BAB 60

Drama Completed 23008

"KELUAR! Ji cakap keluar, keluarlah!" Jeritan kuat itu mengejutkan Absyar yang merehatkan diri di luar bilik Zinnirah. Sudah seminggu gadis itu sedar, namun ini kali pertama dia mendengar suara itu. Dahi berkerut hebat, apa sudah jadi dengan Zinnirah?

Hati itu sangat berkobar-kobar ingin masuk ke dalam bilik Zinnirah namun akalnya melarang. Sepanjang minggu itu, dia hanya memerhatikan gadis itu dari jauh kerana Mustaqim sudah memaklumkannya tentang trauma gadis itu.

Jujur, dia sangat ingin berbicara dengan Zinnirah seperti mana mereka meluangkan masa bersama ketika di Pulau Perhentian dulu. Tapi dia hanya mampu menahan diri kerana tidak mahu gadis itu takut dengan dirinya.

Pintu bilik yang ditutup menyedarkan Absyar daripada lamunannya. Wajah Mustaqim yang kusut dipandang. "Kenapa?"

"Aku bagitahu hal yang sebenar pada Ji. Tentang nenek dan juga anak dalam kandungan dia tu. Dia tak boleh terima Cad, dia mengamuk. Habis segala barang dia baling pada aku tadi, jenuh aku pujuk dia tadi." Ujar Mustaqim dengan nada susah hati.

"Mus, kau kena faham benda ni bukan mudah untuk diterima oleh orang macam Zinnirah. Dia masih belum sihat, Mus. Tambah pula arwah Nek Timah orang yang paling dia sayang, dia sangat terkejut tu. Beri dia masa, Mus. Dan untuk anak dia...kau kena tahu, tak ada seorang pun perempuan dalam dunia ini yang mengimpikan anak luar nikah. Sukar untuk dia terima takdir ini Mus, dia baru je 20 tahun and she needs to bear all these burdens. Jadi aku harap kau kekal sabar dalam menjaga dia, dia hanya ada kau sekarang ni." Lembut pertuturan Absyar menyebabkan Mustaqim tersedar akan hal itu.

Ya, Zinnirah tidak pernah minta semua ini berlaku. Dia sebagai abang perlu lebih kuat dan menjadi penguat semangat untuk Zinnirah. Gadis itu hanya ada dia. Gadis itu perlukan dirinya.

"Terima kasih atas segala nasihat kau, Cad. Kau memang sangat membantu aku, sangat-sangat membantu. Aku rasa kau yang abang aku sekarang ni, Cad." Kata Mustaqim sambil tersenyum kecil melihat wajah putih bersih Absyar.

"Tak ada hal, aku nasihatkan kau tapi pada masa yang sama dapat mentarbiyah diri aku juga. Hidup kita ni Mus, tak perlu nak tunggu kita jadi baik untuk kita menasihati orang. Kita sampaikan nasihat dalam masa yang sama kita cuba mengubah diri kita ke arah yang lebih baik, yang penting Allah suka." Tutur kata Absyar sering menyejukkan hati Mustaqim dan dalam masa yang sama menyedarkan lelaki itu daripada terus lalai.

"Terima kasih sekali lagi, Cad. Aku...nak minta maaf juga pada kau. Sepatutnya cuti semester ni kau dapat rehatkan badan, rehatkan minda tapi lain pula jadinya. Maaf sebab dah libatkan kau dalam masalah keluarga aku Acad, hancur cuti sem kau kali ni. Aku minta maaf sangat-sangat." Mustaqim benar-benar rasa bersalah dengan apa yang Absyar perlu hadap disebabkan masalahnya. Lelaki itu sepatutnya tidak perlu ada di sini lagi namun Absyar berkeras untuk tetap ada menemani Mustaqim.

"Janganlah minta maaf, inilah fungsi sahabat. InshaAllah, aku akan ada dengan kau dikala senang atau susah. Kau ingat aku boleh duduk saja ke bila aku tahu kau masalah? Silap-silap seminggu pun aku tak boleh tidur fikirkan kau." Gurau Absyar namun dia memang memaksudkan setiap butir bicara yang keluar daripada bibirnya itu.

"Sahabat yang baik itu juga rezeki." Kata Mustaqim sebelum tersenyum lebar. Absyar hanya tersengih mendengar ayat itu. Ya, masing-masing membawa rezeki yang berlainan kepada diri mereka.

Syukur Tuhan mempertemukan mereka sebagai sahabat yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Hanya Allah saja yang tahu perasaan sayang dalam diri masing-masing.

"Acad, tolong tengokkan Ji. Aku nak kena pergi court, dah lambat sebenarnya ni."

Ya, hari ini hari perbicaraan kes baba dan mamanya.

"Jangan risau, aku akan tengok-tengokkan dia. Hati-hati drive, Mus."

"Ya."

Mustaqim yang berlari anak ke arah lif itu hanya diperhati denga tawa kecil. Kepala digelengkan sebelum tombol pintu wad Zinnirah dibuka. Kelihatan gadis itu membelakanginya dan tidur menghadap tingkap. Pintu kembali ditutup sebelum Absyar kembali duduk di ruangan luar.

Telefon pintar dibawa keluar daripada poket seluar sebelum ikon nota ditekan. Jari itu mula menaip dengan laju di skrin, meluahkan segala apa yang dia rasa. Mencatat segala kejadian yang berlaku pada hari itu. Semenjak dia menghabiskan masa di hospital menemani Zinnirah, hobinya adalah dengan menulis cerpen. Tidak semua benda rasa dilafazkan melalui percakapan, kadang-kadang apabila rasa itu dapat dicoretkan dengan perkataan, itu pun sudah cukup memadai.

"Err abang, ni bilik Kak Zinnirah ke?" Teguran itu menghentikan tarian jarinya di atas papan kekunci itu.

"Ya, kenapa? Awak ni siapa ya?" Tanpa banyak cakap, Absyar terus menyoal gadis yang masih berbaju sekolah di hadapannya itu.

"Saya...Atiya. Adik Kak Zinnirah." Atiya yang berdebar menggenggam kuat hujung tudungnya.

"Atiya?" Dahi berkerut cuba mengingati orang yang bernama Atiya. Secara tiba-tiba dia teringatkan perbualannya dengan Mustaqim tentang ibu tiri dan adik baru mereka itu. Terus melopong mulut Absyar ketika itu.

"Oh okay, saya tahu. Atiya masuklah, Zinnirah ada di dalam." Kata Absyar sambil tersenyum kecil. Atiya hanya menunduk hormat sebelum memulas tombol pintu itu.

Matanya terhidang dengan belakang Zinnirah yang tidur secara mengiring menghadap tingkap.

"Assalamualaikum akak, Ati datang ni." Perlahan-lahan kakinya dbawa mendekati katil itu. Jantungnya berdebar hebat apabila mengingatkan apa yang pernah dia katakan pada Zinnirah suatu ketika dahulu.

"Kak...Ati datang ni." Bahu Zinnirah disentuh sebelum gadis itu menepis. Zinnirah terus bangun dari tidurnya dan duduk menghadap Atiya yang tergamam.

Mata Zinnirah menatap tajam budak sekolah di depannya itu. Dia masih diam membisu tanpa mengeluarkan sebutir bicara pun.

"Akak...A-Ati nak minta maaf dengan akak. Ati banyak buat salah dengan akak. Ati cut contact dengan akak, Ati ignore semua usaha akak untuk memperbaiki semula hubungan kita. Ati minta maaf akak..." Laju bibir itu melafazkan kata maaf. Matanya berair melihat wajah Zinnirah yang seperti tiada emosi ketika itu. Hanya tatapan kosong, tidak seperti Zinnirah yang ceria yang pernah dia kenal dahulu.

"Akak...Ati minta maaf sebab dah rampas kasih sayang baba dari akak." Zinnirah mula bereaksi apabila terdengar perkataan baba muncul daripada bibir gadis itu. Selama ini, Mustaqim tidak pernah menyebut tentang perihal lelaki itu di hadapannya. Hari ini, Atiya dengan beraninya menyebut tentang lelaki itu di hadapan mangsa yang sudah dirosakkan oleh manusia durjana itu.

Mana perginya sifat ihsan kau, Atiya?

"Akak, boleh tak tarik balik dakwaan pada baba. Ati sayang sangat pada baba, janganlah masukkan baba dalam penjara akak. Macam mana Ati nak melangsungkan hidup di sekolah nanti akak. Tahun ni Ati SPM, akak. Bantulah Ati, tariklah kes baba tu akak." Basah sudah tudungnya dengan air mata yang jatuh bagai hujan lebat. Dia benar-benar mengharapkan Zinnirah bakal menimbangkan apa yang dia katakan tadi.

Zinnirah yang mendengarnya terus menggeletar satu badan. Darahnya terasa menggelegak.

"Sombongnya kau Ati... Kau hanya fikirkan masa depan kau seorang. Kau tak fikir ke betapa hancurnya masa depan aku selepas apa yang baba kau buat pada aku! Kau tak pernah terfikir ke macam mana aku nak hidup lepas ni, Ati?! Sampai hati kau minta aku tarik balik kes tu? Dia penjenayah! Baba kau tu penjenayah dan mangsanya adalah aku!" Berdegup kencang jantung Zinnirah apabila melampiaskan amarahnya ketika itu.

"Aku benci kau, Ati! Aku benci kau! Kau keluar dari sini! Aku dah tak nak tengok muka kau! Keluar!" Jerkahan itu mengejutkan Atiya yang masih terkedu dengan setiap bait bicara Zinnirah.

"Akak, tolonglah pertimbangkan kes-"

"KELUARLAH  BODOH! KELUAR!!!" Zinnirah terus membaling segala barangan yang berdekatan dengannya. Bibir sudah bergetar hebat. Tubir mata sudah berair.

"Akak..."

"KELUARRRR!" Kali ini Zinnirah bangun sebelum mencabut segala wayar yang ada pada badan dan tangannya. Terpecik darah ke merata tempat. Tubuh Atiya ditolak kuat untuk keluar dari biliknya itu. Pintu ditutup dengan kuat.

Air mata mula jatuh di pipi sebelum Zinnirah terjelopok jatuh di belakang pintu. Dia sangat tertekan dengan keadaan sekarang.

"Kenapa semua orang hanya pentingkan diri masing-masing? Aku ni tak ada harga diri ke? Kenapa aku? Kenapa semua ini perlu terjadi pada diri aku? Kenapa aku tak mati je hari tu, kenapa aku masih hidup sampai sekarang?!" Rambutnya ditarik kuat sebelum mula menendang angin.

Tekanan perasaan yang dia rasakan kali ini bukan biasa-biasa. Mindanya sakit, jiwanya rapuh dan hatinya punah.

Masa depannya sudah kelam. Sudah tiada apa lagi yang tersisa buat dirinya. Semuanya sudah diambil daripada dirinya sendiri tanpa dia sedar dan rela.

Manusia sangat jahat.

Bahagian perut yang terasa senak dan memulas hanya dibiarkan oleh Zinnirah. Dia masih menangis teresak-esak di tempat tadi. Bahagian bawahnya mula terasa basah.

Dengan rasa sakit yang mula menguasai diri, Zinnirah menguatkan diri untuk bangun berdiri walaupun berpautan pada pintu. Pintu dibuka sebelum dia meloloskan diri dari situ. Berbekalkan kudrat yang ada, dia berjalan pantas di koridor hospital walaupun masih tiada arah.

Apa yang Zinnirah tahu, dia hanya mahu pergi jauh.

Zinnirah mahu pergi jauh daripada manusia.

Zinnirah mahu pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience