BAB 59

Drama Completed 23037

WAYAR yang berselirat di badan dan wajah Zinnirah itu disentuh perlahan oleh Mustaqim. Wajah gadis itu lebam dan luka dek penangan baba mereka. Kepala yang berbalut itu juga masih ada tompok darah yang menyerap. Zinnirah masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tangan gadis itu digenggam lama oleh Mustaqim. Dia cuba menyalurkan kehangatan itu pada Zinnirah. Mana tahu, dia akan sedar selepas itu.

Jemari Mustaqim mula bermain pada lengan gadis itu. Dibawa pada parut lama dan Mustaqim mengusap perlahan hasil torehan si dia dikala kurang sedar. Lengan yang melecur sehingga kulitnya bertukar menjadi tompok yang cerah itu juga disentuh oleh Mustaqim.

"Ji, apa lagi yang mereka dah buat pada Ji? Kenapa sekali pun Ji tak pernah cerita pada Mus? Ji tak percaya Mus ke?" Wajah yang beriak tenang itu dipandang tanpa lepas.

"Bila nak sedar ni Ji? Dah dua minggu Ji tidur, bangunlah. Seronok sangat ke tidur tu? Ke mimpi dapat kahwin dengan anak raja? Agaknya Ji dapat jadi isteri putera raja mana eh? Kalau Prince Mateen, Mus akan bagi restu." Mustaqim tergelak kecil dengan selorohnya.

"Ji, sepatutnya Mus yang beri Ji kejutan 2 minggu lepas. Bukannya Ji yang beri Mus surprise sampai macam ni sekali. Kalau ini salah satu surprise Ji, cukuplah Mus hadap sekali seumur hidup. Mus dah tak nak hadap lagi, Mus nak kita hidup normal macam biasa Ji." Matanya mula berkaca.

"Ji, bangunlah. Mereka akan didakwa minggu depan, Ji. Semua bukti cukup membuktikan mereka bersalah, jadi tolonglah bangun. Ji kena saksikan sendiri orang yang sakiti Ji didakwa. Mus mohon sangat, tolonglah bangun." Kekura tangan Zinnirah dibawa ke pipinya. Sedih mula menyerbu jiwa.

"Ji..." Esak cuba ditahan.

"Doktor cakap...Ji mengandung 4 minggu..." Terus terhambur lagi air mata jantannya. Berita yang dia dengar pagi tadi benar-benar menghancurkan jiwa lelakinya.

Kepala terus ditundukkan dan dahinya melekap pada sisi katil Zinnirah. Terhinjut-hinjut bahunya melepaskan tangis.

Salah apa gadis ini, Ya Allah.

'Ujian yang dia perlu hadapi itu, mendengarkannya saja sudah membuatkan diriku lemah. Bagaimana dia mahu menghadap ujianMu selepas ini, Ya Allah? Bantulah adik aku... Sesungguhnya kami adalah hambaMu yang hina.'

"Ji, bangunlah..." Lengan itu digenggam erat menahan rasa. Semuanya bercampur aduk. Marah, geram, bersalah dan tidak berguna bercampur menjadi satu.

Dia gagal melindungi adiknya sendiri. Mustaqim seorang yang gagal.

"Pergi solat." Tepukan dibahu itu dibiarkan seketika sehingga esakkannya hilang.

Tiada manusia lain yang selalu mengingatinya seperti itu kecuali Absyar.

"Muka dah comot dengan hingus kau, pergi solat sekarang. Dan nak masuk asar." Sekali lagi Absyar memberi arahan kepada lelaki itu.

"Kejap." Air mata dikesat laju dengan tangan. Comot pun comotlah.

"Jagakan dia. Tapi kau duduk sana, jangan duduk tepi ni." Jari ditunjukkan pada sofa di hujung bilik. Mujur saja Zhafran menukarkan Zinnirah ke bilik persendirian ini demi keselesaan gadis itu.

"Aku tahulah, pergi ambik wuduk. Solat."

"Ya, sabarlah."

Absyar terus meninggalkan Mustaqim sebelum bergerak ke hujung bilik. Sofa yang membelakangi Zinnirah dipilih sebelum dia membaringkan badannya yang lenguh.

Mata dipaksa untuk kekal celik walaupun terasa semakin memberat. Diri itu juga seperti Mustaqim, tidak pernah cukup tidur. Namun, dia tidak seteruk Mustaqim yang sudah seperti mayat hidup.

Lama-kelamaan matanya tertutup dengan sendirinya tanpa dia sedar. Kantuknya ketika itu bukan pada tahap yang biasa-biasa.

Bunyi batuk yang berkali-kali masuk ke dalam koklea telinga Absyar menyebabkan lelaki itu terjaga. Mata yang terasa sepet ditenyeh.

"Dah berapa lama aku tidur ni?" Soalnya pada diri sendiri.

Uhuk uhuk!

Mata Absyar terus segar sebelum dia menoleh ke belakang. Suara batuk tadi...Zinnirah?

Lantas, kakinya bergerak laju ke tepi katil hospital. Dada gadis itu kelihatan berombak laju dengan bunyi batuk yang kuat.

"Zinnirah, Zinnirah. Awak boleh dengar saya?" Tanpa memegang gadis itu, Absyar cuba nasib memanggil Zinnirah walaupun tidak tahu dia sedar atau tak.

Mata itu perlahan-lahan terbuka bertembung dengan mata Absyar. Bebola mata itu bergerak ke kiri dan kanan sebelum badannya bergetar hebat. Jantungnya berdegup kencang. Lelaki itu... Zinnirah takut dengan kehadiran Absyar.

Bergoncang katil gadis itu dengan getaran daripada badan Zinnirah. Absyar terus rasa berdebar. Butang dihujung kepala Zinnirah ditekan, mengharapkan doktor akan tiba dalam waktu yang singkat.

"Zinnirah, bertenang. Don't be afraid, saya Absyar kawan Mus. Don't be afraid."

Namun, gadis itu tetap tidak dapat ditenangkan. Absyar sungguh tidak tahu mahu bereaksi bagaimana.

"Encik, keluar dulu ya. Bagi kami periksa cik ni dahulu." Arahan daripada misi itu diikuti. Kaki dilangkah keluar sebelum dia mendudukkan badan pada kerusi di luar. Kepala disandarkan pada dinding.

"Ya Allah, sembuhkanlah Zinnirah..."

"Cad, kenapa kau duduk sini?" Teguran daripada Mustaqim itu terus menyebabkan Absyar berpaling kepada lelaki itu yang sudah kelihatan segar.

"Zinnirah dah sedar. Cuma dia macam trauma bila nampak aku tadi." Ujar Absyar dengan wajah yang kusut.

"Alhamdulillah Ya Allah, alhamdulillah. Sekarang doktor tengah periksa ke?" Soal Mustaqim sekali lagi. Mukanya terus berubah sedikit ceria.

"Ya, ada di dalam."

"Allahuakhbar, Allah makbulkan doa kita Cad. Ji dah sedar, alhamdulillah." Wajah diraup berkali-kali. Mahu saja dia sujud syukur di situ dengan berita yang dia dengar daripada Absyar tadi.

"Encik Mustaqim? Boleh saya cakap sekejap?" Panggilan daripada doktor perempuan itu mematikan perbualan mereka.

Kaki itu melangkah masuk ke dalam bilik Zinnirah untuk mengikut jejak doktor tadi. Matanya turut menjeling Zinnirah yang hanya berdiam diri di atas katil itu. Pandangan hanya dihalakan ke arah tingkap.

"Adik encik menghadapi trauma dengan apa yang telah berlaku pada dirinya. Berkemungkinan besar, trauma dia adalah pada kaum lelaki. Jadi saya nak tanya encik, Cik Zinnirah ada adik beradik perempuan yang lain? Atau mana-mana ahli keluarga perempuan? Mungkin, mereka dapat membantunya serba sedikit." Keterangan daripada doktor itu membuatkan Mustaqim tergamam seketika.

Keluarga perempuan? Hanya ada Kak Zulaikha, isteri abang Zhafran.

"Apa-apa pun, saya harap kita dapat kembalikan semula semangat dia yang hilang. Saya harap encik kekal sabar ya, terima kasih. Saya keluar dulu ya."

"Terima kasih doktor."

Keluhan yang ditahan terlepas perlahan daripada bibirnya. Zinnirah...

Kaki mula melangkah mendekati katil Zinnirah. Muka gadis itu sudah bebas daripada alat bantuan pernafasan.

"Ji... Mus datang ni." Teguran itu membuatkan gadis itu berpaling. Mata mereka bertembung sebelum dada gadis itu kembali berombak hebat.

"Hey, hey jangan takut. Ni Mustaqim, abang Ji. I won't hurt you, I will protect you. Please, don't be afraid." Lengan gadis itu dipegang. Terasa menggigil teruk badan itu.

"Ikut cakap Mus okay. Tarik nafas..." Seraya itu, Zinnirah terus mengikut arahan itu dengan menyedut masuk oksigen ke dalam peparunya.

"...hembus." Dan dia turut melepaskan nafas itu seperti apa yang diujarkan oleh Mustaqim. Langkah itu dilakukan berkali-kali sehingga dia menjadi tenang.

"Ji nak air?" Tanya Mustaqim, dia cuba beramah mesra dengan Zinnirah. Dia tak nak gadis itu takut akan dirinya.

Zinnirah hanya mengangguk. Lantas, Mustaqim menuangkan air ke dalam gelas lalu straw di dalam laci dimasukkan. Hujung penyedut disua di hujung bibir Zinnirah. Dengan perlahan-lahan, Zinnirah menyedut air dengan isipadu yang banyak.

"Dah?" Soalan hanya dibalas dengan anggukkan.

"Boleh Mus duduk sini?" Tepi katil Zinnirah ditunjuk. Dia mahu mendapatkan keizinan daripada gadis itu. Mustaqim tidak mahu kepercayaan yang mula terbina hancur begitu saja.

Zinnirah hanya diam membisu tanpa menjawab.

"Kalau Ji tak bagi, tak apa. Mus tak duduk situ." Sambung Mustaqim lagi apabila gadis itu berdiam diri.

"M-Mus..." Akhirnya, suara yang dirindukan itu masuk ke dalam koklea telinga Mustaqim.

"Ya."

Zinnirah memegang hujung baju Mustaqim dengan tangan yang menggeletar.

"Kenapa Mus lambat? Ji...sakit sangat." Mata yang dari tadi berkaca, kini sudah menjatuhkan air matanya di hadapan Mustaqim. Jujur dia takut. Jujur dia sudah tidak mempercayai sesiapa. Namun bagi dirinya, hanya Mustaqim yang dia boleh percaya.

"Mus minta maaf... Mus minta maaf, Ji." Terus gadis itu dipeluk dari tepi sebelum Mustaqim mengusap perlahan kepala yang masih berbalut itu.

Esakkan yang terbit daripada bibir Zinnirah menyebabkan jiwa lelakinya menjadi sedih. Sebak menyerbu dan mata mula berkaca.

Biarlah orang luar kata dirinya cengeng, mereka tidam rasa apa yang dia rasa sekarang ini.

Ketat dadanya dengan keadaan Zinnirah ketika itu.

Dan bagaimana dia mahu memaklumkan tentang kematian nenek? Dan bagaimana reaksi Zinnirah akan anak di dalam kandungannya itu?

Dia buntu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience