BAB 47

Drama Completed 23008

BEBERAPA bulan sudah berlalu, kini Zinnirah bakal menduduki peperiksaan besar pada esok hari. Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, STPM. Hati yang berdebar hebat hanya mampu ditenangkan dengan zikir-zikir.

Betul kata Absyar, apabila kita meletakkan sepenuhnya kepercayaan pada Allah, hidup akan menjadi lebih baik dan tenang. Hidupnya menjadi lebih baik sedikit dari yang sebelumnya.

Tentang coping mechanism yang dijanjikan bersama Mustaqim tempoh hari, kadang-kadang dia dapat tahan. Dan...kadang-kadang dia terbabas kerana setiap perkara yang bermain dengan mental adalah sangat tidak mudah.

Dia hanya manusia biasa yang boleh hilang kawalan pada bila-bila masa saja. Mimpi ngeri itu? Masih ada namun tidak sekerap dulu.

Zinnirah memang mengelak daripada bertembung dengan babanya di rumah. Jika terlihat wajah itu, badannya menggigil hebat. Jadi, dia hanya berkurung di dalam bilik dan hanya keluar jika diseru oleh mama.

Tenang, memang tenang sedikit daripada dulu. Namun, hati dan mentalnya tidak tenang selagi berada berdekatan dengan keluarganya. Hanya Nek Timah, pengubat hati kerana Mustaqim dan Zhafran telah jauh dari pandangan mata.

Hati sendiri sentiasa dipujuk supaya bertahan dan sabar, hanya sedikit saja masa sebelum dia dapat keluar dari rumah ini. Dia mahu sambung belajar dan lari jauh dari masalah yang dia hadap sekarang.

Lantaklah jika ada yang menggelarnya pengecut kerana mereka tidak pernah tahu apa yang dia rasa. Mereka tidak pernah hadap keseksaan yang bertubi-tubi terhadap dirinya. Mereka...hanya tahu bercakap seolah-olah diri mereka lebih baik daripada orang lain. Sehinggakan ada yang mengambil kerja Tuhan, menghakimi orang lain dengan sekali pandang.

Kejam kan manusia? Hanya memikirkan hati dan diri sendiri. Berlaku zalim kepada orang lain tanpa memikirkan apa yang bakal terjadi pada si dia. Akan traumakah dia? Adakah perkara itu akan diingati oleh si dia sampai mati? Bagaimana si dia mahu menjalani kehidupan selepas ini?

Soalan itu tak pernah sekali pun terlintas pada pemikiran manusia yang hanya tahu menghentam tanpa melihat kiri kanan. Apa yang mereka tahu, mereka puas dapat sakitkan orang.

Lupakah mereka akan satu hal yang telah Allah janjikan? Kifarah itu wujud. What comes around goes around. They cannot be too comfortable on their seat, kifarah is real.

Keluhan terlepas daripada bibir Zinnirah. Allah ada, Zinnirah. Allah ada. Percaya pada takdir Tuhan, semuanya sudah tertulis.

Dada itu diurut berkali-kali dan nafas ditarik dan hembus untuk menenangkan diri sendiri. Fikirannya itu kadang-kadang mencetuskan serangan panik terhadap dirinya. Jadi Zinnirah perlu kekal tenang.

Apabila keadaan menjadi sedikit reda, Zinnirah bangun daripada duduknya dan bergerak ke arah bakul kain yang sudah dilipat. Pintu almari dibuka, dia mahu menyusun pakaiannya.

Tangan itu tangkas melakukan kerja tanpa ada sedikit kekok pun. Sesekali bibir itu menyanyi kecil.

Nabi putra Abdullah, Nabiyullah Muhammad

Nabi kekasih Allah, Nabiyullah Muhammad

Maula ya sholli wasallim daa iman abada

Ala habibi khoiri kholqi kullihim

Manusia idolaku, Nabiyullah Muhammad

Manusia pujaanku, Nabiyullah Muhammad

Maula ya sholli wasallim daa iman abada

Bibir itu terhenti apabila matanya tertancap pada satu jaket yang elok tergantung.

Dari duduk, kini Zinnirah berdiri sebelum mengambil jaket itu dan dibawa keluar dari dalam almari.

Ini jaket Absyar... Jaket yang dia berikan setelah kejadian itu.

"Ah Zinnirah, kenapa kau tak pulangkan pada dia hari tu!" Zinnirah mengetuk perlahan kepalanya.

Hari di mana dia memasakkan bubur nasi dan sup sebagai bekal kepada lelaki itu, itulah hari yang sepatutnya dia mengembalikan jaket Absyar. Tapi, dia terlupa. Benar-benar terlupa.

Dia dan Absyar tidak pernah berhubung sejak kejadian itu. Baginya, buat apa perlu berhubung jika tiada perkara penting? Lagi pula, mereka tidak mempunyai nombor telefon masing-masing.

Media sosial? Zinnirah tidak aktif, dia hanya buka jika perlu. Kuno? Tidak. Malas? Ya.

Dia sentiasa mengingati pesanan abang sulungnya, Zhafran untuk sentiasa menjaga batas antara lelaki dan perempuan. Ikhtilat perlu dijaga sebaiknya tak kira secara berdepan ataupun di alam maya. Kerana apa? Kerana syaitan itu tidak akan berputus asa dalam menghasut selagi manusia itu tidak jatuh dalam tangannya.

Absyar itu ajnabinya. Jadi, bagaimana cara dia berhubung dengan lelaki itu?

Mustaqim! Ya, Mustaqim.

Telefon di atas meja belajar dicapai sebelum nama abangnya itu dicari. Hari ini hari sabtu, sudah semestinya lelaki itu terbongkang di atas katil pada ketika ini.

Telefon didekatkan ke telinga, menunggu panggilannya dijawab. Zinnirah menggigit kukunya dalam menunggu.

"Assalamualaikum, Mus." Terus tersengih wajah itu apabila mendengar suara bangun tidur Mustaqim.

I know you very well, my man!

-----

"Kenapa call pagi-pagi buta ni?" Mata ditenyeh sambil telinganya dijamah dengan tawa Zinnirah.

"Pagi buta? Sekarang dah pukul 12 tengah hari wahai Mustaqimku sayang." Zinnirah menyambung tawa kecilnya.

"Ish mana Mus perasan. Letih sangat study semalam." Jujur Mustaqim memberi alasan. Sejak menjejakkan kaki ke ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan, hidup Mustaqim berubah 180°. Sibuk itu sudah sebati dengan dirinya.

"Baik doktor, saya faham." Kata Zinnirah sambil tersengih.

"Errr Mus, Absyar ada?" Sambung Zinnirah. Jaket itu digenggam erat, risau dengan soalan Mustaqim nanti.

"Kenapa cari dia?" Berkerut dahi itu mendengar nama yang dicari oleh adiknya itu. Pelik.

"Ji ada hal sikit nak selesaikan dengan Absyar, tolong passkan phone ni pada dia boleh ke?" Pujuk Zinnirah sekali lagi.

Mustaqim masih mengerutkan dahi sambil matanya melilau mencari gerangan Absyar di bilik itu. Lelaki itu yang sedang khusyuk menghadap notanya di meja belajar terus didekati oleh Mustaqim.

"Sabar jap, Ji." Telefon terus dijauhkan sebelum bahu lelaki itu disentuh. Absyar terus memanggungkan kepalanya kepada Mustaqim. Kening dijungkitkan tanda pelik.

"Adik aku nak cakap dengan kau." Terang Mustaqim tanpa menghiraukan pandangan yang sudah berubah itu.

"Adik kau? Zinnirah ke?" Soal Absyar.

"Ya lah Zinnirah, aku mana ada adik lain." Jawab Mustaqim sambil menahan kantuknya.

"Kenapa dia nak cakap dengan aku?" Tanya Absyar sekali lagi. Kali ini, Mustaqim hanya menjongketkan bahu. Dia pun tidak tahu, macam mana mahu menjawab soalan Absyar?

Mustaqim dekatkan telefon ke telinga, "Ji, 5 minit ja. Jangan lebih." Telefon itu terus dihulurkan pada Absyar yang terkebil-kebil memandangnya.

"5 minit, Cad. Aku nak mandi jap." Terus Mustaqim berlalu ke katilnya. Tuala dan peralatan mandi diambil sebelum dia meninggalkan Absyar keseorangan di bilik itu.

Telefon pintar di tangan diperhati sebelum diletakkan ke telinganya. Jantung berdegup kencang menanti apa yang hendak diperkatakan oleh gadis itu. Berbulan-bulan mereka kembali ke keadaan asal tanpa apa-apa berita, tanpa apa-apa khabar. Namun sekarang, jantungnya sudah seperti mahu lari keluar daripada rusuknya sendiri.

"Assalamualaikum, Zinnirah." Absyar memberanikan diri untuk menegur gadis itu terlebih dahulu.

"Waalaikumsalam, awak." Salam dijawab bersahaja namun tangan gadis itu sudah berpeluh hebat. Ah, darah gemuruhnya sentiasa menyebabkannya jadi begini.

"Ada apa awak nak bercakap dengan saya ni?" Terus disoal gadis itu tanpa perlu dilambat-lambatkan keadaan. Sudahlah Mustaqim hanya memberikan 5 minit kepada mereka.

"Oh, jaket awak masih ada pada saya. Macam mana saya nak kembalikan pada awak ya?"

"Jaket? Yang mana satu?" Dahinya berkerut cuba mengingati jaket yang diperkatakan oleh Zinnirah.

"Jaket yang awak beri pada saya pada...pada malam tu...tepi laut...err awak ingat, kan?" Hendak bercakap soal keadaannya pada waktu itu agak tidak okay bagi diri Zinnirah. Kalau boleh, dia tidak mahu mengingati betapa sakitnya rasa menelan air laut yang masin itu. Betapa gelapnya keadaan dalam laut itu.

"Oh that jacket, awak simpan dulu boleh? Bila tiba masanya saya tuntut." Tersengih Absyar dengan jawapannya sendiri.

"Kenapa?"

"Sebab locker saya dah penuh." Bohong Absyar.

"Oh ya ke? Okay, saya akan simpan elok-elok jaket awak." Kata Zinnirah sebelum menyangkut kembali jaket itu pada tempat asal.

Suasana menjadi hening tanpa apa-apa bicara.

"Zinnirah." Seru Absyar.

"Ya?"

"Terima kasih untuk bubur hari tu. Sedap sangat." Belakang lehernya diusap perlahan, menahan malu dengan ayatnya.

"Oh bubur tu, alhamdulillah kalau sedap. Saya masak tu main campak-campak je sebab awak dah nak balik. Mujur saja sedap." Petah bibir itu berbicara sehingga menyebabkan Absyar tergelak kecil.

"Thank you for your concern. Dan untuk surat awak tu—" Belum sempat Absyar menghabiskan ayat, Zinnirah terus memotongnya.

"Sorry awak, saya ada hal. Okay bye, assalamualaikum."

Absyar hanya ketawa kecil sebelum meletakkan telefon Mustaqim di atas mejanya.

Surat yang terselit di dalam buku rujukannya ditarik dan diperhati lama dengan senyuman kecil.

Surat itu diberikan oleh Zinnirah, sekali dengan bekal makanannya berbulan yang lalu. Surat itu hanya tanda terima kasihnya kepada Mustaqim, tiada langsung bait-bait cinta daripada gadis itu. Hanya tulisan dan ayat seperti karangan SPM, namun Absyar tetap tersengih seperti orang tak betul acap kali membaca surat itu.

Parah sudah Absyar kali ini.

Baginya, gadis itu...sangat comel.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience