"TAHNIAH! Pandai betullah kembar Ji ni." Ujar Zinnirah apabila Mustaqim sudah berjalan mendekatinya setelah turun daripada pentas. Lengan Mustaqim ditepuk-tepuk sebelum slip keputusan itu diambil dari tangan kekar itu.
9A+.
"Mesti mama dan baba dengan Mus, pandainya Mus." Pujinya sekali lagi dengan senyuman yang terukir di bibir. Dia bangga dengan abangnya.
"They will proud of you also." Mustaqim terus menggosok kepala yang dilapiki tudung itu.
"Sadly, they won't. Mus sorang je yang naik pentas, Ji tak pun." Kata Zinnirah dengan muka yang disebikkan dengan sengaja.
"Oi, cikgu umum pun belum habis lagi tau? Masih ada harapan untuk naik pentas, cuba percaya diri sikit." Mustaqim mencebik bibir setelah mendengar omongan tidak percaya diri itu. Kenapa suka sangat suudzon pada diri sendiri?
"Orang yang terakhir, memperoleh 8A 1B..." Suara cikgu itu diabaikan oleh Zinnirah dan terus membalas ucapan Mustaqim.
"Ji takkan naik pentas, Ji tak sepandai M--"
"...Zinnirah binti Alwie! Tahniah, dijemput ke atas pentas ya."
Zinnirah terus terbenjat di kerusi plastik itu. Matanya terkebil-kebil apabila mendengar namanya diumumkan oleh cikgu sebagai pelajar cemerlang SPM yang terakhir.
"Ji, tahniah! Cepat bangun, naik pentas elok-elok." Ujar Mustaqim dengan senyuman lebar sebelum menolak adiknya itu untuk bangun daripada terus menjadi pantung cendana dek kerana terkejut.
Tepukan gemuruh memenuhi dewan apabila Zinnirah bangun dan berjalan pantas menuju ke pentas. Sesekali bibirnya ditutup dengan tangan kerana dia tidak percaya dengan keputusan itu. Adakah dia bermimpi?
"Tahniah Zinnirah, you've done your best. Terima kasih kerana berusaha bersungguh-sungguh." Kata pengetua sebelum memeluk tubuh itu. Wajah yang polos itu menjentik hati perempuannya.
"Terima kasih cikgu, terima kasih." Berkaca-kaca mata itu sebelum dia mencium tangan tua yang sudah berkedut itu. Terima kasih kerana berjasa demi kami, para pelajar.
Tangga diturun dengan berhati-hati sebelum mukanya ditutup dengan slip itu. Air mata yang jatuh ke pipi dilap berkali-kali. Laju kakinya melangkah ke tempat duduk tadi, Mustaqim terus mengusap belakang Zinnirah yang tidak mampu berhenti nangis. Tangan tidak mampu dilepaskan daripada menutup muka yang sudah basah.
Mustaqim terus mengambil slip itu, melihat dengan penuh bangga keputusan adiknya. Dia sudah agak, Zinnirah akan capai apa yang dia nak walaupun gadis itu tidak percaya diri. Kepala itu diusap berkali-kali, dia cuba menenangkan jiwa yang sedang berkeceramuk hebat.
"Mus dah cakap, Ji akan naik pentas because you deserve it." Lengan gadis itu ditarik daripada terus menekup mukanya sendiri. Habis basah dan merah wajah itu. Bahunya pun turun naik menahan sedu-sedan.
"Tarik nafas.....hembus. Tarik lagi...hembus. Tarik...hembus. Okay dah?" Lama dia cuba menenangkan gadis yang masih tersisa sedunya.
Hailah si hati tisu, sudahlah menangisnya itu. Abangmu ini tidak tahu memujuk.
Zinnirah terus mengangguk laju. "Sorry." Dadanya diurut perlahan, belakangnya basah dek kerana peluh yang turut sama turun sekali dengan air matanya.
"Kenapa nak sorry pula? It's okay lah, small matter." Jeda. "Dah, jangan nangis, buruk dah muka tu."
Dah cakap, Mustaqim sangat teruk dalam bab memujuk.
Zinnirah berdecit perlahan sebelum slipnya ditangan Mustaqim diambil dan ditilik. Ketika itu, bibirnya mekar dengan senyuman buat pertama kalinya selepas turun daripada pentas tadi.
Syukur Ya Allah, alhamdulillah.
"Kenapa nangis tadi Ji?" Tanya Mustaqim secara tiba-tiba apabila semua orang mula bergerak untuk mengambil keputusan masing-masing di kiri dan kanan dewan.
"Ji hanya tak percaya dengan semua ini. Mus tahukan keadaan Ji masa jawab SPM? I'm in the worst condition, Ji nak pegang pen pun terketar-ketar. Badan Ji menggeletar sakit tapi Ji paksa diri juga untuk jawab walaupun otak Ji rasa kosong. Sebab tu, Ji hanya target untuk dapat bawah daripada 5A ja tapi tak sangka pula dengan rezeki Allah yang ini. Apa-apa pun, Ji bersyukur sangat, Mus. Syukur sangat-sangat." Ujar Zinnirah dengan hati yang tulus.
Jika mengingati saat-saat itu, hatinya sakit. Badannya lemah, mentalnya kacau hanya kerana seorang bernama ayah. Parut hasil libasan dan pukulan itu masih ada dibadannya. Kadang-kadang, dia tidak sanggup melihat biasan dirinya sendiri di cermin.
Hati cuba dipujuk untuk tidak membenci sesiapa, termasuklah diri sendiri.
Dia cuba kekal tabah kerana dia tahu, Allah itu ada bersamanya. Allah itu wujud.
"Percayalah, usaha takkan sesekali mengkhianati hasil. Buktinya, keputusan Ji. Mus ialah saksi bagaimana Ji korbankan masa berhari-hari untuk study dan bagaimana Ji menahan sakit dalam mengulangkaji subjek-subjek yang Ji lemah. Jadi, jangan sesekali downgradekan diri sendiri. Mus bangga dengan Ji." Kali ini, lelaki itu tidak main-main. Dia benar-benar memaksudkan apa yang keluar daripada bibirnya.
"Terima kasih kerana sentiasa ada dengan Ji. Terima kasih sangat-sangat."
"Ji pun, terima kasih kerana mengajar Mus erti tabah. Ji orang paling kuat dan tabah yang Mus pernah jumpa."
Mereka berbalas senyum, cuba menghargai satu sama lain. Masa yang ada sudah tidak lama, masing-masing akan terpisah dalam mengejar impian yang ingin dikecapi.
Zinnirah dan Mustaqim akan terpisah juga buat pertama kalinya setelah 18 tahun hidup bersama.
Itulah lumrah kehidupan.
Manusia datang dan pergi. Kita pun turut merelakan hati ketika menghadapnya walaupun tidak sepenuhnya.
-----
Self-reward. Itulah yang dilakukan oleh mereka berdua di tepi tasik ini, port lepak kegemaran mereka sambil menikmati aiskrim. Kena pula pada cuaca panas begini, memang umph!
Maka mana satu nikmat Tuhan yang engkau ingin dustakan?
"Tak lama lagi, kita dah nak sambung belajar. Kita akan terpisah juga akhirnya." Omongan Zinnirah itu menyebabkan Mustaqim yang ralit menikmati pemandangan tasik itu mengalihkan pandangannya.
"Excited?"
"Sudah semestinya! Tak sabar nak sambung belajar, tak sabar nak teroka tempat baru dan tak sabar nak tinggalkan Mus!" Ayat terakhir itu sengaja ditambah untuk mengusik lelaki itu. Terus tersengit bibir Mustaqim menahan geram.
"Cakap besar eh? Nanti dia yang call Mus tiap-tiap hari sebab rindu. Jangan main-main dengan aura seorang Mustaqim ni, mak cik kantin pun terpikat tau." Enjin riaknya sudah dipanaskan, Mustaqim mula mendabik dada.
"Euw, malam sikit." Jelingan diberikan. Malas mahu layan orang yang suka masuk bakul angkat sendiri itu.
"Betullah, Ji yang tak nak ambil tahu." Kata Mustaqim sambil menjelirkan lidahnya sebelum sambung menikmati aiskrim yang semakin mencair di tangan.
"Mus, teringin nak makan sotonglah."
"NO! Jangan macam-macam eh, Mus report dekat Dr. Liza nanti."
"Alaa sekali ja, janganlah report dekat doktor. Nanti dia bising." Lengan Mustaqim dipegang sebelum dihayun ke kiri dan kanan.
"Mus tak nak terlibat dalam jenayah berat awak wahai Cik Zinnirah."
"Ish, tak mesra alamlah Mus ni."
Zinnirah terus mengalihkan badannya daripada berhadapan dengan Mustaqim. Cuba untuk merajuk supaya dia dapat makan makanan laut yang dia teringin. Tetapi matanya tertancap pada satu sosok yang dia kenal. Sangat kenal.
Mulut Zinnirah bagaikan terkunci melihat seorang lelaki dan dua orang perempuan. Salah seorang daripada perempuan itu mungkin berumur dalam lingkungan hujung 30-an dan seorang lagi dalam belasan tahun.
Jantungnya bagai berhenti berdetak melihatkan situasi itu. Bibir bawah digigit perlahan, sesekali Mustaqim dijeling bagi memastikan dia tidak nampak gerangan mereka bertiga itu.
Kerana gerangan itu adalah...
Baba.
Share this novel