TIGA hari Zinnirah ditahan di hospital dan hari ini buat pertama kali Mustaqim ponteng sekolah kerananya.
Mereka masih belum mendapat pengesahan tentang sakit Zinnirah. Pelbagai ujian dan biopsi telah dilakukan dan sekarang mereka hanya perlu menunggu keputusan ujian itu.
Jujur, hati Zinnirah berdegup kencang. Dia takut tapi air mukanya cuba dikawal.
"Zinnirah, masih tak nak bagitau siapa yang pukul Ji?" Mustaqim bertanya buat kali yang entah keberapa.
Zinnirah hanya menjongketkan bahu tanda tidak mahu membuka mulut perihal itu. Sesekali kepala yang gatal digaru dengan tangan kiri. Tangan kanannya sudah bengkak dek kerana branula ini.
Mustaqim hanya menjeling tajam adiknya yang selesa berbaring di katil seperti tiada apa-apa masalah. Apa yang susah sangat nak buka mulut ni?
"Kenapa Ji tak nak cerita? Haritu, tinggal Ji dan mama je dalam rumah. Mama ke yang pukul Ji? Tell me the truth." Gesa lelaki itu sekali lagi.
"Tak ada apa yang Ji perlu cerita. Ji jatuh sebab tu lebam. Kaki luka sebab Ji terpijak kaca yang Ji terpecahkan. Ada puas hati, Encik Mustaqim?"
"Mus tak sebodoh itu Zinnirah. Mus tak bodoh sampai tak reti nak bezakan lebam sebab jatuh dan birat akibat kena pukul."
"Tak apa kalau Ji tak nak cerita, petang ni Mus ajak abang ke balai untuk buat laporan polis. Rekod kesihatan Ji dah ada, cuma nak kena cari bukti je kat rumah tu." Terus Zinnirah terasa darahnya naik menyerbu otak mendengar ayat Mustaqim.
"Mus, janganlah..."
"Dia guna... kayu hoki?" Muka Zinnirah sudah berubah rona.
"Hah?" Dia cuba buat-buat blur.
"Dia pukul Ji guna... guna kayu hoki, kan?"
"Mana Mus tahu?"
"Jadi betullah apa yang Mus jangka? Mama pukul Ji dengan kayu hoki Mus!" Bagai mahu terhenti degup jantung mendengar persoalan Zinnirah.
Kayu hokinya yang terdampar di tengah bilik stor demikian hari terbayang di depan mata. Liur yang ditelan terasa berpasir. Kayu hokinya yang menyebabkan Zinnirah sakit.
Dia tahu betapa kerasnya kayu itu jika menghinggap badan. Dia pernah terkena pada bahagian betis kering, sudah menggelepur kesakitan. Apatah lagi Zinnirah, yang dipukul di tengah belakang dan yang mengguris hati Mustaqim, Zinnirah itu perempuan. Bagaimana bisa dia menanggung sakit itu seorang diri?
"Mus, janganlah macam ni." Zinnirah cuba bangun dari tidurnya dengan bersusah payah. Lengan Mustaqim dipegang dengan wajah yang tidak dapat digambarkan. Mata mereka bersabung tepat.
"Jangan apa, Zinnirah? Jangan apa?"
"Janganlah buat report polis, mama tak ada niat pun nak buat macam ni. Ji yang buat mama marah, Ji yang bersalah dalam hal ni, Mus. Jangan report polis, Mus. Please, Mus." Kedua-dua tangannya menggenggam erat lengan lelaki itu. Terasa panas telapak tangan itu pada kulit Mustaqim.
"Do you have death wish?"
"Hah? Apa Mus ni, tak fahamlah."
"Nak tunggu diri sendiri tu mati dulu ke baru nak buat report?" Pedas ayat itu menikam jantung Zinnirah.
"Tapi... Itu mama kita. Ji sebagai tak sanggup nak sumbat mama sendiri dalam penjara."
"Walau apa pun yang mama buat, Ji akan cuba butakan mata, pekakkan telinga. Kasih Ji sebagai anak terhadap mama masih ada. Walaupun mama tak pernah sayang Ji, Ji takkan sanggup nak buat laporan itu terhadap mama. Mus, tolonglah faham. Dia mama kita, Mus. Kita masih bersekolah, kita masih perlukan mama." Sayu suara itu masih tidak mampu memadamkan amarah Mustaqim.
"Ji orang yang paling bodoh Mus pernah kenal." Tangannya dilepaskan daripada genggaman Zinnirah. Mata sudah ditancapkan pada pintu masuk, wajah itu sudah tidak sanggup dilihat.
"Takkan Mus tak sayang mama? Sampai sanggup nak buat report semata-mata kerana Ji?"
"Sebab Mus sayanglah, Mus nak hentikan semua ni. Mus tak nak mama tercalit dengan dosa dan hidup dalam bayang-bayang dendam. Pada masa yang sama, Mus tak nak Ji sakit. Faham ke tak, Zinnirah?" Ternaik suaranya apabila geram sudah menguasai diri.
"Faham tapi tolong, jangan buat report pasal ni, Mus. Kita selesaikan luar balai, inikan hal keluarga kita." Pujuk Zinnirah.
"Suka hati kau lah." Dia sudah penat bercakap dengan perempuan yang asyik nak menang.
"Maafkan Ji, Mus."
"Stop talking." Arah Mustaqim, tegas. Dia cuba untuk menenangkan diri sendiri. Dia cuba untuk bertahan daripada meletup kepada adiknya sendiri.
Suasana dalam bilik itu menjadi semakin sunyi. Hanya bunyi riuh di luar bilik yang menyapa halwa telinga mereka berdua.
Zinnirah berasa bersalah dan Mustaqim yang berasa marah.
Hembusan nafas Mustaqim yang kuat menyedarkan Zinnirah daripada lamunannya. Dia bingkas bangun dan meluru ke arah pintu. Mustaqim mahu keluar, dia mahu tenangkan diri.
"Nak pergi mana?" Suara itu menghentikan langkahnya.
"Cari ketenangan." Jawabnya ringkas sebelum terus keluar dari bilik itu tanpa memandang langsung wajah lesu itu.
Zinnirah mengeluh perlahan dengan situasi itu. Salah aku ke?
Badan cuba dibaringkan kembali ke katil. Sakit tapi digagahi jua. Sesekali desah kesakitan terluncur keluar dari bibir kering itu.
Tangan yang berjarumkan branula itu diangkat separas mata. Darah yang masuk ke dalam sodium chloride itu menyebabkan warnanya menjadi lembut dan cantik. Jemarinya yang bengkak juga sudah surut, sendi yang sakit semakin berkurang dan ruamnya turut menghilang sedikit demi sedikit. Namun, demamnya masih tidak kebah.
Zinnirah tersenyum kecil. Allah uji kerana Allah sayang. Allah uji kerana Allah tahu kau mampu, Zinnirah. Hadaplah dengan hati yang tenang, abaikan amarah Mustaqim itu.
Siling hospital ditatap lama. Dia bosan berada di hospital ini. Kalau ada jiran dalam bilik ini, boleh juga dia bersembang. Ini tidak, hanya dia seorang dalam bilik yang besar ini.
Terkedip-kedip mata itu bagai memikirkan sesuatu. Bagaimana dia nak menghadap mamanya apabila dia dibenarkan pulang nanti? Liur yang ditelan terasa kelat. Memikirnya saja sudah mengecutkan ususnya.
"Assalamualaikum, Zinnirah." Salam yang diberi itu mengejutkan diri yang masih tenang memandang siling. Dia terus bangun untuk duduk apabila melihat doktor yang bertudung merah jambu iti senyum kepadanya.
Rambut separas pinggang yang serabai ditolak ke belakang. Getah rambut tak ada, dia serabut.
"Waalaikumsalam, doktor." Senyuman kecil turut diberikan kepada doktor muda itu. Dari pengamatan Zinnirah, doktor yang bertanda nama Liza untuk mungkin dalam lingkungan umur pertengahan 30-an.
"Boleh saya duduk?"
"Eh, duduklah doktor."
"Saya Doktor Nor Liza, bermula pada hari ini sayalah yang akan consult awak. Jadi, salam perkenalan daripada saya." Sejurus itu, tangannya dihulurkan ke arah Zinnirah untuk bersalaman. Tanpa berlengah, Zinnirah turut menyambut huluran itu dengan senyuman.
Gadis itu sangat murah dengan senyuman. Cukup manis untuk dirinya yang sangat manis.
"Hadir saya di sini nak terangkan pada Zinnirah bahawasanya keputusan ujian awak sudah keluar."
Kertas daripada sambul coklat itu dikeluarkan dan diletakkan ke riba Zinnirah. Zinnirah hanya memerhati kertas tanpa memahami apa-apa. Apa yang dia nampak dan faham adalah perkataan 'positif'.
Jantung berdegup laju. Apa yang positif?
"Saya... sakit apa, doktor?" Tanyanya dengan bersusah payah. Hati cuba ditenangkan. Berita yang bakal dia dengar daripada mulut Doktor Liza sama ada mampu meruntuhkan jiwanya atau membahagiakan hatinya.
"Daripada keputusan biopsi, awak disahkan menghidapi SLE, Systemic Lupus Erythematosus."
"SLE? Saya tak faham, doktor." Zinnirah tertawa kecil, cuba menutupi rasa takut yang mula menyelubungi diri.
"Awak tahukan, setiap sistem manusia ada antibodi sebagai benteng pertahanan terhadap virus dan bakteria. Untuk mudah faham, antibodi ni macam askar yang lawan musuh jahat dalam badan kita."
"Tapi SLE ni adalah penyakit auto-imun di mana sistem imun badan kita yang serang tisu sehingga menyebabkan keradangan pada organ. Dan ia juga boleh menyebabkan kerosakan sel tisu pada beberapa organ yang diserang. Untuk Zinnirah lebih faham, saya akan bagi contoh iaitu askar tadi yang mempertahankan dan melawan musuh jahat kini bertukar arah. Kali ini, mereka menyerang pihak sendiri dan bukannya musuh. Jadi di sini, ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk pada pihak kita dan bukannya pihak musuh. Setakat sekarang boleh faham ke, Zinnirah?" Tanya Doktor Liza, lembut. Dia perlu terang dengan lembut dan padat untuk memahamkan gadis di depannya ini.
"Faham." Bait suara sudah kedengaran lain.
"Okay baik, jadi saya nak Zinnirah fokus dengan apa yang bakal saya sampaikan selepas ini. Ia sangat penting untuk Zinnirah ambil tahu. SLE ini sangat bahaya kerana dapat merebak ke organ yang lain dan yang paling teruk boleh menyebabkan kematian. SLE ini juga akan menjejaskan beberapa sistem tubuh Zinnirah iaitu kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf dan juga otak."
"Penyakit ini sangat gemar menyerang pesakit perempuan yang berumur antara 15-45 tahun. Pendedahan kepada cahaya matahari dalam jangka masa yang lama sangat tidak digalakkan. Sinaran UV agak berbahaya kepada pesakit SLE kerana sistem kulit juga boleh diserang. Jadi, Zinnirah perlukan rawatan lanjut untuk mengawal SLE. Dan apa yang saya boleh katakan, SLE Zinnirah telah serang bahagian sendi. Jangan risau, kita masih boleh rawat dan kawal." Kata Doktor Liza sambil tersenyum kecil melihat wajah Zinnirah yang sudah tidak seceria tadi.
"Saya boleh sembuh, kan doktor?" Mata mereka bertembung dengan penuh harapan.
Doktor Liza terus mengusap rambut panjang itu.
"Maaf, pesakit SLE tidak dapat sembuh sepenuhnya. Kita hanya mampu mengawal dan berikan rawatan tapi untuk sembuh itu, memang tiada lagi setakat berpuluh tahun penyakit ini dikaji."
"Tiada bukan membawa maksud mustahil, kan doktor?" Tanya Zinnirah dengan mata yang berair.
"InshaAllah, saya akan bantu awak." Bagi Zinnirah, jawapan itu tidak menjawab kepada persoalannya.
Terus terhambur air mata yang ditahan sejak tadi. Rambut ditarik ke hadapan untuk menutup muka yang sudah basah dengan air mata.
Derap kaki yang keluar masuk itu diabaikan oleh Zinnirah. Biarlah, biarkan saja dia dipengaruhi oleh emosi.
Esakan mula kedengaran. Hatinya hancur lebur akan berita itu. Susah untuk dia terima penyakit ini. Dia masih muda!
Tiba-tiba terasa katilnya dihenyak sebelum badannya terasa ditarik ke dalam pelukan seseorang. Bau ini, dia kenal bau ini.
"Mus dah dengar semuanya. Menangislah kalau itu yang Ji rasa sekarang. Luahkan, Mus mampu dengar semua luahan Ji." Rambut adiknya ditolak ke belakang sebelum kembali dirapatkan ke dadanya.
Terhinggut-hinggut bahu itu menangis meluahkan rasa sedihnya. Tepi baju Mustaqim digenggam erat dengan tangan yang menggeletar.
"Kenapa Ji..."
"Kenapa Ji yang dapat penyakit ni, kenapa Ji?!"
"Ji muda lagi, masih banyak benda yang Ji nak buat! Kenapa Ji, Mus! Kenapa, Ji?!"
Dada Mustaqim ditumbuk berkali-kali oleh Zinnirah. Mindanya berada di bawah paras kewarasan.
Mustaqim hanya membiarkan tanpa berkata apa-apa. Setiap butir ayat Doktor Liza masih melekat dalam ingatannya. Dia sudah dengar semuanya. Belum sempat pun dia pergi menenangkan diri, dia ternampak kelibat doktor masuk ke dalam bilik adiknya. Jadi, dia berpatah balik.
Runtun hatinya mendengarkan penerangan daripada Doktor Liza itu tadi. Kalau dia yang mendengar pun sudah sakit, apa lagi Zinnirah yang mengalaminya? Mesti teruk jiwanya dibantai dengan takdir Allah.
Sesekali belakang Zinnirah diusap perlahan oleh Mustaqim. Habis basah bajunya dek kerana air mata seorang gadis yang berat ujiannya.
Mata dikerdipkan beberapa kali menahan rasa sebak. Dia perlu kuat untuk Zinnirah.
"Mus sayang Ji, Mus akan ada dengan Ji."
Makin kuat tangisan dan esakan itu setelah Mustaqim mengeluarkan ayat itu.
Sabarlah Zinnirah, ini ujian yang mampu dihadapi. Sebab itu, Allah bagi pada Zinnirah kerana Zinnirah seorang yang kuat.
Ayat itu hanya mampu diluahkan dalam hati. Waktu sekarang, pujukan tidak akan menghasilkan apa-apa selain amukkan.
Jadi, berdiam diri dan mendengar luahan serta tangisan Zinnirah adalah lebih baik bagi Mustaqim.
Share this novel