PULANG BAB 24 : Siapa Farisya?

Romance Completed 15562

BUNYI kokokan ayam memecah keheningan pagi. Matahari mula menyinari ufuk timur, membiaskan cahaya hangat ke seluruh rumah. Arisya melangkah ke dapur mencari Puan Halimah yang sudah bersiap sedia untuk ke tempat kerja.

“Haa, Sya… hari ni mama tak sempat nak sarapan sama sebab ada program dekat klinik. Abah pun dah keluar ride dengan kawan-kawan dia. Nanti Sya makan dengan Ghan saja, okey?” ujar Puan Halimah panjang lebar, membuatkan Arisya tidak sempat menyampuk.

Arisya diam seketika, memerhatikan wanita itu yang sedang menyusun bekas makanan ke dalam beg. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya.

“Ma, Sya minta maaf…”
Perlahan, suara Arisya meniti di bibir.

Puan Halimah mengangkat wajah, menatap menantunya dengan kehairanan.

“Maaf? Kenapa pula?”

Arisya menggigit bibir, menundukkan kepala.

“Sebab Sya tak ingat pasal mama dengan abah.”
Nada suaranya penuh rasa bersalah. Dia cuba mengingati, cuba merungkai setiap kenangan di rumah ini, tetapi otaknya tetap kosong.

Puan Halimah tersenyum kecil. Tangannya terulur, menepuk lembut pipi Arisya.

“Eh, bukan salah Sya pun. Dah memang ini yang ditakdirkan. Mama percaya, ini yang terbaik untuk Sya dan Ghan.”

Arisya mengangguk perlahan. Hatinya terasa sedikit lapang dengan kata-kata itu.

“Jom, mama nak gerak dah.”

Arisya segera menghulurkan tangan, bersalam dan mencium tangan ibunya.
“Hati-hati drive, ma.”

Di muka pintu, dia memerhatikan kereta Puan Halimah bergerak meninggalkan perkarangan rumah.


“Eh, mama pergi mana awal sangat?”
Suara serak baru bangun tidur menyapa telinganya.

Arisya menoleh sekilas. Ghan.
Dengan rambut serabai dan mata yang masih tampak layu, lelaki itu berdiri di belakangnya.

Arisya tidak menjawab. Dia hanya berpaling dan terus melangkah masuk ke bilik.

Namun, langkahnya diekori Ghan.
“Sya, marah abang ke?”

Tiada jawapan.

Arisya terus berjalan, enggan melayan pertanyaan itu. Hatinya masih keliru dengan banyak perkara, kehadiran Ghan hanya membuatkan emosinya semakin bersimpul.

Belum sempat Arisya melangkah masuk ke dalam bilik, tubuhnya dihalang oleh lelaki itu.

Ghan berdiri tegak di hadapan pintu, menghadap Arisya dengan renungan tajam.

“Sya, abang tanya ni…”

Arisya menarik nafas panjang. Matanya bertemu dengan mata Ghan sebelum dia mengeluh lelah.

“Kalau saya jawab ya? Awak nak buat apa? Marah?” Nada suaranya sedikit geram mengenangkan ketelanjuran mereka pada malam tadi.

Ghan tidak menjawab. Sebaliknya, dia mendekatkan wajahnya sedikit.

“Mulai saat ni, abang cuma nak dengar panggilan ‘abang’ saja. Dan Sya ada dua pilihan. Sama ada nak bahasakan diri sebagai Sya atau… sayang.” Matanya tidak berkelip memandang Arisya, menanti jawapan.

“What?” Dahi Arisya berkerut.

“Pilihan ada dua saja…” Ghan semakin mendekat, menekan Arisya dengan kehadirannya.

Arisya melarikan anak mata, cuba mencari ruang untuk melepaskan diri. Namun, sebelum dia sempat mengundur, tangannya sudah dicapai Ghan dan tubuhnya terdorong ke dinding berhampiran pintu masuk bilik tetamu.

“Abang!” Arisya cuba meronta, tetapi Ghan sudah meletakkan kedua-dua tangannya di kiri dan kanan Arisya, memerangkapnya di antara dinding dan tubuhnya sendiri.

Matanya penuh dengan teka-teki.
“Abang tunggu jawapan.”

Jantung Arisya berdegup laju. Lelaki ini… betul-betul menguji kesabaran hati !

“Okey, fine. Saya pilih Sya. Haa, puas hati?!” Arisya menjeling tajam.

Ghan tersenyum menang.

“Okey… tapi abang nak tukar panggil sayang pulak.”

Sebelum Arisya sempat membalas, Ghan mencondongkan badan sedikit seraya mencium pipinya.

Sekelip mata, lelaki itu sudah berundur ke belakang dengan senyuman nakal sebelum melangkah pergi.

“Thank you, I love you sayang.”

Arisya melopong.

Wajahnya terasa panas. Tangannya secara refleks menyentuh pipi yang baru saja disentuh bibir Ghan.

“Abang!!”

Namun, lelaki itu sudah hilang ke bilik tetamu sebelum Arisya buat sesuatu padanya.

Dengan rasa geram, Arisya segera masuk ke biliknya.

“Arghhh! ”

Hatinya menjerit dengan sebal.

SELESAI makan tengahari, Arisya duduk termenung di luar rumah.
Angin petang yang berhembus lembut tidak mampu meredakan kekusutan di kepalanya. Sejak dia tersedar daripada kemalangan, ingatannya masih kabur. Dia tertanya-tanya, mengapa begitu sukar untuk mengingati masa lalu?

Adakah kerana hidupnya sebelum ini terlalu pedih hingga otaknya memilih untuk memadam kenangan itu buat selama-lamanya?

Berkali-kali Arisya mengeluh.

“Apa yang mengeluh tak berhenti tu?”
Suara Ghan tiba-tiba menyapa dari belakang.

Arisya tersentak sedikit sebelum menoleh. Ghan sudah pun duduk di sebelahnya di atas kerusi rehat.

"Sya nak abang jujur dengan Sya."
Mata Arisya tajam menatap wajah suaminya.

"Ju... jujur apa?"
Ghan tergagap sedikit. Nada tegas Arisya membuatkan jantungnya berdebar, mengalahkan perasaan ketika diasak jurulatihnya semasa latihan di akademi dahulu.

"Jujur tentang hubungan kita sebelum Sya kemalangan."

Arisya berpeluk tubuh, menanti jawapan.

Ghan mengerutkan dahi. "Kenapa?"

Arisya terus menyambung, "Kenapa abang tak nak terus terang dari awal tentang hubungan kita?"

Ghan cuba tersenyum, walaupun hatinya dipagut resah.

"Abang cuma nak sayang terima abang dengan rela hati… sebab sayang betul-betul cintakan abang, bukan sebab terpaksa."

Kening Arisya berkerut. "Terpaksa?"

"Hmm…" Ghan menarik nafas panjang.
"Abang tahu abang banyak buat salah dengan sayang. Sebab tu abang nak sayang jatuh cinta dengan abang secara ikhlas."

Arisya terkedu. "Jadi… kita kahwin bukan sebab cinta ke?"

Diam.

Ghan menggeleng perlahan sebelum menundukkan diri, melutut di hadapan Arisya.

"Apa yang abang boleh cakap sekarang… I love you so much." Dia menatap mata isterinya dengan penuh harapan.

Arisya cuba mencari kejujuran dalam pandangan Ghan. Dadanya berombak, perasaannya bercampur baur.
Tiba-tiba, satu nama terlintas dalam kepalanya. "Siapa Farisya?"

Ghan tersentak.

Wajahnya berubah serta-merta, seperti baru dipanah petir.

"Sayang kenal Farisya ke?" Suara Ghan kedengaran serak.

Arisya menggeleng. "Tak, tapi Sya jumpa surat sekali dengan cincin dalam laci abang."

Mata Arisya mengecil, memerhatikan perubahan reaksi suaminya.

Ghan menarik kedua tangan Arisya ke bibirnya. Dia menarik nafas dalam sebelum membuka mulut.
"Farisya… is your best friend and my ex-girlfriend."

Arisya terkedu.

Ghan memejamkan matanya sebelum mengucup tangan isterinya dengan penuh rasa bersalah.

Arisya memerhati lelaki itu, cuba menghadam kata-kata yang baru didengarnya. "Dia perempuan seksi yang peluk abang tu, kan?"

Nada suaranya mendatar, tetapi di dalam hatinya, ada sesuatu yang mencengkam kuat.

Ghan mengangguk perlahan.

Arisya menghela nafas, mendengus kecil sebelum menarik tangannya kembali.
"Dah agak dah."

Tanpa menunggu, dia terus bangun dan melangkah pergi, meninggalkan Ghan yang masih terduduk di lantai, keliru mencari ayat yang tepat untuk menjelaskan segalanya.

Ghan meraup wajahnya dengan kasar.

"Ya Allah… apa aku nak buat ni…"
Suara hatinya merintih, namun jawapannya masih samar-samar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience