BAB 24

Romance Series 18757

Tangan dilambai-lambai ke atas menghantar kereta berjenis SUV itu sehingga keluar dari pagar besar rumah agam tersebut. Mulut bernyanyi-nyanyi riang menapak ke pintu masuk yang terbuka luas. Masih tidak hilang lagi nyanyian Selena Gomez yang berkumandang di corong radio ketika di dalam kereta Haidi tadi di dalam fikirannya. 

Nyanyian perlahan di bibir berhenti bersama dengan langkah kaki. Wajah menunduk memandang alas kaki di bawah sebaik sahaja mata bertembung dengan  Ghazi yang baru muncul dari sebalik pintu. 

“Bukan Daddy kau kata jangan keluar rumah ke?”

Riak wajah Nuha memucat. 

Sekejap lagi konfem kena bebel ni. 

Matanya naik ke wajah Ghazi. Berkerut-kerut kening lelaki ini tidak sudah-sudah.

“ Bukan Daddy kau kata jangan keluar rumah ke?” Ghazi mengulang lagi. Kali ini wajahnya lebih serius. Siap bersilang tangan di hadapan Nuha.

“Bosan lah duduk rumah. Bukan pergi mana pun. Keluar dengan Haidi je..” nada suara mengendur. Berani ke nak lawan suara dengan Ghazi? Tidak!

Suasana di dalam rumah sunyi sepi malah lampu di ruang tamu juga sudah dimatikan. Hanya lampu dari luar rumah saja menerangi mereka berdua kini. 

“Sekarang dah pukul berapa?” dengus Ghazi. Jelas dia kecewa dengan sikap Nuha yang langsung tidak mengambil berat nasihat dan teguran orang lain. 

Nuha tidak terus menjawab. Mata melekat ke tanah. Menyesal pula dia rasa kerana terlalu mengikut hati. Sekarang dia langsung tidak boleh selamatkan diri. 

Dia mengerling ke arah wajah Ghazi untuk sesaat. Hatinya tertanya-tanya. Tidak kerjakah lelaki ini esok sampaikan banyak pula masa terluang dia menjengah ke sini? Ataupun, Daddy sengaja panggil Ghazi ke sini supaya dia boleh di marah.

Pipi merona merah apabila mata mereka bertembung. Mata Ghazi yang tajam itu melekat di wajahnya membuatkan hati menjadi lebih tidak keruan. 

Ghazi membebel perlahan, tidak kedengaran butir-butir bicaranya.

Sengihan Nuha melebar apabila tangan Ghazi mengarahkan dia untuk masuk dan naik ke atas. Ghazi bergerak ke tepi sedikit memberi ruang untuk Nuha berjalan masuk ke dalam rumah.

Kepalanya menggeleng. Macam mana lah Dato' Uzair boleh jaga Nuha ini 22 tahun lamanya. Kalau dia, masa bayi lagi dah pergi letak budak ni dekat surau kalau tahu lah degilnya begini bila sudah besar. 

Sebelum menutup pintu, matanya mengecil melihat ke arah taman kecil di perkarangan rumah agam Dato' Uzair cuba mengenalpasti bayang yang bergerak di dalam kegelapan.

“Kucing?” bisiknya.

“Oi, Nuha..” 

Kaki Nuha berhenti mendaki dan memandang ke arah Ghazi yang masih terpacak di depan pintu. 

“Rumah kau ada bela kucing ke?” Kepala mendongak sedikit. 

“ Tak ada.. Ah! Dulu ada.. Abang Ali yang bela tapi sekejap je. Lepastu saya tak pernah nampak lagi kucing abang Ali tu. Dia dah jual atau bagi dekat orang kut..” tangan memegang dagu.

“Okay.. Dah, kau boleh naik sekarang.”

Ceh.. Kalau tahu tadi, dia buat bodoh aje. Tak payah jawab!

Kaki menghentak-hentak lantai. Saja mahu buat Ghazi berang dengan bunyi hentakan kakinya. Pintu dihempas langsung menjatuhkan tubuh di atas katil. Penat!

Dia menaip teks mesej kepada Haidi. Berterima kasih atas kesudian Haidi membawa dia keluar hari ini. Tubuh terasa melekit, tangan menarik baju T-shirt yang dipakai di badan.

“Nuha..”

Pintu biliknya terbuka. Muncul wajah Ghazi di muka pintu.

Panggilan dari arah belakang membuatkan jantung Nuha melompat dan automatik bertindak membaling baju di tangan ke arah makhluk tuhan yang terpacak di depan pintu itu.

“Awak! Ei.. Ketuklah pintu dulu!” Baju T-shirtnya sudah selamat mendarat di atas muka Ghazi. Tangan menutup bahagian tubuh yang terdedah.

Eh? Kejap. Dia masih berbaju dalam. Bukan bogel pun. Apa yang dia nak tutup. Hah.. Dia pakai singlet kut.

Ghazi kejang apabila baju melekap di mukanya.

Gigi diketap. Geram. Nasib dia lah kena bau baju Nuha yang berbau peluh ini. Nuha dilihatnya sedang bercekak pinggang dengan hanya berbaju dalam dan skirt.

Mata dialih daripada melihat lekuk-lekuk tubuh langsing dan ramping itu. Dia berperang dengan minda sendiri.

‘Rezeki..’

‘Jangan pandang, Ghazi...’

Mulut berdehem sekali menghilangkan kegelisahan yang bersarang.  Dugaan yang diberi Nuha Irdina ini memang ujian terbesar buatnya. Kalau dia tidak tegas, memang sudah keluar bahagian syaitan dalam diri ini. 

Belakang tengkuk diurut dengan tangan kanannya. Menenangkan fikiran sendiri. Kaki dilangkah mendekati Nuha. Tangan membaling semula baju masam Nuha supaya tertutup sedikit bahagian tubuh yang gebu dan terdedah itu. 

Baju disarung kembali ke badan. Hidung berkerut tercium bau yang melekat. Bibir terkunci. Hatinya sudah memaki diri sendiri kerana malu. 

Masamnya! Wajah Ghazi pula steady aje bau baju dia tadi. Tak busuk ke.. 

Lelaki itu bergerak ke sofa yang paling dekat dengannya.

“Nuha.. Aku nak minta kau delete semua gambar kau dalam sosial media tu.” bibirnya dimuncungkan ke arah telefon pintar di atas katil. Dia duduk bersandar di atas beanbag di tepi katil, berhadapan dengan Nuha. 

“Ha? Kenapa pula? Tapi.. Sosial media tu penting tau buat saya..” 

“Okay. Okay.. At least, delete lah yang seksi-seksi tu semua. Bahaya lah.” dia masih cuba memujuk. 

Bukan sengaja mahu menyekat kebebasan Nuha dalam bersosial, tetapi isi sosial media-nya boleh membawa fitnah dan kemudharatan kepada diri sendiri. Lihat sajalah apa yang terjadi sebelum ini.

Dia sendiri sudah selifik sosial media gadis itu. Kalau lelaki beku macam dia pun boleh menelan air liur, apalagi lelaki gatal dan tidak betul di luar sana. Tidak perlu tengok jauh-jauh, tengok Ban dan Joseph saja sudah cukup. Tidak berkelip memandang foto Nuha, tinggal belum menitik air liur air hingus semua saja. Itu pun sebab dia ada, entah dekat rumah sendiri siap peluk cium tengok gambar gadis itu lagi. 

Kepala sendiri dipicit. Lagi dia memikirkan Nuha, lagi risau jadinya. Kenapalah Nuha ini asyik buat dia sakit kepala. 

Sudut mulut Nuha terangkat. Dia melompat naik dan duduk bersila di atas katil, menghadap Ghazi. 

“Awak cemburu kan…?” tebaknya. Hati sudah keriangan. Wajah Ghazi yang tiba-tiba berubah itu menambah keyakinan akan apa yang ditebaknya tadi.

“Kalau aku cemburu, kau nak padam tak?”

Nuha mengangguk laju. Asalkan Ghazi mengaku yang dia cemburu, itu pun sudah cukup.

Dia bangun dan duduk di sebelah Nuha. Wajah dirapatkan. Bulu mata Nuha yang panjang itu terkelip-kelip.

“Ya lah. Aku cemburu. Aku tak suka. Boleh padam tak?” Renungan Ghazi menghantar debaran di dada. 

Walaupun dia tidak rasa ada keperluan untuk dia mengaku kerana itu memang sudah jadi tanggungjawab Nuha sendiri untuk menjaga kehormatan dia sebagai perempuan. Lagipun, penting sangat ke rasa cemburunya? Rasanya tak penting langsung. 

Glup! 

Bibir Ghazi yang merah pucat itu.. Hembusan nafasnya.. Warna anak mata yang hitam dan pekat..

Nuha menelan air liur.

Kalau dia boleh sentuh bibir merah pucat itu kan bagus. Kalau mata hitam pekat itu sentiasa dan hanya setia memandangnya sahaja lebih baik lagi. Kalau hati Ghazi kepunyaannya..

“Nuha..”

Nuha tersenyum simpul. Masih di dalam anganan. Suara Ghazi lembut menampar telinga. Dia sudah mula membayangkan senyuman Ghazi yang menawan itu. 

“Nuha! Kau dengar tak ni?” Bahu Nuha digoncang kuat. Kening berkerut melihat Nuha termenung tidak sedarkan diri. 

Aduhai.. Kuat berangan lah minah ni.. Aku slingshot dahi dia ni kang!

“Ha?” Mata terkebil-kebil. Wajah Ghazi yang sedang tersenyum manis tadi hilang serta-merta. Yang ada cuma Ghazi dengan dahi berkerutnya.

“Kejap! Awak tak ikhlas kan? Hah!” Bantal peluk di baling. Nuha bangun dari katil dan berdiri sedikit jauh dari Ghazi.

“Tak ikhlas apanya?” 

Cemburu pun kena ikhlas ya..

Kepala di garu. Runsing dengan logik wanita. Lebih tepat lagi, logik Nuha..

Nuha berpeluk tubuh. Wajah masam mencuka. Fikirannya penuh dengan Ghazi dan Suhana.. Ghazi dan Suhana..

“Habistu.. Siapa Suhana tu?” 

Ghazi mengeluh. 

“Lah.. Topik Suhana ni tak habis-habis lagi ke?”  Serius ni! Apa kena-mengena Suhana dalam hal ni..

Nuha menjeling. 

“Kau ni.. Suhana tu kawan aku lah. Kan aku dah cakap dalam telefon tempoh hari.”

“Kawan ke girlfriend? Punya manis senyuman awak. Awak tak pernah senyum macam tu pun dengan saya. Jangan cakap senyum, berkerut aje pula tu.” Jari mengerutkan kening sendiri, memimik semula kerutan di dahi Ghazi.

“Senyum pun tak boleh? Habis, tak kan aku nak bergaduh pula dengan dia?” suaranya sudah mula mahu meninggi. Nuha ni sudah kenapa mahu cari gaduh ni..

Suasana diantara mereka tegang.  

Huh! Senyum konon. Tu bukan senyum je. Itu menggatal sekali!

Nuha memberanikan diri menentang mata Ghazi. Keberanian apa yang terserap masuk dalam diri sampai dia berani menentang mata Ghazi yang garang tu entahlah.

“Dengan saya tak pernah pula awak senyum macam tu!” 

Ghazi tersentak apabila nada suara Nuha yang mula sama tinggi dengannya.

Nasib lah pintu bilik bertutup dan nasib jugalah bilik Datin dan Dato’ jauh dari sini. Kalau tidak, satu hal pula mereka terpaksa mendengar dia dan Nuha bertekak. 

“Kau tak puas hati apa sebenarnya dengan aku ni?” Suara dikendurkan semula. Dia cuba bertoleransi. Tidak boleh juga kalau dua-dua sama naik angin.

“SE-MU-A !”

tangan didepakan seluas boleh. Memang dia tak puas hati dengan banyak perkara. Ghazi berjanji macam-macam masa dia sakit dulu, lepastu buang dia sesuka hati. 

“Okay! Beritahu aku apa yang kau tak puas hati sangat sampai berminggu lamanya pula angin satu badan kau ni.”

Jammed kejap otak dia fikirkan kerenah Nuha. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba saja sudah tsunami!

“Saya tak puas hati semua sekali! Awak tu senyum pun jarang dengan saya.. Asyik marah je. Tapi, kalau dengan Su.. pijak semut pun tak mati!” Suara Nuha terus meninggi. Siap memimik semula senyuman Ghazi kepada Suhana hari itu. 

“Kalau dengan saya, nak datang hari jadi pun susah. Kena paksa bagai. Kalau dengan Su.. Siap nyanyi lagi!”

“Lepastu, dengan saya.. Awak bagi hadiah gelang murah ni je. Dengan Su.. Cincin kahwin terus awak bagi kan!” 

Bantal di atas katil di ambil dan dibaling ke arah kepala Ghazi. Bergegar juga kepala lelaki itu terkena penangan bantal tidur Nuha.

Dada Nuha berombak deras. Geram. 

“Cincin? Jadi, kau nampak lah ya masa kau ‘call’ aku hari itu?” 

Anggukan dari Nuha membuat ketawa Ghazi pecah. Nuha menahan marah. Bengkak hatinya melihat Ghazi ketawa mengekek-ngekek sendiri.

Dato' Uzair meluru masuk ke dalam bilik bersama Datin Zarina. Terkejut mereka mendengar pekikan suara Nuha yang bergema serata rumah. Mata memandang Nuha dan Ghazi bergilir-gilir. 

“Tak ada apa, Pakcik. Nuha ni over-react..” dia masih ketawa.

Satu lagi bantal hinggap di kepalanya. Nuha mendengus. Muka sudah merah menahan marah. 

“Awak ni nak buat semua orang ingat saya ni over lah kan! Padahal awak tu yang buat salah!” Bibir digigit perlahan. Sakit betul hati dia dengan perangai Ghazi. 

Dia merasa dipermainkan. Ghazi mempermainkan hati dan perasaan dia! Dia sudah tidak merasa cinta lagi tetapi tiba-tiba lelaki ini datang semula dan membelai dia dengan perhatian dan kasih sayang.. Dan sekali lagi, dia tertipu!

“Salah apa ni? Cuba cakap dengan Mummy..” Tangan Datin Zarina menggosok-gosok bahu Nuha, cuba menenangkan keadaan.

Apa lah pukul 2 3pagi begini anak dara menjerit-pekik.

Nuha menceritakan apa yang berlaku kepada Datin Zarina. Air memenuhi ruang mata tetapi ditahan daripada mengalir. Dia tidak mahu menangis kerana lelaki seperti Ghazi.

Dato' Uzair mengeluh kuat.

“Lah! Sebab itu saja?” Dato' Uzair ikut ketawa.

Nuha menjeling. Tangan Mummy digoncang kuat. Mummy!

“Habis tu, Nuha keluar dengan Haidi beria-ia sangat tu.. Tak salah ke? Fair and square lah kan..” 

Ghazi dan Dato' Uzair buat hi-five!

“Benar, pakcik! Benar sesungguh-sungguhnya benar!” 

Nuha dan Datin Zarina sama-sama menjeling dua orang lelaki yang begitu riang mengekek ketawa itu. 

Ghazi mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek belakang seluar. Dia tersenyum mengejek apabila isi kotak ditangan dibuka.

Mata Nuha membulat. Terus kering air di birai mata.

“Kau risau aku bagi cincin ni pada orang lain eh?” 

Datin Zarina dan Dato' Uzair tergelak kecil. Dia duduk melabuhkan punggung di sebelah anak gadis nya.

Nuha dengan keras kepalanya. Hati dia saja orang kena jaga.. 

“Daddy tak suka Nuha selalu keluar dengan Haidi.. Sebab Daddy dah terima lamaran Ghazi untuk Nuha. Tapi, Nuha keras kepala..” Jelas Dato' Uzair. 

Tidak pasal-pasal Ghazi perlu kerap datang ke rumah kerana kedegilan Nuha. Takut kalau-kalau Ghazi tersalah sangka hubungan Haidi dan anaknya..

Tersirap darah naik ke muka. Lamaran? Ghazi lamar dia?!

Mata memandang Mummy. Mummy mengangguk. Daddy pun angguk juga. 

Bibir mahu tersenyum..

 Namun, dia tidak boleh kalah sekali lagi dengan pujukan sebegini! 

“Hmph! Siapa suruh Daddy pandai-pandai sangat terima lamaran dia ni! Nuha tak cakap nak kahwin dengan dia pun..” Perkataan kahwin di perlahankan. 

“Dah ada Suhana..” tangan memegang hujung baju.

Dato' Uzair memanggil Datin Zarina supaya meninggalkan Ghazi dan Nuha sendiri. Mereka berdua berjalan keluar dari situ. Memberi peluang Ghazi dan Nuha menyelesaikan masalah diantara mereka.

Nuha mencebik. Menyampah! Mentang-mentang mummy dan Daddy sayang sangat dekat Ghazi ni.. Huh.

“Suhana tu ex-girlfriend aku.”

Erk ! 

Rasa macam dihempap batu yang teramat besar sahaja. Batu kenyataan!

Hai, hati.. Memang takdir hidup kita untuk disakiti..

“Tapi.. Dia tinggalkan aku..”

Yes! 

Hai, hati.. Padan muka dia!

Kalini dia rasa seperti baru meraih kejuaraan pula.

Bibir menahan senyuman yang sudah mahu memekar. Baru Ghazi tahu, hanya dia seorang saja yang ikhlas menyayangi. Namun, rasa gembira nya hilang. Wajah masam semula.

“Oh.. Bila dia sudah tidak mahu, baru awak nak kan saya kan.. Selfish!” riak wajah menjadi  kosong.

Mungkin benar. Ghazi hanya pandang dia kerana Suhana tidak mahukan dia. Dia hanya pilihan kedua..

Kepalanya bergegar kerana ditolak.

“Kau ingat, aku ni lelaki yang macam itu ke?”

Nuha mengangguk. Mata Ghazi mencerlung memandangnya. Gigi diketap kuat.

“Dia tak nak dekat aku dari 7 tahun yang lepas lagi. Aku dengan dia kawan baik. Salah ke aku keluar dengan kawan baik sendiri? Lagipun, aku nak minta pendapat Su aje pasal cincin ni.”

Cincin pasangan di dalam kotak kecil itu diletakkan di dalam tapak tangan Nuha. 

“Kau cakap aku.. Kau dengan Haidi tu takpe pulak?” Hujung bibirnya terangkat. Sinis sungguh.

Kepala Nuha berpusing ke kiri dan ke kanan. Menafikan apa yang Ghazi sangka.

Ghazi menongkat dagu. Mata mengecil. 

“Iya? Tapi.. Haidi kata sebaliknya..” 

Wajah Nuha berkerut. Haidi kata? Haidi… kata? Apa?

Seakan faham dengan reaksi wajah Nuha, Ghazi mengangguk. Dalam hati sudah mengekek ketawa.

“Ya.. Haidi kata.. Kau sedih sebab aku tak hargai kau.. Kau nak move-on.. Kau tak cintakan aku lagi..” 

Wajah berona merah.. 

“Atas rasa kesian dan simpati aku pada kau.. Aku cerita lah. Haidi tu polis a.k.a bodyguard yang Daddy minta untuk tengok-tengokkan kau. Tapi.. Semua yang kau dan Haidi buat, Haidi akan report pada aku.” Ghazi senyum mengejek selepas itu wajahnya membengis. 

Geram dia mendengar sesi luahan perasaan tidak puas hati Nuha pada Haidi. Siap Haidi meluah perasaan lagi. Sempat betul si Haidi ni.. Lagi dia geram pada Nuha. Cepat betul minah ni berubah hati ya! Dia rasa nak cekik dan ikat dua-dua ekor ni dekat tiang. 

Nuha rasa mahu lari saja dari bilik ini. Dia mahu menyorok. Sampai hati Haidi berpakat sebegini sekali. 

“Baru seminggu aku tak datang buat spot-check, kau dah curang dengan lelaki lain.” Panas hatinya apabila Dato' Uzair melapor bahawasanya Nuha Irdina keluar sampai lewat malam dengan Haidi.

“Saya tak curang lah..” dia cuba bertenang dalam kekalutan perasaan.

Salah dia kerana dengan mudahnya tersentuh dengan keprihatinan lelaki lain. Bukan dia sengaja, dia tidak sengaja. Perempuan kan sukakan perhatian. Dan Ghazi pula langsung tak pandang dia.

Dia menerangkan apa yang dirasainya selepas dia terlihat adegan Ghazi dan Suhana di kedai makan tempoh hari. Segala perasaan bercelaru dan sedih tidak dapat dibendung. Marah pun ada. Apalagi ketika menyaksikan layanan baik Ghazi kepada Suhana yang jauh lebih baik dari dia itu.

Ghazi mendengar. Riak wajahnya tenang dan bersahaja. 

“Nuha.. Aku cuma nak yang terbaik untuk kau. Lagipun, apa untungnya kalau kita kerap berduaan? Kita tak ada ikatan yang sah. Kau dan aku masih orang asing. Tambah lagi.. Tidak cukup lagi kah kasih sayang dan perhatian yang aku beri pada kau selama ini? Atau bagi kau.. Perhatian dan kasih sayang itu harus ditunjuk melalui harta benda, berkepit sepanjang masa? Kalau itu yang kau mahu dalam perkahwinan.. Kau boleh pulangkan cincin tu sekarang.” 

Nuha tersentak. Cincin di dalam tangan di pandang lama. 

Tangan Ghazi meminta kembali kotak cincin yang diberinya tadi. Nuha teragak-agak.

“Aku cuma mahu kau terima aku seadanya. Setia pada aku. Percaya pada aku. Bahtera perkahwinan bukan macam bercinta, indah semata. Bila tengah marah, kau campak perkahwinan kita begitu saja.”

Bergetar rasa gelora di dalam hati. Bermacam-macam persoalan di ruang minda. Dia mahu bertanya tetapi dia takut. Takut kalau pertanyaannya akan menjauhkan lagi dia dari Ghazi. Setiap perkataan Ghazi bagaikan pisau yang menghunus ke jantung. 

Mata Ghazi tetap ke wajah Nuha. Wajah bujur sirih yang nampak lembut tetapi begitu keras hati dan kepalanya.

“Kenapa? Kenapa awak biar saya dan Haidi.. Kenapa awak tak halang atau marah saya puas-puas?” soalan di dalam minda di suarakan.

Dia hairan. Kalau Ghazi sudah nampak bahwa hatinya sudah berbolak-balik, kenapa Ghazi tidak halang. Kenapa Ghazi tidak pertahankan cintanya? Ataupun sebenarnya Ghazi hanya menguji, kalau dia tidak berjaya.. Ghazi akan membuangnya pergi.

Ghazi menyisir rambut hadapannya ke belakang dengan tangan sebelum dia menjawab pertanyaan Nuha.

“.. Berjumpa dengan orang baru, mengalami perasaan yang baru samada baik atau buruk itu semua hak kau sebagai manusia. Perjalanan hidup kau. Siapa aku untuk menghalang perasaan kau mahupun Haidi?” 

“Tapi saya..”

“Itu tak mengubah apa-apa, Nuha.. Kau masih di sini. Pegang cincin yang aku bagi. Teragak-agak untuk memulangkannya semula. Itu yang penting sekarang, bukan? Aku tak mahu kisah pasal perkara yang sudah berlaku. Aku maafkan dan terima kau seadanya. Tapi, kalau aku tahu kau buat lagi, siap lah..”

Hatinya mengembang. Dengan mudahnya Ghazi memaafkan segala kesalahannya. Dan dia pun tidak sepatutnya mencari-cari lagi kesalahan Ghazi. 

Dia jadi segan mahu memandang wajah lelaki di sebelahnya. Entah apa pandangan Ghazi padanya, perangai macam budak-budak. Tidak matang langsung. Asyik mahu difahami tetapi langsung tidak mahu belajar memahami. Wajah merona kemerahan.

“Tapi.. Awak tak pernah pun cakap awak suka saya..” muncung Nuha seinci ke depan.

Iyalah.. Ghazi tak pernah ungkapkan perkataan cinta. Bukan ke benda tu perkara wajib dalam sebuah perhubungan. Dia cuma mahu dengar Ghazi kata Ghazi suka pada dia. 

Raut wajah Ghazi berubah. Dahi kembali berkerut. Tangan merampas kembali kotak cincin di dalam tangan Nuha sehingga terjungkit bahu gadis itu kerana terkejut.

“Banyak sangat kerenah. Tak payah kahwin lah!” ujarnya. Kaki berdiri dan mahu melangkah ke arah pintu.

Nuha menghentak tangan di atas katil. Protes.

Tanya pun nak marah!

Dia sudah mula berasa gelisah apabila Ghazi mahu menyimpan semula kotak cincin tersebut di dalam  kocek  seluar.  Hati dipalit rasa risau. Kalau dia tidak mendapatkan kotak itu semula sekarang, pasti dia tidak akan dapat melihat  kotak itu lagi buat selamanya.

Hati mengumpul keberanian. Dengan cepat dan pantas, tangan merampas semula kotak cincin di tangan Ghazi dan berlari mengelilingi bilik besar itu apabila Ghazi mula mengejarnya dari belakang.

“Nuha.. Bagi balik!” wajah Ghazi masam.

“Tak nak! Ni saya punya!” lidah dijelir. Tubuhnya mengelak-elak apabila tangan Ghazi cuba mencengkam baju. Ketawanya riang mengejek Ghazi di belakang.

Pintu bilik air dikunci dari dalam sebaik sahaja dia berjaya meloloskan diri ke dalamnya. Ketukan dari luar dibiarkan. Senyuman melebar menghiasi wajah. 

“Nuha..” Suara Ghazi memanggil. Keras.

Nuha buat tidak tahu. Cincin di dalam kotak di keluarkan dan menyarungnya ke jari manis dan bergaya dengan cincin di jari di hadapan cermin bilik air.

“Yes!” tubuh melompat-lompat keterujaan.

Selepas ini dia akan jadi Mrs.Ghazi. Tangan dinaikkan separas wajah, mahu melihat betapa cantiknya cincin di jari manis ini. Cincin silver yang ringkas tetapi sungguh bermakna bagi Nuha Irdina.

Senyum disimpan. Dia mengetuk lagi pintu bilik air yang terkunci rapat. Kali ini lebih perlahan berbanding tadi.

“Nuha.. Lepas habis berangan nanti, cincin tu bagi Daddy simpan tau.” pesannya.

“Okay~!” 

Jeritan keterujaan Nuha dari dalam bilik air membuat bibir Ghazi tergerak kecil. 

Kaki melangkah keluar dari bilik. Berpura-pura seperti dia tidak kisah.

•••

"Salahkah Su.. kalau Ghazi kata tiada perempuan sebaik Su dalam hidup Ghazi.." 

Suhana menatap wajah Ghazi. Tenang.

Seraut wajah yang pernah dia cintai dan kasihi. 

“Memang salah!” 

Jawapan Suhana membuat Ghazi tergelak kecil. Dia sudah dapat agak jawapan gadis itu.

“Sebab?” soalnya. Kening turun naik meminta sebab dan alasan.

“7 tahun bersamaan 2,555 hari. 2,555 hari ada 2,555 cerita dan pengalaman. Berjumpa dengan paling kurang 2,555 orang yang sama dan berbeza. Dalam 2,555 hari itu, pasti ada ramai lagi perempuan yang lebih baik dari Su..yang Ghazi sudah jumpa.”

Suhana duduk di bangku dan memandang ke arah awan seperti yang dilakukan oleh Ghazi. Dia harus akur dengan takdir. Perasaan dia pada Ghazi dulu mungkin benar adalah cinta. Tetapi tidak pada Ghazi. Lelaki ini hanya bingung dengan perasaannya sendiri.

“Cinta bukan kesempurnaan, Ghazi. Su berkahwin bukan kerana cinta tetapi selepas berkahwin, Su cintakan suami Su. Su terima buruk baiknya. Kenapa Ghazi suka pada Su?”

Ghazi terdiam. Otak ligat berfikir segala tarikan-tarikan Suhana dahulu. Suhana gadis idaman di sekolah dulu. Semua lelaki sukakan Suhana, termasuklah dia.

“Sebab Su seorang gadis yang baik.. Kuat berusaha, tidak putus asa, optimis, sentiasa perbaiki diri, cantik..”

Senyuman terlakar di wajah putih ayu tersebut. 

“Tapi, Ghazi tak tahu apa keburukan Su kan? Kerana Ghazi hanya lihat apa Ghazi dan yang lain mahu lihat pada Su. Itu ca sekadar satu perasaan kagum.”

Ghazi menelan air liur. Dia akui kebenaran kata-kata Suhana. 

“Rasa kagum kepada seseorang akan terus kekal dalam diri kita. Setiap kali kita nampak atau pandang orang tu, kita akan rasa bersemangat dan gembira. Tapi, perasaan cinta lebih complicated dari itu.”

“Su boleh sebut segala kekurangan Ghazi dan kelebihan Ghazi. Dan Su terimanya. Ghazi Perasaan kita tak pernah sama. Su cinta pada Ghazi, tetapi perasaan Ghazi hanya semata satu perasaan ‘kagum’ terhadap Su..”

Ghazi duduk dan menghembus asap rokoknya. Menghembus sekali rasa serba salah yang dirasakan sekarang. Begitukah dia melayan cinta Suhana selama ini? 

“Su rasa cemburu dengan Nuha.. Su tak pernah lihat Ghazi marah Su langsung. Ghazi tak pernah kata Su salah atau perbetulkan tindakan Su. Ghazi tak pernah minta Su perbaiki apa-apa tentang diri Su sampaikan Su rasa tiada apa yang Su boleh beri untuk Ghazi. Hanya cinta yang kosong. Tiada turun naik lautan dan badainya.”

“... Su tahu cinta itu harus menerima seadanya.. Tetapi alunan cinta tidak boleh mendatar saja.”

Rokok dibibir Ghazi ditarik dan dipijak dengan kaki. Ghazi tercengang melihat rokoknya sudah ada di tanah.

“Dan.. Ghazi boleh tak kurangkan habit merokok ni? Tak baik untuk kesihatan lah.”

Dia mengeluarkan satu batang rokok lagi dari kotak. Pemetik api membakar hujung putung.

Suhana menggeleng kepala melihat tabiat merokok lelaki ini. Makin teruk pula jadinya bila semakin umur sudah meningkat.

“Ghazi tak tahu lah, Su.. Su rasa Ghazi layak ke memimpin sebuah keluarga?” kotak cincin yang dibawa kemana-mana itu dipandang. 

Tangan melambung-lambung cincin ke udara. Bersinar-sinar cincin silver itu terkena cahaya matahari. 

Hatinya dilambung rasa tidak senang. Meragui keputusannya sendiri. Dia yakin dengan pilihannya tetapi pada masa yang sama dia risau mengenangkan segala dugaan yang akan tiba. Sanggupkah Nuha menempuhi asam garam kehidupan rumah tangga bersama? 

“Sifat kepimpinan ada dalam diri setiap lelaki. Dan Ghazi adalah lelaki paling bersedia yang Su pernah jumpa. Ghazi pandai jaga adik-adik, bertukang, buat kerja berat, kemas rumah, memasak pun pandai. Semua perempuan pasti mahu kahwin dengan lelaki macam Ghazi.. Husband material gitu..”

Adui. Suhana ni perli ke puji ni. Dia tahu lah dia memang dari sekolah lagi asyik jaga adik saja. Keluar dating berbasikal dengan Suhana dulu pun bonceng adik dekat belakang.

“Perli Ghazi ke ha?” bibir diketap. Geram. Dia menghembus asap rokok ke muka Suhana. Terbatuk-batuk gadis bertudung labuh itu.

“Kenapa Ghazi pilih Nuha? Bukankah Ghazi kata jiwa Ghazi tidak serasi dengan Nuha?”

Ghazi terdiam dan berfikir. Giginya ditayang di hadapan Suhana.

“Hm.. Sebab.. Ghazi rasa Ghazi boleh tahan dengan perangai dia seumur hidup. Dan dia boleh tahan dengan perangai Ghazi seumur hidup.”

Suhana gelak terbahak-bahak. Namun, dia tidak mahu bertanya lebih-lebih. Hati adalah suatu kewujudan yang rapuh, mudah dibolak-balik dan berubah-ubah. Berkahwin sepatutnya tidak didasarkan atas rasa cinta semata, tetapi perlu disulami rasa saling menerima.

“ Sebenarnya Su memang mahu sambung belajar. Su sudah rancang semuanya tapi.. Su kena fikirkan ayah dan adik Su juga di kampung.” 

Ghazi memandang hairan.

“Air dicincang tak akan putus, Ghazi. Walaupun abah Su tidak terima Su sebagai anak, dia masih abah yang Su sayang. Lagipun, kasihan adik Su perlu tanggung kos ubat-ubatan abah Su seorang diri. Su ada juga keep in touch dengan adik Su diam-diam.”

Ghazi faham. Memang di surau kampung haritu pun ada menyatakan tentang abah Su yang memerlukan dana bantuan. Ayah dan beberapa orang kampung menanggung kos rawatan abah Su tetapi adik lelaki Su menolak untuk terus ditanggung kehidupan harian mereka di kampung. Adik Su baru habis SPM pula tu. Sebaya dengan Aisya dan Haura.

“Kalau Su perlukan Ghazi, Su tahu Su boleh harapkan Ghazi kan?” Ghazi mengingatkan.

Dia tidak mahu Suhana menghadapi segala ini sendirian. Apa gunanya dia sebagai kawan baik. Lebih-lebih lagi Suhana pernah bercerita tentang baran bekas suaminya yang selalu memukul dia dan sampai sekarang juga masih tidak berputus asa memaksa Suhana rujuk semula. 

Suhana angguk.

“Janji?” mata dibesarkan. Anggukan Suhana ini bukan boleh percaya sangat. Nanti tiba-tiba hilang lagi. 

“Su janji!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience