TW: Domestic Violence / Dera
DEMAMNYA masih tidak kebah. Kini sudah masuk minggu yang ketiga. Berbanding minggu-minggu yang lepas, badannya pada hari ini terasa sangat-sangat lemah.
Sakitnya makin teruk, dia tidak tahu kenapa. Kepala yang diserang pening sekali-sekala membuatkan dirinya terasa mual.
Jam di meja sisi dijenguk, 11.48 pagi. Dia perlu bangun dan masak makanan tengah hari. Hari ini hari cuti, jadi semua ahli keluarganya ada di rumah kecuali Zhafran.
Zinnirah menjeling sekilas ke arah cermin sebelum langkahnya terpaku ke lantai bilik. Meja solek didekati dan wajahnya disentuh perlahan. Ruam merah telah memenuhi di kedua-dua pipinya. Sekali lihat seperti bentuk rama-rama.
Kenapa pula tiba-tiba naik ruam ni? Zinnirah mengerutkan dahi tanda pelik. Jemarinya juga semakin bertambah saiz disebabkan bengkak. Sekali lagi, dia tidak tahu kenapa.
Dapur dituju, kesakitannya diabaikan buat seketika. Telinganya akan lebih sakit jika mendapat bebelan daripada mama yang seronok lepak di ruang tamu. Oleh kerana hari minggu, baba mengambil alih menjaga kedai dan mama dapat berehat di rumah.
Mustaqim? Entah ke mana perginya manusia itu. Mungkin ada latihan hoki di sekolah.
Ayam yang dikeluarkan sesudah subuh tadi sudah lembut. Jadi, Zinnirah mengasingkan kepada dua bekas. Satu untuk dimasak asam pedas dan sebekas lagi disimpan kembali ke dalam peti sejuk.
Ayam itu dibilas sekali lagi sebelum ditoskan. Bawang merah, bawang putih, cili kering yang direbus, serai, kunyit hidup, sedikit belacan dan air secukupnya dimasukkan ke dalam mesin pengisar lalu dikisar halus.
Minyak di dalam kuali dipanaskan sebelum dilempar masuk sebatang serai yang diketuk lalu dituang bahan kisar tadi. Beberapa asam keping dimasukkan untuk memberikan rasa masam.
Bahan dibiarkan menggelegak sebentar sebelum dimasukkan ayam dan ditambah air secukupnya.
Sementara menunggu ayam empuk dan mendidih, Zinnirah mencuci kacang bendi dan kepalanya dan ekornya dipotong sedikit.
Akhirnya, kacang bendi dimasukkan dan asam pedas itu turut diperasakan dengan garam dan MSG. Kuah di sudip dicalit dengan jari sebelum dibawa ke lidah untuk merasa. Keluhan di bibir terlepas juga akhirnya, deria rasanya tidak berfungsi ketika ini.
Api dikecilkan. Sudu diambil dan dengan berhati-hati, ruang tamu ditujui. Gerangan mamanya dilihat dengan dada yang berdebar-debar.
"Mama, tolong rasa kejap boleh?" Tegurannya itu menyebabkan Puan Khalidah mengalihkan pandangan daripada televisyen ke arah dirinya. Sudu disua berdekatan mamanya.
"Lidah kau tu dah mati sel ke sampai suruh aku rasa bagai?" Pedih sampai ke tulang ayat wanita itu tapi Zinnirah hanya mampu tersenyum menahan rasa.
"Dah okay." Sudu dikembalikan tanpa melihat wajah pucat tidak sihat anaknya itu.
"Terima kasih, mama." Terus dia berlari anak ke dapur. Tak sanggup berlama di situ. Karang orang makan nasi, dia makan hati.
Api ditutup dan Zinnirah terus mencari bekas untuk menyimpan asam pedas itu. Kabinet bawah dibuka sebelum matanya tertancap pada satu bekas kaca berwarna putih yang bercorak bunga kecil merah jambu.
Bekas itu diangkat dan apa yang Zinnirah rasakan ialah berat. Ya, bekas itu berat dengan keadaan sendi jemarinya yang sakit ketika itu.
Baru saja dibawa mendekati dapur gas, bekas kaca itu terlepas daripada tangan Zinnirah dan hancur berkecai di lantai. Dia tergamam, bawah bibir digigit perlahan.
Sendinya sakit, dia tak dapat bawa bekas itu. Mahu digenggam sudip dan pisau tadi pun sakit, apatah lagi mahu bawa bekas kaca itu.
Hatinya bergetar hebat apabila mendengar tapak kaki mamanya. Anak mata terus menatap ke arah lantai yang dipenuhi serpihan kaca.
"Ya Allah, kau buat apa ni Zinnirah?!" Jerkahan Puan Khalidah yang kuat menyebabkan Zinnirah terkejut dan hampir melompat ke belakang.
"Ma-maaf mama. Ji tak sengaja, Ji terpecahkan bekas kaca mama yang co-corak bunga pink tu." Jujur dia menjelaskan dengan nada perlahan dan gagap.
"Apa kau cakap? Bekas tu aku baru beli di Langkawi haritu! Kau ni kenapa bengap sangat Zinnirah!" Kuat suara itu menggetarkan tubuh Zinnirah. Matanya mencerlung memandang wajah yang terus-terusan menunduk. Hati Puan Khalidah terasa mendidih.
"Ma-maaf mama."
"Kau sini!"
Terus rambut gadis itu dicengkam dan ditarik mengikutinya. Tidak diendahkan langsung jika anak perempuannya itu terpijak kaca ataupun tidak. Amarahnya mendahului segalanya.
"Mama sakit." Pergelangan tangan mamanya dipegang. Tapak kakinya juga mula berdarah apabila dia terpijak kaca. Dahinya berkerut-kerut menahan sakit.
Pintu stor dibuka sebelum Zinnirah ditolak kasar dan jatuh terjelopok dia atas simen sejuk itu. Keadaan bilik yang gelap bertukar terang setelah suis lampu dipetik oleh Puan Khalidah.
Wajah itu merah menahan marah. Dia berang dengan perilaku Zinnirah. Sudah lama dia bersabar dia anak sial yang banyak menyusahkan dirinya.
Rambut yang berserabut Zinnirah tolak ke belakang dengan tangannya. Mata masih tidak lepas memandang wajah mama. Sesekali dia mengesot ke belakang apabila gerangan itu mendekat. Hatinya berasa tidak enak.
Puan Khalidah mendekat sebelum dicengkam kuat muka Zinnirah. Giginya dikertap rapat melihat wajah yang dibencinya itu.
"Wujudnya kau di dunia sangat menyusahkan aku, kau sedar tak? Kau sedar tak kau ni pembawa malang dalam keluarga ni!" Semakin kuat terasa cengkaman di pipinya. Kuku mamanya terasa mula terguris di pipinya.
Zinnirah hanya menggeleng dengan mata yang berbalam dengan air mata.
Pang!
Terteleng kepala gadis itu ke kiri.
Pang!
Kali ini, kepalanya berpaling ke arah kanan.
Pang!
Tamparan terakhir itu mengoyak hujung bibir mungil Zinnirah. Berdesis bunyi yang terkeluar menandakan dia sangat sakit.
"Mama, Ji minta maaf. Ji janji tak buat lagi, mama." Betis mamanya dipeluk erat. Dia betul-betul rasa bersalah kerana terpecahkan barang mamanya. Dia bersalah.
"Senang-senang kau nak minta maaf? Hey perempuan, semua benda yang kau buat, aku bencilah! Tak ada satu pun benda yang aku suka dalam diri kau."
"Tiap-tiap hari aku doa kau mati dalam rahim aku, tapi liat betul nyawa kau! Kau hidup sampai sekarang! Seksa jiwa aku dengan kewujudan kau!"
Akhir ayat itu, tubuh kecil itu ditendang kuat oleh Puan Khalidah. Perutnya terasa sangat senak, bibir menggeletar menahan sakit.
Tiada apa yang dia mampu balas, dia hanya mampu mendengar luahan kebencian mama terhadap dirinya.
"Disebabkan aku tiba-tiba mengandungkan kau, baba kau curang di belakang aku! Dia curang dengan perempuan yang lagi muda daripada aku. Semuanya sebab kau tiba-tiba wujud dalam kehidupan bahagia kami!"
Kayu hoki ditepi rak besi dipegang sebelum dihayukan di tubuh Zinnirah yang sudah terbaring tidak terdaya. Berkali-kali kayu itu dipukulkan ke badan Zinnirah seakan-akan deria sakit gadis itu sudah mati.
"Mama, sakit. Sakit, ma. Ji minta maaf, ma. Jangan pukul Ji lagi, ma. Sakit." Esakan kecil mula memenuhi bilik stor itu. Sakit itu tidak dapat ditahan. Bisa daripada kayu hoki itu benar-benar membuatkan badannya terasa seperti tidak bertulang.
Kayu hoki yang keras itu memang amat bahaya dan boleh membawa maut jik disalahgunakan. Tapi, mama nampaknya tidak menyalahguna kayu hoki itu.
Dia tersenyum sinis melihat Zinnirah kesakitan. Hati berasa gembira.
"Hubungan baba kau dengan perempuan tu tak lama. Kau ingat, aku akan biarkan orang lain rampas suami aku?" Matanya tajam menikam mata Zinnirah. Saja dia sambung bercerita walaupun gadis itu sudah terbaring seperti mahu mati!
Sedikit perasaan kesian pun tidak muncul apabila melihat wajah itu. Apa yang ada, kebencian yang semakin membara.
"Kau dengar sini Zinnirah, ini baru sikit. Kau buat masalah lagi, sampai mati aku kerjakan kau. Faham tak!" Jerkah Puan Khalidah.
Zinnirah tidak memberikan apa-apa respon. Kesakitan menyengat di seluruh badan.
"Aku tanya kau faham ke tak?!" Seusai jeritan itu, tubuh Zinnirah ditendang sekali lagi tanpa perasaan.
"Arghhh, sakit."
Kepala dianggukkan berkali-kali dengan air mata yang berjuraian. Sakitnya, Ya Allah. "Faham, mama."
"Kalau kau faham, kau pergi cuci kaca tu sekarang. Jangan bagi banyak alasan." Lengan longlai gadis itu ditarik kasar menuju ke dapur.
"Kemas!" Puan Khalidah berlalu ke bilik tidurnya. Ada hati yang perlu disejukkan.
Semakin lama, semakin banyak air mata Zinnirah yang jatuh. Esakannya juga kedengaran. Dengan langkah pincang, penyapu dan penyodok diambil sebelum disapu habis kaca yang berkecai.
Selesai saja, bilik ditujui dan dikunci dari dalam.
Mendayu-dayu esakannya di dalam bilik itu. Badannya terasa seakan lumpuh. Sakit, sangat sakit.
Ya Allah, kenapa mama membenciku sebegini rupa? Bukan keinginanku untuk wujud di muka bumi ini, Ya Allah. Kenapa mama tak pernah menerima takdir bahawa aku juga anaknya? Anak yang perlu dibelai dan disayangi seperti abang-abangku yang lain. Kenapa, Ya Allah? Kenapa? Kenapa... Aku, Ya Allah?
Share this novel