BAB 12

Drama Completed 23008

"MUS!"

Panggilan dari arah koridor tingkat 1 berhadapan Mustaqim menghentikan perbuatannya ketika itu. Topi keledar yang baru saja hendak dipakai, diletakkan kembali ke dalam bakul motor.

Kaki melangkah dua tapak ke hadapan sebelum kepala didongak ke atas untuk melihat gerangan yang menyerunya. Walaupun dia tahu siapa, dia tetap mahu melihat wajah itu.

Zinnirah yang tersengih apabila melihat wajah Mustaqim yang berkerut dahi menahan panas. Tengah hari begini, memang menusuk terus ke dalam mata.

"Tunggu jap, Ji turun." Kata Zinnirah sebelum lantas turun tanpa mendapat apa-apa jawapan daripada Mustaqim. Lelaki itu hanya menggaru pipinya yang terasa gatal.

Dah kenapa pula nak gatal waktu macam ni? Mungkin kerana sejak dua bulan kebelakangan ini dia sibuk dengan latihan hoki sehingga tidak terjaga kesihatan wajahnya. Wajah itu hanya terdapat seketul dua jerawat dan yang penting, kulit lelaki itu terbakar teruk. Mustaqim sekarang hitam legam!

Zinnirah yang berlari anak tersengih mendekatinya. Mesti ada udang di sebalik batu ni, dari cara senyum pun Mustaqim dah boleh agak.

"Nak apa wahai Cik Zinnirah?" Kening diangkat berkali-kali apabila melihat wajah putih pucat adiknya itu.

"Err... Kita cakap di sana, Mus." Pokok berdekatan garaj motorsikal ditunjuk. Mustaqim hanya mengikut jejak langkah gadis itu. Sesekali matanya menjeling ke garaj, oh patutlah.

Geng hokinya dah sampai di garaj itu, sudah semestinya Zinnirah tidak selesa. Masakan dia seorang saja berkromosom XX di situ, yang lainnya XY.

"Okay, dah jauh daripada mereka. Jadi?"

"Ji nak pinjam RM3, Mus." Sengih malu.

"Pinjam? Mama tak kasi duit lagi ke hari ni?"

"Mama terlupa kot, alah baru dua kali mama terlupa. Please, Mus. RM3 je." Matanya dikerdipkan berkali-kali, mengharapkan taktiknya itu berjaya.

"Jom keluar makan dengan Mus lah kalau macam tu. Mus nak keluar dengan geng hoki ni, petang ni kami ada friendly match."  Saja Mustaqim mempelawa walaupun dia tahu, pelawaannya itu tidak bakal diterima.

"Agak-agaklah, Mus. Semuanya lelaki, seganlah Ji. Tak apa, Mus keluar je makan, Mus pinjamkan RM3 je pada Ji. Please my lovely brother." Kali ini sekali dengan pakej kedua-dua tangan digenggam ditambah dengan kerdipan mata tadi.

Mustaqim terus tergelak kecil melihat wajah Zinnirah. Dia ingat comel ke wei? Mimpi ngeri Mustaqim malam ini.

Dompet ditarik keluar dari poket seluar sebelum not berwarna hijau diberikan pada Zinnirah.

"Mus, RM3 je."

"Ambil je lah."

"Banyak sangatlah RM5 ni. Ji nak beli roti je, air dah ada."

"Ambil duit ni Zinnirah,  beli nasi. Waktu rehat tadi pun tak makan, kan?" Tegas Mustaqim bersuara. Si Zinnirah ni tak lut dengan kata-kata lembut.

"Nanti kan Mus nak makan kat luar, cukup ke duit tu?"

"Jangan fikir pasal Mus lah, I'm a young and rich man. Ambil je lah sebelum Mus sumbat duit ni dalam lubang hidung Ji."

Terus diambil duit itu setelah mendapat amaran daripada Mustaqim. Mamat ni tidak boleh kira, kadang-kadang apa yang dia kata memang akan dia lakukan. Zinnirah sayang akan lubang hidungnya!

"Terima kasih daun keladi, Mus."

"Sama-sama kasih sayang."

Erk.

Hidung adiknya ditarik kuat sebelum belakang tangannya dilekapkan di dahi gadis itu. Masih suam-suam kuku.

"Demam lagi ke?" Zinnirah hanya angguk sebagai jawapan.

"Dah dua minggu Ji demam ni, tak nak pergi klinik?"

"Dua minggu tu demam on-off lah, Mus. Tak ada apalah, don't worry."

"Macam mana tak risau, Ji tu jarang sakit tau. Sekarang ni, kerap pula demam." Dahinya berkerut memikirkan perihal Zinnirah. Ada seorang adik pun boleh pening kepala.

"Yada yada. Dahlah, kawan Mus dah tunggu. Pergilah sana, bye bye." Kata Zinnirah sebelum bergerak menjauhi Mustaqim. Kantin sekolah ditujuinya.

"Petang ni turun, tengok match Mus!" Jeritan Mustaqim dapat didengari dan dia hanya melambai ke arah lelaki itu.

Sibuk je nak suruh tengok dia beraksi.

Bibir semakin lebar dengan senyuman apabila aroma makanan menusuk ke dalam hidungnya. Perut berkeriuk tanda lapar.

"Cik, saya nak nasi goreng kampung satu!"

Selalunya pada waktu zuhur begini, pekerja kantin memang menerima pesanan makanan seperti itu. Zinnirah yang selalunya mendengar percakapan orang, kini buat pertama kalinya dia dapat membuat pesanan di kantin dengan sendirinya.

New achievement unlocked!

-----

"Tadi kali pertama aku nampak adik kau, Mus. Selama 6 bulan rumors tentang kau, aku tak pernah ambil kisah pun. Tapi tadi, pergh cantik siut Zinnirah." Kata Acap sebelum sambung mengucah makanan di depannya.

Rakan satu tim hoki yang lain mengangguk tanda setuju. Sebelum ini walaupun desas-desas membicarakan tentang Mustaqim dan Zinnirah, mereka hanya buat tak tahu.

Hari ini bila lihat dengan mata kepala sendiri, mereka yang terkedu dan terpaku.

Subhanallah, indahnya ciptaan Tuhan.

Tapi sumpah dia tak tipu, cantiknya seorang Zinnirah yang dia tak pernah tahu kewujudannya sebelum ini.

"Alhamdulillah dia memang cantik, kau tengok je lah aku ni kacak macam mana. Nak lari ke mana kecantikan dia kalau bukan dari aku?" Gurau Mustaqim sebelum mereka tertawa besar sehingga mendapat jelingan daripada meja sebelah.

"Angkuh siut tapi aku tak nak menafikan apa yang kau cakap. Kalau yang cakap tu Acap, aku memang akan bangkang habis-habisan." Ayat Dani itu terus menyebabkan Acap tersedak air sirap laici ais.

"Apahal aku pula!" Dengusan kecil terlepas daripada bibir Acap.

"Yalah, kau dengan Mustaqim sangat berbeza. Bagai enggang dengan pipit, bagai langit dengan bumi."

"Jebon, muka kau pun macam bontot kuali kalau nak dibandingkan dengan Mus. Ada hati nak kutuk aku."

Kali ini, giliran Dani pula tersedak air liur sendiri mendengar balasan padu Acap. Redha je lah, dah memang betul pun.

"Dahla korang, merepek je banyak ni. Masa berjalan, kejap lagi kita dah kena balik sekolah. Game pukul 5.00 pm,jangan lupa." Tegur Mustaqim apabila perbualan mereka itu seperti tiada hala tuju hidup.

"Ala awal lagi bro." Kata Faiz yang lama berdiam diri.

"Memanglah awal, tapi kita belum solat zuhur ya anak-anak. Tiang agama jangan dilupakan." Kata Mustaqim sambil tersenyum kecil.

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan ke muncaknya adalah berjihad.” 
[Riwayat al-Tirmizi]

"Baik bapak, kami menurut perintah."
Terus tersembur tawa Mustaqim apabila mendengar jawapan serentak daripada kawan-kawannya itu.

Kalau dilayan, alamatnya sampai esok tak akan habis!

-----

"Tahniah! Padulah tim sekolah kita menang!" Kata Zinnirah yang duduk berteduh dibawah pohon rendang apabila Mustaqim datang ke arahnya.

Kedua-dua ibu jarinya dinaikkan, senyuman lebar tidak dapat dihapuskan dari bibir mungil itu. Dia gembira.

"Dia pula yang happy lebih daripada orang yang berlawan." Usik Mustaqim.

"Biarlah." Senyuman masih tidak lekang dengan matanya memandang ke arah gelanggang hoki yang sedang dikemas oleh pelajar di situ.

"Tak nak masuk sukan ke?" Tanya Mustaqim sebelum meneguk air mineral Zinnirah. Dahaga.

Peluh yang menitik turun daripada dahi juga turut dilap menggunakan belakang tangan.

"Tak nak. Lagipun minggu depan latihan kawad dah nak mula. Mus tahukan Ji lagi suka sertai kawad daripada sukan." Kali ini wajah berpeluh Mustaqim dipandang.

"Tahu, saja tanya. Mana tau Zinnirah Alwie tiba-tiba bertukar angin ke arah sukan pula."

"Lambert lagi lah Zinnirah Alwie nak bersukan."

"Tapi nanti latihan kawad pun lebih kurang bersukan juga. Lari keliling sekolah, pumping, lompat bintang kalau buat salah. So, tak ada beza pun."

"Ada beza okay! Mus jangan cakap kalau tak tahu." Abangnya diberi jelingan tajam. Sibuk saja mahu bercakap pasal aktiviti kawadnya. Potong kayu hoki dia baru tahu!

"Okay, baiklah. Patik mengaku kalah wahai tuan puteri. Apa kata kita berundur diri dan pulang ke rumah wahai tuan puteri? Jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang." Usik Mustaqim sekali lagi.

Zinnirah hanya mengendahkan sebelum jalan mendekati tempat parkir. Malas mahu melayan Mustaqim. Lebih baik dia memikirkan menu masakan makan malam nanti. Ada juga baiknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience