"KORANG berdua ni pergi mana hah? Dah pukul tujuh baru nak nampak batang hidung ke? Lagi tak terbenam matahari tu bukan tahu nak balik. Sama je macam baba kau."Â
Baru sahaja Mustaqim dan Zinnirah melangkah masuk ke dalam rumah, telinga mereka sudah dijamah dengan bebelan Puan Khalidah. Langkah mereka terhenti di depan pintu rumah. Zinnirah sudah menggenggam erat tangannya.
Keadaan mereka yang basah lencun akibat hujan tadi akan menjadi asbab bebelan mama bersambungan. Air daripada pakaian mereka yang basah mula menitik melembapkan tempat pemijak kaki di depan itu.
Mati kita Mus, mati!
"Zinnirah, aku tanya ni? Telinga kau letak di lutut ke?" Mata tua itu mencerlung memandang gadis yang basah kuyup. Hatinya semakin panas melihat keadaan itu.
"Tadi kitorang pergi rumah nenek je ma untuk hantar bihun sup. Lepastu hujan, kitorang tunggu kejap seb-"
"Menjawab! Sikit-sikit menjawab!" tempelak Puan Khalidah kuat menyebabkan Zinnirah menapak ke belakang beberapa langkah.
Jawab salah, tak jawab salah.
"Mustaqim masuk sekarang, mandi, nanti demam. Ni mesti si Zinnirah tu yang ajak mandi hujan, kalau tak, tak adanya lencun macam ni." Tuala yang tersangkut di belakang pintu bilik Mustaqim diambil dan dilap rambut anak lelakinya itu.Â
"Mana ada ma." Badan Mustaqim terus ditolak lembut menuju ke bilik air.
"Kau pergi tukar baju sekarang. Lepas tukar terus kau mop lantai ni sampai kering. Faham tak Zinnirah?" arahan dengan suara petir sudah menjadi kebiasaan pada halwa telinganya.
"Faham ma."Â
"Dahtu tunggu apa lagi? Cepatlah gerak!"
 Lengan Zinnirah ditarik kasar sebelum menolak gadis itu ke arah biliknya. Bibirnya mencebik tanda benci.
Kenapa kau perlu wujud? Menyusahkan aku.
Ungkapan itu hanya terluah di dalam hati Puan Khalidah. Dia terus bergerak masuk ke dalam bilik tidurnya dan Encik Alwie. Lebih baik dia menghadap dinding bilik daripada menghadap muka Zinnirah.
Zinnirah mengeluh perlahan sebelum tombol pintu kamar tidur dibuka. Tuala dibelakang pintu digapai lalu ditutup rapat dan dikunci. Badan dan rambut yang basah dilap sehingga kering lalu pakaian ditukar dengan ladar pantas.
Kalau lambat, mati dia nanti.
Baju basah dibawa keluar dan dimasukkan terus ke dalam mesin basuh. Mop yang tersangkut dalam stor diambil lalu terus bergerak ke ruang tamu. Lantai yang basah dimop dengan cermat sehingga kering. Kipas siling turut dibuka untuk mempercepat proses penyejatan.
Sesekali rambut yang masih lembab itu dihalakan ke arah kipas untuk dikeringkan.
"Assalamualaikum." Ucapan salam itu menyebabkan Zinnirah terus berpusing ke arah pintu utama yang sudah dibuka oleh babanya.
"Waalaikumsalam baba." Zinnirah tersenyum kecil.
"Ambilkan baba air suam Zinnirah."
"Baik baba."
Kakinya laju melangkah ke arah dapur. Mop diletakkan di tepi peti ais. Gelas kaca dicapai dan diisi dengan air suam yang diminta Encik Alwie. Bibirnya tersengih kecil apabila terlihat periuk sup yang dimasaknya tadi.
"Baba, ini air." Gelas kaca itu diletakkan dihadapan Encik Alwie yang bersandar di kerusi kayu itu. Babanya nampak letih.
"Hm." Hanya itu saja balasan yang diterima oleh gadis itu.
"Baba, harini Ji ada masakkan makanan kegemaran baba. Ji masakkan bihun sup tulang, nanti lepas solat baba makan ya." Zinnirah mula membuka cerita. Dia saja mahu berbasa-basi, dia mahu lebih rapat dengan baba.
"Hm."
Sekali lagi, itu saja balasan daripada Encik Alwie. Entah dengar entah tidak apa yang diperkatakan Zinnirah.
"Eh baba dah balik?" Teguran dari belakang itu menyebabkan Encik Alwie dan Zinnirah terus berpaling ke arah suara garau itu.
"Ya Mustaqim, harini lambat sikit sebab ada hal dekat kedai tadi." Terus senyuman tersungging di bibir tua itu.
"Oh faham, biasalah tu ba. InshaAllah nanti okay."
Encik Alwie hanya mengangguk mendengarkan ayat yang keluar daripada mulut anak lelakinya itu.
"Ji pergi mandi cepat, nanti tak sempat solat maghrib." Teguran Mustaqim menyebabkan Zinnirah tersentak seketika. Kepalanya diketuk perlahan supaya kembali ke realiti. Mustaqim hanya menggeleng kecil melihat keletah adik perempuannya.
Aduhai, macam budak-budak.
Eh kejap, kitorang sama umurlah.
"Mus tolong panaskan sup tu sementara Ji mandi boleh? Buka api kecil je, nanti lepas Ji siap mandi, Ji tutup."
"Okay, sekarang Ji pergi mandi cepat. Nanti demam." Mustaqim terus menolak badan itu ke arah bilik air yang berada di sebelah dapur.
"Sabarlah Mus, Ji belum ambil tuala di bilik. Kalut betullah dia ni." Zinnirah terus meninggalkan abangnya untuk mengambil tuala. Mustaqim hanya tergelak kecil.
"Sorry Ji, my bad!" Katanya cukup untuk pendengaran mereka berdua sebelum dia memanaskan sup dan kembali ke arah baba.
"Baba, jom kita solat jemaah."
"Jangan dimanjakan sangat Zinnirah tu Mustaqim. Nanti makin naik lemak dia tu. Baba tak suka cara kamu layan dia." Teguran daripada Encik Alwie itu menyebabkan dahi Mustaqim berkerut.
Manja? Tak suka?
"Ba, Mus layan Ji macam adik-beradik biasa. Lagipun, kami kan kembar?"
"Irish twin saja, bukan kembar betul pun." Encik Alwie terus bangkit dari duduknya dan bergerak ke kamar tidurnya.
"Ambil wuduk, kita solat di ruang tamu sekarang." Sayup-sayup kedengaran arahan babanya dari dalam bilik.
"Tapi Ji belum sudah mandi." Balas Mustaqim sebaik saja mamanya keluar dari bilik dengan siap bertelekung. Sejadah dihulurkan ke arah remaja lelaki itu untuk dihampar.
"Nak dapat pahala solat jemaah ke kamu nak tunggu adik kesayangan kamu tu Mustaqim?" Satu ayat yang keluar daripada mulut Puan Khalidah mampu menggerakkan badan Mustaqim untuk mengambil wuduk di sinki dapur.
Untunglah kaki panjang.
"Iqamat, Mustaqim."
Laungan iqamah dilaungkan sebelum solat mahgrib diimamkan oleh Encik Alwie.
Zinnirah yang baru saja melangkah keluar dari bilik air terus menutup api sup tulang. Kaki yang baru bergerak ke arah bilik tidur terus terasa digam dilantai. Matanya menatap memandang tiga ahli keluarganya yang sedang solat berjemaah di ruang tamu.
Sampainya hati, tak tunggu pun.
Tanpa melengahkan masa, Zinnirah terus memecut ke bilik lalu telekung yang tersangkut dicapai. Laju dia melangkah ke sebelah mamanya yang sedang membaca tahiyat awal.
Alhamdulillah, sempat nak berjemaah.
Masbuk pun, masbuk lah! Janji dapat pahala solat berjemaah.
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat. (Hadis Riwayat Muslim)
Selesai saja solat dan doa turut diaminkan, baba dan mama terus bangkit seusai saling bersalaman, meninggalkan Zinnirah yang masih di rakaat terakhir. Mustaqim hanya memerhati perbuatan orang tuanya sambil mengeluh perlahan. Wajah Zinnirah yang sedang membaca tahiyat akhir dikerling dengan hujung mata.
Hidung gadis itu memerah, mata terkedip-kedip dan bibir sedikit menggeletar seakan-akan bacaan tahiyat itu sukar untuk dibaca.
"Assalamualaikum warahmatullah."
Kepala dipusing ke sebelah kanan.
Allahumma inni asaluka ridhoka wal jannah.
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon keredhaan-Mu dan syurga-Mu.
Salam kedua diberi.
Waau'zubika min sakhkhatika wannar.
Aku memohon perlindungan-Mu daripada kemurkaan dan seksa neraka-Mu.
Muka diraup sebaik saja dia selesai salam.
Jeda, keadaan sunyi sepi.
Bibir bawah digigit perlahan sebelum tangan digenggam erat. Air mata yang ditahan sejak tahiyat tadi akhirnya tumpah sedikit demi sedikit. Mustaqim yang menyaksikan setiap perbuatan Zinnirah terus mendekati gadis itu. Telekung diselak sehingga kelihatan tangan kecil yang tergenggam erat. Mustaqim terus memegang perlahan tangan yang semakin sejuk.
"Why they hate me so much?"
Perlahan, sangat perlahan. Mustaqim yang mendengar hanya mendiamkan diri. Kepala adiknya yang menunduk diusap perlahan. Hatinya perit melihat Zinnirah seperti ini.
"Berapa jam lagi kau nak duduk atas sejadah tu Zinnirah? Tak reti-reti lagi nak hidangkan makanan ke?" Suara lantang itu mengejutkan Mustaqim dan Zinnirah yang masih berpegangan tangan. Air mata dipipi dilap dengan laju.
"Kejap ma, Ji pergi hidang sekarang."
Lantas, persiapan telekung dibuka dan diletakkan di kerusi kayu. Kakinya laju melangkah ke dapur. Segala bahan bihun sup dan kutleri dihidangkan di meja makan. Air teh panas dibancuh sementara menunggu ketibaan mereka di ruang makan.
"Makanlah mama, baba, Mus. Ji nak masuk bilik dulu ya. Tak sedap badan." Kata Zinnirah sambil tersenyum kecil.
"Ji belum makan lagi, jomlah makan sekali."
"Tak apa Mus, korang makanlah. Ji nak tidur dulu."
Dengan laju, dia melangkah ke bilik tidurnya.
"Mengada." Kata Puan Khalidah sambil mencurahkan kuah sup ke dalam mangkuk suaminya.
"Makanlah bang, Mus."
Sekali lagi untuk malam ini, Mustaqim mengeluh.
Share this novel