TW: Penderaan Fizikal
"ZINNIRAH!" Terus terhenti jemari yang laju menulis di atas buku. Mengarang karangan fakta yang beribu patah perkataan sebagai persediaan SPM yang berlangsung pada lusa hari. Muka Mustaqim berhadapan dengannya dipandang seketika sebelum dia mencari baba yang memanggil namanya dengan suara yang keras.
"Zinnirah!" Kepala gadis itu terus ditolak kuat daripada belakang sehingga menghentam meja yang dia duduki.
Berdetum kuat bunyi itu menyebabkan kejadian menjadi sunyi. Mustaqim terus terkedu dengan keadaan itu. Matanya melirik ke arah baba yang bengis kemarahan ketika itu.
Kenapa... Kenapa jadi macam ni?
Mustaqim terus bangun dan mendekati babanya yang sedang menarik kuat rambut Zinnirah sehingga terdongak memandang siling rumah. Desahan sakit kedengaran pada telinganya.
Lengan baba dipegang kuat oleh Mustaqim sebelum ditolak laju oleh Encik Alwie. Mata itu sudah merah menahan amarah.
"Baba, kenapa ni? Jangan buat Ji, baba." Sekali lagi lengan babanya ditarik sekuat yang mungkin. Namun, tenaga tua itu agak luar biasa pada malam itu.
"Diam Mustaqim, biar aku settlekan dengan perempuan ni!" Anak lelakinya dijeling sebelum dia menarik rambut Zinnirah sehingga gadis itu terhentak jatuh kuat di atas lantai.
"Sa-sakit baba." Terkeluar juga suara Zinnirah apabila tidak terdaya menahan sakit yang menjalar pada kawasan pinggangnya.
"Mana duit aku? Mana duit kedai aku yang kau jaga semalam?" Soalan itu membuatkan Mustaqim tercengang. Duit?
"Bukan Ji yang tutup akaun semalam baba, pekerja baba yang tutup kedai semalam." Balas Ji dengan dahi berkerut hebat. Tangan tua itu semakin kuat mencengkam rambutnya yang semakin menipis dek kerana SLE.
"Pekerja aku cuti semalam, kau cakap apa ni? Kau melalut apa ni?" Sejurus itu, satu tamparan kuat hinggap di pipi Zinnirah. Mereka di situ terkedu.
"Baba, betul baba. Semalam ada pekerja baba yang ganti kami. Dia yang tutup kedai, baba. Dia cakap dia dah maklumkan pada baba. Baba berhentilah pukul Ji. Mus pun bersalah dalam hal ni, baba." Mustaqim melutut di tepi Encik Alwie dan lengan tua itu dipegang. Mengharapkan pujuk rayunya diterima oleh Encik Alwie.
Namun, dirinya hanya dijeling hebat oleh babanya. Tajam menusuk ke jantung.
"Kau tahu aku rugi berapa? RM1,500! Lelaki yang kau kata pekerja aku tu dah lama berhenti kerja, dia tu penyangak! Lesap duit kedai aku sebabkan kebodohan kau!" Kepala Zinnirah ditujal berkali-kali tanpa ada rasa kasihan.
"Siapa yang bagi izin untuk dia jaga kedai? Siapa?!"
"J-Ji." Terketar-ketar suara itu menjawab amukan babanya. Jari-jemarinya mula menggeletar menahan ketakutan yang tak ditafsirkan.
"Dasar anak tak guna! Sini kau!" Rambut Zinnirah ditarik dan diheret gadis itu ke dalam bilik tidurnya sebelum dikunci daripada dalam.
Tarik pinggang di seluarnya ditarik dengan laju sebelum badan anak perempuannya dilibas berkali-kali.
Jeritan kesakitan Zinnirah diabaikan. Hanya nafsu amarah yang ada dalam dirinya yang dia perlu puaskan.
"Baba, sakit baba. S-sakit baba." Berjurai air mata itu menitis ke lantai. Dia sudah terbaring dilantai apabila babanya tidak henti-henti melibas belakang badan dan tangannya.
Kulitnya terasa pedih dan sakit bagai disiat-siat. Sakit, Ya Allah.
"Baba..."
"Diam! Ni sebab kau tak ikut arahan aku! Aku dah cakap, jaga kedai bukan bagi tugasan pada orang lain! Dasar budak bodoh!" Gemersik suara untuk menusuk ke lubang telingan Zinnirah.
"Ji.. Ji minta maaf baba. Ji tak sengaja." Sayu kedengaran suara itu memohon maaf daripada ayahnya sendiri.
Badan dikesot mendekati Encik Alwie sebelum dipeluk kaki itu, kuat.
"Maafkan Ji baba. Jangan marah Ji lagi, Ji janji Ji takkan buat macam tu lagi. Maafkan Ji, baba. Jangan doakan yang buruk-buruk untuk Ji, baba. Ji nak SPM ni baba, jangan doakan yang buruk untuk Ji." Teresak suara itu merayu pada kaki Encik Alwie. Air hidung yang jatuh menimpa lantai hanya dibiarkan.
Hatinya sakit, fizikalnya lemah. Hanya doa daripada babanya yang dia perlu.
"Sampai mati aku takkan doakan kau!" Zinnirah terus teresak kuat mendengarkan ayat itu. Ya Allah, kejamnya.
"Baba..."
"Aku nak kau ganti balik RM1,500 aku tu! Kalau kau tak dapat bayar, kau tahulah nasib kau." Encik Alwie mengetap kuat giginya.
Dasar anak bodoh. Patutlah Khalidah pun bencikan kau.
Mustaqim mengetuk kuat pintu bilik Zinnirah, cuba menghentikan apa-apa saja perbuatan yang baba mereka lakukan.
"Baba, jangan pukul Ji baba. Ji tak bersalah baba!" Sudah merah tangannya mengetuk kuat pintu itu. Hatinya berasa tidak sedap. Almari di ruang tamu didekati, kunci dicari.
Tiada!
Mana kunci ni?
"Kenapa ni Mus?" Teguran daripada mamanya terus mematikan tindakan kalut Mustaqim.
"Kunci bilik Ji mana, mama?"
Soalan itu hanya dibalas dengan jongketan bahu tanda tidak tahu dan malas ambil tahu.
Seusai itu, Mustaqim terus meluru ke bilik Zinnirah. Tombol pintu dipulas beberapa kali sebelum pintu itu ditendang sekuat hati.
Masih tidak terbuka.
Tangannya sudah menggeletar hebat. Ya Allah, bantulah aku.
"Baba!" Jerit Mustaqim kuat sebelun mengetuk pintu itu sehingga tangannya bertukar merah. Nafasnya naik turun menahan amarah dan tangis.
Kenapa jadi macam ni? Kenapa hanya Zinnirah saja yang kena? Kenapa aku taj dipukul sekali?
Telinganya dapat menangkap suara jeritan Zinnirah disebalik pintu. Jantungnya turut mengepam laju darah ke seluruh badan.
"Baba, buka pintu ni baba!"
Pintu terus terbuka menjengulkan muka bapanya yang bengis. Pintu bilik ditutup kuat sebelum wajah Mustaqim dilayangkan penumbuknya. Mustaqim terus jatuh terduduk sambil memegang pipinya yang terasa kebas.
"Abang!" Terdengar suara mama menjerit memanggil nama panggilan baba.
"Lain kali jangan ikut perangai bodoh adik kau!" Hanya ayat itu yang terpacul keluar daripada bibir tua itu sebelum dia berlalu ke bilik utama, bilik baba dan mama.
"Mus, Mus okay ke? Nak pergi klinik?" Tanya Puan Khalidah dengan penuh kerisauan. Wajah anaknya ditilik sebelum ditolak lembut oleh Mustaqim.
"Mama pergi sejukkan baba." Pendek dan padat ayat Mustaqim sebelum tombol pintu dipulas dan dikunci daripada dalam, meninggalkan mamanya keseorangan di luar.
Pandangan Mustaqim terhala pada badan Zinnirah yang sudah tertiarap di atas lantai dengan suara tangisan dan esakan masih menjengah telinganya. Zinnirah didekati sebelum ditarik perlahan untuk duduk.
"Ji, Mus minta maaf." Air mata gadis itu dilap dengan tangannya. Terhinggut-hinggut bahu itu menahan kesakitan dan esak tangis.
Zinnirah hanya menggeleng. "Mus tak salah. Salah Ji."
"Ni salah kita berdua tapi kenapa hanya Ji yang dihukum? Ini tak adil, baba tak adil Ji." Kata Mustaqim meluahkan rasa.
"Mus anak kesayangan mama dan baba. Ji hanya anak pembawa malang." Ayat yang keluar daripada bibir yang menggigil itu menyentakkan jantungnya.
Begitukah tanggapan Zinnirah selama ini?
Badan itu terus ditarik ke dalam pelukannya. Cuba untuk menenangkan Zinnirah yang masih teresak kecil.
"St-stop. Sakit." Desis Zinnirah sambil menolak Mustaqim yang memeluknya itu.
"Sorry." Pelukan dilepaskan dan Zinnirah terus bersandar pada katil. Kepalanya direhatkan di atas tilam itu. Dada yang berombak cuba ditenangkan dengan tarikan nafas yang berkali-kali.
"Meh, Mus ubatkan." Minyak gamat yang dia jumpa dia meja solek Zinnirah dibuka. Lengan yang berbirat itu diperhati sebelum disapu minyak gamat dengan perasaan ralat. Sesekali desis kesakitan terhambur keluar.
"Mus, sakit."
"Maaf, Mus lelaki tapi Mus tak dapat nak lindungi Ji. Mus minta maaf." Bibir dikemam hebat, tidak mahu Zinnirah tahu tentang gelojak perasaannya.
Baju adiknya diselak ketas sebelum Mustaqim rasa mahu menangis. Berbirat teruk belakang badan adiknya. Menggeletar jari itu cuba menyapu ubat gamat di setiap garisan yang dilibas oleh baba mereka. Ada beberapa luka yang berdarah.
Hati Mustaqim sakit.
"Ah, sakit. Slow sikit." Zinnirah mengerutkan dahi apabila terasa sangat pedih pada bahagian belakangnya. Air mata masih jatuh menyembah pipi.
Azabnya sakit ini.
"Sorry, Ji." Hanya itu saja ayat yang mampu Mustaqim ungkapkan. Dia benar-benar rasa bersalah.
"Mus, macam mana Ji nak jawab SPM dengan keadaan macam ni?" Soalan itu disertai dengan air matanya yang laju turun seperti air hujan.
Ujian apa lagi yang Engkau ingin mendugaku, Ya Allah.
Angkatlah kesakitanku ini.
Share this novel