BAB 24

Drama Completed 23008

BADAN menggigil teruk apabila disarungkan baju kurung sekolah itu. Sakit dan berbisanya hasil libasan itu hanya Tuhan yang tahu. Sangat sakit sehinggakan dia hanya terlantar di katil selama dua hari ditambah pula dengan demam yang menyerang.

Hari ini, hari permulaan SPM. Zinnirah hanya mengharapkan dirinya dapat mencurahkan segala apa yang terkandung dalam mindanya selama 2 tahun belajar. Walaupun fizikal masih tidak memberi kerjasama, dia akan gagahi juga.

Demi masa depannya. Dia mahu keluar daripada rumah itu, dia mahu jauh daripada mama dan babanya. Jika itu saja cara yang mampu membahagiakan dirinya dan juga orang tuanya.

Almari baju dibuka perlahan sebelum matanya tertancap pada sepasang sarung tangan yang berkain cotton. Handsock itu merupakan pemberian Kak Zulaikha kepadanya berbulan yang lepas.

Namun hari ini adalah hari yang sesuai untuk menggunakannya. Handsock dipakai di kedua-dua belah tangan untuk menutup birat-birat luka yang kelihatan jelas jika tidak disembunyikan.

Dia tidak mahu menimbulkan apa-apa isu atau fitnah buat keluarganya. Cukuplah teruk fizikal dan mentalnya dibelasah, dia mahu fikiran yang tenang sepanjang peperiksaan besar ini berlangsung.

Dia tahu, baba memukulnya sebagai salah satu cara mendidik anak seperti orang-orang terdahulu. Tapi, bagi Zinnirah pukulan itu tidak perlu dilibas ke seluruh badan seperti yang baba lakukan padanya. Tangan, belakang badan dan kaki. Semuanya berbirat dek kerana amarah baba.

Islam juga ada mengajarkan cara memberi hukuman yang sebaiknya untuk sang anak. Tapi tidak untuk baba, dia memukuk Zinnirah mengikut nafsu amarahnya. Sedangkan Islam melarang untuk menghukum anak-anak dalam keadaan yang terlampau marah.

Dari Abu Mas'ud al-Badri, dia berkata,

"(Suatu hari) aku memukul budakku (yang masih kecil) dengan cemeti, maka aku mendengar suara (teguran) dari belakangku.

'Ketahuilah, wahai Abu Mas'ud!'

Akan tetapi, aku tidak mengenali suara tersebut kerena kemarahan (yang sangat). Ketika pemilik suara itu mendekat dariku, maka ternyata dia adalah Rasulullah SAW dan Baginda berkata,

'Ketahuilah, wahai Abu Mas'ud! Ketahuilah, wahai Abu Mas'ud!' Maka aku pun melempar cemeti dari tanganku, kemudian beliau bersabda, 'Ketahuilah, wahai Abu Mas'ud! Sesungguhnya Allah lebih mampu untuk (menyeksa) kamu daripada apa yang kamu seksakan terhadap budak ini,' maka aku pun berkata, 'Aku tidak akan memukul budak selamanya setelah (hari) ini."

(Hadis Riwayat Muslim)

Entahlah, Zinnirah sudah malas mahu menyerabutkan otaknya dengan benda selain daripada pelajaran. Apa yang dia tahu, dia mahu buat yang terbaik walaupun tanpa restu orang tua.

Kata orang, restu ibu bapa itulah yang membuatkan hidup seorang anak senang dan sejahtera. Diiringi doa ibu dan bapa sepanjang kehidupan bagaikan hidup di aliran sungai yang mengalir laju tanpa sekatan.

Tapi, bagaimana pula dengan orang sepertinya? Dibenci dan tidak diinginkan langsung kewujudannya di dunia ini. Adakah hidupnya akan kekal merana kerana tidak mendapat restu ibu dan bapa? Adakah hidupnya akan kekal berselirat bagai tali yang kusut? Adakah kehidupannya nanti tidak akan mendapat keredhaan Allah kerana hidupnya dibenci oleh ibu dan ayah?

Persoalan itu berputar seperti radio rosak dalam minda Zinnirah. Kepala digelengkan beberapa kali untuk mengusir rasa itu.

Tote bag yang hanya ada slip peperiksaan, dompet dan peralatan menulis disandang ke bahu. Semua suis di bilik ditutup sebelum dia bergerak perlahan-lahan ke arah Mustaqim yang sudah menunggunya di ruang tamu.

"Dah?" Tanya Mustaqim. Zinnirah hanya memberikan senyuman kecil sebagai balasan.

"Okay, jom kita gerak sekarang." Beg yang disandang Zinnirah diambil oleh Mustaqim sebelum mereka bersama-sama bergerak ke motornya.

"Ji dah sihat?" Mustaqim terus meletakkan kura tangannya di dahi Zinnirah. Masih panas.

"Macam biasalah, Mus. Kena gagahkan juga, SPM penting." Jawab Zinnirah sambil tersenyum tawar.

"Kalau tak larat nanti, bagitahu pengawas tau? Apa-apa pun health come first." Nasihat Mustaqim apabila melihat raut wajah yang agak pucat.

Zinnirah hanya mengangguk tanda faham.

"Berdebarlah, Mus." Ujar Zinnirah sambil memegang dadanya kirinya yang berdegup kencang.

"Samalah, semoga kita sama-sama dapat menjawab dengan baik." Pujuk Mustaqim walaupun jantung turut berdetak hebat.

"InshaAllah."

"Jom, kita pergi sekarang."

-----

"Mus, jom kita singgah rumah nenek boleh tak?" Kata Zinnirah apabila mereka sedang mengemaskan barang untuk pulang. Subjek pertama sudah selesai walaupun menggeletar jemari Zinnirah apabila mahu menulis dek kerana sakit dan juga gementar. Namun, syukur idea dapat dicurahkan ke tempat yang sepatutnya walaupun dia terhenti daripada belajar setelah dipukul hebat oleh baba.

"Kenapa?" Saja Mustaqim menyoal tanpa melihat wajah itu.

"Saja, rindu nenek."

"Okay, boleh ja. Nanti kita lepak situ."

-----

"Assalamualaikum nek!" Salam diberi lalu pintu rumah kayu itu dibuka. Terus Zinnirah mencari-cari gerangan neneknya. Di ruang tamu tiada, di bilik tiada dan di dapur juga tiada.

Ish, mana pula pergi nenek ni?

"Nenek ada ke tak ni?" Tanya Mustaqim dari belakangnya. Zinnirah hanya menjongketkan bahu tanda tidak tahu.

"Nekkk." Kali ini suara Mustaqim pula memenuhi ruang rumah itu. Nyaring benar suara lelaki ini.

"Ya, nek dekat dapur ni." Sayup-sayup suara itu kedengaran. Terus berdesup dua orang itu bergerak ke arah dapur untuk menemui nenek mereka.

"Aik nek, tadi Ji tengok tak ada pun kat dapur?" Dengan dahi berkerut Zinnirah menyoal sambil menarik kerusi untuk diduduki. Mustaqim turut mengambil tempat di sebelah neneknya.

"Tadi aku kat luar, ni baru masuk ni ha. Macam mana periksa tadi? Okay?"

"Alhamdulillah, okay." Jawab Mustaqim dan Zinnirah serentak.

"Nek..." Mendayu-dayu suara itu memanggil neneknya. Lengan tua itu dipegang dan diusap. Mustaqim dan Nek Timah hanya menunggu butir bicara yang hendak keluar daripada bibir gadis itu.

"Nek... Boleh tak Ji nak duduk sini dengan nenek sampai SPM habis?" Tersentak Mustaqim mendengar persoalan itu. Dahi Nek Timah berkerut.

"Kenapa pula? Kan ada mama dan baba? Kenapa nak duduk dengan nenek?" Bertalu-talu soalan dihalakan kepada Zinnirah.

Handsock yang dipakai terus dibuka, lengan baju kurung sekolah ditarik sehingga ke siku dan ditunjukkan kepada neneknya segala luka libasan.

Wajah tua itu berubah. Laju jari berkedut itu memegang lengan gebu yang sudah dipenuhi luka itu.

"Kenapa ni, Zinnirah?"

"Tolong nek, biarkan Ji tinggal dengan nenek. Paling kurang sampai habis SPM ja, nek." Mata itu mula berkaca.

"Allahuakhbar, siapa yang pukul kamu ni, Zinnirah." Terus laju badan itu ditarik ke dalam pelukannya. Terasa panas bahang badan itu melekap pada badan tuanya.

"Baba yang pukul Ji, nek." Balas Mustaqim bagi pihak Zinnirah yang sudah tersedu-sedan meluahkan rasa.

"Melampau sungguh si Alwie ni, memang nak kena dengan aku." Marah Nek Timah sambil mengusap-usap belakang badan cucunya.

"Nek... Nenek jangan marah baba. Biarkan dia, Ji takut kena lagi." Jujur Zinnirah meluahkan rasa. Benar, dia takut akan dipukul sekali lagi jika baba diserang oleh nenek.

Dia tak nak, badannya masih sakit. Mentalnya sudah teruk dihentam dengan mama dan baba.

Cuma sedikit yang dia mahu, dia mahukan ketenangan sepanjang SPM. Itu saja, walaupun hanya sekejap cuma.

Jadi, tolonglah dia. Dia merayu demi kesejahteraan mental dan jiwanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience