Uzair yang takut-takut mahu membonceng di belakang. Nanti dah merasa ride sekali, konfem Dato'Uzair yang gian nanti.
Kawasaki Ninja itu memecut laju keluar dari perkarangan rumah agam mewah tersebut.
Bahu Ghazi dicengkam kuat.
"Pakcik okay tak?" tanya dia, prihatin. Risau juga kalau lelaki tua itu sakit atau apa-apa.
Ibu jari di naikkan tanda dia 'okay'. Bukan setakat okay saja, dia pula naik seronok dapat merasai kelajuan motor tersebut. Ghazi mengekek ketawa mendengar kata-kata Dato’Uzair. Jiwa lelaki memang sukakan kelajuan.
“Lepasni boleh lah Pakcik pula beli superbike. Kita berdua boleh ‘ride’ pusing KL dan Malaysia.” Cadang Ghazi sebaik sahaja dia mengunci motorsikalnya. Dato’Uzair mengangguk. Entah bila agaknya dia akan punya masa terluang begitu. Disaat umurnya sudah di hujung usia ini pun dia masih sibuk bekerja siang ke malam.
“Kalau begitu, Ghazi saja lah jadi pengganti Pakcik. Kahwin dengan Nuha.” Gurau Dato’Uzair walaupun di dalam hatinya dia mengharap yang sama.
Mata Ghazi terbeliak. Mahu terpecah ketawanya mendengar saranan Dato’Uzair tetapi ditahan. Takut Dato’Uzair terasa hati pula.
“Uish, Pakcik gila ke? Saya ni tak sesuai nak digandingkan dengan anak dara pakcik tu. Nuha layak dapat lelaki lebih baik dari saya.” Ah, benda ni sudah aku ulang berkali-kali.
Lagipun, aku ini orang biasa. Tiada pangkat ataupun harta yang menimbun. Gadis seperti Nuha Irdina tidak akan sanggup hidup bersama lelaki seperti aku. Beza kami terlalu jauh.
Dato’Uzair menepuk bahu Ghazi. Kepala digeleng-geleng. Seakan memahami maksud Ghazi. Air mukanya berubah sayu.
“Eh.. Bukan begitu maksud saya, Pakcik. Apa yang jadi pada Nuha bukan satu kekurangan. Cuma, saya maksudkan status saya ini yang tak setaraf dengan status keluarga Pakcik.” Dia membetulkan salah faham di dalam fikiran Dato’Uzair.
Memang dia tidak rasa apa yang telah terjadi mengurangkan sedikitpun nilai Nuha Irdina sebagai seorang wanita. Apa yang telah berlaku bukanlah perkara yang boleh dikawal. Jauh sekali mahu melihat Nuha sebagai gadis yang sudah ternoda. Nuha tetap Nuha yang dia kenal.
Senyuman terukir di bibir Dato’Uzair.
“Kenapalah Ghazi fikir begitu? Darah Pakcik dengan darah Ghazi, sama merahnya.” Belakang tubuh Ghazi ditepuk kuat.
Bagi dia pula, hidup Ghazi lebih tinggi nilainya daripada kehidupan mewah keluarganya. Melihat budi pekerti dan ketegasan lelaki itu saja dia jadi tahu yang lelaki ini mendapat didikan yang baik dari ibu bapa. Sikap rendah dirinya juga amat menyenangkan hati.
Mereka terburu-buru masuk apabila iqamat sudah berkumandang. Sambil berjalan masuk ke dalam saf, mereka bersalaman dengan jemaah lain. Suasana didalam masjid agak meriah apabila bilangan jemaah lebih ramai daripada biasa. Mungkin kerana hari minggu, ramai yang ada masa mahu menapak ke masjid pagi-pagi subuh begini. Kalau di hari biasa, boleh dikira pakai jari sahaja bilangan jemaah yang hadir.
Beberapa orang jemaah lain yang juga duduk di satu kawasan perumahan yang sama mula bertegur sapa dengan Dato’Uzair. Bermacam-macam topik dan cerita yang keluar daripada bibir masing-masing. Sesekali mereka bergelak ketawa.
“Ini siapa? Ali ya? Wajah Ali sudah berubah sungguh.”tanya salah seorang daripada mereka yang berkumpul di sekeliling Dato’Uzair.
Lelaki tua itu menggeleng. Ghazi pula hanya tersenyum. Rasa segan pula dia mahu menyampuk.
“Tak. Ini kawan anak saya. Ghazi.” Sengihan Dato’Uzair melebar. Dia memperkenalkan Ghazi kepada jiran tetangganya yang juga hadir ke masjid pagi itu. Semua hanya mengangguk-angguk, faham.
“Kawan Nuha? Bakal suami kah?” Usik abang berbaju melayu merah pula. Ghazi mati akal. Dia mengharapkan Dato’Uzair saja untuk menjawab bagi pihaknya.
Dato’Uzair di sebelah di kerling. Lagi lama mereka di sini, lagi banyak topik kontroversi yang akan keluar. Dia bukan tidak suka, tetapi dia jadi kurang senang dengan soalan-soalan begini. Boleh jadi gosip tahu!
Ghazi menjarakkan diri dan berlalu masuk kembali ke dalam masjid mewah tersebut. Dia membantu beberapa orang masjid yang sedang sibuk menggulung semula sejadah yang telah di bentang bagi solat berjemaah tadi.
“Kawan saja. Kalau berjodoh, saya terima dengan hati terbuka.” Dato’Uzair membalas ringkas. Topik perbualan cuba ditukar.
Daripada topik mengenai anaknya, dia bertanya pula hal-hal berkaitan komuniti perumahan mereka. Rata-rata masyarakat di dalam kawasan perumahan ini adalah daripada golongan yang kaya, jadinya mereka banyak mengusulkan untuk membuat derma dan bantuan untuk golongan miskin. Sesekali dia mengangguk mendengar saranan dan cadangan-cadangan.
“Wah.. Rapat juga eh Pakcik dengan orang sini. Semua pandang tinggi pada Pakcik.” Topi keledar di sarung ke kepala. Dia kagum dengan populariti DatoUzair. Memang menggambarkan dirinya adalah seorang lelaki yang berjaya.
Dato’Uzair mengekek mendengar pujian dari Ghazi. Hakikatnya, dia hanya dipandang tinggi kerana darjat dan status. Kalau lah dia hanya orang biasa, pasti orang-orang tadi tidak langsung sudi memandang dia walaupun hanya sebelah mata. Dia bukan mahu bersangka buruk, tetapi ada sebahagian dari golongan orang kaya ini memang mementingkan status. Lihat saja Ghazi tadi, langsung tiada yang tegur mahupun pandang. Kerana lelaki itu bukan sesiapa.
“Susah mahu cakap, Ghazi. Tapi, inilah dunia orang kaya. Bila jatuh, tidak dipandang. Bila kita di atas, ramai akan mengaku kawan.” Tubuh dinaikkan ke atas motor.
Dia langsung tidak merasa gembira dengan popularitinya tadi. Bukan dia tidak kenal mereka semua. Semua mengejarnya hanya kerana mahu cantikkan imej saja. Itu lumrah dunia korporat seperti mereka.
"Tapi pakcik, Pakcik jangan terlupa yang manusia punya hati dan rasa kasih sayang. Musuh boleh bertukar jadi kawan. Dan manusia ini memang sifat semula jadi mereka adalah berkasih sayang bukan saling bermusuhan. Yang penting, hati."
Enjin motor di hidupkan. Tangan memulas pemegang.
Sedikit sebanyak Dato'Uzair bersetuju dengan apa yang dikata oleh Ghazi walaupun jarang sekali dia bertemu dengan manusia seperti itu. Mungkin dia ada bertemu, tetapi sifat tamak dan kurang percaya kepada orang lain telah membutakan mata dan hatinya dari melihat kejujuran mereka.
Dato'Uzair mengelamun sendiri sambil menikmati angin kuat yang menampar wajahnya.
•••
"HA, tercegat apa lagi dekat situ. Duduk sini, makan." Arah Ghazi setelah menghirup air kopi yang baru di tuang oleh pembantu rumah Dato'Uzair.
Berani-berani dia mengarah anak dara tuan rumah depan bapak dia sendiri. Ah, biarlah. Ada dia kisah?
Datin Zarina dan Dato'Uzair memandang seperti tidak percaya. Melopong mulut masing-masing. Nasi di dalam senduk sudah jatuh semula ke dalam mangkuk manakala hirupan kopi Dato'Uzair pula berhenti separuh jalan.
Nuha mengetap bibir. Terkedek-kedek dia keluar dari sebalik dinding dan mengambil tempat di meja berhadapan dengan Ghazi dan bersebelahan dengan mummy.
Tersedar dari rasa terkejut, cepat-cepat Datin Zarina mempelawa anak daranya menjamah makanan. Hatinya senang.
Senyuman tidak lekang di wajah.
"Nuha nak makan apa? Mee goreng? Toast? atau Nuha mahu mummy masak something special untuk Nuha?" Susu segar di dalam kotak di tuang ke dalam gelas dan di sua kepada anaknya.
Gadis itu hanya menggeleng. Tangan mencapai senduk di dalam mangkuk mee goreng.
Dato'Uzair tersenyum senang apabila anak gadisnya itu sudah mula keluar dari bilik. Siap sudah mandi lagi. Terus seleranya meningkat. Dia juga menyenduk mee goreng masuk ke dalam pinggan.
Ghazi di tepi di kerling sekali, lalu dia tersenyum sendiri.
"Lepas makan ni, Nuha kena ikut mummy jumpa doktor Razuan, okay? Nuha tak boleh selalu sedih-sedih macam ni. Mummy risau." Rambut Nuha diselit ke belakang telinga. Pipi anak gadis itu pula di cium berkali-kali, persis mencium anak kecil.
Mata Nuha terbeliak. Laju gelengannya. Dia tak mahu! Asyik-asyik kena jumpa doktor.
"Pergi lah. Nak sihat ke tak nak?" Suara Ghazi sudah bertukar tegas. Dah macam kena tegur dengan orang tua aje rasanya.
Nuha menunduk. Tidak berani mahu melawan. Dia masih malu mahu bertentang empat mata dengan Ghazi.
Apa yang berlaku telah mengubah segalanya. Dia tidak boleh memandang Ghazi seperti selalu. Perasaan malu dan takut bercampur baur. Yang membuat dia melangkah turun ke bawah hanyalah kerana perasaan rindu yang menggebu. Dia mahu jumpa Ghazi tetapi bila sudah di depan mata, dia jadi takut dan malu pula.
Perasaan yang dia tidak mampu kawal. Dia masih trauma mahu keluar rumah dan melihat dunia. Seakan seluruh dunia ini bagaikan satu bahaya.
"Okay, mummy."Jawab Nuha perlahan. Mee goreng di sudu masuk ke dalam mulut.
Ghazi memandang Nuha menyuap mee goreng ke dalam mulut. Bekas cengkaman di lengan gadis itu juga masih belum hilang. Pasti kenangan malam itu sesuatu yang sangat menyakitkan.
Tangan digenggam kuat. Kalau dia lebih cepat dan kalaulah dia tendang lelaki itu lebih kuat, pasti lelaki tersebut dapat ditangkap. Salah dia kerana menahan kekuatannya malam itu. Dia tidak sangka pula lelaki itu masih mampu lari. Bukan calang-calang juga si penjahat tersebut jika dapat menahan tendangannya malam itu.
Wajah Nuha tidak beremosi dari tadi. Mata hanya fokus kepada sesi suapan. Langsung tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibir merah basah itu.
Makin menebal rasa bersalah di hati Ghazi. Kalau lah dia tengking saja Nuha didalam telefon malam itu, pasti lebih baik lagi. Sekurangnya Nuha tak akan keluar datang mencarinya. Dan semua ini tak akan berlaku.
Suara Dato'Uzair membuat Ghazi tersedar. Keningnya yang berkerut kembali lurus.
"Ghazi boleh temankan makcik dengan Nuha ke hospital hari ini?" Pinta Dato'Uzair. Air mukanya penuh berharap.
Ghazi serba salah mahu menolak. Dia anggukkan kepala.
"Tak! Tak payah! Nuha dengan mummy boleh pergi sendiri!" Ton suara Nuha meninggi. Dahi berkerut. Dia bangun dan naik semula ke biliknya meninggalkan isi didalam pinggan yang masih berbaki lagi separuh.
Dato' dan Datin terkejut dengan perubahan yang tiba-tiba. Mulut masing-masing terkunci.
Ghazi mengeluh.
"Hm.. Kalau sudah itu yang Nuha mahu, kita ikutkan saja lah, pakcik." Ghazi memecah kesunyian antara mereka. Dia menyuap roti bakar ke dalam mulut.
Dato'Uzair bersetuju.
•••
PRANG !!
Gelas kaca yang sudah kosong itu di baling jatuh ke lantai. Serpihan kaca yang sudah pecah itu memuaskan hatinya.
Dia serabut. Dia tidak tahu apa yang dia rasa. Marah, sedih, kecewa..
Akhirnya dia lampiaskan kemarahannya ke atas apa sahaja barang yang dapat di capai.
Nuha mencangkung sambil memeluk tubuh. Air matanya tidak mahu keluar. Rambut ditarik-tarik supaya dia dapat merasa kesakitan fizikal yang lebih menyakitkan dari apa yang dirasa mental nya.
Tok! Tok!
Ketukan di pintu di jawab. Lambat-lambat dia bangun dan melangkah ke pintu.
'Nuha.. Kau dah buat banyak salah. Kau tak layak dapat kemaafan dari dia…'
'Dasar tak sedar diri. Ghazi sudah selamatkan kau, kau tengking pula dia tadi. Perempuan apa kau ni!'
Satu per satu suara asing muncul di dalam fikiran.
Mentalnya penat. Penat berlawan dengan setiap anasir-anasir jahat di dalam kepala.
Pintu mewah itu dibuka. Wajah Ghazi muncul di depan mata.
"Nuha? Kau okay tak?" Mata memandang ke arah gelas kaca yang sudah berderai di atas lantai.
soalan Ghazi membuat hatinya sebak. Seakan Ghazi tahu bahawa dia sedang menderita.
Mata Nuha berkaca-kaca. Tubuh Ghazi dipeluk erat. Wajah disembam ke dada jejaka tersebut. Air mata mengalir tidak berhenti.
"Awak.. Saya minta maaf sebab marah awak tadi. Saya minta maaf.." Bibir terus-terusan memohon kemaafan.
Dia tidak mahu Ghazi tinggalkan dia! Hanya Ghazi seorang yang dia ada..
Pelukan Nuha di balas. Tangan membelai rambut panjang Nuha.
"Sshh.. Takde apa lah. Kau tak buat salah apa pun." Air mata Nuha diseka.
Ghazi menarik tangan Nuha menuju ke arah katil. Dia menyuruh Nuha duduk di sisinya.
Wajah Nuha dipandang dalam-dalam. Rambut yang menutupi wajah di sikat ke belakang. Tangan memegang pipi merah jambu Nuha.
"Dengar. Kau tak buat salah apa-apa pada aku. Jangan menangis dah." Tisu yang ditarik daripada kotak tisu di atas meja kecil menyapu air mata yang basah di pipi Nuha.
Dia menarik kedua belah pipi Nuha ke atas supaya bibir gadis itu kembali tersenyum.
Ghazi ketawa kecil apabila melihat senyuman Nuha yang dia rasa amat hodoh sekarang ini.
"Awak ni!" Marah Nuha. Wajah masam mencuka.
Ah.. Ini pertama kali dia lihat Nuha merajuk selepas kejadian hitam itu.
Tangan menarik sesuatu dari dalam beg sandang yang selalu dibawa.
"Nah! Ini aku bagi kau pinjam sebab kau lagi memerlukannya sekarang." Al-quran terjemahan yang selalu dibawanya kemana-mana itu diletakkan di dalam tangan halus Nuha.
Al-quran berkulit hitam yang sudah sedikit buruk itu dipandang.
"Setiap kali kau sedih, marah, gembira, kecewa, bengang dan apa sajalah. Kau buka dan baca." Kedua pipi Nuha dipegang.
"Al-Quran adalah bukti nyata cinta dan kasih sayang Allah pada hambaNya. Pada kau, pada aku, pada mummy dan daddy kau dan semua orang.." tambah Ghazi lagi. Suaranya lembut dan perlahan. Begitu menenangkan.
Nuha memandang mata Ghazi.
"Tak apa ke kalau saya ambil? awak?" soalnya. Air mata sudah berhenti.
Ghazi senyum.
"Alah.. Kat rumah aku berlambak. Nanti aku balik kampung, aku ambil lah yang lain." Kepala Nuha digosok kuat.
Nuha naik dan bersila di atas katil. Buku kecil itu dibuka. Setiap helaiannya pasti bertanda dan dilekatkan nota-nota bertulis tangan yang kecil pada sesetengah ayatnya. Tulisan Ghazi kah ini?
"Awak tulis ke semua ni?" Jari menunjuk kepada helaian kertas kecil yang melekat.
Ghazi mengangguk.
Nuha kagum. Mata memerhati tulisan tangan Ghazi. Kemasnya!
"Baca saja tau. Jangan tafsir sesuka hati. Ambilnya sebagai satu pengajaran, sebagai satu kata-kata motivasi, atau nota-nota cinta dari Allah untuk kau."
Nuha mengangguk beberapa kali. Senyumannya melebar. Hilang terus suara-suara yang tidak henti mengganggu fikirannya dari tadi.
Renungan Ghazi padanya terasa begitu menenangkan.
"Orait. Aku nak dengar kau baca terjemahannya." Ghazi bangun dari katil dan menarik kerusi yang berdekatan. Beberapa orang pembantu masuk dan menyapu serpihan kaca di atas lantai.
Nuha terpinga-pinga.
Kena baca depan Ghazi ke? Alah, malunya!
"Buka saja helaian mana-mana pun dan baca." Arah Ghazi sudah seperti guru besar pula. Kaki disilang sambil bersandar ke kerusi.
Mata Nuha tertancap pada pembantu yang sedang menyapu. Dia melambat-lambatkan tangannya membuka helaian al-quran tersebut sementara menunggu pembantu keluar dari biliknya.
"Cepatlah." Ghazi sudah mula mendesak. Keningnya berkerut.
Nuha ini, baca quran pun nak malu ke?
Sebaik sahaja pintu tertutup rapat, Nuha berdehem kecil. Helaian muka surat 273 dibuka.
'Surah An-Nahl' bisik hati kecilnya.
Ghazi dipandang. Lelaki itu setia menanti.
"55. Biarlah mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka; bersenang senang lah kamu. Kelak kamu akan mengetahui (akibatnya)."
"56. Dan mereka menyediakan sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepada mereka, untuk berhala-berhala yang mereka tidak mengetahui (kekuasaannya). Demi Allah, kamu pasti akan ditanyai tentang apa yang telah kamu adakan."
"57. Dan mereka menetapkan anak perempuan bagi Allah, Maha Suci Dia, sedang untuk mereka sendiri apa yang mereka sukai (anak lelaki)."
"58. Padahal apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam) dan dia sangat marah."
Hati Nuha tersentuh.
"59. Dia bersembunyi dari orang ramai, disebabkan khabar buruk yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan kehinaan atau akan membenamkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ingatlah, alangkah buruknya (putusan) yang mereka tetapkan itu."
"60. Bagi orang-orang yang tidak beriman pada (kehidupan) akhirat, (mempunyai) sifat yang buruk; dan Allah mempunyai sifat yang Maha Tinggi. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
"61. Dan kalau Allah menghukum manusia kerana kezalimannya, nescaya tidak akan ada yang ditinggalkan-Nya (di bumi) dari makhluk yang melata sekalipun, tetapi Allah menangguhkan mereka sampai waktu yang sudah ditentukan. Maka apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun."
Satu perasaan gerun meresap masuk ke dalam hati Nuha Irdina. Dia tidak mahu untuk meneruskan tetapi bibirnya terus membaca.
"62. Dan mereka menetapkan bagi Allah apa yang mereka sendiri membencinya, dan lidah mereka mengucapkan kebohongan, bahawa sesungguhnya (segala) yang baik-baik untuk mereka. Tidaklah diragukan bahawa nerakalah bagi mereka, dan sesungguhnya mereka segera akan dimasukkan (ke dalamnya)."
"63. Demi Allah, sesungguhnya, Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat sebelum engkau (Muhammad), tetapi syaitan menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan mereka (yang buruk), sehingga dia (syaitan) menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan mendapat azab yang sangat pedih."
"64. Dan Kami tidak menurunkan Kitab (Al-Quran) ini kepadamu (Muhammad), melainkan agar engkau dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu, serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman."
Buku kecil itu ditutup. Dia rasa serba salah pula mahu terus membacanya dalam keadaan pakaian yang tidak sopan begini. Depan Ghazi pula. Ish.
Ghazi menurunkan kaki yang disilang.
"Feeling better?"
Nuha mengangguk. Kepalanya disentuh lembut.
"Jangan kalah dengan bisikan-bisikan jahat dalam kepala ni. Aku ada, kan.. No one will hurt you as long as i'm alive."
Hati Nuha kembang. Dia rasa mahu senyum sahaja sepanjang hari setelah mendengar kata-kata daripada Ghazi.
•••
TANGAN memegang erat lengan Datin Zarina. Habis saja sesi rawatan di hospital tadi, Datin Zarina menyuarakan hasrat untuk ke butik bagi mengukur baju untuk dipakai pada hari jadi Nuha nanti. Walaupun dia sudah tiada keinginan mahu menyambut hari jadinya sendiri, melihat keriangan di wajah mummy, dia turutkan sahaja.
Mereka masuk ke dalam salah satu butik pereka fesyen terkemuka di Malaysia.
Lelaki separuh abad bercermin mata keluar dari bilik yang sedikit tersorok. Wajahnya ceria menyambut kedatangan mereka.
"Assalamualaikum, Datin.. Akhirnya nampak juga batang hidung Datin ni.." Tali ukur diletak ke atas sofa. Dia duduk bersilang kaki.
Datin Zarina ketawa lucu mendengar sapaan Dato'Fazli. Pereka fesyen yang amat dia hormati. Seorang lelaki yang sangat menjaga kredibilitinya sebagai seorang pereka fesyen dan juga seorang muslim.
"Macam biasalah I datang sini setiap tahun. Untuk Hari jadi Nuha nanti." Tangan Nuha diusap lembut.
Dato'Fazli menilik wajah pucat si gadis.
"Nuha tak sihat ya? Takpe. Nanti pakcik minta staff pakcik ukur baju untuk Nuha ya. Nuha tak perlu susah-susah bangun." Ujarnya prihatin.
Nuha tersenyum nipis. Baju bertema fairy-tale yang tersarung di badan sebuah mannequin menarik perhatiannya. Lengan Datin Zarina dikibas perlahan. Muncungnya menunjuk ke arah patung tersebut.
"Yang itu? Tak cukup cantik lah, Nuha. Nanti pakcik desain yang lebih hebat lagi."
Senyuman Nuha melebar.
"Betul ke? Nuha nak macam princess betul tau." Air mukanya berubah ceria.
Dia sudah mula membayangkan gaun partinya nanti.
"Boleh. Sekarang juga Pakcik boleh draft-kan desain untuk Nuha."
Dato'Fazli bingkas bangun pergi mendapatkan ipad-nya. Dia sudah merangka-rangka rekaan untuk Nuha didalam kepala.
Bunyi pintu masuk dibuka mengganggu fokus mereka berdua. Mata Datin Zarina membulat.
"Haidi?"
Lelaki berT-shirt hitam itu menoleh memandang mereka berdua. Wajahnya juga jelas terkejut.
"Eh, Datin.. Dan Nuha." jawab Haidi, teruja. Dia meletakkan kunci keretanya di atas meja kopi berbingkai kaca tersebut dan bersalam dengan Datin Zarina penuh hormat.
Nuha berdiam diri. Dia cuba mengingati wajah lelaki di hadapan ini.
"Nuha ingat Haidi tak? Sebelum kita pindah, kita berjiran dengan Haidi. Nuha selalu main sama-sama dulu." terang Datin Zarina. Dia mula mengimbau kenangan lalu.
Haidi ketawa. Wajahnya terlihat lebih kacak apabila gigi putih itu kelihatan.
"Nuha tak ingat saya pun, Datin. Haritu saya duduk di depannya masa di cafe pun dia tak ingat." Kepala di garu. Segan pula mengenang memori memalukan itu. Buat malu saja dia menegur Nuha dengan lagak hero-nya.
Malang, gadis ini langsung tidak ingat. Entah-entah dia dituduh miang pula. Lagi malu apabila dia cuba mengorat Nuha sedangkan gadis ini sudah ada teman istimewa. Aduh.
Nuha melopong. Baru dia ingat. Mamat haritu rupanya.
"Oh.. Hai." Nuha menyapa tanpa emosi.
Haidi membalas dengan senyuman. Nuha tetap comel macam masa kecil dulu. Dia memuji didalam hati.
"Oh ya.. Family Haidi ada dapat jemputan ke parti hari jadi Nuha tak?" Datin Zarina sudah bersiap-siap mahu mengeluarkan kad jemputan dari dalam beg tangan.
"Sudah, Datin. Kan tiap tahun Datin hantar. Cuma tahun ini dapatlah Haidi hadirkan diri. Sebelum ini Haidi sibuk di luar negara."
Datin Zarina mendengar dengan peka. Dia bangga dengan Haidi. Anak kecil yang selalu datang bermain di rumahnya kini seorang polis yang dihormati. Malah pangkat Haidi bukan biasa-biasa. Sudah berpangkat Inspektor.
Mata Haidi memandang wajah pucat Nuha.
"Nuha tak sihat ke?" tanya Haidi. Bibir pucat Nuha jelas menggambarkan keadaan kesihatan gadis itu tetapi dia masih bertanya juga.
"Nuha demam sikit. Ini baru balik dari hospital, terus ke butik. Haidi pun tempah baju ke?"
Haidi menggeleng.
"Tak. Haidi tolong ambilkan baju yang ibu tempah untuk parti nanti. Haidi datang pakai apa yang ada sajalah, Datin."
Dato'Fazli datang dengan beberapa orang staff. Ipad ditangan di letakkan di atas meja.
Dia menyapa kehadiran Haidi. Lagipula dia memang sudah sedia maklum akan sebab kedatangan lelaki itu ke butiknya. Cepat-cepat dia meminta salah seorang staff untuk mengambil baju yang dipesan Haidi didalam telefon sebelum ini.
"Baiklah, Datin. Haidi pergi dulu. Nanti Haidi dan family jumpa Datin di parti. Saya pergi dulu, Nuha." Senyuman menggoda diberikan ke pada gadis itu.
Nuha senyum hambar. Malas mahu melayan Haidi. Dia sudah ada Ghazi! Dia tidak perlu lelaki lain.
"Baiklah! Jom kita desain baju Nuha sama-sama ya."
Nuha tersenyum riang.
•••
Share this novel