BAB 35

Romance Series 18757

Motor buruknya diberhentikan di hadapan gerai masakan Thailand yang agak terkenal di kalangan mereka orang kampung. Sebab keberadaan dia disini adalah untuk mengisi perut Nuha Irdina yang sedang lapar di rumah sana. Nak makan tomyam lah, nak makan udang goreng tepung lah.. Tapi malas nak tukar baju. Akhirnya dia lah mangsa keadaan yang terpaksa pergi beli.

Beberapa keluarga yang sedang menjamah makanan menegur Ghazi. Seperti biasa. Kalau sudah namanya kampung, kemana-mana pergi pun pasti ada kenalan yang kenal muka ini. Tidak pelik lagi.

"Ghazi! Mai lah duduk sini. Borak-borak." panggil beberapa orang lelaki yang sedang duduk melepak dengan balang shisya di atas meja.

Dia kenal mereka itu. Kawan sekolah! Lama sudah dia tidak bertemu mereka yang rata-rata sudah berpecah dan merantau entah kemana. Selesai memesan makanan bungkus, Ghazi duduk semeja dengan kumpulan mereka tadi.

Tangan menyalam mereka semua. Memang lah mereka ini anak nakal semuanya dulu tapi adab diutamakan. Ucapan salam sudah biasa terbit di bibir setiap hari, tiada segan atau malu. Itu lah adab kekampungan yang selalu diperlekehkan orang bandar tapi dia kisah apa. Kerana adab kampung begini lah masih segar iman dalam dada. Adab kampung yang disulami dengan budaya hidup islamiah. Tidak mungkin akan luput dek zaman.

"Lama kau di bandar, Ghazi? Ingat lupa kitorang dah."

Ketawa mereka bersatu. Berkepul-kepul asap berwarna naik terbang di udara.

"Hek'Eleh. Aku rasa korang yang lupa aku. Iya lah. Aku belajar tak tinggi." dia rampas paip di tangan salah seorang kawan lamanya.

Puas rasanya apabila kepulan asap berwarna-warni tadi keluar dari mulut. Kalau dia buat begini di rumah, sah kena jerit. Nuha pun sekarang sudah mula membebel tak berhenti pasal tabiat merokoknya. Dia mahu membantah tetapi rasanya tiada yang salah. Memang habitnya merokok tapi tidak boleh dinafikan juga ketagihan yang semakin teruk ini.

Semua mencebik mendengar kata-kata Ghazi.

"Sekolah tak tinggi, tapi kahwin dengan anak menteri. Ilmu apa kau pakai, Ghazi? Bagi lah tips."

Dia tergeleng kepala saja lah mendengar soalan tak bernas begini. Ilmu?

"Hati." balasnya ringkas.

Ya, hati. Rasanya jawapan begitu sudah cukup untuk mereka dan bagaimana mereka mahu merungkai maksud disebaliknya itu terserah pada mereka sendiri.

"Jangan gitu.. Bagi lah jelas sikit." rayu salah seorang member yang masih bujang. Alahai.

"Cukup jelas dah tu. Kau nak jelas lagi, baik kau baca buku." air kopi ais nya sampai. Sementara tunggu makanan Nuha siap, dia basahkan tekak dulu.

"Eh, Ghazi. Salina dah kahwin ke? Kakak kau.. Duduk johor kan sekarang?"

Penumbuknya dinaikkan di depan muka orang yang bertanya. Ni yang dia pantang ni, nak tanya-tanya pasal kakak dia apahal?

Dia tak percaya member dia. Dari sekolah rendah muka-muka ini membesar dengannya. Dia tahu sangat perangai dan otak karat masing-masing.

"Aku tanya je. Mana tahu ada jodoh.." wajah nya sudah takut-takut. Risau kalau penumbuk itu benar-benar terkena ke muka.

"Boleh. Esok kau imam. Baru aku jawab."

"Aiseyman. Takpelah. Tak yakin lah nak pimpin jemaah."

"Habis tu yakin pula kau nak pimpin kakak aku?"

Semua sudah terbahak-bahak mentertawakan kawan sendiri. Berani sangat nak usya Salina, lepas Ghazi dulu!

Salina. Kakak yang hanya setahun lebih tua darinya itu kini mengajar di Johor Bahru. Mengikut jejak Ayah, sebagai seorang pendidik. Setiap bulan Ayah dan Mama akan menjenguknya di sana.

"Tak payah lah wei. Salina bukan dah ada orang 'cop' ke, Ghazi?" salah seorang dari mereka meminta kepastian.

Ghazi menggeleng dan juga mengangguk. Tidak berani beri kata putus. Salina bukan seorang gadis yang suka diatur hidupnya. Kalau tidak, masakan dia tolak pinangan abang Imran selepas tamat pengajian dulu. Alasan dia cliche. Nak kerja dulu tapi sampai kesudah dia diam aje membiarkan abang Imran menanti yang tak pasti. Kata Ayah, hati Salina persis Mama, keras!

"Cukuplah berangan tu. Yakin, boleh cuba. Kalau rasa boleh lepas pagar rumah aku, Alhamdulillah. Tapi, kau faham jelah. Ingat senang-senang aku nak biar korang lepas pagar rumah aku?!"

"Alah, kau Ghazi. Sampai bila nak simpan aje anak dara dalam rumah."

"Sampai aku tua pun tak apa. Asalkan yang datang tu orang yang elok boleh jaga kakak dan adik aku elok-elok.. Kalau yang jenis melepak malam buta dekat kedai tomyam ni, datang masjid pun masa hari raya je.. Susah sikit aku nak pertimbangkan."

Sempat lagi dia perli. Ha, dah memang betul pun. Duduk bertandang malam-malam dekat kedai tomyam ni buat apa. Setakat nak tengok anak dara kedai tomyam ni, tak payah lah. Baik balik, tengok bini dekat rumah. Ada yang halal, pi tengok yang haram. Yang bujang pula, ambil kesempatan hanya sebab diorang bujang. Mengarut betul perangai semuanya!

Ni kalau adik-adik kedai tomyam ni adik-adik dia, dia bungkus mereka pakai kain kapan. Kau ambil lah order makan dengan kain kapan melilit tubuh masing-masing kalau terus berpakaian ketat begitu.

Tugas dia sebagai anak lelaki, untuk menjaga adik dan kakak perempuan. Kalau dia biarkan mereka lepas bebas tanpa arah tuju.. Berkahwin pula dengan lelaki yang ala kadar kecintaan pada Tuhannya.. Dia risau. Bukan dia mahu cari yang sempurna tapi biarlah kakak dan adiknya dijaga dan dididik sesuai dengan yang dituntut oleh agama.

"Bini kau pun apa kurang."

Kali ini matanya mencerlung memandang orang yang bertanya. Nampaknya member dia memang semua tak boleh pakai ke ni.. Bini kawan sendiri pun nak terkam ke?

"Bini aku tak kurang apa. Yang kurangnya otak kau." nadanya sinis. Dia sumpah! Sekali lagi member dia pandang Nuha dengan fikiran kotor mereka, memang dia pecahkan muka sorang-sorang.

Masing-masing terdiam. Takut dengan nada suara Ghazi yang sudah berubah seratus peratus. Tiada lagi nada ramahnya. Ah, semua orang dalam kampung ni kenal sangat baran Ghazi. Tiada yang berani.

"Aku sudah cakap apa aku perlu cakap. Dan engkau hati-hati dengan apa kau cakap. Kalau kau rasa sayang dengan muka kau yang tak berapa hensem tu, baik kau cakap benda yang baik-baik saja." dia menghembus asap sehingga terserak asap hembusannya ke muka mereka semua.

Dihembus sekali amaran yang dibawa.

Jangan ingat dia sudah jadi baik, dia tak berani mempertaruhkan segalanya demi menjaga maruah adik, kakak dan isteri. Tangan ini sentiasa bersedia mahu pelempang saja mana-mana lelaki kotor yang berani sentuh keluarganya.

"Okay. Sorry. Kitorang melampau. Sorry, Ghazi." ucap salah seorang antara kawannya yang sudah beristeri itu. Itu pun mungkin kawan yang ini sudah faham tanggungjawab sebagai ayah dan dia pula ada anak perempuan yang harus dijaga. Pasti dia faham perasaan Ghazi.

"Maaf tak cukup. Korang belanja Kopi Ais aku ni. Dah lah! Aku balik dulu. Bini aku bising nanti." kerusi dimasukkan. Plastik bungkusan yang diberi oleh adik pelayan itu disambut.

Enjin motor buruk itu berbunyi.

"Lah.. Takkan nak balik dah. Mai lah sembang lagi wei. Aduh.." mereka masih tidak mahu melepaskan Ghazi pergi.

"Tah. Duduk lah. Aku belanja malam ni. Meh lah!" seorang lagi back-up. Langsung tidak terasa hati dengan amaran Ghazi tadi.

Kecut perut itu memanglah tapi semua dah kenal perangai ini dari kecil. Pantang orang sentuh keluarganya.

Ghazi menolak. Baik dia pulang sebelum lauk tomyam ni sejuk. Nuha sudah kebulur dirumah. Ada perut yang dia perlu isi.

"Tak nak lah. Aku penat. Balik tidur lagi bagus. okay, brader. Guwe gerak dulu. Apa-apa roger!"

Motor buruk Ghazi laju meninggalkan kedai tomyam dengan lampu berkelip-kelip. Meriah betul!

Bibir ketawa kecil apabila telinga dapat menangkap suara jeritan kawannya yang memaki dia dari jauh. Lantak enkorang lah!

•••

Kawasan perkarangan rumah Suhana yang sudah didirikan khemah itu penuh dengan orang ramai. Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu itu tiba juga.

Nuha yang sudah cantik berbaju kurung tidak sabar-sabar menarik Ghazi keluar dari dalam kereta. Nasib tidak terpijak kain sendiri. Bibirnya terjuih apabila Ghazi masih setia menjawab panggilan kerja di dalam kereta.

"Okay-okay. Aku keluar ni." enjin kereta dimatikan. Baju melayu berwarna biru cair yang sedondon dengan Nuha itu dibelek di dalam cermin.

Nuha membetulkan butang Ghazi. Suka benar dia lihat Ghazi berbaju melayu begini. Hensem!

"Kau masuk, pergi tengok Suhana tau. Jangan lupa tegur-tegur orang. Mama ada dah dekat dalam, cari Mama. Aku duduk dekat luar je dengan orang lelaki." ujarnya sambil membetulkan tudung bawal Nuha yang tidak tegak.

Nuha mengangguk sebelum mereka berpegangan tangan melangkah masuk ke dalam. Riuhnya orang ramai di depan rumah itu membuatkan dia juga jadi tidak sabar-sabar.

Majlis yang serba sederhana. Suhana dan keluarga hanya menjemput orang kampung. Tapi ramainya macam menjemput kedua belah pihak saja gayanya. Hebat!

Nuha sudah melangkah masuk ke dalam rumah manakala Ghazi pula menyapa orang-orang kampung. Riuh mereka berborak di luar rumah. Abah Suhana dan Adam langsung tidak kelihatan. Sibuk sangat nampaknya.

"Ghazi lama balik kampung kalini?" sapa salah seorang dari mereka.

Dia hanya menjawab ala kadar. Lebih tertumpu pada kerja di telefon pintar. Tengah bercuti pun masih perlu menghadap kerja. Walaupun penat, dia terpaksa buat juga. Kalau tidak, alamatnya pulang ke Kuala Lumpur nanti tak tidur malam lah dia menyiapkan semuanya.

"Petang ni Ghazi kena balik Kuala Lumpur dah, bang. Kerja, tak boleh nak tinggal lama." jawabnya dengan gelak kecil bila mereka terus menggali.

Sukar mahu mengabaikan pertanyaan orang-orang tua. Dia rasa seperti tidak beradab pula jika dibiar sepi.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Sebelah kening terangkat membaca nama di skrin. Nuha?

"Hello.."

Kepala berpusing ke belakang. Dengan tubuh-tubuh sekali terpusing melihat Nuha sedang melambai-lambai menyuruh dia datang ke sana.

"Err.. Ghazi pergi jumpa Nuha kejap. Bini panggil." ujarnya beralasan untuk meminta diri.

Kaki berlari anak menghampiri Nuha di muka pintu. Kepala terangkat kecil bertanya sebab Nuha memanggilnya di sini. Nuha berbisik ke telinga.

"Ha?! Ish. Gila ke.. Dah ramai ni." dia juga berbisik. Mata memerhati orang yang datang tidak berhenti dari tadi.

"Alah.. Awak buat jelah. Awak kan kenal diorang ni semua. Sekurangnya mereka hormat permintaan awak. Mama suruh.."

"Aduh.. Kau pasti ke?" dia masih meminta kepastian, entah sudah kali keberapa.

Anggukan Nuha buat dia mengeluh. Memanglah kenduri ni kecil saja tapi.. Alahai. Susah dia mahu kata. Dengan ramainya orang begini, pasti ada yang bersoal-soal pula nanti.

"Ha, takpelah. Kau masuk dulu. Nanti aku uruskan." dia menyuruh Nuha masuk semula ke dalam.

Mata liar mencari kelibat Adam, adik lelaki Suhana. Tiada! Entah kemana pula semua waris lelaki rumah ini. Hazirul pun satu! Hilang ke mana pula dia!

Nombor telefon Hazirul di dail. Tetapi tiada jawapan. Dia mula risau. Mencari cara untuk menghentikan majlis. Mahu tak mahu, terpaksa juga dilakukan kali ini. Hazirul, kau hutang aku !

"Ehem! Minta perhatian.." suaranya dikuatkan.

Orang-orang tua yang duduk berkumpul di depannya juga turut sama menyuruh semua untuk diam. Mata mengucap terima kasih kepada mereka.

"Assalamualaikum.. Saya wakil dari keluarga Suhana.. Kami mahu minta maaf untuk hari ini. Atas beberapa kesulitan yang saya pun tidak boleh beritahu, saya minta semua untuk makan dan pulang. Anggap saja kenduri harini semata kenduri kesyukuran dan sedeqah jariah dari keluarga Suhana. Dan juga terima kasih kerana sudi membantu mereka selama ini."

Dia mengakhirkan ucapan dengan ringkas. Sempat dia minta kakak-kakak catering untuk bungkus lauk dan nasi lalu beri sahaja kepada tetamu yang datang untuk dibawa pulang. Pertanyaan orang-orang kampung yang datang menyapanya dibiar sepi tidak berjawab, mengharap mereka akan menjadi sedikit memahami.

Selesai bersalaman dengan orang-orang kampung, cepat-cepat dia mendaki anak tangga ke dalam rumah. Matanya mencari Nuha. Mama di dapur seakan memberi isyarat padanya akan keberadaan Nuha.

Pintu bilik utama itu ditolak perlahan. Esakan tangisan Suhana menyentuh gegendang telinga. Nuha setia disisi Suhana.

"Nuha?" bibir memanggil nama Nuha. Serta-merta Suhana menghentikan esaknya. Wajah dimaniskan memandang Ghazi di muka pintu.

"Ghazi! Masuklah!" pelawa Suhana dengan senyuman. Riak Nuha sayu. Bibir itu tidak tahu sama ada mahu senyum atau tidak.

Hatinya bagai direntap hebat melihat senyuman yang cuba diukir oleh Suhana. Hazirul memang tak guna! Kalau dia jumpa lelaki itu, pasti kenyang Hazirul makan penumbuk dia.

Ghazi menutup pintu bilik sedikit rapat. Tidak mahu sesiapa menganggu mereka bertiga.

"Tak apa lah.. Bukan rezeki Su untuk capai kebahagiaan. Ghazi dah makan?" Suhana masih begitu.

Tetap mempamerkan riak tenang walaupun matanya sudah merah membengkak. Air kosong di dalam jug di atas meja itu di tuang ke dalam cawan dan menghulurnya kepada Ghazi. Sempat lagi dia mahu melayan orang dalam keadaan hati sedang hiba.

Tubir mata Nuha sudah penuh dengan air mata yang cuba ditahan daripada mengalir. Tidak sanggup mahu terus memandang Suhana yang sedang berlagak kuat dan tabah, dia berpaling membelakangi Suhana.

"Su.. Su rehat dulu, okay? Ghazi akan selesaikan semuanya. Mana abah Su dengan Adam?" soalnya lembut.

Hati dia juga sakit melihat Suhana. Kenapa sukar benar Suhana mahu merasai rasa bahagia? Separuh hatinya mahu menyalahkan takdir Tuhan, separuh lagi hatinya meniupkan sangka baik.

Suhana mengesat air mata yang mula bergenang. Senyuman diteruskan. Tidak mahu sesiapa jatuh simpati padanya. Dia boleh hadapi ini dengan tabah dan tenang. Dia sudah biasa.

"Adam bawa abah ke hospital. Abah terkejut sebab abang Rul langsung tak datang pejabat agama semalam untuk kami rujuk semula." tuturnya tenang walaupun hati sudah sarat dengan rasa risau dengan keadaan si ayah.

Mata Ghazi membuntang. Tidak percaya.

"Apa Su buat di sini? Teruskan majlis yang Su tahu tidak akan menjadi? Sudah! Siap cepat! Kita pergi tengok keadaan abah Su." matanya meminta Nuha memimpin tangan Suhana. Dia sudah siap berdiri.

Suhana menggeleng. Air mata yang ditahan tadi jatuh mengalir di pipi. Dia tak sanggup! Dia tidak sanggup mahu melihat wajah tua itu. Dia anak tidak berguna yang berkali-kali menjatuhkan air muka si ayah.

Nuha juga sudah tertunduk dan menangis. Seakan dapat merasai kesakitan yang dirasai Suhana. Dia tidak mahu menangis tetapi air matanya tetap bergenang. Oh Tuhan, beri dia kuasa untuk memujuk sebuah hati yang sedang terluka. Hati Suhana!

Ghazi duduk disebelah Nuha. Bahu Nuha digosok perlahan supaya tenang. Malah, makin kuat pula deras air mata Nuha Irdina.

Dia punya Ghazi untuk memujuk hati, tetapi Suhana tiada sesiapa!

Wajah disembamkan ke dada Ghazi.

Suhana melayan rasa pilunya sendirian dengan membelakangi Ghazi dan Nuha. Terjungkit-jungkit bahunya cuba menahan esakan.

"Su.. Kita pergi tengok abah Su, okay? Kesian abah Su tunggu Su di hospital." pintanya lagi.

Dia tidak mahu Suhana menyesalinya kemudian hari. Apa yang jadi, sudah terjadi. Sekarang yang lebih penting adalah Suhana sendiri. Hazirul..

Ah! Sakit hatinya setiap kali dia mengulang nama yang sama. Dia tidak akan maafkan Hazirul sampai bila-bila!

Belakang Nuha digosok lembut, menunggu sehingga esakan Nuha terhenti. Hatinya ditiup rasa lega apabila Suhana mengangguk kecil bersetuju dengan permintaannya tadi.

Tisu di dalam kotak dicapai. Wajah Nuha yang sudah comot kerana menangis itu dibersihkan. Air mata membasuh sekali segala solekan di wajahnya.

"Kau dengan Su bersihkan muka dulu. Aku tunggu dekat luar, okay? Tetamu semua dah balik dah. Cuma tinggal Mama dengan saudara terdekat Su saja dekat luar tu."

Nuha mengangguk. Dia menarik perlahan tangan Suhana ke bilik air untuk membersihkan wajah yang sudah bengkak kerana menangis.

Ghazi mengeluh panjang. Rasa hiba yang ditahan dari tadi terlepas keluar mengikut sekali keluhannya. Ikutkan perasaan, dia mahu mengamuk marah kepada Hazirul. Sampai hati Hazirul buat begini kepada Suhana!

Teringatkan wajah itu, hatinya sedih. Penumbuk dikepal menahan marah. Suhana gadis yang baik, kenapa diperlakukan sebegini. Sakit. Pasti hati Suhana lebih sakit lagi dari hatinya.

Ghazi melangkah keluar dari rumah. Sapaan Mama dibiar. Dia hanya fokus kepada Suhana. Entah bagaimana keadaan abah Suhana di hospital sana. Semoga tiada apa yang membimbangkan akan berlaku.

"Ghazi!" suara Ayah memanggilnya dari dalam rumah membuatkan langkah Ghazi terhenti.

Dia yang leka mengelamun dari tadi kembali ke realiti. Wajah Ayah yang sudah tua itu dipandang dengan kening sedikit terangkat.

"Ghazi tolong tengokkan Su, ya? Biar Ayah dan Mama uruskan hal dirumah ini. Kalau ada apa-apa jadi pada abah Su dan Adam, jangan lupa hubungi ayah." ujar si Ayah yang sedang mendukung Dena yang sudah tidur di bahu.

Ghazi hanya tersenyum. Nasiblah Mama dan Ayah prihatin dengan keadaan Suhana sekarang. Dia bersyukur. Tiada gunanya dia marah kepada Hazirul yang tidak ada rasa tanggungjawab itu. Baik mereka fokus kepada perkara yang lebih penting! Dia yakin, satu hari nanti giliran Suhana untuk bahagia akan tiba. Suhana layak dengan lelaki yang berjuta kali lipat lebih baik dari Hazirul yang tidak tahu menghargai.

Pintu kereta dibukakan untuk Nuha dan Suhana.

Sepanjang perjalanan ke hospital, matanya tidak berhenti menoleh ke cermin pandang belakang. Melihat dua orang wanita yang penting dalam hidupnya. Dia gembira kerana Nuha sudi berada di sisi Suhana. Sekurangnya hati yang satu itu boleh terpujuk dengan kehadiran seorang teman.

•••

Tubuh tua itu dicempung dari dalam kereta. Abah Suhana yang lumpuh menghadkan pergerakan dirinya. Adam sendiri tidak selamanya terdaya memapah tubuh tua itu memandangkan kudratnya juga tidak berapa kuat.

Dengan mudah saja Ghazi mengangkat dan meletakkan abah Suhana duduk di atas kerusi roda. Dalam fikirannya terbayang kesusahan Adam yang selama ini mengurus ayahnya sendiri. Pasti sukar buat anak muda ini, belajar pada masa yang sama menjaga ayah yang sakit.

Abah Suhana sudah lama menghidap strok yang melumpuhkan separuh tubuhnya dan yang terbaru, kedua kakinya sudah tidak boleh digerakkan. Kalau sebelum ini Adam masih mampu mengurus si ayah kerana si ayah masih boleh menggerakkan sebelah kaki untuk menyokong tubuh yang dipapah oleh Adam, sekarang dia ragu-ragu akan kemampuan Adam nanti.

Abah Suhana berkata sesuatu. Ghazi mendekatkan telinga ke wajah tua itu. Cuba menangkap bait kata-kata yang keluar. Kesukaran abah Suhana bertutur juga kerana strok. Sebelah mulutnya jatuh.

"Sama-sama pakcik." ujarnya dengan senyuman. Kerusi roda ditolak masuk ke dalam rumah.

Rumah yang sebelum ini bersepah sudah dikemaskan. Bersih. Tiada langsung tanda-tanda ada kenduri tadi. Adam berlari ke bilik, membukakan pintu juga membuka pili air di bilik air.

"Adam boleh mandikan abah Adam sorang-sorang ke?" soalnya prihatin.

Adam mengangguk tetapi riaknya penuh ragu-ragu. Dia harus cuba juga.

Lengan baju dan hujung seluar disinsing. Siap-siap mahu mencempung tubuh si ayah masuk ke bilik air. Dari semalam Abahnya tidak mandi. Di hospital kerajaan itu pula tiada sesiapa boleh membantu. Semua jururawat sibuk menguruskan pesakit yang lebih serius. Akhirnya terpaksa lah dia biarkan sahaja Abah tidak mandi.

Nuha menyerahkan tuala kepada Ghazi.

"Kau teman Su dekat luar, okay? Aku tolong Adam." kepala Nuha diusap perlahan.

Suhana hanya diam membisu saja sejak di hospital.

Ghazi mencempung tubuh tua itu sekali lagi, membawanya masuk dan duduk di kerusi didalam bilik air. Adam menjadi tempat si ayah bersandar memandangkan tubuh belah kanannya sudah lumpuh.

"Adam dapat sambung belajar ke mana-mana tak?" sambil dia menyiram tubuh tua itu, dia bertanya soalan untuk memecah kesunyian antara mereka.

Adam tersenyum mengangguk.

"Tapi rasanya baik Adam lupakan saja, abang. Ayah lagi perlukan Adam di sini. Kakak pun perlukan Adam sekarang." sayu saja suaranya.

Adam yang sebaya Aisya itu. Pilu hatinya mendengar kata-kata Adam. Pasti Adam punya cita-cita sendiri dan dia terpaksa mengorbankannya kerana dia lah tunggak utama keluarga ini. Dia satu-satunya anak lelaki.

"Terima kasih, abang. Sebab tolong kakak. Terima juga dekat kak Nuha. Sebab temankan kakak." airmata lelakinya jatuh.

Ah, sudah berapa lama dia tahan. Hidup mereka susah. Dia kira bila kakak Suhana berkahwin, hidup gadis itu menjadi lebih baik. Dia mahu kakaknya bahagia di sisi seseorang yang boleh menjaganya dengan baik. Kakak selalu berkorban untuk mereka dari kecil.

Kepala Adam disentuh lembut.

"Sama-sama, Adam. Terima kasih sebab Adam sabar jaga abah Adam."

Air matanya diseka. Senyuman dinaikkan ke bibir. Mereka tidak boleh kalah sekarang. Pasti akan ada sinar bahagia satu hari nanti, berkat kesabaran mereka sekeluarga.

Nuha membantu Suhana menghidang air di dapur buat Adam dan Ghazi yang sudah bersusah payah dari hospital tadi. Dia menjeling wajah Suhana dari ekor mata. Hatinya sebak kembali apabila melihat hidup keluarga ini dan melihat ketabahan Suhana yang terus tersenyum apabila dugaan menimpa.

"Nuha nak makan apa? Su masakkan." suara Suhana membawa dia kembali.

Senyuman manis diukir untuknya diwajah itu. Mata Suhana yang membengkak menarik perhatian. Dia lebih tertarik dengan mata itu berbanding senyumannya yang jelas palsu.

Kepala menggeleng. Dia tidak mahu menyusahkan Suhana disaat Suhana lebih memerlukan rehat sekarang ini.

"Su pergi lah rehat. Nuha boleh tolong kemaskan nanti."

"Tak apa. Sikit je ni. Nanti Su rehat." tangannya terus mengemas dapur. Ada sahaja yang dicapai dan dibasuh. Dapur yang sudah sedia bersih ini..

"Nuha jangan risau. Su okay je." pipi lembut Nuha dielus.

Tidak tahu bagaimana dia mahu berterima kasih dengan kehadiran Nuha di sisi. Air matanya sudah kering untuk dia menangis lagi. Dia tidak mahu terus kalah dan dia bersyukur kerana kali ini dia tidak bertarung sendirian.

Bibir Nuha bergetar. Kalaulah dia boleh pindahkan walau sedikit rasa sakit di hati Suhana kepada hatinya, dia akan pindahkan. Bagaimana gadis sebaik Suhana diberi ujian sesakit ini..

Tubuh Suhana dipeluk.

"Kalau Su perlukan kawan, Nuha ada disini." ucapnya sambil menahan sebak di dada. Tangan Suhana menggosok belakangnya perlahan.

"Terima kasih, Nuha. Su orang yang paling gembira kerana Nuha dan Ghazi ada bersama Su sekarang. Tiada apa dapat ganti kehadiran korang berdua." airmatanya mahu bergenang semula namun cepat-cepat diseka apabila pintu bilik Abahnya terbuka.

Nuha juga begitu. Dia tidak mahu terus bersedih dan membuatkan suasana di dalam rumah ini jadi lebih sayu.

Ghazi menolak kerusi roda abah Su keluar ke dapur. Kakinya menekan kunci di tayar kecil supaya kerusi itu tidak bergerak.

"Wah! Sedapnya." lauk kenduri yang Mama sudah simpan untuk mereka tadi menimbulkan selera.

Adam membuat reaksi yang sama. Mahu menggembirakan hati kakaknya. Cepat-cepat mereka duduk dan makan. Ghazi menarik kerusi untuk Nuha disebelahnya. Wajah Nuha yang masih bersedih itu.. Haih.

Tangan menyuap sedikit nasi ke mulut Nuha.

"Rasalah! Sedap gila ni.." tangan masih setia di depan bibir merah itu. Lambat-lambat Nuha buka mulutnya.

Rasa lauk ayam masak merah yang sedap itu membuat dia tersenyum sedikit. Rasa pilu memudar sedikit demi sedikit kerana gelak ketawa mereka berlima di meja. Suhana menyuap nasi ke mulut si ayah. Dia tersentuh melihat kesabaran Suhana dan Adam.

"Esok kita pergi jalan-jalan, nak?" cadang Ghazi.

"Eh? Bukan awak kata kita kena balik Kuala Lumpur malam ni ke?" dia sudah teruja. Bukan dia mahu sangat dengar jawapan Ghazi, lagi dia suka kalau mereka tidak perlu pulang dulu.

"Ha' ah. Tapi, dah cancel. Adam dapat result cemerlang kan? Kita kena lah celebrate!" keluarga ini lebih perlukan tiupan semangat dari mereka sekarang ini.

Adam melopong. Dia mahu menolak tetapi memikirkan ini lah peluang untuk kakaknya pergi bergembira, dia bersetuju.

"Adam nak hadiah apa? Beritahu kakak." Nuha pula riang bertanya. Suhana ketawa kecil melihat reaksi Adam yang malu-malu.

"Err.. Apa apa pun Adam tak kisah." wajah menunduk, pipi sudah memerah.

Tidak pernah sekalipun dia diraikan begini seumur hidup, malu jadinya apabila ada orang yang prihatin akan dirinya.

"Kalau macam tu.. Kita pergi jalan tepi pantai, nak? Pakcik nak tak pergi jalan-jalan ke tepi pantai dengan Ghazi?" dia berbisik ke telinga abah Suhana. Dia tahu lelaki itu faham, cuma nya abah Suhana tidak boleh menjawab saja.

Suara abah Suhana tersekat-sekat namun sebelah bibirnya naik sedikit. Semua ketawa melihat reaksi abah Suhana yang mula teruja itu.

Kali terakhir dia nampak lelaki tua ini, lelaki ini masih gagah bekerja di ladang getah. Entah terasa baru semalam semua itu berlaku, hari ini abah Suhana sudah tersadai di atas kerusi roda. Cepat benar masa berlalu. Mereka semua semakin dewasa dan tanpa sedar ada yang sedang menua dan terluka..

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience