BAB 21

Drama Completed 23008

BONTOT periuk ditonyoh oleh Zinnirah dengan sekuat hati. Lengan baju kurung sudah disinsingkan sehingga ke siku manakala kain sudah ditanggalkan. Yang tinggal hanya seluar sukan.

Periuk-periuk di halaman belakang rumah ditatap seketika sebelum perbuatannya itu disambung dengan sepenuh hati.

Sental, sental, sental sampai tercabut tangan!

Kini jarum jam sudah menginjak pukul 6 petang. Sudah satu jam Zinnirah berada di belakang rumah ini. Waktu kenduri sudah tamat dan mereka perlu menyimpan dan mengemas barangan yang digunakan. Disebabkan itu, Zinnirah ada di situasi itu.

Cuci periuk dan kawah berkerak yang digunakan sejak pagi tadi. Kerak yang tebal itu kadang-kadang menipiskan perasaan sabarnya.

Zhafran dan Zulaikha masih melayan tetamu di hadapan dengan wajah yang gembira. Penat tapi cuba dilebarkan senyuman itu. Tak nak orang cakap pengantin baru sombong.

"Fuh, berat nak mampos." Mustaqim meletakkan sebesen besar pinggan daripada kenduri tadi di hadapan Zinnirah. Dia mengeliat ke kiri dan kanan, cuba membetulkan urat yang sudah tegang.

"Banyak lagi ke, Mus?" Tanya Zinnirah.

"Ada lagi 2 besen gelas dan 1 besen pinggan. Kejap lagi Mus nak pergi ambil." Jawapan Mustaqim itu menyebabkan rahangnya jatuh.

Banyaknya!

"Jangan risau, kejap lagi Mus tolong Ji."

"Eh tak perlu, Mus pergi buat benda lain. Jangan kacau Ji." Larang Zinnirah apabila mendengar cadangan abangnya itu.

Daripada ambil masa sekejap, boleh jadi makan masa kalau buat kerja dengan Mustaqim.

"Okay, Mus nak pergi ambil pinggan lagi. Bye!" Dengan pantas lelaki itu berlari ke halaman hadapan rumah, meninggalkan Zinnirah yang tercongok dengan jemari yang sudah kecut.

Hati merelakan kerja itu tapi badannya tidak memberi kerjasama yang jitu. Sesekali, Zinnirah berdiri untuk mengurangkan sengal-sengal di badannya. Kemudian, dia kembali menyental, mencuci dan menyurah air ke atas perkakas itu.

Periuk dan kawah yang siap dibasuh, disandarkan di dinding luar rumah. Bersih berkilat perkakas itu, seperti periuk yang baru dibeli. Pinggang diketuk perlahan dengan belakang tangan.

Ya Allah, lenguhnya. Macam nak putus.

Aktiviti itu disambung lagi dengan pinggan dan cawan yang memenuhi besen. Paip air disuakan kepada setiap besen. Dia memenuhinya dengan air untuk membuang sisa makanan yang masih melekat pada pinggan.

Satu demi satu pinggan diambil dan disabun dengan cermat untuk memastikam segala kotoran degil tertanggal.

Dalam khusyuk dia bermain air, sapaan dari belakangnya menyebabkan terkejut buat seketika. Kepala ditolehkan ke belakang sebelum senyuman kecil diberikan apabila melihat gerangan manusia itu.

Zulaikha. Ops, Kak Zulaikha.

"Akak buat apa kat sini, pergilah masuk dalam." Tegur Zinnirah dengan penuh sopan.

"Saja, nak tolong apa yang patut. Banyak lagi ke pinggan dan cawan tu?" Tanya Zulaikha dengan kepala dijengah ke luar bingkai pintu. Cuba melihat besen yang masih mengandungi air.

"Tak banyak dah, akak pergilah rehat dekat dalam."

"Banyak lagi tu, Ji. Akak tolong eh." Seusai saja dia berkata, terus kerusi kecil ditarik dan Zulaikha duduk bersebelah Zinnirah.

Mujur saja baju pengantinnya sudah berganti.

"Eh akak, janganlah. Akak tu pengantin baru, biar Ji yang basuh semua ni. Dah nak habis pun." Tegah Zinnirah buat sekian kalinya.

"Tak apa, biar akak tolong." Pantas tangan yang berinai merah itu menyabun gelas-gelas yang sudah direndam oleh adik iparnya.

Zulaikha hanya mengendahkan arahan Zinnirah dan melaksanakan pertolongannnya itu dengan rela hati. Tiada paksaan. Dia hanya kasihan melihat Zinnirah yang sudah kecut jari tangannya dek kerana bermain air berjam-jam.

"Akak..."

"Shh, cepat buat kerja. Lagi laju kita basuh, lagi awal kita boleh masuk rumah." Kata Zulaikha sambil tersenyum ceria ke arah Zinnirah yang sudah rasa bersalah.

"Okaylah." Akhirnya, dia redha dengan perangai kakak iparnya itu.

Suka hati kau lah, kak.

"Ya Allah Zu, kenapa basuh pinggan ni. Bangun-bangun, jom ke depan. Awak tu pengantin baru, tak perlu mencemar duli nak basuh segala." Teguran daripada Puan Khalidah mengejutkan mereka berdua.

Lengan menantunya itu dipegang lembut dan ditarik untuk bangun daripada terus bermain dengan air dan sabun itu.

"Tak apa, ma. Sikit je ni. Lagipun Zu nak tolong Ji, kesian dia sorang-sorang." Jawab Zulaikha sambil berdiri menghadap ibu mertuanya.

"Biarkan dia basuh sorang-sorang, jom-jom ke depan." Lengan Zulaikha terus ditarik menuju ke ruang tamu, meninggalkan Zinnirah keseorangan.

Mata Zinnirah bertembung dengan mata serba salah kakaknya. Zinnirah hanya tersenyum sebelum berkata 'tak apa'.

Secara tiba-tiba, tudungnya terasa dicengkam kuat sehingga dia terdongak menghadap langit. Dahi berkerut menahan sakit, pinggan di tangan terlepas.

"Kau ni kenapa eh, kenapa kau suruh menantu aku basuh pinggan!" Kata-kata Puan Khalidah itu menusuk masuk ke telinganya walaupun perlahan. Gigi tua itu diketap rapat menahan geram.

"Ma, Ji tak suruh pun. Akak yang datang nak tolong." Wajah tua itu cuba dipandang dengan wajah yang penuh kesakitan. Kepalanya terasa menyucuk apabila sanggulnya dan tudung bawal yang masih berjarum ditarik sekuat hati.

"Kau ni memang suka menyusahkan orang. Kau basuh semua ni, selagi tak habis jangan kau nak jejak kaki masuk rumah!" Serentak dengan itu, cengkaman itu dilepaskan. Terus ternaik tangan Zinnirah untuk mengusap kepalanya sendiri. Belum sempat dia berkata apa, dirinya sudah basah lencun disirami air sabun di dalam besen yang dia tadah.

Sampai hati mama...

"Lagi kau tak keringkan pakaian kau, jangan masuk rumah!" Wanita tua itu terus berlalu meninggalkan anak yang dibencinya itu.

Zinnirah mengeluh perlahan. Wajah diraup untuk mengelakkan air sabun daripada terus jatuh menitik.

Mulut itu bagaikan terkunci. Dia hanya berdiam diri dan meneruskan proses pencucian itu tanpa berhenti.

Dia sudah malas mahu berkata apa. Dirinya sentiasa dibenci, apa yang dia buat semuanya salah.

Pinggan dan gelas ditelangkupkan ke dalam besen itu dikeringkan sebelum ditolak ke tepi dinding.

Siap, alhamdulillah.

Badan diregangkan ke kiri dan kanan sebelum dia bangun menuju ke tengah halaman belakang rumah. Seluar yang basah diperah sekuat hati.

Baju dan tudung yang basah lencun itu menyebabkan Zinnirah mula menggigil kesejukan. Jari tangan dan kaki mula mengecut dan kedut.

Sejuk.

"Ji, masuk! Dah maghrib ni." Teguran daripada Mustaqim di muka pintu dengan pakaian baru itu menyebabkan Zinnirah tersentak seketika.

Zinnirah terus jalan mendekati lelaki itu.

"Tolong ambilkan tuala." Sengihan diberikan kepada Mustaqim.

"Kau basuh pinggan ke mandi ni, Zinnirah? Lencun!" Bebel Mustaqim.

"Cepatlah, Mus. Sejuk ni."

"Ya, kejap."

Sambil menunggu jejaka itu, matanya ditujukan ke dalam rumah. Kedengaran suara mama dan babanya bergelak ketawa gembira dari ruang tamu.

Zinnirah tersenyum kecil. Walaupun mereka tak pernah tersenyum pada dirinya tapi paling kurang dengan kehadiran Kak Zulaikha, mereka gembira.

Ralat.

Aku ni, anak angkat ke?

"Woi, nah pergi mandi sekarang. Mus dah ambil sekali dengan baju tu." Tuala itu melayang ke atas kepalanya. Zinnirah berdecit kuat.

"Terima kasihlah Mustaqim." Terus dia berlalu masuk ke dalam bilik air yang bersebelahan dapur.

Ergh sejuknya, macam mana nak mandi ni?

-----

Pintu bilik Zhafran diketuk.

"Masuklah." Jawapan itu menyebabkan Zinnirah terus memulas tombol pintu itu. Bilik abangnya dijengah. Bauan mawar memenuhi hidung.

"Ji kacau abang dengan kakak ke?" Tanya Zinnirah apabila melihat Zhafran dan Zulaikha yang selamba duduk di lantai, menatap hadiah perkahwinan mereka yang hampir memenuhi bilik.

"Tak adalah, mana kacau pun. Akak dengan abang tengah pikir nak letak mana hadiah-hadiah ni." Balas Zulaikha sambil menarik lengan Zinnirah untuk duduk di sebelahnya.

"Nah, hadiah untuk abang dan akak. Selamat pengantin baru, semoga berbahagia sehingga ke syurga." Ucap Zinnirah dengan senyuman lebar.

"Terima kasih Ji."

"Terima kasih adik abang. Meh sini kejap." Ruangan kosong di sebelah Zhafran ditepuk. Zinnirah terus mengikut arahan abangnya dan meninggalkan Zulaikha.

Tanpa berkata apa, badan adiknya itu dipeluk daripada tepi. Zinnirah terus membeliakkan mata dengan tindakan itu. Terus matanya tertancap mata Zulaikha yang sudah ketawa ayu di hadapan mereka.

"Abang, dahlah. Nanti akak cemburu." Kata Zinnirah dan sedaya upaya cuba membebaskan dirinya daripada dipeluk raksasa itu.

"Kejaplah, Ji kena menghayati momen sulung-bongsu ni. Jarang-jarang berlaku."

"Hm, ya lah." Terus dia membiarkan saja perlakuan abangnya tu. Kepala disandarkan pada bahu bidang lelaki itu.

Mata ditetapkan pada perlakuan Zulaikha yang masih mengemas hadiah-hadiah perkahwinan mereka.

"Akak cantik." Terlepas pujian itu daripada bibirnya sehingga menyebabkan Zulaikha tersipu malu.

"Abang, terima kasih berikan Ji seorang kakak. Terima kasih sangat-sangat." Pelukan abangnya dilepaskan sebelum dengan laju Zinnirah masuk ke dalam dakapan Zulaikha.

"Terima kasih akak sebab terima abang Ji yang bengong tu." Katanya sekali lagi.

"Hey, awak cakap abang bengong?" Terus terjegil mata mata itu mendengar percakapan adiknya.

Terus terhambur ketawa mereka bertiga. Bahagia, apa yang dia rasakan sekarang cuma bahagia tanpa ada apa-apa masalah.

"Okaylah, Ji nak keluar. Sorry kacau malam akak dan abang. Ji keluar dulu, bye assalamualaikum."

Terus Zinnirah menyalami dua gerangan itu sebelum menuju keluar untuk dapur ditujuinya.

Sebaik saja pintu ditutup, lengannya dicengkam kuat.

"Kau buat apa dalam bilik Zhafran?" Mencerlung mata itu memandangnya.

"Ji bagi hadiah pada abang dan akak."

"Kau ni memang muka tak tahu malu eh? Sampai nak kacau malam pengantin? Kau kenapa? Ada masalah hati ke?" Pedas ayat itu menikam jantung.

Bukan Ji yang ada masalah hati, tapi mama yang ada masalah hati!

Ingin saja dia jeritkan ayat itu dihadapan wajah itu namun dia tahan.

"Maaf." Pendek saja balasan kepada mamanya.

Lengannya cuba dilepaskan daripada genggaman Puan Khalidah. Lengan putih itu berbekas merah.

"Maaf, ma. Ji pergi dulu. Selamat malam." Terus dia berlalu meninggalkan wanita tua itu. Selera makannya mati. Dia mahu tidur. Ubatnya akan ditelan tanpa menjamah apa-apa.

Ah, lantaklah!

Puan Khalidah mengetap gigi sekuat hati.

Kurang ajar punya budak, siap kau nanti. Dasar anak derhaka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience