"JI okay?" Tanya Zulaikha apabila melabuhkan punggungnya bersebelahan Zinnirah di ruang menunggu itu. Kepala adik iparnya yang itu diusap perlahan.
Zinnirah hanya menganggukkan kepalanya perlahan bagi menjawab persoalan Zulaikha.
"Akak dah lama sampai? Mana abang?" Leher dipanjangkan untuk mencari kelibat Zhafran dan Zarif, anak buahnya itu.
"Abang tengah selesaikan hal apa entah di kaunter tu." Kata Zulaikha sambil memuncungkan bibir ke arah suaminya yang mendukung Zarif di hadapan kaunter itu.
"Oh."
"Akak sihat?" Tanya Zinnirah sekali lagi, dia cuba membuangkan rasa gelisah dalam hati. Waktu ketika itu sudah menginjak 9 malam namun masih tiada khabar dari mamanya.
Puan Khalidah ditempatkan di wad kecemasan namun masih belum dirawat lagi dek kerana keadaan wanita itu tidak terlalu serius bak kata doktor. Tapi hati Zinnirah tetap berasa gusar, walau apapun yang terjadi, wanita itu tetap ibunya.
"Alhamdulillah, akak sihat. Dia pun sihat juga." Kata Zulaikha sampai tersenyum kecil sambil membawa tangan Zinnirah ke perutnya yang membuncit sedikit.
Terus tersentak gadis itu lalu tersenyum lebar. "Akak mengandung lagi ke?"
Zulaikha hanya mengangguk sebelum tersenyum lebar melihat keterujaan adiknya itu. Bersinar mata itu dengan jawapan Zulaikha.
"Alhamdulillah akak, tahniah! Tak sabarnya nak pegang baby baru!" Gadis itu terus menepuk tangannya tanda teruja.
"Apa yang excited sangat tu, Ji? Mama di dalam tu tengah sakit yang awak tu bertepuk tangan kenapa?" Tegur Zhafran dengan nada lembut namun tetap dapat mengubah riak wajah itu. Matanya mengerling abangnya yang mengambil duduk di sebelah Zulaikha.
"Sorry, abang." Kepala ditundukkan memandang lantai.
"Macam mana boleh jadi begini Ji?" Tanpa menunggu lama, Zhafran terus menyoal gadis itu. Zafir diberikan kepada isterinya sebelum dia mengubah tempat ke sebelah Zinnirah.
Bawah bibir yang membengkak digigit perlahan. Apa yang dia mahu jawab? Perlukah dia jujur dengan Zhafran?
"Abang tanya ni, Ji. Janganlah senyap!" Gigi diketap kuat melihatkan respon adiknya itu.
"Salah Ji. Mama dan baba gaduh. Maaf abang, Ji tak jaga mama dengan baik." Kepala itu masih tunduk memandang ke bawah.
"Gaduh? Mereka gaduh sebab apa?" Berkerut dahi itu mendengarkan jawapan Zinnirah.
"Sebab Ji..."
"Boleh tak terangkan betul-betul. Dari tadi asyik sebab Ji sebab Ji, ingat abang faham ke? Be matured Zinnirah, you're 19 already." Lengan gadis itu digenggam kuat bagai menanahan geram.
Zinnirah terus meringis kesakitan apabila tangannya yang melecur tadi digenggam kuat oleh Zhafran walaupun berlapikkan lengan panjang.
"Abang lepas, sakit." Berair mata itu menahan sakit yang menggila ketika itu. Terketar-ketar kaki itu menahan rasa itu. Sudahlah badannya masih berasa bisa akibat dipukul oleh babanya tadi. Kini ditambah pula oleh cengkaman hebat abangnya.
"Abang takkan lepas selagi Ji tak cerita pada abang apa yang terjadi pada mama!" Ternaik sedikit suaranya apabila melihat Zinnirah itu. Helah apa yang gadis itu cuba mainkan? Cengkamannya itu tidak sekuat mana.
"Baba kahwin lain, dah 19 tahun. Ji kawan dengan anak baba, namanya Atiya. 3 hari lepas Ji bagitahu semuanya pada Atiya tentang keluarga kita. Ati mengadu pada baba, baba marahkan Ji. Pada masa sama, mama terdengar semuanya dan terjadilah pergaduhan itu. Abang tolonglah lepas, Ji sakit." Terang Zinnirah dengan laju dan tangannya berusaha membebaskan cengkaman Zhafran yang terasa makin kuat. Jatuh air matanya ketika itu.
"Baba...baba madukan mama?" Bagai mahu berhenti detak jantungnya mendengarkan ayat Zinnirah itu. Wajah yang sudah penuh dengan air mata itu dipandang sekilas.
"Mana Ji tahu semua ni? Bagitahu abang Ji!" Naik urat ditangannya apabila Zhafran mula mengetatkan genggaman kedua-dua tangannya di lengan Zinnirah.
Gadis itu tidak mampu berkata apa-apa sebelum merasakan dirinya menggigil dengan hebat. Badan mula sejuk dengan kaki bergetar hebat. Hanya sakit yang dia rasakan.
"Abang, sakit." Itu ayat terakhir yang terpacul dari bibir itu sebelum pandangannya menjadi kelam dan hampir jatug daripada kerusi itu namun sempat disambut oleh Zhafran.
"Astaghfirullah, Zinnirah!" Berdegup hebat jantung melihatkan keadaan Zinnirah yang sudah lembik tiada daya itu.
"Ya Allah, kenapa ni bang?" Terdengar suara Zulaikha yang berjalan cepat ke arah mereka. Tadi, dia saja menjauhkan diri daripada suaminya dan Zinnirah kerana mahu memberi ruang kepada mereka. Namun tidak sangka akan terjadi seperti ini.
"Nurse, tolong!" Zhafran terus menjerit kuat sebelum mengendong adiknya. Rasa bersalah menyerbu kerana dia hanya mengikutkan rasa amarahnya tadi dan mengabaikan aduan Zinnirah yang sakit. Dia sangka adiknya hanya berhelah dengan dirinya.
Zulaikha hanya memandang wajah suaminya yang sudah berubah risau. Terus terdetik dalam hatinya, apa yang sudah terjadi antara mereka berdua?
-----
Mata dibuka sebelum ditutup kembali dek cahaya yang menerobos masuk ke dalam matanya. Sekali lagi Zinnirah mencelikkan matanya, memandang sekeliling sebelum mata itu terhenti pada katil sebelah. Wajah mamanya yang tidur itu diperhati lama.
Tangan kiri yang berbalut itu dipandang sebelum mengeluh kecil. Zinnirah bersyukur, tiada branula di tangannya.
"Erghhh!" Zinnirah terus menoleh kembali ke arah katil mamanya apabila terdengar suara itu. Dia terus bangun dari perbaringannya sebelum bergerak dengan berhati-hati ke tepi katil Puan Khalidah.
"Mama." Lengan mamanya disentuh perlahan. Jantung turut berdebar hebat. Risau dengan penerimaan mamanya.
Wajah yang berkerut hebat itu dipandang lama oleh Zinnirah. Mama mimpi apa sehingga berkerut sebegini sekali?
"Mama." Kali kedua mamanya dipanggil dan badan itu turut digoyangkan sedikit.
Terus terbuka mata itu dengan memandang terus ke siling hospital.
"Mama okay ke?" Soalnya sekali lagi sebelum dia berdiam diri apabila dijeling tajam oleh wanita tua itu.
"Air."
"Hah?"
"Kau pekak ke? Aku nak air!" Terasa perit tekaknya yang kering apabila perlu mengulang sekali lagi arahan itu kepada gadis itu.
Gabra. Zinnirah terus menuangkan air ke dalam gelas itu sebelum menghulurkan pada mamanya.
"Straw tak ada ke? Kau nak bagi aku terdedar minum sambil baring?" Apa bodoh sangat perempuan ni?
"Maaf mama, mari Ji tolong mama duduk." Terus diletakkan kembali gelas itu sebelum tangan kanan dibawa ke belakang mama dan tangan kiri memegang lengan Puan Khalidah. Dengan penuh lemah lembut, badan tua itu ditarik.
Seusai itu, gelas disua ke bibir tua itu. Dengan lahap, Puan Khalidah meneguk sehingga habis air kosong itu. Sungguh dahaga dia ketika itu.
"Mama nak lagi?" Tanya Zinnirah lembut. Puan Khalidah hanya menggeleng sebelum kembali merebahkan badannya ke katil. Zinnirah menarik selimut ke paras dada wanita itu.
"Aku sakit apa sampai kena tahan wad?" Wajah gadis muda itu dijeling sedikit.
"Maaf mama, Ji tak tahu." Sungguh dia tak tahu tentang keadaan mamanya apabila dia turut pengsan tadi.
"Anak jenis apa kau ni? Aku hampir mati pun kau tak ambil tahu langsung!" Kata Puan Khalidah dengan nada yang ditahan-tahan. Sungguh dia geram dengan Zinnirah ketika itu.
"Maaf mama, tadi Ji peng—"
"Diamlah! Berambus sana." Terus dia membelakangi Zinnirah yang masih berdiri di samping katilnya. Mata dia pejam rapat. Ada anak pun tak guna, baik dia tidur.
Zinnirah hanya mengeluh perlahan. Kaki digerakkan kembali ke arah katilnya dengan mata yang masih tertancap pada belakang Puan Khalidah.
"Sampai bila mama nak benci Ji?" Soalan itu terpacul di mulutnya apabila dia yakin mamanya itu telah tidur.
"Sampai aku mati!" Kus semangat! Dia fikirkan wanita itu sudah tidur.
Ayat itu berulang kali bermain dalam mindanya dan keluhan kecil terbit di bibir.
Kalau Ji mati dulu, mama tetap benci Ji ke?
Share this novel