PULANG BAB 7 : FLASHBACKS 4 TERBANG

Romance Completed 15710

“ALONG… Aku kena ikut dia balik sana,” luah Arisya perlahan, suaranya hampir tenggelam dalam keheningan malam. Dia duduk di buaian besi, memeluk lutut sambil merenung gelapnya halaman.

Arish yang duduk di sebelah hanya mampu menghela nafas. “Kau dah jadi isteri dia, Memang la kena ikut,” ucapnya, namun nada suaranya tidak setegas biasa. Dia tahu, kata-katanya itu pahit untuk ditelan.

Dari jauh, kelihatan langkah perlahan Puan Zahira menuju ke arah mereka. Wajahnya tenang, tetapi sorotan matanya penuh makna. Dia tahu anak kembarnya sedang berperang dengan perasaan sendiri.

“Arish… Sya… Buat apa duduk luar malam-malam ni?” tegurnya lembut sambil duduk di kerusi batu bersebelahan buaian.

“Sembang kosong je, ibu,” jawab Arish, cuba menyembunyikan keresahannya.

Puan Zahira mengangguk perlahan. “Sya, Arish… Sekarang ni Sya dah bersuami. Suami tu tanggungjawab, kena utamakan dia dulu. Ibu dan ayah dah besarkan kamu berdua dengan baik jadi jangan kecewakan kami.” Ujar Puan Zahira berbaur nasihat dan ugutan halus.

Arisya hanya diam. Senyuman yang dipaksa terukir di bibirnya, namun hatinya terasa pedih.

“Barang dah siap kemas?” soal Puan Zahira lembut, memecahkan kesunyian yang mulai merantai mereka.

Arisya menggeleng perlahan.

“Pergilah kemas. Esok pagi nak bertolak, kan?” ujar ibunya lagi, kali ini tangannya mengusap rambut anak gadisnya penuh kasih.

Arisya bangun perlahan, namun sebelum melangkah masuk, dia sempat memandang Arish. Mata redupnya seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu sesuatu yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.

Arish hanya memerhati, hatinya dipagut resah. Jika Arisya benar-benar tidak bahagia, dia bersumpah, apa pun yang terjadi dia sendiri akan bawa keluar adik kembarnya dari hubungan yang tak pernah diminta itu.


KUALA LUMPUR INTERNATIONAL AIRPORT.

KAWASAN lapangan terbang sesak dengan manusia yang berlalu-lalang, tetapi di hati Arisya, segalanya terasa sunyi. Dia berdiri kaku di hadapan skrin besar yang memaparkan jadual penerbangan, namun fikirannya melayang jauh bukan ke destinasi yang bakal dituju, tetapi ke kehidupan yang telah dirampas daripadanya.

"Arisya." Suara Encik Shamsudin kedengaran dari belakang, nadanya seperti cuba menarik kembali perhatian anaknya yang jelas tenggelam dalam dunia sendiri. Ghan turut memandang kelakuan Arisya.

Arisya tidak berganjak. Dia masih memaku pandangan pada skrin di hadapannya, seolah-olah mencari jawapan yang tidak pernah wujud.

Arish yang berdiri di sisi akhirnya mendekat. "Ngah… Kau dah fly ke mana ni? Ayah panggil pun kau tak dengar." Bisiknya perlahan di telinga adik kembarnya.

Barulah Arisya menoleh, wajahnya kosong tanpa sebarang riak. Namun, dalam matanya, Arish dapat melihat luka yang cuba disembunyikan.

Tanpa sepatah kata, Arisya mengatur langkah mendekati kedua-dua orang tuanya. Dia menyalami tangan mereka, tapi hatinya… hatinya masih terluka. Luka yang mungkin tidak akan sembuh dengan mudah.

Sejak kecil, dia berimpian mahu menjadi doktor haiwan, tetapi bagi Encik Shamsudin dan Puan Zahira, itu bukan masa depan yang mereka inginkan untuk anak perempuan mereka. Maka, hanya kerana satu keputusan yang tidak selari dengan kehendak mereka, hidupnya diubah dalam sekelip mata dipaksa menerima perkahwinan ini tanpa sempat mempertahankan dirinya.

"Ingat pesan ibu, jangan kecewakan kami di sini," pesan Puan Zahira sekali lagi, suaranya penuh harapan yang menikam jantung Arisya.

"Okey." Itu sahaja jawapan yang mampu Arisya beri, pendek, ringkas, tetapi kosong.

Dia memandang sekeliling, berharap kalau-kalau Farisya tiba-tiba muncul dan menggantikan tempatnya tetapi itu tidak berlaku. Ini bukan mimpi yang boleh dia bangunkan diri dan mengubah segalanya.

Langkahnya terasa berat saat dia melangkah masuk ke balai berlepas. Namun, sebelum pintu memisahkan mereka, dia sempat menoleh ke arah Arish, mengangkat tangan dalam lambaian terakhir, menghadiahkan senyuman manis yang penuh kepalsuan.


ENJIN pesawat bergema perlahan, tanda ia sudah bersedia untuk meninggalkan lapangan. Arisya duduk di tepi tingkap, memandang kosong ke luar. Bangunan-bangunan bandar Kuala Lumpur semakin mengecil, perlahan-lahan ditelan awan.

Di sebelahnya, Ghan duduk dengan santai, tetapi sesekali mencuri pandang ke arah isteri yang baru dinikahinya. Keadaan antara mereka begitu senyap dan terlalu senyap, hingga deru enjin kapal terbang terasa lebih bising dari biasa.

Arisya menarik nafas panjang sebelum menyandarkan kepalanya pada kerusi. Dia langsung tidak menoleh ke arah lelaki di sebelahnya, apatah lagi untuk memulakan bicara. Baginya, Ghan hanyalah seorang asing yang tiba-tiba muncul dan mengambil alih seluruh kehidupannya.

Ghan akhirnya bersuara, memecah keheningan. “ nak minum ?” tanyanya perlahan, nadanya neutral, seolah-olah mencuba untuk tidak menyinggung perasaan Arisya.

Arisya sekadar menggeleng tanpa menoleh.

Ghan menekan butang untuk memanggil pramugari sebelum memesan air kosong untuk dirinya sendiri. Sambil menunggu, dia kembali merenung Arisya.

“Aku tahu kau tak nak kahwin dengan aku,” ujar Ghan tiba-tiba, nadanya tidak beremosi, tetapi cukup untuk membuatkan Arisya menoleh sedikit.

Dia ketawa kecil, sinis. “Kalau awak tahu, kenapa tetap teruskan?”

Ghan tidak terus menjawab. Dia menyilangkan tangan di dada, merenung ke hadapan sejenak sebelum akhirnya bersuara. “Sebab bukan aku yang buat keputusan ini”

Arisya mendengus perlahan sebelum kembali memandang ke luar. Dari awal dia menaruh harapan supaya Ghan membatalkan pernikahan itu.

Arisya menghela nafas. Matanya cuba ditutup rapat , fikirannya lebih berserabut dari tadi.

Dan di situ, dalam ketinggian ribuan kaki di udara, mereka berdua duduk bersebelahan bukan sebagai suami isteri yang saling mencintai, tetapi sebagai dua insan yang terperangkap dalam perkahwinan yang mereka sendiri tidak pasti akan ke mana akhirnya.

Pesawat terus meluncur membelah awan dengan lancar dan sepi, tetapi suasana antara Ghan dan Arisya lebih sunyi daripada seluruh kabin yang sepi. Mereka duduk bersebelahan, tetapi bagaikan terpisah oleh jurang yang tidak terlihat.

Arisya memeluk tubuh sendiri, bersandar pada kerusi dengan wajah yang kosong. Dia tidak mahu berbicara, tidak mahu cuba mengenali lelaki di sebelahnya. Baginya, perkahwinan ini bukan sesuatu yang perlu dia terima dengan hati terbuka. Jika dia tiada pilihan untuk menolak, maka dia juga tidak akan memberi ruang untuk lelaki ini masuk dalam hidupnya.

Ghan pula masih diam, hanyut dalam fikirannya sendiri. Fikirannya masih memanggil satu nama, Farisya. Wanita yang sepatutnya menjadi isterinya. Wanita yang telah berjanji kepadanya sejak sekian lama, tetapi akhirnya digantikan dengan seseorang yang tidak pernah dia fikirkan.

Arisya menjeling sedikit ke arah Ghan, melihat lelaki itu termenung jauh. Dia tahu, suaminya itu sedang memikirkan orang lain. Dan sejujurnya, dia tidak kisah. Jika lelaki ini punya hati untuk wanita lain, maka itu lebih baik kerana dia sendiri tidak mahu menyerahkan hatinya kepada seseorang yang bukan pilihannya.

Ghan sedar akan pandangan itu, tetapi dia tidak menoleh. Tiada gunanya memulakan perbualan dengan seseorang yang tidak mahu berada di sisinya.

Masing-masing membiarkan diri larut dalam perasaan sendiri. Arisya dengan luka yang tidak terubat dan Ghan dengan kenangan yang masih melekat.

Di situ, dalam ketinggian ribuan kaki, dua jiwa yang dipaksa bersama memilih untuk menjauhkan diri, tenggelam dalam rasa yang tidak pernah mereka suarakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience