BAB 20

Drama Completed 23008

PASANGAN mempelai yang bersanding di atas pelamin itu diperhati dari dengan hati yang gembira. Cantik bagai pinang dibelah dua. Pandai abangnya memilih isteri. Sudahlah cantik, solehah pula tu. Untung dunia akhiratlah abangnya nanti.

"Ji, tolong refill lauk di khemah perempuan." Teguran daripada salah seorang mak cik rewang itu menyedarkan Zinnirah daripada terus-menerus memerhatikan abang dan kakak iparnya.

"Baik, mak cik." Kaki terus melangkah ke arah khemah perempuan. Tray lauk didekati untuk dilihat lauk apa yang sudah habis.

Gulai daging batang pisang. Laku betul lauk itu.

Dengan langkah yang laju, kakinya menuju ke bawah bangsal. Periuk besar yang boleh memuatkan kanak-kanak berusia 10 tahun itu didekati. Penutupnya dibuka, dan baldi diisikan penuh dengan lauk gulai itu.

Hati-hati kaki itu melangkah ke arah khemah perempuan dengan membawa sebaldi gulai daging batang pisang. Dengan penuh hemat, lauk itu dituang dengan perlahan. Tidak meluru jatuh dan tumpah sehingga mengotorkan kain yang melapiki meja.

Tetamu mengucapkan terima kasih kepadanya. Zinirah hanya tersenyum dan membalas dengan sopan. Tetamu bahagia, dia pun tumpang bahagia sekali.

Baldi diletakkan kembali ke tempat yang asal. Sesekali bahagian pembasuhan pinggan dan gelas dilihat. Bahagia sekali anak-anak lelaki mencuci pinggan tanpa disuruh.

Seronok jadi kanak-kanak.

Tak perlu susah hati nak fikirkan masalah hidup. Main air seperti itu saja dah boleh gelak sampai kejang otot perut.

Senyuman kecil tersungging di bibir yang hanya bercalit lip balm itu.

"Ji!" Teguran daripada suara yang lama dia tidak dengar itu terus mengalihkan pandangannya. Terus mata itu bersinar hebat.

Anis dan Atikah!

"Korang, terima kasih datang. Lama tak jumpa!" Kedua-dua rakannya didekati dan dipeluk lengan.

"Kau lah lama tak datang sekolah. 3 minggu kau cuti, pergh seronoklah." Kata Anis bagi membalas percakapan Zinnirah.

Zinnirah hanya tersengih. Mereka tidak tahu dia sakit. Mungkin tak tahu.

Lengan kedua-dua rakannya ditarik mendekati bahagian lauk.

"Ambillah makanan dulu, aku tunggu di meja sana. Nanti kita sembang, okay?" Kata Zinnirah sebelum meninggalkan kedua-dua belangkas itu.

"Kerusi di meja kosong itu ditarik dan diduduki oleh Zinnirah. Matanya melilau memandang sekeliling sebelum tertancap pada Mustaqim dan juga geng hokinya.

Seronok betul mereka bersembang dan ketawa, dengar sampai ke meja Zinnirah. Gadis itu tersenyum kecil apabila bertentang mata dengan salah seorang rakan Mustaqim yang dia tidak tahu namanya. Pandangan dialihkan apabila Anis dan Atikah tiba dengan makanan yang penuh dengan lauk.

"Banyaknya lauk kenduri rumah kau ni, Ji. Aku tak tahu nak pilih sampai aku kaut semua jenis lauk." Kata-kata Atikah itu menyebabkan Zinnirah melepaskan tawa. Atikah ini, ada saja ayat yang boleh mengeraskan perutnya.

"Bukan selalu buat kenduri, tetamu berpuas hati, aku pun seronok." Jawab Zinnirah apabila tawanya hilang.

"Kau cakap macam ni kenduri kau pula, Ji." Kata Anis sambil membawa dua gelas air. Satu untuk dirinya dan satu untuk Zinnirah. Atikah? Pandai-pandai dia hidup.

"Ji, aku ada nampak bihun sup dengan pengat labu tadi. Pergh, meriah. Lepas makan nasi, aku nak makan tu pula." Atikah tidak habis-habis membicarakan tentang makanan. Makanan dan Atikah tidak dapat dipisahkan.

"Ha makanlah banyak-banyak, kalau motor aku tak gerak jap lagi, kau balik jalan kaki eh Atikah." Usik Anis.

"Biarlah dia nak makan, Anis. Bukan selalu." Tegur Zinnirah.

Jeda.

Mereka berdua khusyuk makan tanpa mengalihkan pandangan. Zinnirah hanya menyisip sedikit air dan matanya melilau kembali ke arah seluruh khemah.

"Ji, kau sakit teruk ke sampai seminggu kena tahan di hospital?" Tanya Atikah setelah sekian lama.

"Macam mana boleh tahu aku kena tahan di hospital?" Tanya Zinnirah semula.

"Mustaqim bagitahu guru kelas yang kau sakit, masuk hospital. Dapat cuti seminggu." Jawab Atikah. Anis hanya memasang telinga sambil menikmati makanannya.

"Teruk jugalah tapi sekarang dah okay, alhamdulillah. Jangan risaulah, aku kan sado." Zinnirah cuba menceriakan suasana.

"Kalau dah okay, alhamdulillah. Harapnya kau kekal sihatlah. Bosan tahu aku duduk berdua je dengan si Atikah ni. Dahla dia suka cakap tapi tak jumpa titik. Pening kepala aku." Ujar Anis sebelum mendapat tamparan padu Atikah di lengannya.

"Aduh, sakitlah!"

"Kau yang cari pasal."

"Aku cakap benda betul."

"Eh, dah dah. Jangan gaduh, malu kat orang oi." Zinnirah mengambil langkah selamat dengan menegur dua orang ni. Kang sampai ke maghrib esok hari pun, mereka akan tetap bergaduh.

"Nasib Ji halang, kalau tak aku ganyang kau." Kata Atikah lalu sambung mengunyah.

Zinnirah hanya menggelengkan kepalanya.

Haih, pening-pening.

-----

"Mus, adik kau senyum kat aku doh." Kata Acap dengan mata yang masih memandang wajah Zinnirah. Gadia itu kelihatan sungguh ayu walaupun sedang bersembang dengan rakannya.

"Oi, dahlah usyar adik aku. Aku cucuk mata kau guna garpu ni karang." Tegur Mustaqim selepas melempang perlahan pipi Acap.

"Aduh, sakitlah abang ipar."

"Apa kau kata?"

"Abang ipar." Sengihan ditayang di hadapan Mustaqim.

"Kau nampak ni, berterabur gigi kau kalau aku tahu kau kacau adik aku." Amaran diberi dalam gurauan. Mustaqim serius dengan kata-katanya, dia tak nak skuad hoki itu mengganggu adiknya, Zinnirah.

"Garanglah kau, takkan nak kenal pun tak boleh?" Kata Acap sekali lagi.

"Betul tu, takkan tak boleh, Mus? Kitakan member." Dani cuba masuk jarum.

"Member tak member. Zinnirah adik aku dan aku perlu protect dia daripada orang macam korang ni ha. Bahaya." Jujur Mustaqim berkata.

"Aduh, tak fun lah kau ni, Mus!" Pasukan hoki yang lain hanya menganggukkan kepala, bersetuju dengan jawapan Dani.

"Kita nak fun benda lain aku okay tapi tidak dengan Zinnirah. Dia, nyawa aku. Get it?" Kata Mustaqim sebelum menepuk bahu Dani dan Acap.

"Overprotective brother."

"Of course, I'm her protective and handsome brother." Mustaqim riak memuji diri.

"Ei, dahlah Mus. Kembang tekak aku dengar ayat kau." Kata Dani sebelum mereka bersahutan ketawa. Gelak seperti tiada masalah hidup.

Bahagia dengan sahabat.

"Mus, family kau ajak ambil gambar." Tepukan di bahunya oleh cucu Nek Siah itu mematikan tawanya.

"Okay, bro. Kejap lagi aku datang." Balasnya kepada lelaki itu.

"Geng, aku undur diri kejap. Korang makanlah sampai kenyang. Banyak lagi lauk tu." Kata Mustaqim sebelum bangun dan menuju ke arah Zinnirah yang masih seronok bersembang dengan dua gadis yang lain.

"Ji, jom ambil gambar. Abang dah panggil." Teguran itu menyebabkan mereka tersentak seketika.

Mata Atikah terus terpana pada Mustaqim yang berbaju melayu biru gelap dan bersamping hitam emas. Sama warna seperti Zinnirah, biru gelap. Ya Allah, indahnya ciptaan Tuhan.

"Alamak, tapi muka Ji tak siap ni Mus. Tadi, kelam kabut buat kerja, tak sempat nak tempek bedak. Sempat pakai sunscreen je."  Gelabah Zinnirah berkata. Dia merasakan, mukanya berminyak dek kerana berpeluh melakukan kerja sejak pagi tadi.

"Okay je, jom."

"Kejaplah Mus. Nanti buruklah gambar." Lengan lelaki itu ditarik.

Mustaqim menjongketkan kening sebelum dia menarik kerusi untuk duduk di sebelah Zinnirah.

"Kau ada bedak dengan lipstick?" Tanya Mustaqim kepada kedua-dua kawan Zinnirah.

"Ada!" Laju Atikah menjawab.

"Pinjam jap."

Laju Atikah menyelongkar beg tangannya. Compact powder dan lip matte dikeluarkan. "Nah."

"Sini." Wajah Zinnirah dipegang, bekas bedak dibuka dan disapukan menggunakan span ke seluruh wajah itu.

"Mus—"

"Sit still, nanti buruk muka Ji." Berkerut-kerut dahi itu melarikan span itu ke muka adiknya. Lip matte dicapai dan dicalit sedikit di bahagian kelopak mata dan pipi lalu terus disapu menggunakan jarinya.

Akhir sekali, bibir pucat Zinnirah disapu dengan lip matte Atikah.

"Dah siap." Dua perkataan itu menyebabkan Zinnirah membuka matanya. Cermin di bedak itu ditilik, dia takut wajahnya bertukar mencari seperti ahli opera cina.

Senyuman mula terukir apabila melihat hasil seni Mustaqim.

Cantiklah pula.

"Cantik tak?"

"Cantik, nasib tak buruk. Mana Mus tahu cara make up ni?"

"YouTube. Dah jom cepat, nanti mama bising." Lengan gadis itu ditarik untuk bangun.

"Terima kasih Atikah, aku pergi sana kejap. Bye." Laju kaki itu melangkah untuk menyamai langkah panjang Mustaqim.

Atikah dan Anis masih terkesima dengan adegan itu.

"Tik, kau dengar dia cakap apa tadi? Dia tengok tutorial make up di YouTube?" Tanya Anis yang masih kekeliruan.

"Ya weh, aku pun terkesima ni. Mustaqim ni memang luar jangkaan betul lah."

"Tapi, Mustaqim hensem sangat tadi weh. Terhenti jantung aku tengok dia make up Ji." Sambung Atikah lagi sambil tersenyum.

"Ha, berangan. Dia tu abang kawan kita tau." Tegur Anis apabila melihat Atikah yang khusyuk melihat bedak dan lip matte yang digunakan oleh Mustaqim tadi.

"Okaylah tu, aku bolehlah jadi kakak ipar Ji nanti." Sengih.

"Tik!"

Dasar manusia gatal!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience