BEG pakaian yang dibimbit dibawa masuk ke dalam biliknya yang sudah ditinggalkan selama lebih kurang 4 bulan. Siapa sajja yang tak rindukan tempat berteduh? Jujur Zinnirah katakan, dia rindu rumah ini tapi ketakutan menguasai diri. Tapi, selepas apa yang dia saksikan di taman tasik, Zinnirah bertekad untuk kembali ke rumah itu.
Dia perlu tahu kebenaran.
"Mama..." Tegur Zinnirah apabila melihat ibunya yang memotong bahan memasak. Mungkin itulah rutin hariannya setelah Zinnirah meninggalkan rumah itu.
Ada saja hari yang Zinnirah memasak untuk keluarganya dan dihantar ke rumah itu tanpa diketahui oleh mamanya. Diam-diam bergerak lebih baik daripada mendengar bebelan berdarah ibunya.
"Mama..." Sekali lagi nama itu diseru. Tubuh tua itu didekati dengan darah gemuruh yang mula menyerbu seluruh badan.
Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan syurganya, namun Zinnirah tidak dilayan. Puan Khalidah hanya buat toya saja dan meneruskan perbuatannya di meja dapur itu.
"Ji nak minta maaf sebab lama tak balik. Ji...dah dapat keputusan SPM hari ni, mama. Ji dapat 8A, ma. Walaupun tak setara Mus, Ji harap mama suka dengan keputusan Ji." Tersungging senyum kecilnya apabila memberitahu mama akan hal itu.
Sedikit saja yang dia mahu, hanya perkataan 'tahniah' dan 'mama bangga' yang dia mahu dengar.
Besar sangatkah harapan daripada seorang yang kerdil ini?
Besar sangatkan impak ayat itu kepada seorang Zinnirah?
Ya, sangat besar. Luka di jiwanya mungkin akan sembuh dengan kata-kata itu. Dia hanya mahukan secebis kasih sayang daripada manusia bernama ibu, susah sangatkah buat insan sepertinya?
"Kalau kau tak balik lagi baguslah."
Zap. Menusuk terus ke jantung.
Senyuman yang terukir tadi mula menghilang. Bibir bawah diketap. Tangan disisi, jari dikuis dengan kuku berkali-kali.
"Maaf sebab tak balik, ma." Perlahan suara itu berkata.
"Aku tak pernah nak kisah pasal kau, kau nak gagal SPM tu pun aku tak nak ambil tahu. Kau nak buat apa pun lantak kau lah. Aku malas nak ambil tahu!" Wajah gadis itu dijeling dengan hujung mata.
"Kau balik sini, kepala aku terus serabut. Kau tak menenangkan hati aku langsung, Zinnirah. Aku tak boleh tengok muka kau, kau faham tak?" Sambungnya lagi. Terpisat-pisat Zinnirah mendengar luahan itu.
Allah Tuhan, apa salahnya?
Lengan Zinnirah ditarik sebelum pisau ditangan diletakkan pada tapak tangan gadis itu. Terhiris sedikit kulitnya namun Zinnirah hanya menahan desis daripada terpacul.
"Tapi ada bagusnya kau balik, pergi masak sekarang. Jangan tahu habiskan beras aku saja." Perli Puan Khalidah sebelum dia berlalu dari dapur dan menuju ke ruang tamu.
Zinnirah mengeluh kecil sebelum luka berdarah di tapak tangan dilihat tanpa perasaan. Pisau diletakkan kembali ke atas meja.
Singki ditujui dan dibasuh luka itu, berkerut dahinya menahan pedih. Ditekan kuat tepi luka untuk mengeluarkan darah yang masih meleleh. Dalam masa yang sama, gigi diketap kuat menahan geram.
Ah, nak saja dia tekan isi dagingnya kalau boleh!
Paip air ditutup sebelum senyum kecil tergaris dihujung bibir. Kedua-dua belah tangan ditekan kuat di hujung singki. Darah turut meleleh turun ke dalamnya.
Sampai bila-bila pun dia akan benci kau lah, Zinnirah. Bodoh!
-----
"Assalamualaikum tuan rumah!" Suara yang memberi salam itu menghentikan tindakan Zinnirah daripada terus mengacau gulai ayam beserta kentang itu.
Api dapur ditutup sebelum tudung yang tersangkut ditarik dan dipakai. Pintu utama ditujui sebelum dia tersenyum lebar melihat gerangan yang sibuk mengeluarkan barangan dari dalam kereta.
"Waalaikumsalam Kak Zu! Rindunya!" Terus dipeluk kuat tubuh genit kakak iparnya itu. Rindu sangat!
Bayi lelaki yang berusia 6 bulan dalam kendongan Zulaikha diambil dan dicium pipi gebu itu. Bulu mata yang melentik disertai mata yang bersinar akan mengikat sesiapa saja yang memandangnya buat kali pertama.
Itulah dia Ahmad Zarif, anak buah kesayangan Zinnirah.
"Zarif rindu mak cu tak? Hah, Zarif rindu mak cu tak?" Anak kecil itu diagahnya dengan wajah ceria. Sofa didekati dan punggung dilabuhkan di situ. Segala jenis agahan sudah dikeluarkan untuk bermain dengan anak kecil itu.
"Zarif anak pak ngah! Rindunya pak ngah kat Zarif ni." Entah dari mana, Mustaqim terus melompat duduk di sebelah mereka sebelum dengan lembutnya mengambil Zarif daripada dukungan Zinnirah.
"Auw cak! Tuuu cak!"Â
Zinnirah hanya tergelak besar melihat wajah buruk Mustaqim yang cuba mengacah Zarif.
Bukan hanya Zinnirah, Zarif turut mengekek ketawa sehingga terlihat gusinya yang masih bersih tanpa gigi.
"Seronok ya dia duduk dengan pak ngah? Mak cu pergi tolong ibu dan abah Zarif dulu okay. Bye bye." Sekali lagi pipi tembam itu menjadi mangsa bibirnya.
Geram!
"Bye bye mak cu." Mustaqim melambai Zinnirah menggunakan tangan Zarif yang dengan ketawa cerianya. Bahagia tanpa masalah.
Zinnirah turut melambai sambil tersengih lebar.
"Abang, tak habis lagi ke keluarkan barang tu?" Zhafran dan Zulaikha didekati sebelum kepalanya dijengah ke dalam kereta.
"Ji, sini."
"Kenapa?"
"Masuklah dulu dalam kereta."
Arahan diikuti. Pintu bahagian belakang dibuka dan ditutup dengan perlahan.
"Kenapa bang, kak?" Dahi mula berkerut pelik.
"Nah. Tahniah atas keputusan SPM adik!" Satu kotak besar yang berbalut diserahkan kepada Zinnirah. Terus terkedu gadis itu melihatkan saiznya.
Jari naik menutup mulut.
"Abang, kak... Terima kasih!" Zinnirah menjerit gembira. Dia teruja. Ini kali pertama dia mendapat hadiah sebesar ini.
Kotak diletakkan disebelah sebelum tangan abangnya disalam penuh syahdu dan mendapat balasan usapan di kepala. Zulaikha turut disalamnya dengan hati yang sangat gembira.
"Eh itu baru hadiah daripada abang. Sekarang, ni hadiah daripada akak. Tahniah, Ji!" Sebuah beg kertas berwarna coklat dihulurkan kepada gadis itu yang tidak henti senyum.
"Ya Allah, terima kasih akak. Terima kasih sangat-sangat!" Wajah pasangan suami isteri itu dipandang dengan penuh ikhlas. Dia sangat menghargai jasa mereka kepadanya.
"Sama-sama kasih, Ji. You deserve it. Lepas ni dah masuk alam universiti, dah kurangla masa kita nanti." Kata-kata Mustaqim itu dipersetujui oleh Zulaikha.
"Terima kasih sekali lagi akak, abang. Ji hargai sangat. Ji janji, Ji akan jaga hadiah yang abang dan kakak beri dengan baik, sama seperti Ji jaga nyawa Ji sendiri." Omongan penuh semangat Zinnirah itu mendapat tawa kecil daripada mereka berdua.
Haihlah si adik, kenapa polos sangat.
"Mana Mus punya hadiah? Kenapa Ji saja yang dapat?" Entah dari mana lelaki itu muncul di tepi tingkap Zinnirah. Terus terlompat kecil gadis itu akibat serbuan tanpa salam Mustaqim.
"Sudah semestinya ada, meh sini masuk. Ji, adjust sikit kotak Ji tu." Kata Zhafran sambik tersenyum kecil.
Dia sudah masak sangat dengan perangai adiknya yang itu.
"Yeay ada juga! Ingatkan abang dan akak dah lupakan Mus." Mulut itu memuncung panjang sambil menutup kuat pintu kereta.
"Mana boleh lupa, awak tu adik abang juga. Tiada pilih kasih antara kita. Jadi nah, tahniah atas keputusan semua A wahai Mustaqim!"
"Arrr terima kasih abang! I love you so muchhhhhh!"
Bergegar kereta itu akibat keterujaan Mustaqim dan Zinnirah hanya mampu menutup telinganya. Bingit betul suara Musatqim!
Share this novel