BAB 4

Drama Completed 23008

"KENAPA tak ikut diorang pergi Langkawi, Zinnirah?" sapaan Nek Timah mengejutkan Zinnirah yang sedang memasukkan adunan kek terakhir ke dalam oven. Alhamdulillah walaupun baru open order, dia sudah mendapat tempahan untuk minggu yang pertama.

"Saja nak teman nenek." Bohong Zinnirah.

"Kamu jangan nak tipu nenek ya Zinnirah? Kenapa kamu tak pergi Langkawi?" Mencerlung mata itu memandang cucu perempuannya yang sedang membasuh bowl mixer yang dia gunakan tadi.

"Mana ada Ji tipu nenek. Ji tak pergi sebab nak jaga nenek dan nak tengokkan kedai runcit baba sekali. Kalau semua bercuti, siapa yang nak uruskan kedai tu nek." Terus dia mendekati Nek Timah yang sedang elok mengupas bawang merah di meja makan.

"Aku ni dah lama hidup sendiri, tak perlu pun nak fikirkan hal aku yang dah tua ni. Kamu tu sepatutnya ikut pergi bercuti, umur masih muda. Kena banyak merantau, ambil pengalaman." Laju tangan tua membuang kulit bawang merah ke dalam plastik.

"Nanti Ji merantaulah nek, sekarang Ji nak hidup dengan nenek je." Sengihan diberikan kepada Nek Timah yang menjelingnya.

"Ah, tak percaya aku. Darah muda sememangnya suka berjalan-jalan, bercuti. Itu memang fitrah. Aku pernah muda, Zinnirah. Jadi, nenek faham."

Bait-bait kata yang keluar daripada bibir tua itu menyebabkan Zinnirah mengeluh perlahan. Kepala yang tak gatal digaru seketika. Ayat Nek Timah memang jatuh terkena batang hidungnya.

Ya, dia nak sangat pergi Langkawi.

Tapi kalau mama dan baba sendiri tak kasi dia ikut, apa pilihan yang dia ada selain makan hati dan berundur diri?

Dia sedar, dia hanyalah Zinnirah yang tak pernah diambil peduli bahkan apabila perihal tentangnya telinga menjadi tuli.

Dia sedar diri, sedar tempat berdiri.

"Ke mama kamu yang larang kamu ikut?"

Zasss!

"Err mana ada nek."

"Zinnirah, jujur dengan nenek."

"Betullah nek, Ji tak ikut sebab nak jaga nenek, nak jaga kedai. Memang kehendak Ji tak nak ikut mereka ke sana. Nenek janganlah banyak fikir pasal Ji. Mus pun dah janji nak video call nanti. Lagipun Ji dah suruh Mus belikan Ji banyak coklat." Ujar Zinnirah sambil tersengih lebar.

Acah bahagia.

"Alasan kamu ni, nanti bila Mustaqim dah telefon panggil nenek sekali." kata Nek Timah lalu menghiris halus bawang yang telah dikupas tadi. Dia bercadang mahu buat kuih qasidah sebagai menu minum petang nanti.

"Baik nek!"

Tinggg!

Lantas kaki Zinnirah bergerak ke arah oven, kek tempahan sudah siap. Cuma tinggal dihias dan hantar saja kepada tuan badan petang nanti.

Kek yang ditempah ialah kek hari jadi yang temanya minimalist. Jadi tak banyak skill yang dia perlu gunakan untuk menghias nanti.

Kek dibiarkan sejuk lalu menolong Nek Timah menggoreng bawang sehingga layu. Kuih qasidah buatan neneknya memang sentiasa sedap.

"Nek, petang ni Ji keluar kejap tau. Nak pergi hantar tempahan kek."

"Jauh ke rumahnya?"

"Tak jauh sangat pun nek, kampung sebelah je. Rumah anak Musa Kambing tu. Nek nak ikut tak? Jom kita ronda kampung petang ni, nek." Ajak Zinnirah dengan penuh teruja. Wajahnya sudah penuh dengan senyuman.

"Hm yalah, jom. Bolehlah juga aku kasi qasidah ni pada Samsiah. Nanti kita singgah rumah Nek Samsiah ya Zinnirah." Nek Timah mengajak gadis itu singgah ke rumah sepupunya nanti.

"Boleh je nek. Dapat juga Ji usha cucu Nek Samsiah yang hensem tu nanti."

"Eh gatal budak ni."

Zinnirah hanya tergelak besar dengan ucapan itu.

Melawak sikit pun tak boleh.

-----

Rumah dikunci sebelum motosikal dihidupkan. Bekas kuih qasidah diletakkan diraga hadapan manakala kek diberi kepada Nek Timah untuk dipegang dibahagian tengah.

"Bismillah, nek pegang kek Ji tu kuat-kuat." Kata Zinnirah lalu segera menekan gear dan menderu terus ke atas jalan kampung itu.

"Zinnirah, slow sikit! Jangan laju sangat." Ujar Nek Timah melawan angin yang kuat lalu memeluk erat pinggang kecil cucunya dengan sebelah tangan yang bebas tanpa memegang kek.

Zinnirah hanya buat tak tahu sebelum perutnya terasa seperti digigit semut merah.

"Adoi, sakitlah nek!" Terus tangannya mengusap perut yang pedih. Kelajuan motor juga turut dikurangkan. Kang daripada semut merah terus jadi king crab.

"Tulah kamu nak bunuh aku ke? Lain kali bawa motor tu perlahan sikit. Kang aku campak kek ni, kamu apa pun tak dapat tau." Bebelan Nek Timah itu hanya diabaikan sebelum dia membelok masuk ke kanan, rumah anak Musa Kambing.

"Assalamualaikum, Kak Hawa. Assalamualaikum ooo assalamualaikum." Tiga salam diberikan sebelum lengannya ditampar perlahan Nek Timah yang masih berada dibelakangnya.

"Cuba bersabar, kamu tak nampak ke Hawa dah datang ke sini. Tak perlulah nak bagi salam berkali-kali." Tegur Nek Timah dan Zinnirah hanya mengangguk tanda faham.

"Waalaikumsalam Ji, maaf ya akak lambat sikit." Ujarnya sambil membetulkan letak tudung sarung yang dipakainya. Zinnirah hanya tersenyum sebelum menongkatkan motor dan turun. Neneknya dibiarkan duduk di atas motor itu.

"Tak apa kak, mesti sibuk buat persiapan birthday tu. Ini keknya." Kotak itu terus diserahkan kepada Kak Hawa yang sudah tersenyum melihat Nek Timah dia atas motosikal.

"Harganya RM40 untuk kek 5 inchi, kan Ji? Macam yang kita bincang haritu."

"Haah, RM40 sekali cas COD." Senyuman manis diberi setelah kepingan duit diberikan kepadanya. Alhamdulillah, rezeki. Gambarnya bersama Kak Hawa turut diambil beberapa keping untuk digunakan sebagai feeback nanti.

"Akak beli ya, Ji. Terima kasih sekali lagi."

"Terima kasih juga akak, saya balik dulu ya."

Terus, dia dan Nek Timah bergerak ke rumah Nek Samsiah yang hanya beberapa kilometer dari situ. Setelah sampai, motor diparkir dibawah pokok rambutan yang rimbun. Nek Timah turun dan terus duduk dia pangkin bawah pokok rambutan yang lebat dengan buah yang merah tanda masak ranum.

Kecur liur Zinnirah melihatnya.

"Zinnirah, mari sini aku nak cakap sikit." Panggil Nek Timah apabila melihat Zinnirah yang khusyuk mengait buah rambutan menggunakan galah.

"Ya nek, kejap." Galah diletakkan kembali ke tempatnya. Rambutan yang sudah dikait dibawa mendekati neneknya di pangkin. Baju disapu berkali-kali untuk menghilangkan semut hitam yang meliar dibadannya.

Lengan Zinnirah ditarik untuk duduk disebelah Nek Timah.

"Aku nak tegur kamu sikit ni. Perihal adab jual beli kamu dengan hawa tadi." Zinnirah terus menelan liur. Kesalahan apa pula yang dia buat ni.

"Lain kali, sebaik saja kamu terima duit daripada pelanggan, kamu sebutlah 'saya jual'. Itu ayat yang paling mudah tapi memenuhi akad jual beli dalam Islam. Kamu dengar tak Hawa sebut apa tadi? Dia sebut 'akak beli', kan? Perkara ni nampak remeh tapi akad ni sangat penting ya Zinnirah. Nenek harap kamu boleh hadam dan faham apa yang nenek sampaikan ni. Adab kamu berjual beli tadi aku tak nak komen, kamu memang tak pernah lokek dengan adab. Itu yang nenek bangga dengan kamu Zinnirah." Teguran Nek Timah tadi dihadam sebaiknya dengan dahi berkerut dan mengangguk perlahan.

"Nek, kenapa perlu ada akad? Ji ingatkan akad ni untuk nikah je?" Tanya Zinnirah, polos.

"Akad atau ijab qabul adalah rukun dalam jual beli. Kita perlukan akad ni sebab kita nak tahu kerelaan, keredaan dan keinginan kedua-dua pihak tu sendiri. Seperti dalam Surah al-Maidah ayat pertama, hai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu. Jadi Zinnirah kamu perlu tahu, dalam dunia ni banyak akad, bukan hanya tertumpu pada pernikahan saja." Terang Nek Timah dengan penuh sabar.

"Oh baru Ji tahu nek, terima kasih untuk teguran tadi. Kalau nenek tak tegur Ji, sampai ke sudah Ji buat tak tahu je benda ni. Terima kasih nek. Ji sayang nenek sangat-sangat." Ujar Zinnirah sebelum memeluk erat tubuh tua itu.

"Amboi Zinnirah, seronok betul peluk sepupu aku tu." Tegur Nek Samsiah yang sudah datang mendulang seteko air kopi di atas talam. Zinnirah terus meluru ke arah gerangan tua itu dan mengambil alih tugas mendulang.

"Ha Siah, kau sihat ke? Lama aku tak datang melawat kau ni." Tanya Nek Timah sebaik sahaja Nek Samsiah melabuhkan punggungnya di pangkin.

"Alhamdulillah, sihatlah cara orang tua. Kau sihat?"

"Sihat alhamdulillah. Budak tu yang jaga aku, memang sihatlah jadinya." Bibir dimuncungkan sedikit ke arah Zinnirah yang kembali ke pangkin dengan sebekas kuih qasidah buatan Nek Timah.

"Nek, ni kuih qasidah buatan Ji. Makanlah, sumpah sedap sehingga menjilat jari kaki." Kata Zinnirah sambil tersengih.

"Ada-ada saja kamu ni Zinnirah." Nek Samsiah hanya menggelengkan kepala sebelum mengambil sepotong kuih qasidah itu. Hm, sedap!

"Nek Siah, mana cucu hensem nenek?" Tanya Zinnirah tanpa malu. Buah rambutan dikupas kulit satu persatu sebelum dimasukkan ke dalam mulut.

Manis dan lekang! Sedap nau!

"Dia dah balik Sabah semalam."

"Alaaa Ji tak sempat nak jumpa dia Nek Siah." Kata Zinnirah dengan nada pasrah. Nek Timah hanya menjuihkan mulut mendengar ayat gelenyar cucu perempuannya itu.

"Tu namanya tak ada rezeki. Nanti dia balik, datanglah sini. Bolehlah kamu nak berdrama dengan cucu aku tu." Satu potong kuih disuap lagi ke dalam bibir tua itu.

"Tengoklah dulu Nek Siah, Ji bergurau je. Tak adanya nak mengorat anak teruna orang betul-betul."

Mereka bertiga ketawa kecil dengan balasan ayat Zinnirah itu.

"Nek, Ji nak ambil buah rambutan tu boleh?"

"Pergilah ambil, bukan ada siapapun nak makan." Nek Siah senyum senget.

"Tadi yang kamu kait buah rambutan tu, tak minta izin Nek Siah pun kan?" Perli Nek Timah.

"Takpa nek, halal halal halal." Balas Zinnirah sebelum laju bergerak mengait buah rambutan.

Suka hatilah Zinnirah, asal kau bahagia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience