BAB 16

Romance Series 18757

"ASSALAMUALAIKUM.." 

Ucapan salam dari luar rumah mengejutkan Hijjaz dari tidurnya yang lena. Mata digosok-gosok. Ghazi dibasah di pandang. Sepi. Tiada tanda-tanda Ghazi akan bangun dari lenanya. 

Hijjaz turun dari katil dan menyarung baju tshirt yang tersidai di birai. Sesekali dia menguap. 

Keluar dari bilik, dia menjerit menjawab salam. 

"Waalaikumussalam." pagar pintu rumah di pulas.

Hidayu di luar pagar melambai ke arahnya. 

"Oh, Ayu rupanya. Are youuuuuu sleeping, are you sleeping…" Usik Hijjaz sambil mengekek ketawa. 

Hidayu bercekak pinggang. Geram saja dia melihat abang Hijjaz ni. Nasib dia berbaju kurung, kalau tak dia tendang saja perut lelaki itu. 

Bekas yang dia letak di bawah tadi, diangkat semula. 

"Nah! Mak Ayu suruh kirim dekat abang dengan kawan-kawan abang." 

Hijjaz menghidu isi didalam bekas. 

"Wow. Masak lemak cili api. Memang sedap ni. Ayu masak ke, mak Ayu yang masak?" 

"Ayu dengan mak Ayu yang masak!" wajah ayu masam mencuka.

Hijjaz tersengih.

"Ye? macam tak percaya je." Hijjaz masih mahu mengusik. 

"Ala.. Orang tak suruh abang Hijjaz percaya pun. Orang suruh abang makan je lauk tu. Tak suruh teka pun siapa yang masak." 

Hijjaz ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata Hidayu. 

"Lagi satu, cakap dengan abang Ghazi ayah Ayu ajak abang Ghazi ikut ayah and gang pergi memancing. Kalau abang Ghazi nak ikut, bagitahu ayah Ayu." 

Hijjaz mengangguk faham. 

"Abang Hijjaz, ayah Ayu tak ajak ke?" 

Hidayu menjeling. 

"Masalahnya abang Hijjaz tu kalau ajak ke masjid pun malas, nak ajak memancing apatah lagi. Yang abang tahu, pergi terkinja-kinja dekat kelab malam tu aje. Itu pasal ayah Ayu malas nak ajak abang. Kalau abang nak join juga, bagitahu je ayah Ayu. Dia tak kisah." Bebel Ayu panjang lebar. sempat lagi dia perli Hijjaz dan tabiat tak eloknya.

"Ayu ni garang sangat lah. Cuba jangan garang sangat. Takut abang. Abang ni dah la lemah semangat." Dada diusap-usap. 

Sentap juga dia kena sedebik dengan Hidayu ni. 

"Ada Ayu kisah." 

Aduhai. Muka lawa, mulut pula tak lawa. 

"Kena lah kisah. Mana tahu abang ni yang jadi suami Ayu nanti."  Senyuman mengejek diberi. 

Mata Hidayu mencerlung memandang Hijjaz. 

"Kalau abang lah bakal suami Ayu, baik Ayu bujang sampai tua aje lah." Mata dipusing ke atas. 

"Okay. Nanti bila Ayu dah tua, kita kahwin ek." Belum habis lagi usikan si Hijjaz. 

Hidayu buat gaya mahu cili mulut Hijjaz. Dia malas mahu melayan abang Hijjaz yang tidak habis-habis usikannya. Sampai esok pun tak habis! 

"Bye bye Ayu. Cakap dengan mak mertua abang, terima kasih bagi lauk. Bagi lah lagi nanti.."  tangan di kibar-kibar ke udara. 

Dia pekakkan telinga dari mendengar laungan Hijjaz.

•••

RAMBUT ditarik sekuat hati. Kaki menghentak-hentak jubin lantai.

Deringan telefon di biar sepi. Setelah berkali-kali di hubungi orang yang sama, tangannya mencapai juga telefon pintar di atas meja.

"Apa lagi?!" Tengkingnya kepada si pemanggil. 

Topeng muka yang di pakai semalam di renung lama. Mulutnya berdecit apabila si pemanggil mula mengarah-arah. 

"Ah! Apa saja lah! Aku tahu buat kerja aku. Tak payah nak ulang banyak kali." Topeng di atas meja tadi digenggam kuat ke dalam tangan. Dirapatkan topeng tersebut ke hidung dan menghidu bau wangian Nuha yang melekat. 

Ketawa kuat kedengaran di segenap ruang bilik. Rambut dikusut-masaikan kerana rasa teruja berlebihan. 

Panggilan telefon dimatikan dan dicampak ke atas katil.

Nuha! Nuha! Nuha! 

Kepalanya penuh dengan bayangan si gadis. Peluh keluar dari dahi. 

•••

MATA Ghazi terbuka luas mendengar bunyi bising dari ruang dapur dan tamu. Mulut ditutup menahan diri dari menguap. Berair matanya. 

Selesai membersihkan muka di bilik air, dia berlalu keluar dari bilik tidur. Orang pertama yang dia lihat terbaring di atas sofa adalah Tan. Sibuk melayan cerita pawagam yang dibeli secara haram. 

Ghazi geleng kepala sambil berdehem.

"Apa? Kerja macam aku ini tak ada masa lah mahu pergi tengok wayang." popcorn di tangan di sumbat masuk ke dalam mulut. Seakan faham dengan gelengan Ghazi, dia membela diri. 

Raven pula sedang sibuk memandikan patung tuhannya di luar rumah. Dia kagum betul dengan sikap taat Raven kepada tuhannya. Ini baru kita panggil pengikut tuhan. Benar-benar menjaga kesucian agama sendiri. 

"Bunyi macam tengah bergaduh." Komen Ghazi sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dapur. Air sejuk di dalam peti ais di ambil dan diteguk. 

Hijjaz mencebik. Sekurangnya dia cuba masak tau. 

"Bocor lah wei kuali tu kalau kau hentak macam tu sekali."Bebel Ghazi. Kerusi di meja di tarik keluar dan duduk di situ. 

Hijjaz tersengih. Dia malas lah mahu tolak semua bihun yang melekat di senduk ini. Hentak sajalah. 

Ghazi mengambil alih tugas Hijjaz. Kuali dalam rumah ni dah lah satu je. Kalau sudah kena hentak begitu sekali, nanti langsung tak ada kuali dalam rumah ni.

"Ala. Aku mana lah tahu masak bagai ni. Macam mana lah kau boleh masak selama ni, Ghaz. Leceh betul aku rasa. Baik beli dekat kedai mamak aje." 

Lauk pemberian Hidayu tadi dibuka. Mata rambang melihat isi di dalamnya. Daging! 

"Siapa bagi lauk ni?" soal Ghazi. 

Muncung Hijjaz menghala ke arah rumah bertentangan dengan rumah mereka, memberi jawapan kepada persoalan Ghazi. Sudu di atas meja di ambil. Sudah bersiap sedia mahu menyudu daging ke dalam pinggan. 

Tap! 

Hentakan di meja buat dia terkejut. Sakit jantung dia.

Sebuah tupperware berisi bihun yang dia goreng tadi di letakkan di hadapannya.

Dia faham pandangan Ghazi. Nak suruh dia pergi hantar bihun ni pula dekat rumah Hidayu lah tu. 

Alah.. Bagi lah dia makan dulu. 

"Pergilah sekarang. Nanti sejuk tak sedap lah nak makan." tegas Ghazi. 

Dia tahu sangat lah Ghazi ni. Kalau dah cakap A, A lah jawabnya. 

Lambat-lambat dia bangun dari kerusi. Babai daging masak lemak cili api-ku.. 

Hijjaz membebel-bebel dalam hati. 

Ghazi ni macam atok nenek lah. Budaya balas-balas makanan ni pun nak buat lagi. Kalau camni, sampai sudah pun tak habis balas.

"Kau nak pergi mana?" Soalan Raven menghentikan langkahnya. 

Bekas makanan yang diberi Ghazi tadi dihulur kepada Raven. 

"Ghazi suruh kau tolong hantar ke rumah tok imam depan tu. Nah!" 

Kaki berlari anak masuk ke rumah semula apabila bekas makanan tadi sudah bertukar tangan. Raven mencebik. Dia pula yang kena! 

"Dah! Aku dah hantar." Laung Hijjaz ke dalam biliknya apabila Ghazi tidak kelihatan di dapur. Dia kembali duduk di atas kerusi di meja makan. Tan dilihatnya sudah menyudu masuk bihun ke dalam mulut. 

Laju betul kegiatan si Tan ni. Baru tadi dia nampak Tan terbaring atas sofa.

"Oh! Tadi ada orang cari Ghazi." Ujar Tan. Mata fokus kepada skrin telefon , khusyuk membaca portal berita.

"Bila?" Tanya Hijjaz. 

"Dalam sejam lepas." Balas Tan lagi. 

Hijjaz tepuk kuat belakang Tan. Tersembur bihun goreng di dalam mulut.

"Sejam lepas baru kau beritahu. Kenapa tak tunggu esok je." 

Air di dalam gelas di teguk. Boleh tercekik dia tau! 

"Aku lupa lah. Ini baru aku teringat." Dada di ketuk-ketuk perlahan, cuba menelan sisa bihun goreng yang tersekat.

Kepala Hijjaz geleng. Tan ni apa saja yang dia ingat. Tengok cerita tak senonoh aje kut yang dia tak pernah lupa.

"Kau tanya nama dia tak?" 

Tan cuba mengingat kembali. 

"Erm.. something yang bunyi macam magazine.. Mag.. Magnus!" 

Magnus? Hm.. Dia tak kenal pula. 

"Tapi mamat tu macam tak betul sikit lah aku tengok. Aku baru nak masuk kejut Ghazi, tiba-tiba dia dah pergi saja. Lepastu cakap sorang-sorang." terang Tan lagi. Riak wajahnya juga tidak lupa. Hairan dengan kelakuan pelik lelaki tersebut. 

Hijjaz mengangguk kecil meminta kepastian. Anggukan dari Tan mengiyakan apa yang di katanya tadi.

Peliknya. Apasal Ghazi ni asyik bertembung dengan orang tak betul saja.

"Apa cerita ni?" Ghazi keluar dari bilik dengan hanya bertuala separuh badan menutup bahagian bawahnya. 

Rambut yang basah itu dilihat di dalam cermin. Rasanya dia sudah boleh potong rambut. Sedikit sebanyak dia rimas juga apabila terpaksa mengambil banyak masa untuk mengeringkan rambut.

Hijjaz mula bercerita apa yang diceritakan oleh Tan sebentar tadi. Ghazi hanya mendengar sambil membelek-belek rambut dan kumisnya.

"Ah.. Magnus ke? Aku jumpa dia dalam lokap haritu. Dia memang tak betul." Selamba saja dia berkata. 

Memang tiada yang pelik. Memang dia agak yakin yang Magnus pasti akan datang mencarinya. 

Bibir tersenyum sinis. 

Magnus memang terdesak sekarang. Tapi bukan masanya untuk dia layan masalah Magnus. Dia tahu sebab kenapa lelaki itu datang.

"Biar betul? Macam-macam orang yang kau jumpa ya. Jangan kena belasah lagi, cukuplah. Itu saja aku minta." Hijjaz mula risau. Tangan merayu.

Kepala ditolak perlahan oleh tangan kasar Ghazi. 

Ghazi menyarung baju tshirt ke tubuh.

"Aku tahu lah." Balutan di tangannya dibuka. Dia duduk ke kerusi. Anduh yang selama ini dia pakai bagi menyokong tangannya juga sudah tidak digunakan lagi. 

Bengkak di bahagian yang patah juga sudah sembuh. Perlahan-lahan jari tangan kirinya bergerak mengikut alur urat saraf. Jarinya pun sudah kuat seperti biasa.

Krakk! 

Tangan diluruskan. 

Tan yang sedang meneguk air di dalam cawan, ternganga. Air di dalam mulut tumpah ke baju. Tidak percaya apa yang baru dia lihat. 

Ghazi sengaja mahu patahkan tulangnya sendiri ke apa.

Lelaki itu melatih tangannya dengan meluruskan dan membengkokkannya beberapa kali. Jari menekan di bahagian yang patah untuk memastikan bahagian itu benar-benar telah bercantum dengan sempurna. 

Bibirnya tersenyum, dia berpuas hati. 

"Eh, Ghazi. Aku mahu tahu lah. Kau boleh mengurut kan? Selalunya kau boleh urut untuk sakit apa?" Soal Tan. Masih belum hilang rasa terkejutnya. 

"Macam-macam. Tetapi bergantung juga. Kalau dah berurut pun tapi tuhan tak benarkan orang tu sihat, tak sihat juga."

Hijjaz mengangguk bersetuju.

"Kalau urut batin pun kau boleh buat lah?" Tan tergelak kecil.

Ghazi mengangguk. 

"Tapi aku tak pernah lah urut batin. Benda ni aib. Aku pun tahu segan lah." 

"Kalau.. Kalau kanser?" Tanya Tan lagi. Dia jadi berminat mahu tahu memandangkan ada ramai orang yang mengambil jalan urutan tradisional kalau jatuh sakit. 

Ghazi mengangguk dan juga menggeleng.

"Bergantung pada Tuhan. Samada Dia izinkan atau tidak." Ghazi akhiri kata-katanya. Dia tidak mahu beri harapan kepada orang yang sakit. Kebergantungan kepada Allah sangat penting tidak kira lah dari sudut rawatan tradisional atau moden. 

Tan mengeluh. Tidak habis-habis Tuhan.. Hebat sangat ke Tuhan ni. Semuanya perlu izin Dia.

Pinggan yang sudah kosong dibawa ke sinki. Dia sudah malas mahu berborak. Mahu sambung habiskan cerita di televisyen. 

"Ghazi! Ada orang cari kau ni." Panggilan Raven dari luar membuat ketiga mereka berpaling ke pintu hadapan.

Kaki dihayun meninggalkan dapur seterusnya ke garaj luar tempat dimana Raven membasuh patung dan motornya. 

Selipar di sarung apabila melihat wajah Fitri tersenyum sambil melambai tangan ke arahnya. 

"Selamat pagi, Ghazi." Sapa lelaki itu. Cermin mata dibetulkan. 

Ghazi mengangguk sahaja. Mata bertanya sebab kedatangan Fitri pagi-pagi buta ini. Pagi kah? Ah, lantak lah! 

Sebuah motor Kawasaki Ninja edisi terbaru ditolak keluar dari dalam van kecil yang dinaiki Fitri. Juga berserta satu set lengkap pakaian dan aksesori motor. 

Tan dan Raven ternganga. Ghazi? Telan air liur sudah. Mata memandang Fitri, tidak percaya dan tidak berani mahu terima. 

"Tolong jangan tolak pemberian Dato' ni, Ghazi. Apa saya nak jawab kalau Dato' tanya nanti." Kunci motor superbike itu diletak di dalam genggaman lelaki itu. 

"Ini hadiah dari Dato' atas segala pertolongan Ghazi pada cik Nuha. Dato' benar-benar mahu Ghazi terima hadiahnya."

Terus kepalanya teringat akan Nuha. Rasanya sudah lama juga dia tidak mendengar khabar berita dari gadis itu sejak kes lalu. Kunci motor digenggam.

"Dato' minta Ghazi datang jumpa dengan Dato' bila ada masa terluang." Ujar Fitri lagi. Dia mempersilakan Ghazi untuk cuba menunggang superbike tersebut. 

Gila ke? Aku bertuala begini dia nak suruh aku test-ride pula. Nanti-nanti sajalah. Terbang pula tuala di pinggang aku ni nanti. Tak pasal-pasal viral rider bogel.

"Okay. Nanti aku datang."

•••

CAWAN dan pinggan yang di letak di tepi mejanya ditolak kasar sehingga pecah. Bunyi kaca yang bersepai memenuhi ruang bilik tersebut. 

Tubuh diselimut. Dia benci melihat segalanya! Dia benci diri sendiri. 

Berkali-kali juga tangan mahu menghiris saja urat nadi sendiri tetapi keinginannya yang satu itu sentiasa terhalang. Ada saja manusia yang sedar akan apa yang cuba dia lakukan. 

Air mata mengalir lagi ke pipi. Mata sudah sembap kerana kurang tidur. Setiap kali dia menutup mata, setiap kali itu juga dia terbayang semula adegan ngeri tersebut. 

Dia mahu mati! Dia tidak mahu teruskan hidup. Hidupnya sudah musnah! 

Datin Zarina mengetuk pintu bilik dan duduk di birai katil si anak. Tangan mengusap-usap rambut Nuha yang panjang dan tidak terurus. Sudah puas dia pujuk anaknya itu untuk makan dan kembali bersemangat. Apa yang berlaku tidak boleh diubah lagi. Nuha harus kekal kuat untuk meneruskan hidup.

"Untuk apa mummy.. Nuha tak mahu. Lepaskan Nuha pergi, mummy.." rayunya. Esakannya semakin kuat. 

Hati Datin Zarina kembali hiba. Mahu saja dia ikut menangis tetapi dikuatkan hatinya supaya Nuha tahu bahawa dia akan terus berjuang demi kebaikan Nuha.

Kalau boleh dia beri nyawanya sebagai pertukaran, dia sudi beri nyawanya. Asalkan Nuha dapat tersenyum semula.

Kepala Nuha dicium. Dia meluahkan kata-kata kasih dan sayang berpanjangannya terhadap anak tercinta.

"Mummy sanggup lakukan apa sahaja untuk lindungi Nuha sampai bila-bila." 

Airmatanya menitis.

"Datin.." panggilan dari salah seorang pembantu menyedarkannya. 

Gerakan bibir si pembantu buat senyumannya memekar. Mata meminta kepastian. Anggukan dari pembantu membuat dia terus bangun dari duduknya dan berlalu keluar dari bilik. Sempat dia meminta kepada pembantu untuk menyiapkan makanan lagi untuk anaknya. 

Pintu bilik terkatup rapat.

Tubuh di naikkan perlahan-lahan. Mata memandang ke luar tingkap. Walaupun cuaca cerah dan indah, dia langsung tidak dapat merasa sedikitpun ketenangan dari semua itu. Apa yang dirasa kini hanyalah ketidak adilan. 

Fikirannya menerawang memikirkan masalah yang melanda. Air matanya sudah kering menangis hari demi hari. Dia tidak tahu apa lagi patut dia rasa selain mati. 

Kenapa Tuhan begitu kejam pada dia! Apa salah dia...

Mata terhenti kepada kuntuman bunga ros putih pemberian Ghazi yang sudah layu. Air matanya kembali jatuh ke pipi. 

Kejadian perit ini bukan semata meragut hidup dan masa depannya, malah, ia turut meragut impian-impian bahagia bersama Ghazi yang selama ini dia bina. Dia bukan lagi gadis yang layak untuk berdiri di sisi lelaki itu. Dia jijik! 

Senyuman Ghazi terus-terus masuk ke dalam fikirannya. 

Esakannya semakin kuat. Selendang putih pemberian Ghazi diikat menutupi bahu. Cuba merasai kehadiran Ghazi di sisi seperti yang selalunya. Namun, gagal. 

Dia cuma mampu membayangkan betapa jijiknya dia di mata lelaki itu sekarang ini. 

Tangan mencapai sesuatu dari dalam laci meja. Bilah pisau itu ditarik keluar. 

Hanya satu saja cara untuk dia hentikan rasa sakit. Satu saja cara untuk dia berhenti menangis.

Bilah itu diletak dekat dengan pergelangan tangan. Mata di pejam rapat. Dia sudah bersedia mahu meninggalkan dunia ini. 

Dia sudah sedia! 

Mummy, Daddy.. Maafkan Nuha. Nuha sayang semua orang. Tapi, nuha tak mampu untuk teruskan. Sakit..

Tangan ditarik kebawah namun, tidak bergerak. 

"Apa kau buat ni?!" Tengking Ghazi. 

Tangan gadis itu direntap kuat sehingga terlepas bilah pisau kecil itu dari tangan halus Nuha. 

Dahinya berkerut. Marah.

Nuha cuba menarik semula selimut untuk membaluti dirinya sendiri. Dia tidak mahu jumpa Ghazi. Dia malu. Dia jijik. 

Sekejap saja selimut yang di tarik tadi sudah dilempar jauh ke lantai. Matanya memandang tepat ke wajah Ghazi yang sedang marah. 

Tangannya ditarik kuat oleh si lelaki. Memaksa dia untuk bangun dari katil.

"Tak nak!" jerit Nuha.

"Jom keluar! Sampai bila kau nak duduk mengenang nasib dalam bilik ni!" Ton suara Ghazi meninggi. 

Dia tidak suka apa yang dia lihat. Nuha betul-betul sedang menyeksa dirinya sendiri.

"Sampai bila-bila! Sampai saya mati!" Nuha merentap tangannya dari cengkaman Ghazi. Sakit. Tapi lebih sakit lagi hatinya. 

Air matanya sudah mengalir tidak berhenti. Dia menangis teresak-esak mengenang nasib dirinya. Tiada apa yang boleh dia lakukan untuk bangun sekali lagi. 

Keluhan perlahan dilepaskan. Ghazi melabuhkan punggung di sebelah gadis yang sedang berduka. Hatinya sakit. 

"Aku ada. Aku tak akan biar sesiapa atau apa pun halang kau untuk bahagia macam sebelum ni. Malah, lebih lagi." Ujarnya perlahan. 

Tangan menarik gadis itu masuk ke dalam pelukannya. Rambut Nuha yang tidak terurus itu disikat menggunakan jari. Bajunya basah dek kerana air mata Nuha yang tidak berhenti-henti.  Bahu Nuha diusap-usap supaya gadis itu dapat merasa perhatian dan kasih sayangnya.

Esakan Nuha beransur reda. Air mata di pipi diseka oleh jari kasar Ghazi. Untuk pertama kalinya setelah terseksa sendirian, dia merasa tenang. Degupan jantung Ghazi yang kedengaran di telinganya membuat dia berasa selamat.

Wajah Nuha dipandang dalam-dalam. Mata yang sudah merah dan bengkak itu jelas kelihatan juga menggambarkan kesengsaraannya beberapa hari ini. Sendiri. 

"Kenapa kau tak makan? Mummy kau cakap, kau dah beberapa hari tak makan pun. Hebat sangat dah ke?" Nada suara Ghazi berubah tegas. Rambut Nuha yang menutupi wajah ditarik ke belakang.

Bibir di gigit. Tidak berani mahu menjawab. Walaupun suara Ghazi lebih tegas dari yang selalunya, tetapi dia dapat merasai keprihatinan di sebalik kata-kata itu. 

Seorang pembantu datang meletakkan makanan di atas katil. Bubur ayam kesukaannya berserta segelas air suam. 

Pandangan mata Ghazi menyuruhnya untuk menjamah makanan tersebut. Seleranya tidak timbul tetapi melihatkan renungan mata Ghazi yang menakutkan itu, dia capai juga sudu di tepi dulang.

Rambutnya yang berserabut itu disikat dan ditocang gaya 'braided' oleh Ghazi sambil menunggu dia menghabiskan makanannya. Sesekali dia tersedu-sedu kerana menangis. 

"Sebelum kau buat perkara bodoh macam tadi, ingat mummy dan daddy kau dekat bawah sana yang hari-hari tak tidur malam jaga kau." omel Ghazi sambil tangannya licah memusing-musing rambut Nuha. 

Nuha mengangguk kecil. Hatinya terasa sebak. Air suam di dalam gelas di habiskan.

"Habiskan semua." 

Mendengar arahan Ghazi, tangan kembali menyudu bubur ayam yang di tinggalkan separuh.

Selimut yang dilempar ke lantai tadi di ambil semula dan dikibas-kibas. 

"Tidur. Jangan bangun selagi tak puas tidur." Selimut ditekap sekemas mungkin menutupi tubuh Nuha. 

Kepala Nuha diusap perlahan. 

"Dan jangan fikir apa-apa lagi. Berhenti fikir apa yang sudah terjadi. Selagi aku hidup, aku akan pastikan segalanya baik-baik sahaja untuk kau. I will make sure everything will be okay." janjinya.

Nuha mengangguk. Mata ditutup rapat selepas itu dibuka kembali. 

"Awak.. Awak jangan tinggal saya, okay. Saya tak boleh tidur." Kalau tiada Ghazi, dia tidak rasa dia mampu melelapkan mata. 

Kerusi bangku ditarik mendekati katil. Ghazi duduk di situ. 

"Aku ada dekat sini. Tidur sekarang." Salah satu buku di bawah meja kopi di tarik dan dibuka helaian demi helaian. 

Nuha tersenyum kecil. Mata ditutup serapat mungkin. Pertama kali dia mampu untuk tidur tanpa perlu memimpikan detik-detik hitam yang telah berlaku. Kehadiran Ghazi telah mengunci mimpi ngerinya. 

Nuha lena.

Ketukan di pintu membuat bacaan Ghazi terhenti. 

Dato'Uzair masuk ke dalam bilik. Ghazi bangun dari duduk dan memberi laluan kepada lelaki tua itu untuk melihat keadaan anaknya. Tangan Dato'Uzair mengusap perlahan kepala Nuha yang sedang nyenyak.

Dia tersenyum lega. Wajahnya kepenatan begitu juga fikirannya, memikirkan keadaan anak itu beberapa hari ini. 

Mata mencari anak mata Ghazi. Lututnya dijatuhkan ke bawah berhadapan dengan lelaki muda tersebut. 

"Eh! Apa  pakcik buat ni?" Cepat-cepat dia menahan tubuh lelaki tua itu dari terus jatuh melutut di hadapannya. 

Tidak pernah-pernah ada orang melutut. Apalagi di zaman serba maju begini. Orang tua pula. Sepatutnya dia lah yang melutut. 

"Pakcik tak tahu bagaimana mahu balas budi Ghazi pada keluarga Pakcik. Mintalah apa sahaja, pakcik akan cuba tunaikan." Airmata Dato'Uzair sudah bergenang. 

Bahu Dato'Uzair di sentuh mengharap lelaki tua itu boleh bangun dari melutut. 

Dato'Uzair berdiri semula.

"Ghazi  tak berbudi apa pun, pakcik. Sekalipun pakcik rasa Ghazi ada berbudi, Ghazi tak minta balasannya." Dato'Uzair dipeluk. Belakang badan lelaki tua itu digosok supaya dia bertenang. 

Ini semua hanya satu ujian buat keluarga tersebut. Dia juga terkesan dengan semua ini. Hari-hari dia menyalahkan diri sendiri kerana tidak tiba lebih awal, apa lagi melihat keadaan Nuha tadi. Lebih menebal rasa bersalah yang cuba dia kawal. 

Dato'Uzair meluahkan rasa berat di hatinya. Tiada sesiapa yang dia boleh percaya untuk bercerita dan meminta bantuan. Dia merasa segala yang terjadi adalah kerana dia dan kegiatan politiknya. Lumrah hidup didalam dunia politik, pasti ada saja musuh dimana dia berada. 

"Jangan macam tu, pakcik. Ghazi tak rasa ini semua bermotifkan dendam." 

Walaupun dia juga tidak suka cara Dato' Uzair berpolitik, tetapi dia tidak pula merasa semua yang terjadi ini adalah kerana dendam politik. Apalagi sampai sekarang kejadian yang menimpa Nuha ini tiada wartawan yang tahu. Nampaknya individu yang membuat penganiayaan ini memang sasarkan Nuha dari mula lagi.

Setelah meyakinkan Dato'Uzair bahawa semua ini bukan salahnya, lelaki itu kembali senyum walaupun terlihat kelat sekali. 

"Lagipun, Dato yang dah banyak sangat berbudi pada saya." Kunci motor superbike yang baru diterima nya tadi ditunjukkan kepada Dato'Uzair. Tangan menyalam tangan Dato'Uzair tanda dia sangat-sangat berterima kasih atas pemberian yang satu itu. 

Dato'Uzair tergelak besar. Belakang Ghazi ditepuk kuat. Kalau Ghazi suka, dia pun gembira juga. Tidak sia-sia dia mencari di internet. Dia bukan tahu sangat hal-hal motor. Seumur hidupnya dihabiskan dengan bekerja. Minat-minat orang lelaki yang satu itu sudah ditanam dalam tanah. Dia tiada masa mahu menjadikannya sebagai hobi pun. 

Datin Zarina menjengah ke dalam bilik, mengajak Ghazi dan suaminya itu untuk turun ke bawah dan minum bersama. Dia pula akan mengambil alih tugas menjaga Nuha. 

•••

MATA dibuka perlahan-lahan. Pelukan erat Datin Zarina terasa melingkar di sekeliling pinggangnya. Kerusi bangku di sebelahnya sudah kosong. 

Bibir diketap. 

Datin Zarina di sebelah dipandang dalam-dalam dan memberi kucupan hangat ke pipi wanita tua yang sedang nyenyak tidur itu. Cuaca di luar sudah gelap gelita. Lingkaran yang memeluk tubuhnya itu dileraikan. 

Kaki diturunkan ke bawah. Tubuh menggeliat sekuat hati. Dia mahu bangun dan berjalan. Terasa sudah lama dia tidak bangun dari katil ini. 

Hatinya agak kecewa melihat kerusi bangku kosong disebelah. 

Ghazi kata tak mahu tinggal dia. Tapi tinggal juga! Hmph.

Dia tahu dia tidak penting. Ghazi mungkin datang menjenguknya pagi tadi atas dasar kesian sahaja kut. Walaupun perit dia akan telan juga. 

Dia tidak mahu terus jadi lemah di sini. 

Pintu bilik terkuak. Kaki melangkah keluar dari bilik mewah tersebut. Keadaan di didalam rumah juga sudah gelap gelita. Mungkin semua orang pun dah tidur.

Kaki melangkah turun ke tingkat bawah. Sekerat jalan, dia berhenti. Jantung berdegup kencang melihat sosok yang sedang tidur di atas sofa. 

"Ghazi.." ujarnya perlahan. 

Senyuman kecil diukir. Bibir digigit menahan rasa gembira yang tidak boleh dikawal lagi. 

Ghazi tak tinggal dia! 

Tubuh itu berpusing ke kiri dan ke kanan supaya tidurnya selesa. 

Nuha berlari anak naik ke atas bagi mendapatkan selimut dari dalam almari biliknya. Setelah dapat apa yang dia inginkan, dia turun kembali ke bawah dan menyelimuti tubuh Ghazi. 

Ghazi ini pun satu, tidur lah dalam bilik. Sofa juga tempat dia tidur. Haish. 

Dia duduk mencangkung di hadapan lelaki itu. Wajah Ghazi yang sedang lena direnung puas-puas. 

"Nuha.." panggil satu suara. Perlahan. Sehingga hampir tidak kedengaran.

Nuha kaget. Wajah dipalingkan ke kiri dan ke kanan mencari orang yang memanggil namanya. Tiada! 

Air liur ditelan. Bulu romanya meremang. Terasa malam ini lebih sejuk dari sebelum ini. 

Kling! Kling! 

Kali ini bunyi loceng seakan-akan sesuatu sedang berlari melepasinya pula kedengaran. Tangan menyentuh lengan Ghazi. 

"Hm? Apasal kau tak tidur ni?" ujar Ghazi yang masih mamai. Mata digosok-gosok. 

Nuha menggeleng. Matanya tetap pada lorong gelap menuju ke dapur. Terasa seperti ada yang memerhati dia. 

Ghazi memandang ke arah yang sama. Mata memandang wajah Nuha pula.

Tak ada apa pun! 

"Dah, pergi naik tidur. Dengan baju tidur terdedah begini, jin suka tengok tau." tegur Ghazi. 

Buka mata sahaja, dia sudah disajikan dengan aset tubuh Nuha. Aduhai. 

Lengannya dipukul kuat. 

Ghazi ni cakap pasal jin-jin pula. Dia sudah lah penakut. Wajahnya masam. 

Selalunya Nuha akan marah atau menjerit kalau dia mengusik begini. Tetapi Nuha yang sekarang lebih diam.

"Pergi naik atas, tidur." Arahnya.

Nuha bangun dan berlalu semula ke kamarnya meninggalkan Ghazi sendirian di tingkat ruang tamu itu.

Kling! Kling! 

"Ghazi.." 

Mata Ghazi memandang ke arah yang di tunjuk oleh Nuha tadi. Dia lihat satu sosok hitam dengan rambut yang panjang. Lehernya bergari. Mengintip dia dari sebalik dinding. Dia sedar kehadiran benda itu dari tadi tetapi sengaja dia buat tidak nampak di hadapan Nuha tadi. 

Ghazi kembali membaringkan diri membiarkan benda tersebut terus memerhatinya dari sana.

Dia mahu terus berpura-pura tidak lihat dan dengar. Sosok itu berpusing-pusing berjalan mengelilinginya. Bunyi seretan rantai kakinya menampar kuat telinga Ghazi.. Dia jadi tidak lena.

Lebih tidak lena jadinya apabila sosok berambut panjang tadi bermain-main dengan rambutnya pula. Jari tangan yang hodoh itu meneroka helaian rambutnya. Sesekali benda itu mengeluarkan bunyi tangisan.

Bunyi yang sungguh menyedihkan dan menyeramkan pada masa yang sama. 

Agaknya orang di dalam rumah ini dengar atau tidak apa yang dia dengar sekarang ini. 

Bau busuk menusuk ke dalam hidung. 

"Haish.." Tubuh dibangunkan semula. Tangan menolak selimut dengan kasar. Laju kepalanya berpusing  menghadap ke belakang. 

Kau nak aku pandang sangat, baik! Aku pandang ni! 

Angin kuat melepasinya. Sosok tadi hilang. 

Pulak.. Tadi nak main sangat dengan aku. Ni lari pula. Apa masalahnya ni! 

Dengusan kuat di keluarkan. Kalau tak sebab rumah orang, sudah lama dia jerit panggil saja makhluk tu. Memang pantang dia tidurnya diganggu begini. 

"Aku pagar terus rumah ni nanti baru kau tahu.." bebel Ghazi seorang diri. 

Selimut ditarik kasar menutupi tubuh.

Matanya ingin dia tutup tetapi lain pula yang dia nampak.

Seorang lelaki hodoh, sedang merenung arahnya dari luar tingkap. 

Jantung Ghazi berdetak hebat apabila lelaki itu menunjuk ke arahnya. Seakan-akan sedang menunjuk sesuatu yang sedang berdiri di belakangnya.

Ayat-ayat Allah di baca di dalam hati. Mata ditutup supaya jantungnya kembali tenang. Lebih dia takut, lebih kuat makhluk yang berada di belakangnya kini. Telinga menangkap hembusan nafas kasar sosok yang sedang berdiri di belakangnya.

Lelaki hodoh di luar tingkap seakan memberi amaran menyuruhnya keluar dari situ. 

"Kau tak dialu-alukan di sini.."Suara garau dan menyeramkan dari arah belakang berbunyi. Perlahan. Seakan berbisik. 

Mata dibuka. Dia berdiri dari sofa dan memusingkan badannya ke belakang. Sekarang dia betul-betul bertemu dua mata dengan makhluk bersosok besar itu. 

Wajahnya bertutup dengan sebuah topeng berukir yang menyeramkan. Sebelah matanya buta dan berdarah. Dibahagian topeng yang pecah dapat dia lihat tatu-tatu dengan bahasa yang asing. 

"Aku bunuh kau. Aku ratah jasad kau..jantung kau.." bisiknya lagi dengan ketawa jahat dan sinis. Kukunya yang panjang mencucuk ke jantung Ghazi. 

Ghazi tersenyum, juga sinis. Bahunya terangkat sendiri kerana tergelak kecil. Rasa sakit dicucuk ditahan.

"Sila kan." jemput Ghazi. 

"Sebelum kau ratah aku, pastikan aku tak jumpa apa yang kawan kau sorok dalam rumah ni." Matanya memandang makhluk tersebut, tajam. Hilang serta merta rasa takutnya tadi. 

Kalau Tuhan takdirkan dia mati begitu, dia terima saja. Dia tahu, makluk halus tidak akan mudah-mudah boleh membunuh hayat seorang manusia. Kecuali, jika ada manusia lain yang membunuh bagi pihaknya.

Dan dari apa yang dilihatnya, makhluk ini sendiri. Membunuh bukan tujuan dia disini. Lebih tepat, bukan tujuan nya buat masa sekarang.

Tangan dan kaki makhluk tersebut berantai dan berdarah. Dengusan perlahan dari makhluk hitam itu seakan sedang menahan amarah malah, juga seperti orang yang sedang berzikir. 

Dia memekik bahasa yang Ghazi tidak mampu faham. Mata mencerlung memandang ke arah belakang Ghazi.

Pendampingnya, kaduk tersenyum sinis. Tangan di angkat mengarah makhluk tersebut untuk menghilang dari pandangan. Tahu-tahu saja makhluk besar tadi sudah menghilangkan diri. 

Ghazi mengangkat sebelah kening. Seakan memahami, kaduk hanya membalasnya dengan senyuman. 

Hish. Dia ni.. Aku rasa dia boleh aje bercakap. 

"Pertukaran. Pertukaran apa yang engkau mahu?" Kalini dia sudah menghadap ke arah kaduk. 

Pertukaran yang dia tawarkan kepada kaduk tempoh hari kerana membantu dia mencari Nuha.

Dia sudah sama tinggi dengan kaduk. Tidak macam ketika kecil-kecil dahulu.

"Satu malam." kaduk mengangkat jari telunjuknya. Suara yang sudah lama dia tidak dengar itu akhirnya kedengaran juga.

Satu malam? Apa maksudnya? tidur? Aku kena berjaga satu malam? Aku kena bertapa satu malam? Atau aku kena cari satu malam yang istimewa? Malam lailatul qadar ke? Hah? 

Argh! Aku benci betul kalau kena fikir sedalamnya jika bercakap dengan kaduk ini.

Kaduk menghilang. 

Dia masih tidak pasti siapa kaduk yang sebenar. Apa yang dia tahu, kaduk tidak akan membiarkan dia mati tersia-sia. Itu yang selalu berlaku. Setiap kali dia di ambang bahaya, kaduk akan datang menyelamatkannya. Tetapi, dia tidak mahu pula percaya perkara-perkara karut begini. 

Serabut lah. Aku tak mahu fikir. Baik aku tidur lebih baik! 

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience