BAB 29

Drama Completed 23008

"NEK, boleh tak cerita sikit tentang mama dan baba." Figura Nek Timah yang khusyuk menjahit bajunya di hadapan televisyen ditegur. Sengaja dia datang ke rumah nenek pada waktu petang begini demi mengorek rahsia yang lama terpendam dalam fikirannya.

"Cerita apa pula?" Cermin mata yang hampir jatuh daripada batang hidung itu ditolak ke atas.

Zinnirah hanya tergelak kecil melihat telatah neneknya. Entah kenapa, nampak comel.

"Ceritalah, macam mana mama dan baba usaha nak dapatkan Mus selepas 12 tahun tak dapat anak."

"Pastu, Zhafran tu anak angkat ke?"

"Bukanlah nek, maksudnya lepas mama beranakkan abang, 12 tahun kemudian baru dapat Mus. Ha ceritalah nek, macam mana kesusahan mereka nak dapatkan Mus." Tanya Zinnirah sekali lagi sebelum dia turut duduk di sebelah Nek Timah. Dia cuba untuk memberi fokus 100%.

"Cara kamu cakap ni Zinnirah, macam mama kamu tu tak beranakkan kamu. Haih tak fahamlah aku."

"Nek, mana ada Ji cakap macam tu. Cepatlah cerita." Gesa Zinnirah sambil menghayunkan tangan tua itu sehingga terhenti segala jahitannya.

"Ish budak ni, ya lah aku cerita." Jarum dimasukkan kembali ke dalam tin biskut. Baju diasingkan ke tepi. Wajah cucunya itu dipandang dengan penuh kasih.

"Ceritanya macam ni... lepas 4 tahun kelahiran Zhafran, mama dan baba kamu menunggu untuk anak yang kedua tapi belum rezeki mereka lagi. Macam-macamlah yang mereka buat untuk dapatkan anak. Berubat di hospital lah, berubat di kampung lah sampai aku pun dah naik pening tengok keadaan mama baba kamu masa tu.

Ada satu masa tu, mama kamu mengandung tapi tak sampai beberapa bulan, gugur. Kejadian ni berlaku berulang kali sampai mereka rasa tak ada harapan untuk dapatkan anak lain. Jadi, mereka hanya bersyukur dengan adanya Zhafran dalam hidup.

Namun apabila Zhafran berumur 12 tahun, mama kamu disahkan mengandung anak kedua dan alhamdulillah lekat sehingga ke akhirnya. Macam yang kamu nampak Mustaqim yang sekarang, dia kuat sebagai anak yang hadir selepas banyak keguguran. Tapi kali itu Mustaqim berjaya tahan sehingga dilahirkan.

Seperti pasangan lain, mama dan baba kamu bahagia. Mama kamu dilayannya dengan penuh kasih ketika mengandungkan Mustaqim dan apabila Mustaqim lahir, mereka sayang sangat akan budak itu. Bayi yang ditunggu-tunggukan sehingga disebut bayi pembawa tuah sebab baba kamu dinaikkan pangkat ketika mengandungkan Mustaqim.

Benarlah apa yang dikatakan, anak itu pembawa rezeki. Keluarga menjadi lebih meriah dan bahagia ketika itu. Bersinar-sinar wajah mama baba kamu, Zinnirah. Bahagia sangat mereka."

Zinnirah hanya mampu menelan liurnya mendengar bicara Nek Timah. Bahagia...

"Tapi selepas 12 hari kelahiran Mustaqim, kamu wujud. Doktor kata Ereh Twin ke apa entah, aku tak ingat."

"Irish Twin, nek." Zinnirah mengulum senyum.

"Ha, yang tu lah. Jadi, mama kamu mengandungkan kamu dalam pantang. Mama kamu marah sebab dia jaga dirinya dengan elok semasa pantang dan kenapa dia boleh mengandung? Itulah yang dia ulang setiap hari sampai bernanah telinga aku.

Manalah aku nak tahu? Dah kuasa Allah nak rezekikan anak. Bila Allah dah berikan kamu, baba kamu mula berubah sedikit. Aku perasan tapi aku hanya diamkan diri. Tapi benda ni dah lama, jadi tak perlu difikirkan pun. Alhamdulillah, kamu pun dilahirkan dalam keadaan sihat sejahtera membesar sampai sekarang sebagai cucu kesayangan aku." Ujar Nek Timah sampai mengusap kekura tangan Zinnirah.

"Nek, mama pernah cuba nak gugurkan Ji?" Perlahan suara itu bertanya tapi masih menusuk masuk ke telinga tua itu. Jantungnya berdetak hebat.

"Kenapa tanya soalan macam ni, Zinnirah? Kamu tak percayakan mama kamu ke?" Nek Timah cuba mengelat.

"Jujur dengan Ji, nek. Ji hanya nak tahu penerimaan mereka terhadap Ji." Gelang emas di pergelangan tangan tua itu dimainkan.

"Zinnirah.."

"Tolonglah nek, Ji nak tahu kisah hidup Ji." Pujuknya lagi.

"Kadang-kadang, masa silam akan membuka luka yang lebih besar pada diri kita yang sekarang. Zinnirah sanggup?" Soal Nek Timah, cuba untuk mengelak daripada menjawab daripada soalan cepumas itu.

"Ji sanggup. Walapun seluas lautan luka itu, Ji sanggup." Tegas dia berkata walaupun hatinya tidak yakin sama ada dia mampu bertahan dengan kebenaran ataupun tidak. Apa yang dia tahu, dia mahukan kebenaran.

Helaan nafas panjang Nek Timah sampai ke koklea telinganya. Sebegitu beratkah kisahnya?

"Jujur, mama kamu pernah cuba gugurkan kamu. Bukan sekali tapi banyak kali. Aku bersyukur aku mampu larang dia daripada buat kerja gila itu dan Allah sangat pertahankan kamu, Zinnirah."

Kebenaran pertama sudah merobek suku hati Zinnirah.

"Macam mana cara mama nak bunuh Ji?" Bergetar suara itu bertanya.

"Satu cara saja, nenas muda. Baba kamu pun menyokong saja tindakan itu malah sanggup belikan nenas itu di belakang pengetahuan aku!"

Allah Tuhan, kebenaran kedua turut melemahkan sendi badannya.

"Nek, betul ke baba curang... semasa mama mengandungkan Ji?" Tersekat suara itu menyoal soalan yang pernah dikatakan oleh Puan Khalidah dahulu.

Terus terbuntang mata tua itu mendengarkan soalan yang terpacul daripada bibir yang kering itu. Jantung tuanya mengepam darah dalam frekuensi yang luar daripada kebiasaan pada ketika itu.

"Soalan apa ni Zinnirah? Macam mana kamu tahu?" Tegas suara itu menghentam telinganya.

"Mama..."

Buat keberapa kalinya Nek Timah mengeluh pada ketika itu.

Dugaan apa ini, Ya Allah. Kenapa anak seusia itu perlu mengetahui titik silam keluarganya.

"Baba kamu... ya baba kamu pernah curang ketika Idah mengandungkan kamu. Awalnya hanya dengan pertolongan kecil tapi berakhir dengan kecurangan di belakang mama kamu. Baba kamu ketika itu tak boleh terima kehamilan kedua Idah dalam masa yang singkat. Pergaduhan besar berlaku antara mereka apabila temberang baba pecah. Hampir saja mereka bercerai, Zinnirah."

Terus berkaca mata Zinnirah mendengarkan kebenaran itu.

"Mana... Mana perempuan tu sekarang, nek?"

"Baba kamu dah putuskan hubungan dengan perempuan itu sebaik saja kamu dilahirkan. Jadi, nenek pun tak tahu ke mana perginya perempuan itu sekarang. Jadi, janganlah risau Zinnirah. Benda dah berlalu, baba kamu pun dah berubah." Belakang badan cucunya diusap perlahan. Cuba menenangkan dada yang berombak hebat menahan tangis.

"Kalau baba masih berjumpa dengan perempuan tu macam mana, nek? Kalau baba ada anak dengan perempuan tu macam mana, nek?" Terus jatuh air mata yang ditahan tadi. Pedihnya kebenaran ini Ya Tuhanku.

Situasi di taman tasik itu bermain-main dalam mindanya. Setakat sekarang, Zinnirah hanya mampu menanggung itu seorang diri. Tiada seorang pun tahu tentang apa yang dia nampak ketika itu. Dia tidak mahu menyakiti mama.

"Jangan beranggapan buruk dengan baba kamu, Zinnirah." Tegas suara itu menegur Zinnirah walaupun hatinya berasa lain dengan soalan itu.

"Kasihan mama dan baba. Kewujudan Ji hanya memusnahkan kebahagian yang baru saja terbina. Patutlah mama selalu panggil Ji pembawa sial, pembawa malang. Rupanya memang betul, Ji hanya seorang yang tahu mengeruhkan keadaan." Jujur daripada hati dia meluahkan perasaan dalam pelukan neneknya.

"Jangan cakap macam tu, Zinnirah! Ibu bapa mana yang tak sayangkan anak? Binatang pun sayangkan anaknya apatah lagi manusia. Jangan berfikiran buruk lagi." Hampir menitis air mata tuanya mendengar curahan hati anak itu.

Zinnirah, dia jiwa yang terseksa dan terikat. Tidak dibelai dan dikasihi seperti yang sepatutnya seorang anak dapat.

"Nek, nek jangan pergi dulu sebelum Ji. Ji hanya mampu bermanja dengan nenek sorang saja."

Tanpa aba-aba, terus luruh air mata Nek Timah apabila mendengar permintaan Zinnirah. Terus diketatkan pelukan mereka. Habis basah bajunya dek juraian air mata Zinnirah yang tersedu-sedan tanpa ada tanda untuk berhenti.

Allah Tuhan, berikanlah kekuatan kepada seorang Zinnirah binti Alwie sebagaimana Engkau memberikan ketabahan kepada srikandi islam, Zinnirah Arumiah.

Kuatkanlah hatinya supaya tidak mudah terhasut dengan bisikan syaitan yang semakin kuat ini, Ya Allah. Sesungguhnya Zinnirah Alwie seorang insan lemah yang banyak dosanya kepadaMu. Namun angkatlah doa seorang hambaMu ini, kerana dia juga layak bahagia di dunia ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience