PERHENTIAN mereka di rnr membuatkan semua yang mengantuk tadi kembali segar setelah dapat mencuci muka dan menjamah makanan.
Zinnirah kembali awal ke kereta kerana badannya terasa tidak sedap. Dia terlupa untuk mengambil ubat pada waktu yang sepatutnya.
Beg yang sudah dikhaskan untuk meletakkan ubat sahaja diambil sebelum mula mencari-cari segala ubat yang perlu dimakan.
Baru-baru ini, radangnya semakin aktif dan menyebabkan Doktor Liza menaikkan ubat steroidnya menjadi 10 biji sekali makan.
Haih, itu baru steroid. Belum dicampur dengan ubat lain lagi. Kadang-kadang, diri Zinnirah berasa kenyang bukan disebabkan makanan tapi disebabkan ubat-ubatan yang terlampau banyak.
Tangan yang menuang ubat ke telapak tangan itu tiba-tiba terhenti.
Betul ke dia sakit? Atau sebenarnya ini hanya ilusi semata-mata?
Atau hanya mindanya yang sakit tapi sebenarnya fizikalnya sihat?
Zinnirah mula ragu-ragu terhadap diri sendiri. Persoalan itu mula bermain di mindanya. Hampir 3 tahun dia menghidapi SLE, kenapa pada hari ini baru dia terdetik akan hal itu?
Ubat yang berada digenggaman mula didekatkan pada mulut sebelum ditelan dengan air sedikit demi sedikit.
Ilusi atau realiti, ubat itu tetap ditelan kerana sesetengah ubat tidak boleh terlampau lama terdedah pada udara.
Botol air yang belum ditutup dipegang sebelum badannya disandarkan pada kusyen kereta. Mata ditutup buat seketika. Nafas cuba dikawal supaya sentiasa tenang.
Kau akan baik-baik saja, Zinnirah. Ayat itu diulang berkali-kali pada pendengarannya sahaja. Tangannya juga naik menepuk dada sendiri bagai cuba memujuk diri yang entah kenapa tiba-tiba berasa down.
Emosi dan mentalnya semakin tidak stabil apabila sudah masuk semester terakhir pelajar pra-universiti. Emosinya berkecamuk, dia hanya menghabiskan masa di biliknya. Kadang, menangis sediri. Entah, dia pun pusing dengan tingkah laku sendiri.
Zinnirah tidak sedar bahawa Absyar memerhatinya dari tadi di luar kereta. Lelaki itu hanya berdiri di tengah terik panas bagi menghormati gadis itu yang keseorangan di dalam kereta. Dia mahu tunggu Mustaqim terlebih dahulu.
Namun, ubatan yang dia lihat tadi menyebabkan Absyar berfikir panjang. Sakit apakah gadis itu sehingga perlu menelan pil sebanyak itu?
"Oi Cad, kenapa tak masuk kereta?" Teguran daripada Mustaqim menghentikan lamunannya.
"Takkan aku nak masuk, adik kau ada dalam kereta." Jawab Absyar bersahaja.
Mustaqim terus menyengetkan kepala bagi melihat Zinnirah di dalam kereta itu. Dahinya berkerut apabila melihat kepala gadis itu terteleng ke arah cermin kereta.
Lantas, pintu bahagian pemandu dibuka sebelum dahi Zinnirah dipegang. Panas. Ah, radangnya kembali aktif.
Botol yang tidak sempat ditutup oleh Zinnirah diambil dan ditutup rapat. Kerusi gadis itu diturunkan sedikit sebelum tali pinggang keledar dipakaikan. Jaketnya yang terdampar di tempat duduk belakang dicapai lalu ditutup badan Zinnirah yang sudah tertidur pulas.
Seusai itu, dia terus keluar dan menghadap rakannya yang tekun melihat setiap perbuatannya tadi. Mereka seperti terkedu dengan kecekapan Mustaqim.
Mustaqim yang berasa pelik diperhatikan sebegitu terus menyoal. "Kenapa?"
"Tak ada apa-apa." Laju Umar menjawab sambil menggelengkan kepalanya.
"Acad, kau sambung drive boleh? Aku nak tengokkan Ji daripada belakang." Kata Mustaqim sambil mengerling Zinnirah.
"Boleh bro, no hal."
"Jom semua, kita gerak sekarang." Sambung Absyar.
Bahagian pemandu didudukinya sebelum mata itu menjeling seketika Zinnirah yang sudab tertidur dengan muka menghadap ke arah bertentangan dengannya.
Absyar mengalihkan pandangannya dan mula fokus pada jalan raya.
Doa naik kenderaan dibaca sebelum dia memulakan perjalanan ke Jeti Kuala Besut.
Bismillah, semoga selamat sampai.
-----
"Ji, jom kita dah sampai jeti." Mustaqim mula mengejutkan gadis itu yang masih nyenyak tidur.
Tangannya ditepuk perlahan pada bahagian pipi sebelum mata itu terbuka perlahan. Merah mata itu menahan panas badannya sendiri.
"Dah sampai ke Mus?" Soal Zinnirah lalu bangun dari perbaringannya.
"Dah sampai jeti, kita kena naik bot ke Pulau Perhentian. Dah cepat, nanti kita terlepas." Kata Mustaqim sebelum memegang lengan gadis itu.
Mereka bergerak ke arah rakan-rakannya yang lain sudah menunggu dengan jaket keselamatan sudah siap dipakai.
"Mus, beg Ji belum ambil." Kata Zinnirah kepada Mustaqim yang sedang memakai jaket keselamatan itu.
"Tak apa, saya dah ambilkan beg awak." Balas satu suara garau di sebelahnya. Zinnirah hanya mengangguk dan mengucapkan terima kasih.
Dia tiada daya untuk mengalihkan pandangan bagi melihat gerangan itu.
Selesai saja Mustaqim memakai jaket keselematan, dia mendekati Zinnirah. Gadis itu pula dipakaikan jaket keselamatan olehnya.
Perbuatan itu mendalat sorakan daripada rakan-rakan yang lain sehingga menyebabkan wajah Zinnirah semerah tomato.
"Wah, gentlemannya Mus."
"Mus, tolonglah pakaikan untuk aku juga!"
"Auw, so sweet of you Mustaqim. Untungnya bakal isteri kau nanti."
Wajah yang sudah sedia panas dek suhu badan yang tinggi, kini semakin panas dengan usikan itu.
"Mus, kau kahwin dengan aku je lah."
"Woi, kau gay ke?!"
Terus terhambur tawa mereka semua disebabkan telatah yang menggelikan hati oleh berberapa sahabat Mustaqim itu.
Zinnirah hanya tergelak kecil dan tersenyum melihatkan suasana itu. Dia gembira Mustaqim mempunyai sahabat yang baik.
Paling kurang, hidupnya lebih ceria jika ada sahabat sebegitu walaupun ada masalah yang perlu dihadapi.
Untungnya Mustaqim.
Mustaqim selalu beruntung dalam segala aspek, bertuahnya seorang Mustaqim.
Pantas saja mama dan baba menyayangi berlebihan kerana Mustaqim benar-benar pembawa tuah, tidak seperti dirinya.
Kenapa diri kau sentiasa malang, Zinnirah?
Hari yang sepatutnya kau seronok tapi kau jatuh sakit. Agaknya betul apa yang dikatakan oleh mama, dirinya hanya pembawa malang.
Mungkin apa yang mama sebut berulang kali itu menjadi doa yang dimakbulkan Tuhan kepadanya. Kerana doa setiap ibu tiada hijabnya.
Mungkin sebab itu, hidupnya tidak pernah bahagia. Jika bahagia, hanya sementara. Akhirnya, dia bakal sakit. Mental dan fizikalnya sakit.
Senyuman tadi berubah menjadi senyuman kelat. Zinnirah terus menunduk dan menatap hujung kasut sarungnya.
Kedua-dua tangan digenggam sebelum bawah bibir digigit.
Fikiran negatif itu sudah menjadi sebati dengan dirinya. Apa yang dia boleh buat, sifat percaya diri sudah hampir terhapus dalam dirinya.
Dia kini seperti roh yang ditiupkan ke dalam patung yang tidak mampu melakukan apa-apa. Hidup pun tidak, mati pun tidak.
Dia juga tidak tahu apa matlamat dalam hidupnya. Semangatnya bagai hilang dibawa terbang bersama angin badai yang datang melanda dirinya beberapa bulan ini.
Keluhan kecil terlepas daripada bibirnya.
Absyar yang asyik ketawa bersama sahabatnya tadi terhenti apabila terlihat raut wajah Zinnirah yang tiba-tiba suram. Telinganya juga dapat mendengar keluhan itu walaupun gadis itu berada dua kaki jauh daripadanya.
Dia berdehem kecil sebelum mengalihkan pandangannya ke arah lain apabila Mustaqim mula memandang ke arah Zinnirah.
Risau, bakal kantoi oleh Mustaqim.
Masih awal untuk kantoi, dia belum sempat untuk berkenalan dengan Zinnirah, gadis manis itu.
Share this novel