TW: Gangguan seksual
KEREPEK yang sudah siap dibungkuskan dimasukkan ke dalam kotak. Petang nanti Zinnirah akan poskan makanan itu kepada Mustaqim. Bukan hanya kerepek, namun terselit juga beberapa pes yang boleh dimakan terus diberikan kepada lelaki itu. Hasil daripada air tangannya sendiri.
Kalau tak sayang dia lagi, Zinnirah tak tahu mahu kata apa.
Kotak yang sudah siap diletakkan dalam biliknya sebelum dia kembali ke dapur. Mahu memasak menu makan tengah hari.
Rambut panjangnya disanggul tinggi sebelum memulakan proses memotong segala sayuran yang ada di meja makan. Dia bercadang untuk memasak sayur campur dan paprik ayam saja pada tengah hari itu.
Secara tiba-tiba, Zinnirah merasakan rambutnya seperti dimainkan-mainkan. Dia terus berpaling ke belakang sebelum ternampak kelibat baba di belakangnya. Dan lelaki itu mencium rambutnya dengan mata yang tertutup.
Zinnirah yang terkejut terus bangun dari duduknya sambil menelan liur sendiri. Tatapan baba menusuk ke dalam matanya. Tatapan itu lain daripada sebelum ini. Baba menatapnya seperti dia bernafsu kepada dirinya.
Zinnirah menggelengkan kepala, cuba menyingkirkan perasaan negatif yang mula menjalar dalam hatinya.
Hatinya berasa tidak enak.
"Ba.. Baba kenapa?" Tergagap Zinnirah menyoal sambil melangkah satu tapak ke belakang. Setapak juga Encik Alwie mendekat.
Apa kena dengan babanya hari ini?
Kakinya terhenti di tepi singki. Belakang badannya sudah bertemu dengan kabinet dapur. Encik Alwie terus mengambil peluang mengepung anak perempuannya itu sambil tersenyum sinis.
"Baba, apa ni. Jauh sikit, baba." Terketar suara itu kedengaran di telinga baba. Namun lelaki itu mengendahkannya sebelum mendekatkan bibir di tepi telinga Zinnirah.
Gadis itu terkejut sebelum menaikkan bahu ke arah telinga. Tangannya menggeletar. Dada babanya ditolak sekuat mungkin.
Apa ini, Ya Allah.
"Kau bila nak bayar hutang aku, Zinnirah. RM1,500 dari tahun lepas belum langsai." Kedengaran sangat dekat suara itu di tepi telinga Zinnirah.
Mata sudah berkaca apabila terasa tangan tua itu meraba belakangnya.
"Atau kau nak bayar dengan badan kau, hm?" Sejurus ayat itu, Zinnirah menolak kuat tubuh baba dan menyelusup keluar daripada kepungan itu.
"Nan-nanti Ji bayar. Be-beri Ji masa, baba." Jantungnya sudah berdegup laju. Tangannya menggeletar hebat dan terasa sejuk seperti ais.
"Kalau kau lambat, siap kau dengan aku. Lama dah aku bersabar dengan kau ni, Zinnirah." Encik Alwie terus berpeluk tubuh sebelum matanya memandang badan anaknya dari atas ke bawah berulang kali.
"Ji janji ji bayar." Terus Zinnirah berlari ke biliknya dan mengunci pintu.
Encik Alwie hanya tergelak besar sebelum mendekati pintu bilik Zinnirah.
"Kau tak boleh lari mana-mana, aku ni baba kau. Sampai bila-bila tak boleh lari." Pintu diketuk seakan-akan seperti mahu mengusik gadis itu sebelum dia bergerak ke ruang tamu. Sofa empuk ditujui dan televisyen dihidupkan.
Zinnirah yang tersandar di pintu bilik hanya mampu menekup kuat bibirnya. Tidak mahu sebarang bunyi dikeluarkan oleh bibirnya itu walaupun pipi sudah basah dengan air mata.
Lutut terasa lembik sebelum dia jatuh terduduk. Dia mula merangkak naik ke atas tilamnya sebelum telefon dicari. Esakan kecil mula kedengaran.
Nombor Mustaqim dicari dan didail.
Kali pertama, tidak berangkat.
Kali kedua juga begitu.
Kali ketiga turut masuk ke dalam peti simpanan suara.
Dan akhirnya, kali keempat panggilannya dijawab.
"Hello, Mus..." Esakannya mula kuat. Dia mahu Mustaqim ada dengannya di sini.
"Mus...tolong Ji."
-----
Absyar Abid mula mengeliat kecil apabila tidur nyenyaknya diganggu oleh ringtone kawan sebiliknya.
Mata ditenyeh dan cuba dibuka apabila deringan itu sudah masuk kali ketiga berbunyi. Absyar terus bangun dari perbaringan sebelum terus bergerak ke meja belajar Mustaqim.
Sepanjang perjalanan, hatinya menyumpah Mustaqim yang tidak tahu langsung nak bawa telefon dengannya kalau hendak ke kafe.
Sekarang, dah mengganggu tidur seorang Absyar di hari minggu yang indah. Jaga kau nanti, Mustaqim.
Telefon yang bercahaya itu diambil sebelum sekali lagi telefon Mustaqim berdering. Nama yang terpapar dibaca, Zinnirah adikku sayang.
Absyar tergelak kecil sebelum mengangkat panggilan itu. Mungkin ada perkara penting yang dia mahu maklumkan pada Mustaqim. Bolehlah Absyar sampaikan pada lelaki itu setibanya dia ke dalam bilik ini nanti.
"Hello, Mus..." Belum sempat Absyar mahu menjawab, dirinya tersentak dengan esakan gerangan bernama Zinnirah itu. Dahinya terus berkerut.
"Mus...tolong Ji." Makin meleret esakan itu menyebabkan Absyar terus duduk tegak di kerusi Mustaqim.
Kantuknya terus hilang mendengar suara tangisan itu.
"Ke—" Ucapan Absyar terus dicantas oleh Zinnirah.
"Mus... Kenapa Ji yang kena lalui semua ini? Kenapa Ji yang kena hadap semua ini? Ji tak kuat, Mus. Ji perlukan Mus kat sini. Tolonglah Ji, Mus." Mendayu-dayu suara untuk menusuk masuk ke koklea telinga Absyar.
Lelaki itu hanya mampu duduk statik tanpa berbuat apa-apa dan membisu. Baginya, berdiam diri lebih baik untuk memahami isi hati gadis bernama Zinnirah itu.
"Mus...ta-tadi...Baba... Baba raba Ji, Mus. Ji takut." Terluah juga akhirnya perkara yang menakutkannya daripada tadi. Terketar-ketar bibirnya untuk membicarakan hal itu.
"Apa?!" Terus terkeluar suara jantan Absyar apabila mendengarkan ayat itu.
Raba? Baba? Baba raba Zinnirah?
Zinnirah terus tersentak mendengar suara garau itu. Dia terkesima buat seketika. Itu... Bukan suara Mustaqim.
Telefon dijauhkan daripada telinganya sebelum nama di skrin itu dilihat.
Mustaqim♡♡♡
Betullah, itu nombor telefon Mustaqim. Kenapa suaranya lain?
"Mus, kenapa suara Mus lain?" Soalnya polos sambil menyapu air mata yang membasahi pipi.
"Maaf, saya bukan Mustaqim tapi saya roommate dia. Dia tak ada dalam bilik sekarang." Lancar Absyar menerangkan kepada gadis yang disebalik talian itu.
"Hah?" Terus terhenti air matanya daripada mengalir. Jadi, dia bukan curhat pada Mustaqim tadi?
"Awak okay ke, dia ada buat apa lagi pada awak?" Tanya Absyar prihatin. Jantungnya bagai mahu terhenti mendengarkan perkataan raba itu.
Zinnirah hanya diam. Dia takut terlepas bicara seperti tadi.
"Saya tahu, awak mungkin tak selesa. Tapi saya hanya nak memastikan keadaan awak sekarang ini. Awak okey ke, Zinnirah?" Lembut suara itu cuba memujuk gadis yang sudah terdiam membisu.
"Saya... Okay." Balas Zinnirah perlahan.
"Awak nak saya maklumkan hal ini pada Mus?"
"Tak perlu! Tadi saya silap, saya tak sepatutnya ganggu Mus dengan masalah saya. Saya harap awak tak bagitahu Mus tentang hal ini." Terus laju Zinnirah menghalang gerangan lelaki yang hanya dikenali sebagai rakan sebilik Mustaqim itu daripada memberitahu hal itu.
"Tapi ini melibatkan keselamatan awak." Absyar mengerutkan dahinya apabila mendengarkan larangan gadis itu.
"Baba mungkin tak sengaja. Jangan bagitahu Mus, tolonglah awak." Rayunya sekali lagi.
Dia menganggukkan kepala. Ya, baba mungkin tak memaksudkan hal tadi. Hanya dia yang paranoid terhadap baba.
"Baiklah tapi jaga diri awak. Saya risau kejadian seperti itu akan berulang. Jaga diri awak, Zinnirah." Entah kenapa Absyar berasa risau dengan perangai gadis itu.
"Maaf sebab awak terpaksa simpan rahsia ni. Tolong jangan bagitahu Mus. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut." Zinnirah menggenggam cadar katilnya sebelum menggigit bawah bibirnya.
"Tak apa saya faham. Maaf juga sebab saya terdengar rahsia awak. Saya minta maaf, ya? Saya minta diri dulu. Assalamualaikum."
"Tak apa, terima kasih sudi jadi pendengar secara tiba-tiba. Waalaikumsalam."
Absyar terus mematikan panggilan sebelum memadamkan sejarah panggilan tadi. Rahsia yang tiba-tiba terbina dengan gadis bernama Zinnirah itu bermain-main dalam mindanya.
Keselamatan gadis itu seperti goyah.
Hati Absyar menjadi sedikit tidak tenang.
Perkenalan singkat itu benar-benar membebankan dirinya walaupun gadis itu sama sekali tidak mengenalinya.
Absyar berterus-terusan mengerutkan dahinya memikirkan hal gadis itu. Keluhan kecil terlepas.
Ya Tuhan walau di mana dia berada, tolong jagakan keselamatannya Ya Allah.
Share this novel