PULANG BAB 6: FLASHBACKS 3 IJAB & QABUL

Romance Completed 15562

HUJAN renyai sejak semalam masih belum berhenti. Suasana pagi yang sejuk membuatkan Ghan sedikit gugup. Sudah dua hari dia sampai ke tanah Semenanjung, namun wajah Farisya belum sekali pun ditatapnya. Semua urusan perkahwinan mereka diatur sepenuhnya oleh Farisya, atas permintaan gadis itu sendiri. Ghan tidak pernah mencurigai keputusan tersebut.

Sementara itu, di balai berlepas lapangan terbang, Farisya duduk sendirian. Hari ini, sepatutnya dia menjadi isteri seseorang, tetapi dia memilih jalan yang berbeza. Pandangannya kosong, menatap layar maklumat penerbangan tanpa benar-benar membacanya.

Di rumah pengantin perempuan, Arisya termenung di hadapan cermin meja solek. Wajahnya tampak sugul, walaupun dihiasi dengan solekan yang sempurna. Air mata hampir menitis, tetapi segera diseka dengan tisu. Perkahwinan ini bukan sesuatu yang diimpikannya. Dia terperangkap dalam sebuah keputusan yang tidak pernah dia jangkakan.

"Ngah, kau masih sempat ubah fikiran," pujuk Arish, kembarnya, dengan nada penuh harapan.

Arisya menggeleng perlahan. "Tak apa, lagi beberapa minit saja," balasnya, suaranya hampir bergetar.

TOK! TOK!

Ketukan di pintu menyentak mereka. Puan Zarina menjengah masuk.

"Sya, dah siap?" soal ibu mereka lembut.
Arisya hanya mengangguk.

"Arish, bawa Sya keluar. Ibu ada hal kejap," pesan Puan Zarina sebelum berlalu pergi.

Arisya menarik nafas panjang. Dia melangkah perlahan ke arah Arish, yang sudah sedia menunggu. Hari ini dia mengenakan kebaya labuh putih yang anggun, lengkap dengan tiara dan veil bertemakan warna emas. Arish pula segak berbaju Melayu kuning cair, dipadankan dengan samping songket.
Arish menghulurkan tangan. Arisya menyambutnya erat. Langkah mereka seiring menuju ke pelamin, tetapi genggaman Arisya di tangan Arish tidak dilepaskan.

"Duduk sini. Temankan aku," bisik Arisya perlahan.

Arish mengangguk tanpa bantahan.

Di ruang utama, semua tetamu sudah berkumpul. Tuan kadi memandang ke arah pasangan pengantin dan para saksi.

"Baik, semuanya sudah ada di sini. Pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali, dan saksi," ujarnya, memastikan kesediaan mereka.

Encik Shamsudin, ayah Arisya, berpaling ke arah Ghan dan menghulurkan tangan.
"Abdul Ghani bin Ahmad," serunya dengan tenang.

"Saya," sahut Ghan mantap.

"Aku nikahkan dikau dengan anakku, Arisya Hajar binti Shamsudin, dengan mas kahwin sebanyak dua ribu ringgit tunai," lafaz Encik Shamsudin, melaksanakan ijab.

Tanpa ragu, Ghan menyambut dengan yakin. "Aku terima nikahnya Arisya Hajar binti Shamsudin dengan mas kahwin yang tersebut."

Para saksi mengangguk tanda setuju.

"Alhamdulillah," ucap tuan kadi, lalu memulakan bacaan doa.

Di sebalik tabir senyuman yang dipamerkan kepada tetamu, hati Arisya masih bergolak. Dalam tempoh beberapa minit, takdirnya telah berubah. Tetapi... adakah ini benar-benar keputusan yang tepat?

"Tahniah," bisik Arish di telinga Arisya, namun gadis itu masih terpaku. Hakikat bahawa dia kini bergelar seorang isteri terasa begitu asing dan sukar diterima.

"Ya Allah... bantu aku selesaikan semua ini dengan baik," doa Arisya perlahan, cukup untuk didengari oleh Arish.

Ghan melangkah mendekati mereka. Tanpa sepatah kata, dia mengambil tempat di sisi Arisya, menggantikan Arish yang hanya mampu memerhati. Wajahnya cuba dipaksa tersenyum, namun di sebalik riak tenang itu, hatinya penuh tanda tanya dan kekecewaan.

Dengan tangan sedikit menggigil, Ghan menyarungkan cincin ke jari manis Arisya. Cincin itu terasa longgar seperti mana longgarnya keyakinan dirinya terhadap apa yang sedang berlaku.

Saat itu, telefon di dalam poketnya bergetar. Sebuah mesej masuk daripada Farisya. Mesej terakhir.

"Maaf, Ghan. Saya tak mampu."

Berkali-kali dia cuba menghubungi Farisya sejak dari awal selepas menerima pesanan pertama, namun hanya suara robotik dari peti suara yang menyambutnya.

Ghan menarik nafas panjang. Satu demi satu kepingan teka-teki mula terbentuk di fikirannya. Ini bukan lagi satu kebetulan. Farisya telah merancang sesuatu dan dia, tanpa rela telah menjadi sebahagian daripada permainan ini.

Namun, apa lagi pilihannya?

Akhirnya, dengan hati yang berat, Ghan memilih untuk meneruskan permainan Farisya. Hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya dia saat itu.


"KENAPA Farisya buat saya macam ni?"
Suara Ghan kedengaran sayu dalam keheningan malam. Dia berdiri di tengah bilik, menatap Arisya yang duduk di birai katil.

Arisya tidak menjawab. Pandangannya kosong, seolah-olah soalan itu tidak layak untuk dia jawab. Nafasnya terasa berat. Tanpa sepatah kata, dia bangkit dan melangkah ke bilik mandi, menutup pintu di belakangnya.

Di hadapan cermin, Arisya menatap wajahnya sendiri. "Macam mana aku nak hadapi semua ni?" bisiknya perlahan.

TOK! TOK!

"Buat apa lama-lama dalam tu? Aku nak guna pulak," suara Ghan bergema dari luar.

Arisya tersentak. Dia menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri sebelum melangkah keluar. Pakaian tidurnya sudah lengkap, dan dia langsung tidak memandang Ghan.

Malam mereka berlalu dalam kesunyian.
Tanpa sepatah kata, Ghan mencapai bantal dan selimut, lalu membaringkan diri di sofa. Dia tidak mahu memaksa keadaan, tidak mahu menambah kekusutan yang sudah cukup menyesakkan dada.

Di katil, Arisya memejamkan mata, tetapi tidurnya tidak lena. Dalam bilik yang sepatutnya menjadi tempat permulaan bahagia, hanya kedinginan yang menyelimuti mereka berdua.


CAHAYA matahari pagi mula menembusi langsir, mencipta bayang-bayang samar di dalam bilik yang masih sunyi. Bunyi burung berkicauan di luar jendela tidak mampu menghilangkan suasana dingin yang masih menyelimuti ruangan itu.

Arisya menggeliat perlahan di atas katil, matanya masih berat. Namun, sebaik menyedari situasi sebenar, dia pantas duduk tegak. Di sofa, Ghan masih berbaring, tetapi tubuhnya sudah bergerak sedikit, tanda dia juga mula sedar.

Bunyi deringan telefon memecah kesunyian. Arisya mencapai telefonnya di meja sisi dan melihat nama yang terpapar di skrin Farisya.

Jantungnya berdegup kencang. Jari-jarinya menggeletar sebelum akhirnya dia menekan butang hijau dan meletakkan telefon di telinga.

“Sya…” suara Farisya kedengaran di hujung talian, lemah dan penuh rasa bersalah.

Arisya menggigit bibir. Dia memandang sekilas ke arah Ghan yang kini sudah duduk, wajahnya serius menunggu reaksi Arisya.

“Kau di mana?” tanya Arisya, suaranya lirih.

Farisya terdiam seketika sebelum menjawab, “Jauh dari semua ni…”

Ghan bangkit dari sofa dan menghampiri Arisya, cuba mencuri dengar perbualan. Arisya berpaling, cuba mengelak daripada bertembung mata dengan lelaki itu.

“Aku tak boleh lama. Cuma… aku nak minta maaf,” sambung Farisya, nada suaranya semakin perlahan.

Arisya mengetap bibir.
Sebelum Arisya sempat bertanya, talian tiba-tiba terputus.

Arisya terkedu. Tangannya menggenggam erat telefon, perasaannya bercampur baur.

Ghan menghela nafas panjang, jelas kecewa. “Dia tinggalkan aku tanpa penjelasan. Sekarang dia hubungi kau pula?”

Arisya tidak membalas. Dia sendiri keliru.

Arisya melangkah keluar dari rumah, mencari udara segar. Kepalanya terasa berat sejak pagi tadi, penuh dengan persoalan yang tiada jawapan. Dia tahu hidupnya sudah berubah sejak semalam, tetapi dia masih belum bersedia untuk menerimanya.

Di halaman rumah, Arish sedang duduk di kerusi kayu, sibuk mengemas sesuatu dalam beg galasnya.

“Along…” Arisya memanggil perlahan.

Arish mendongak, memandangnya dengan dahi berkerut. “Kau ni kenapa? Muka macam orang hilang arah.”

Arisya mengeluh kecil, lalu melabuhkan duduk di sebelah kembarnya. “Aku rasa macam mimpi.”

Arish tersenyum sinis. “Memang mimpi pun, Cuma bezanya kau tak boleh bangun dan lari.”

Arisya mengetap bibir, tidak suka mendengar kebenaran itu. “Aku tak tahu nak buat apa.”

Arish menutup zip beg galasnya dan berpaling sepenuhnya ke arah Arisya. “Kau tahu apa yang kau kena buat, Cuma kau tak nak.”

“Aku tak tahu nak buat apa bila ibu push aku macam aku ni bersalah, macam aku dah tak ada pilihan lain selain kahwin.”

Arish menghela nafas panjang. Dia kehilangan kata dan mula mushkil dengan apa yang terjadi..

Arisya diam.

Arish bersuara, “Kau kena fikir jangka panjang. Kau dah sah jadi isteri dia. Nak tak nak, kau kena belajar hidup dengan dia.”

Arisya meramas jemarinya sendiri, keresahan semakin menggigit dada. “Tapi kalau aku tak boleh?”

Arish mengangkat bahu. “Kau ada dua pilihan. Satu, kau cuba terima. Dua, kau lepaskan.”

Arisya menoleh tajam. “Ibu dan ayah takkan benarkan aku buat pilihan kedua.”

Arish mengangguk perlahan. “Jadi kau dah tahu jawapannya.”

Mereka sama-sama terdiam. Angin pagi bertiup lembut, mengusik dedaunan di halaman rumah. Arisya menunduk, cuba mencari ketenangan dalam hatinya yang masih bergolak.

Arish mencapai botol air di sebelahnya dan meneguk sedikit sebelum bersuara, “Ngah… hidup ni tak selalunya ikut apa yang kita nak. Tapi kita kena pandai sesuaikan diri. Kalau tak, kita yang akan terseksa.”

Arisya mengeluh. “Mungkin aku perlukan masa.”

Arish mengangguk setuju. “Ambillah masa. Tapi jangan terlalu lama sampai kau sendiri yang terperangkap.”

Arisya menoleh ke arah Arish, melihat wajah kembarnya yang seakan lebih matang dalam menilai situasi. Dia tahu Arish ada benarnya.

Cuma hatinya masih belum bersedia untuk menerima hakikat itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience