PULANG BAB 4: FLASHBACKS 1

Romance Completed 15562

FLASHBACK: DUA TAHUN LALU

LANGIT petang di Bumi Kenyalang membiru indah, ditemani angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapu lembut wajah Arisya Hajar. Dia menghela nafas panjang, memandang ke arah sahabat baiknya, Farisya Zulaika, yang berjalan riang di hadapannya.

"Kau ni, Farisya. Takkanlah setiap kali kau keluar dating, aku pun kena ikut sekali? Nanti apa kata boyfriend kau?" bebel Arisya, langkahnya malas mengekori dari belakang.

Farisya menoleh, tersengih. "Alaa, kau ikut jelah. Kita kan dekat tempat orang. Aku tak nak keluar berdua je dengan dia. Rasa tak selamat."

Arisya menggeleng kepala. Entah sudah kali ke berapa dia menjadi 'bodyguard' tidak rasmi kepada Farisya setiap kali perempuan itu keluar bertemu dengan Ghan, lelaki yang kononnya teman istimewa tetapi tidak pernah benar-benar diambil serius.

Ketika kelibat Ghan mula menghampiri, Arisya mengambil peluang untuk duduk di kerusi berhampiran trek jogging. Dari jauh, dia memerhati pasangan itu berjalan bersama.

"Bagai pinang dibelah dua," bisik hatinya. Seorang cantik, seorang kacak. Serasi.


LAMARAN DI TAMAN REKREASI

"Awak rapat betul dengan kawan awak, ya?" usik Ghan, senyum terukir di bibirnya. Matanya melirik ke arah Arisya yang duduk sendirian di kerusi, kelihatan sibuk menggulung straw di tangannya. "Sampai keluar dating dengan saya pun awak bawa dia sekali?"

Farisya ketawa kecil, cuba menyembunyikan debaran yang tiba-tiba hadir. "Dia bodyguard saya."

Ghan menggeleng perlahan, masih tersenyum sebelum kembali memandang Farisya dengan pandangan yang sukar ditafsir. Sekelip mata, nada suaranya berubah serius.

"Tahun depan saya nak masuk meminang awak."

Langkah Farisya mati serta-merta.

"Tapi kalau boleh, saya tak nak bertunang. Saya nak terus kahwin."

Dada Farisya berdegup kencang. Udara di sekeliling terasa berat, menyesakkan ruang paru-parunya. "Awak ni biar betul?"

"Saya serius." Tangan Farisya ditarik lembut, memaksa gadis itu menatap wajahnya. Mata Ghan penuh harapan. Ada ketegasan, ada keyakinan.

Farisya menelan liur. Dia tahu lelaki ini baik. Sentiasa ada untuknya. Tidak pernah sekalipun membuatkan dia rasa terabai. Tetapi…

Hatinya tidak pernah ada untuk Ghan.

Dia mengetap bibir. "Err... macam mana ya? Tak boleh ke tangguh dulu?"

Kening Ghan berkerut. "Kenapa nak tangguh? Kalau kita dah cukup serasi, kenapa nak buang masa?"

Serasi?

Farisya tergagap. Tangannya meramas jemari sendiri, mencari kekuatan. Arisya memandangnya dari jauh, seolah-olah cuba membaca situasi.

Dia tahu dia perlu jawab sesuatu.
"Nantilah... saya fikir dulu."

Tanpa menunggu, dia segera berpaling, melangkah meninggalkan Ghan. Jiwanya tidak tenteram. Hatinya berkecamuk.
Kerana selama ini, dia tidak pernah menganggap Ghan sebagai lelaki yang akan menjadi suaminya.

Kerana di hatinya, ada seseorang yang lain.

Farisya berjalan pantas, cuba menjauh sebelum Ghan sempat menahannya lagi. Hatinya tidak tenang, fikirannya bersimpang-siur.

Kenapa tiba-tiba nak masuk meminang?
Dia menggigit bibir, cuba meredakan debaran yang semakin menghimpit dada.

“Farisya.”

Langkahnya terhenti apabila Ghan tiba-tiba muncul di hadapannya, menghalang laluannya. Wajah lelaki itu masih tenang, tetapi matanya tajam menikam.

“Kenapa awak nak tangguh? Atau sebenarnya… awak tak pernah serius dengan saya?”

Farisya tersentak.

“Saya… saya tak maksudkan begitu.”

“Habis tu apa maksud awak? Saya dah lama ada dengan awak, Farisya. Saya tak pernah minta lebih daripada apa yang awak sedia beri. Tapi kali ini saya nak kepastian.”

Nada Ghan sedikit berubah.

Farisya mengetap bibir. Selama ini, dia memang selesa dengan kehadiran Ghan. Lelaki itu selalu ada, selalu memahami, tidak pernah mendesak. Dan itulah yang membuatkan dia tidak pernah mengambil serius hubungan mereka.

Sebab bagi dia, Ghan akan sentiasa ada.
Tapi dia silap.

Ghan sedang menuntut jawapan. Dan dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya.

Akhirnya, dia menghela nafas panjang.
“Ghan… bagi saya masa” rayu Farisya.

Ghan tersenyum dan mengangguk setuju.

DI BILIK ASRAMA: KERESAHAN FARISYA

Malam itu, Farisya duduk termenung di meja belajar bilik asramanya. Dari tadi, dia tidak melakukan apa-apa selain mengeluh, berkali-kali, seolah-olah dunia sedang menghimpitnya dari segala arah.

Arisya yang sibuk menyiapkan tugasan mula berasa terganggu. Dia mengangkat wajah, memandang Farisya dengan dahi berkerut.

“Kau ni dah kenapa? Dari tadi asyik mengeluh je.”

Farisya berpaling perlahan. "Kau tahu tak, Ghan nak ajak aku kahwin tahun depan?"

“What?!” Arisya ternganga. Pen di tangannya hampir terjatuh.

Farisya bangun, melompat ke atas katil dan menekup wajah ke bantal sebelum menjerit perlahan. "Aku tak nak la!"

Arisya masih tergamam. “Then? Apa jawapan kau?”

Farisya mengeluh lagi. "Aku tak tahu macam mana nak tolak."

Arisya menghela nafas berat, meletakkan pen di atas meja sebelum beralih menghadap Farisya. “Farisya... kau ni. Tak baik mainkan hati orang. Ghan tu dah cukup baik layan kau sepanjang kita dekat sini.”

Farisya memandang siling bilik. Kata-kata Arisya menikam ke dalam hati. Dia tahu sahabatnya betul. Tetapi… bagaimana dia mahu mengakui sesuatu yang selama ini cuba dia nafikan?
Bahawa dia tidak pernah menyayangi Ghan seperti mana lelaki itu menyayanginya.

Hatinya sudah lama terpaut pada seseorang yang lain.
Dan Ghan?
Ghan hanyalah seseorang yang datang di saat dia memerlukan bahu untuk bersandar.

Farisya menarik nafas dalam, cuba menenangkan kekusutan di fikirannya. Namun, semakin dia cuba, semakin sesak dadanya.

“Aku tak pernah bagi harapan kat dia, kan?” suaranya perlahan, seakan cuba meyakinkan dirinya sendiri.

Arisya menjeling tajam. “Kau tak tolak pun.”

Farisya terdiam. Itu kenyataan yang dia tidak mampu sangkal.

Selama ini, dia biarkan saja kehadiran Ghan dalam hidupnya. Bukan kerana dia cintakan lelaki itu, tetapi kerana Ghan sentiasa ada sebagai pendengar, sebagai sahabat, sebagai seseorang yang membuatkan dia merasa disayangi.

Tapi sekarang, apabila Ghan mahukan lebih daripada itu…

Farisya mengetap bibir. Dia tidak mahu teruskan perancangan Ghan tapi dalam masa yang sama dia tak mahu kecewakan lelaki itu.

Farisya menutup mata seketika, sebelum membuka kelopak matanya kembali. “Esok aku akan cakap dengan dia.”

Hatinya masih berdebar, tetapi kali ini bukan kerana dilema tetapi kerana keputusan yang akhirnya dia buat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience