BAB 10

Drama Completed 23008

KAKI melangkah perlahan, mengikut jejak Megat yang turut berat untuk bergerak. Kedua-dua tangan digenggam erat. Hatinya berdegup kencang. Jiwanya tidak tenteram.

Megat yang berjalan berhenti secara tiba-tiba menyebabkan Zinnirah terkejut. Mujur saja dia sempat brake, kalau tak memang batang hidungnya terlanggar belakang Megat.

"Megat, kenapa?" Wajah lelaki itu dipandang. Masih ada luka dan lebam namun sudah kurang.

"Ji, take it easy. Kau tak perlu nak takut sangat. Bukan salah kau pun." Megat menjeling gadis itu dengan ekor mata sebelum matanya terpaku ke arah pintu di hadapan mereka.

Bilik pengetua.

Ya, dia dan Zinnirah 'dijemput' khas oleh guru bertugas pada waktu terakhir kelas. Yang mereka pasti, ini berkaitan kes dua hari lepas.

"Tapi, aku puncanya."

"Merapulah kau ni."

Dengan itu, terus laju tangan Megat memulas tombol pintu bilik pengetua setelah mengetuk sebanyak tiga kali. Kaki melangkah masuk ke dalam bilik yang sejuk dituruti oleh Zinnirah di belakangnya.

Zinnirah memanggungkan kepalanya, memandang persekitaran bilik pengetua. Ini kali pertama dia bertandang ke sini. Tiba-tiba matanya bersabung dengan mama.

Jantungnya bagai berhenti berdegup. Muka pucat tak berdarah. Jari-jemarinya semakin sejuk sehingga dia terasa kebas. Liur sendiri ditelan.

Mustaqim turut berada di situ, ibu Megat juga hadir.

"Okay disebabkan semua dah ada, kita mulakan perbincangan kita." Suara pengetua mula membakar bait-bait kesunyian sejak dari tadi.

"Oh sebelum tu, mana penjaga kamu, Zinnirah?" Sekali lagi wajah Zinnirah menjadi semakin pucat.

Wajah mama dikerling sebelum bawah bibir digigit perlahan. Mata yang membulat tajam ke arahnya itu sudah memahamkan Zinnirah tentang maksud pandangan itu.

"Mereka tak dapat—"

"Puan Khalidah, mama saya dan Zinnirah." Cantas Mustaqim laju. Akibatnya semua manusia di dalam bilik itu terkejut kecuali ibu Megat kerana dia tidak tahu apa-apa.

"Jadi maksudnya, Mustaqim dan Zinnirah..." Pengetua melambatkan ayat seakan-akan otaknya sedang mencerna ayat Mustaqim.

"Ya, saya dan Zinnirah adik-beradik tapi kami rahsiakan sebelum ni. Tapi sekarang, saya dah tak rasa nak rahsiakan semua ini lagi. Semua orang perlu tahu yang Zinnirah adik saya dan tak ada sesiapa pun yang boleh sakitkan dia." Habis saja ayat terakhir, matanya menjeling Megat yang masih lagi terkejut.

Wajah Puan Khalidah ketika itu merah menahan marah.

"Baiklah, kalau macam tu kita akan mulakan perbincangan tentang masalah kamu bertiga."

-----

"Kenapa Mus buat macam tu tadi? Mama suruh rahsiakan, kenapa pergi bongkarkan macam tu?" Beg tangan dibaling ke sofa sebelum tudung turut dicabut. Bahang dengan perangai anak-anaknya kian terasa.

"Sampai bila lagi nak rahsiakan hubungan Mus dan Ji, mama? Kitorang ni adik-beradik, bukannya suami isteri kahwin bawah umur." Jawab Mustaqim sambil berdiri di tepi sofa memandang mamanya yang masih marah.

Zinnirah hanya menikus di belakang Mustaqim. Kepala otaknya memikirkan banyak perkara yang bakal terjadi nanti.

"Sampai bila-bila!" Suara Puan Khalidah naik seoktaf mendengar jawapan anak lelaki kesayangannya.

"Sampai bila-bila orang tak boleh tahu korang adik-beradik. Mama malu ada anak macam Zinnirah! Dia tak sepatutnya wujud pun dalam dunia ni, hidup dia menyusahkan orang!" Matanya tajam mencerlung ke arah Zinnirah dibelakang Mustaqim.

"Kau sedar tak Mustaqim? Nama Mus dah busuk sebab dia! Sebab perempuan ni—"

Zinnirah didekati sebelum tudung gadis itu ditarik dan dicengkam kuat rambut panjangnya. Terdongak wajah itu dengan dahi berkerut menahan kesakitan di kulit kepala.

"—Mus kena masuk bilik pengetua! Reputasi Mus sebagai pelajar cemerlang dah tercalar kerana betina ni. Mus sedar tak!" Jerkah Puan Khalidah kuat sebelum menampar kuat wajah Zinnirah.

Dunia terasa seakan-akan berhenti buat Zinnirah. Kepala yang terteleng hanya dibiarkan sebelum tangannya terketar-ketar memegang pipi yang terasa kebas. Hujung bibir pecah, bahagian atas pipi sedikit bercalar dek terkena batu cincin dan pipinya merah.

"Mama!" Serentak dengan tamparan itu, Mustaqim terus menarik mamanya menjauhi Zinnirah. Apa yang merasuki wanita itu sehingga bertindak sedemikian?

"Lepaskan aku, Mus. Biar aku habiskan perempuan tak sedar diri tu! Dia ingat aku dengan baba nak dia ke? Kalau bukan sebab mak aku, dah lama aku gugurkan kau lah Zinnirah. Kau tu hanya pembawa sial dalam keluarga ni!"

"Mama, mengucap ma! Kenapa cakap macam ni?" Tepi kepala Puan Khalidah dipegang kuat oleh Mustaqim. Matanya memanah tepat ke dalam anak mata mamanya.

"Mengucap ma." Perlahan suara lelaki itu seakan cuba memujuk wanita berumur itu.

"Kita masuk bilik ya, ma? Mama rehat ya, ma." Kali ini tubuh itu dibawa ke bilik tidur mamanya.

Setiap bait kata mamanya mula terpahat dalam minda Zinnirah. Tiada satu perkataan pun yang terlepas daripada disimpan.

Dia anak yang tak diinginkan.

Dia anak yang dibenci.

Dia... anak pembawa sial.

Air mata jatuh setitik. Dua titik sebelum berjurai menjadi anak sungai di wajah yang merah itu.

Kaki dilangkah lemah menuju ke biliknya. Pintu ditutup sebelum lutut Zinnirah terasa sangat tiada kudrat untuk berdiri. Dia jatuh terduduk dan bersandar di belakang pintu kayu itu.

Mulut ditutup rapat dengan tangan untuk menahan esakan daripada kedengaran. Hatinya sakit. Hatinya terasa seakan-akan disiat-siat dan disimbah garam ke atasnya.

Matanya berbalam-balam dengan air mata, pandangan mula kabur namun esakan langsung tidak berhenti.

Kenapa mama sangat benci akan dirinya?

Dosa apa yang dibuat sehingga sebegini sekali layanan mama dan baba kepada dirinya.

Kenapa kewujudannya tidak diraikan seperti abang-abangnya yang lain?

Adakah kerana dia perempuan? Seperti bayi perempuan zaman arab jahiliyyah yang ditanam hidup-hidup kerana takut akan kerosakan yang bakal berlaku. Adakah dia akan melakukan turut melakukan kerosakan sehingga mama dan baba membenci dirinya?

Esakan semakin kuat kedengaran. Zinnirah sudah tidak mampu mengawal intonasi suaranya. Hatinya bertambah sakit dengan persoalan yang bermain-main di mindanya sekarang.

Bukan sekali dua dia mendapat layanan seperti itu daripada mama tapi kali ini ayat wanita itu memusuk terus ke dalam jiwa kecilnya.

Dia hanyalah gadis yang masih dalam fasa membesar. Dia juga mahukan kasih sayang mama dan baba, sama seperti abang-abangnya yang lain.

Bahagian dada yang terasa sempit ditepuk perlahan. Dadanya terasa sesak tapi air matanya tiada tanda untuk berhenti dalam masa terdekat.

"Ji, buka pintu ni." Pintu dibelakangnya terasa ditolak namun Zinnirah mengeraskan badan.

"Ji sakit ke, Ji? Buka pintu ni, biar Mus masuk."

Kepalanya digelengkan bagai Mustaqim boleh nampak perbuatannya itu. Mustaqim tak boleh nampak keadaannya sekarang.

"Ji..." Mustaqim kini duduk bersandar di hadapan pintu bilik Zinnirah. Esakan gadis itu semakin mendayu-dayu di halwa telinganya. Helaan nafas menjadi semakin berat.

Setelah 15 minit lamanya dia berdiam diri, kini Mustaqim gagahi jua untuk menolak pintu itu dengan lebih kuat. Dia perlu masuk. Dia nak teman adiknya itu.

"Ji." Terasa sebu hatinya melihat Zinnirah yang duduk berpeluk lutut di belakang pintu. Rambut yang kelihatan serabai dengan muka penuh air mata.

Mustaqim duduk disebelahnya sebelum memeluk erat gadis itu.

"M-Mus." Tersekat-sekat suara itu memanggil namanya. Suara juga menjadi serak akibat banyak menangis.

"Ya, Mus ada kat sini. Ji jangan risau, Mus akan sentiasa ada di sisi Ji."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience