BAB 48

Drama Completed 23008

"AKAK, tahniah dah habis STPM!" Terasa badan Zinnirah dirempuh kuat dari depan sebelum dipeluk erat oleh Atiya. Kakinya melangkah beberapa tapak ke belakang, cuba menahan berat gadis itu.

Zinnirah tersenyum kecil sebelum membalas pelukan Atiya di tepi dewan itu. Gadis ini menunggunya sehingga jam 4 petang? SubhanaAllah, Atiya.

"Terima kasih, Ati. Ati belum balik rumah lagi ke?" Pelukan dilepaskan sebelum dia memandang wajah Atiya yang tersengih sebelum mengangguk seperti burung belatuk.

"Dah bagitahu ibu Ati?" Soal Zinnirah sekali lagu. Tangan itu laju menarik tali beg yang mula melorot dari bahu.

"Dah, baba pun dah. Jadi, Ati nak balik dengan akak boleh?" Lengan Zinnirah dipegang dan dihayun perlahan.

"Boleh. Ati nak ikut akak makan aiskrim tak? Nak celebrate dah merdeka dari dunia peperiksaan." Ajak Zinnirah sebelum lengannya diletakkan pada bahu gadis itu.

"Nak! Lamanya tak makan aiskrim. Baru terbayang pun dah terliur dah ni, kak Ji." Kedua-dua tangannya digosok dengan penuh teruja.

Zinnirah hanya tergelak kecil sebelum mereka bersama-sama bergerak ke arah garaj motorsikal.

"Ati tak ada helmet." Kata Atiya sebelum memuncungkan bibirnya.

"Tak apa, akak guna jalan kampung. Halal je lah, eh?" Kata Zinnirah sebelum tergelak kecil dan diikuti oleh suara tawa Atiya.

-----

"Sedap?" Tanya Zinnirah sambil matanya tidak lepas memandang Atiya yang seronok menjamah aiskrim itu.

"Akak belanja, mestilah sedap." Bibir itu tersengih dengan jawapan membodeknya. Terus tersungging senyuman di hujung bibir Zinnirah lalu matanya dihadapkan ke tasik di hadapan mereka.

"Aiskrim tu murah je, Ati. Maaf tak mampu nak belanja yang mahal." Zinnirah berkata jujur dari hati. Aiskrim itu hanyah aiskrim biasa yang boleh didapati di mana-mana kedai runcit, termasuklah kedai baba.

"Tak apa, harga aiskrim ni tak akan dapat lawan keikhlasan akak belanja Ati." Selamba gadis itu menjawab. Namun ia menusuk terus ke hati seorang Zinnirah.

Ya, keikhlasan melebihi segala-galanya.

"Dulu...Akak selalu lepak di tasik ini dengan abang akak. Tapi sejak masing-masing dah sibuk belajar, kami dah jarang lepak sekali." Zinnirah mula membuka bicara, membuka ceritanya dan Mustaqim.

"Wah, akak ada abang?" Mata itu bersinar teruja.

"Ada. Dua orang." Jawab Zinnirah sebelum kembali menikmati aiskrim di tangannya yang sudah mencair.

"Ada yang single lagi ke?" Tersengih sendiri Atiya dengan soalannya.

Zinnirah terus berkerut dahi mendengarkan soalan Atiya. Dia mula sedar sesuatu. Zhafran, Mustaqim, Atiya dan dirinya merupakan adik-beradik sebapa. Jadi, haram untuk mereka berkahwin.

Tapi dalam kes ini, adik-beradiknya tidak mengetahui kewujudan Atiya sebagai adik kandung mereka.

Zinnirah menelan liurnya sendiri. Perkara ini tidak boleh dirahsiakan selamanya. Bahaya untuk kemaslahatan keluarga masing-masing.

Suasana menjadi hening, hanya angin lembut meniup menjadi peneman antara mereka.

Soalan daripada Atiya tadi berputar bagai radio rosak dalam mindanya.

"Ati..."

"Ya?"

"Apa Ati akan buat kalau...kalau Ati dapat tahu Ati ada adik beradik lain?" Soalan itu terus terpacul daripada bibirnya. Mata Atiya ditenung lama.

"Maksudnya, baba ada anak selain Ati dan bukannya datang daripada ibu?" Soalan berbalas soalan.

"Ya."

"Mungkin Ati tak dapat terima. Ati dah hidup sebagai anak tunggal baba selama 16 tahun, akak. Macam mana Ati nak terima adik-beradik yang lain? Ati tak rasa Ati mampu dan ibu pun mungkin tak mampu." Jawab Atiya penuh emosi.

"Kalau itu memang takdir hidup Ati, Ati memang tak akan terima?" Soalan cepumas terbit daripada Zinnirah.

"Takdir? Entahlah akak. Apa yang Ati tahu,  Ati tak mampu nak hadap kenyataan itu. Ati seorang saja anak kesayangan baba dan sampai penghujung nyawa Ati, ia akan kekal begitu." Muka Zinnirah yang berubah itu dipandang oleh Atiya dengan dahi berkerut.

"Dia layan Ati dengan baik?" Semakin berkerut dahi gadis itu.

"Dia? Siapa dia?"

"Baba Ati, ceritalah pada akak layanan dia pada akak." Senyuman palsu cuba ditayangkan pada wajah yang sudah berona lain.

Apa yang kau cuba buat Zinnirah, ini hanya akan menambah garam pada luka yang dia buat pada kau!

Atiya yang mendengarkan ucapan Zinnirah terus tersenyum lebar. Dia suka bercerita, lagi-lagi tentang heronya!

"Seperti yang dikatakan orang lain, cinta pertama anak perempuan ialah ayahnya. Jadi, baba ialah hero dan cinta pertama buat Ati." Omongan dihentikan dan tangan Zinnirah digenggam.

"Ati bangga sangat ada baba sebagai ayah Ati. Baba sayang sangat pada Ati, dia selalu manjakan Ati dengan bermacam benda. Mungkin sebab Ati anak perempuan tunggalnya?" Atiya tergelak kecil dengan ayat terakhirnya. Zinnirah mengawal riak mukanya.

"Baba sangat baik, sangat setia pada ibu walaupun baba selalu tiada di rumah disebabkan kerja tapi Ati faham. Ati okay je ditinggalkan dengan ibu di rumah kerana Ati tahu, Ati selalu dilayan sebagai anak manjanya bila dia pulang, sama seperti orang lain. Kata akhirnya, baba is a perfect dad walaupun baba hanya biasa-biasa saja kalau nak dibandingkan dengan keluarga orang lain. Tapi, Ati bersyukur ada seorang ayah seperti baba." Makin lebar senyuman itu dengan kata-kata terakhir itu.

Ya, dia bangga ada baba seperti Encik Alwie.

Zinnirah mengalihkan pandangnnya ke arah lain apabila melihat betapa bahagianya wajah Atiya apabila menceritakan perihal 'babanya' kepada Zinnirah.

Air mata yang jatuh diusap pantas dengan jari runcing itu. Bibir terus tergelak kecil dengan kata-kata Atiya.

Sangat berbeza layanan antara dirinya dan Atiya. Bibir itu tersungging senyum sinis.

"Kenapa akak gelak?" Tanya Atiya setelah melihat tindakan peik gadis itu.

"Sebab akak teringat layanan baba akak. Beza sungguh dengan baba Ati." Mata Atiya dipandang sebelum tersenyum kecil.

"Janganlah bandingkan baba kita, akak. Walaupun nama baba kita sama, peribadi mereka tak sama. Jangan bandingkan, okay?" Lengan Zinnirah digosok perlahan bagai menenangkan gadis yang memang kelihatan tenang itu.

Lucu. Zinnirah berasa lucu dengan omongan Atiya. Baba kita berlainan? Jangan bandingkan?

"Ati beruntung ada baba yang sayang Ati. Sangat untung. Bukan seperti akak yang hanya menjadi tempat melampias amarah, tak pernah merasa kasih sayang seorang ayah." Sayu suara itu kedengaran di telinga Atiya. Mata gadis itu mula berkaca dengan luahan hati Zinnirah.

Dia tidak sangka, gadis seperti Zinnirah perlu melalui kisah yang perit seperti itu dalam hidupnya.

"Akak..."

"Ati..." Nafas ditarik dan dihembuskan berkali-kali. Tangan Atiya digenggam erat, dia turut takut dengan kemungkinan yang bakal terjadi selepas apa yang bakal dia katakan.

"Ati... Akak... Akak ni kakak kandung Ati. Kita berkongsi ayah yang sama, Ati." Air matanya jatuh setitis melihat wajah yang terkejut itu.

"Akak cakap apa ni? Jangan mengarut boleh tak?" Gigi diketap rapat. Zinnirah ni, janganlah bergurau dengan hal sebegini.

"Akak tak mengarut, ini benda betul. Kita... ialah adik beradik, Atiya Badrina. Awak, adik seorang Zinnirah Alwie." Perkataan Alwie ditekan oleh Zinnirah.

Atiya tersentak sebelum melepaskan tangannya daripada genggaman Zinnirah.

Apa ni? Apa semua ini?

Dia terus bangun dari duduknya. Mata itu langsung tidak memandang Zinnirah.

"Ati nak balik. Tolong hantar Ati balik." Terus dia berjalan menonong, meninggalkan Zinnirah yang masih rasa bersalah itu.

Maafkan akak, Ati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience