1 April – 4:30 Petang
GHAN berdiri di tengah taman rekreasi, matanya liar mencari kelibat seseorang. Berkali-kali dia menoleh ke arah jam di tangan, lalu tangannya pantas menekan skrin telefon.
Talian bersambung.
“Hello, abah. Ghan tak sempat singgah airport hantar Arisya. Ada hal sikit.”
Nada suaranya kedengaran tergesa-gesa.
“Kenapa pula? Hal apa lagi?” soal Encik Ahmad, jelas tidak berpuas hati.
“Adalah… penting. Okey, bye!” Ghan cepat-cepat menamatkan panggilan sebelum bapanya boleh membantah lebih lanjut.
Di lapangan terbang…
Encik Ahmad menghela nafas panjang, telefon dalam genggaman diletakkan di atas ribanya. Puan Halimah yang duduk di sebelahnya memandang dengan riak tidak puas hati.
“Kenapa?”
“Anak awaklah. Dia tak dapat datang hantar Arisya. Entah apa yang lebih penting dari tanggungjawab dia sebagai suami.”
Puan Halimah menggeleng perlahan. Matanya jatuh pada wajah Arisya yang sejak tadi hanya tersenyum kelat, seolah-olah sudah menjangka.
“Tak apalah, abah. Sya dah nak boarding pun ni… dah lewat dah.”
Arisya tersenyum, meskipun senyumannya itu tidak sampai ke mata. Dia menghulurkan tangan, memohon restu.
“Sya minta maaf kalau ada salah dan silap sepanjang Sya ada dekat sini. Halalkan makan minum Sya, mama… abah.”
Encik Ahmad menggenggam erat tangan menantunya, wajahnya penuh penyesalan.
“Abah yang patut minta maaf… sebab anak abah tak jalankan tanggungjawab dia sebagai suami.”
Nada suaranya berat, seakan ada sesuatu yang menghimpit hatinya.
Air mata yang cuba ditahan akhirnya jatuh jua. Puan Halimah segera menarik Arisya ke dalam dakapan.
“Ingat pesan mama… fikirkan diri sendiri dulu, okey?” bisik Puan Halimah lembut sambil menepuk pipi menantunya.
Arisya mengangguk, senyumannya semakin kelat.
Langkahnya perlahan meninggalkan ruang perpisahan itu. Setiap tapak yang diatur terasa berat, namun dia tahu ini permulaan baru dalam hidupnya.
Untuk kali terakhir, dia menoleh. Melihat wajah dua insan yang telah melayannya dengan penuh kasih sayang.
Tangannya diangkat… satu lambaian terakhir sebelum dia melangkah masuk ke balai berlepas.
Sementara itu di taman.
"Hai, lama tunggu?"
Suara itu menyapa Ghan yang masih ralit menatap skrin telefonnya. Dia mengangkat wajah perlahan, matanya bertemu dengan seraut wajah yang suatu ketika dahulu begitu dinantikannya.
Tetapi… tiada apa.
Jantungnya berdetak seperti biasa. Tiada debaran. Tiada getaran yang pernah dia sangka akan hadir jika Farisya muncul semula dalam hidupnya.
Berbeza ketika bersama Arisya.
Hingga ke saat terakhir sebelum dia membiarkan Arisya pergi, wajah itu tetap menghadirkan satu perasaan aneh dalam dirinya.
Adakah dia tersalah menilai selama ini?
Farisya menarik nafas dalam, cuba mengumpul keberanian.
"Ghan, first of all… saya nak minta maaf untuk semua perkara yang dah terjadi."
Dia menunduk sebentar, jemarinya saling bertaut di atas pangkuan sebelum dia kembali bersuara.
"Arisya tak salah dalam hal ni. Semuanya salah saya yang selfish. Saya cuma minta tolong dia ganti sementara… tapi saya tak jangka akan berlarutan sampai macam ni."
Dia berdiri, seakan tidak mampu menahan debaran di dadanya.
"Saya yang rancang semua ni, Ghan. Sebab… saya tak pernah suka awak pun. Saya dah bertunang masa study dulu."
Pengakuan itu membuatkan jari-jari Ghan mengepal perlahan.
"Arisya selalu suruh saya berterus terang, tapi saya tak sanggup. Saya ingat masa akad nikah hari tu, awak akan protes sampai tak jadi kahwin. Tapi saya tak sangka awak teruskan juga," tambah Farisya, mencuri pandang ke arah Ghan yang masih membisu.
Ghan menarik nafas perlahan.
"Apa yang awak dah buat sampai family dia boleh setuju dengan rancangan awak?" Soal Ghan curiga.
Farisya terdiam. Menelan liur. Seakan ada batu yang menghimpit kerongkongnya.
"Sebenarnya… bulan lepas saya dapat email daripada kembar Arisya. Dia ugut nak ambil tindakan undang-undang kalau saya tak selesaikan apa yang saya dah buat dulu."
Ghan menoleh pantas.
"Apa yang awak dah buat sebenarnya, Farisya?" Ada getaran dalam suaranya.
Farisya menarik kerusi, kembali duduk mengadap Ghan.
"Ada dua sebab. Pertama, saya yang kantoikan dekat parents Arisya pasal dia tukar course. Mereka tak suka. Tapi itu… masih boleh selesai."
Farisya menggigit bibir.
"Kedua?" desak Ghan.
Farisya menunduk. Suaranya sedikit bergetar.
"Saya yakinkan ibu dia… dengan cerita palsu."
Dada Ghan berombak laju.
"Cerita apa, Farisya?" Hati Ghan mula tidak senang.
Farisya mengangkat wajah, matanya penuh penyesalan.
"Sa… saya kata… awak nak bertanggungjawab sebab dah terlanjur dengan Arisya." Jawab Farisya tergagap.
Astaghfirullahalazim! Terpancul kuat istighfar dari mulut Ghan.
Ghan menutup wajah dengan kedua-dua tangan, cuba mengawal amarah yang sedang membuak-buak mendengar punca sebenar.
"Ghan, saya minta maaf."
Farisya cuba menyentuh tangan Ghan, namun lelaki itu pantas menepis. Dia terus bangun, menjauhkan diri.
"Ghan, please let Arisya go."
Rayuan Farisya tidak memberi kesan langsung kepada Ghan yang kini sudah membelakanginya.
"Kau sedar tak apa yang kau dah buat ni?"
Suara Ghan rendah tetapi penuh amaran.
"Ya, saya tahu saya salah. Tapi please… Arisya tak tahu pun pasal benda ni. Dia terlalu lembut."
"Sebab dia lembut, kau senang-senang ambil kesempatan atas dia? Kawan jenis apa kau ni?"
Nada suara Ghan semakin meninggi. Nafasnya turun naik, menahan marah yang hampir meletus.
"Benda dah lepas, kan? Awak pun bukan suka Arisya. Arish dah ugut saya macam-macam, dia dah cerita yang awak langsung tak layan Arisya dengan baik. Jadi untuk apa awak nak simpan dia lagi?"
Farisya mencuba helah terakhirnya, namun kali ini Ghan hanya tersenyum sinis.
Dia sudah buat keputusan.
Nafas ditarik dalam, sebelum dia menghembuskan dengan kasar.
"Pandai-pandailah kau, Farisya. Tapi satu benda kau kena tahu, aku tak akan sesekali lepaskan Arisya!"
Dengan itu, Ghan terus melangkah pergi.
Farisya terduduk. Air matanya jatuh.
Dia menjerit kuat, menyesali kebodohan diri sendiri.
GHAN duduk termenung di dalam kenderaannya, jari jemarinya menggenggam erat stereng. Fikirannya kusut. Wajah Arisya bermain di benaknya, setiap memori tentang wanita itu menghantui dirinya.
Bagaimana dia boleh begitu buta selama ini?
Bagaimana dia boleh tidak menyedari kehadiran Arisya bukan sekadar pengganti, tetapi sebenarnya lebih dari itu?
“Astaghfirullahalazim… apa yang buat aku buta sangat selama ni?!”
Dia menghempas tangannya ke stereng dengan kasar. Nafasnya turun naik, menahan gelora emosi yang semakin menghimpit dada.
Tanpa berlengah, dia segera mencapai telefon. Jari-jarinya pantas menekan simbol ‘call’ di skrin.
Tuut… tuut…
Hanya voicemail yang menyambut.
Sekali.
Dua kali.
Berkali-kali.
Tetap sama.
"Hello, abah. Sya dah naik flight ke?" Suaranya sedikit cemas ketika bapanya menjawab panggilan.
“Dah. Flight Sya pukul enam kan? Sekarang dah pukul berapa dah.”
Ghan diam. Tangannya menekan dahi, kepalanya terasa sakit menanggung rasa yang bercampur baur.
Di rumah, Encik Ahmad menutup pintu kereta 4x4 miliknya dan berjalan masuk bersama Puan Halimah.
“Siapa? Ghan?” soal Puan Halimah.
“Ha’ah. Tiba-tiba saja call tanya Arisya.”
Puan Halimah menggeleng perlahan.
“Buang tebiat agaknya.”
Sejak bila Ghan peduli di mana Arisya pergi? Selama ini, dia langsung tidak pernah bertanya. Tetapi sekarang, saat semuanya sudah terlambat, barulah dia mencari?
Di Dalam Kereta
Ghan masih di tempatnya. Matanya masih tertumpu pada skrin telefon. Entah berapa kali pesanan mesej dihantar kepada Arisya.
"Sya, call saya balik bila dah sampai."
"Arisya, saya nak cakap dengan awak. Tolong jawab."
"Please… saya perlu jumpa awak."
Tapi, tetap sepi. Tiada sebarang balasan.
Tangannya lemah, telefon itu terlepas dari genggaman.
Untuk pertama kali dalam hidupnya, dia merasa kehilangan yang begitu menyakitkan.
Tanpa sedar, air matanya jatuh.
Selama ini, dia dingin. Tidak pernah menangis kerana wanita.
Tapi hari ini, dia tewas.
Share this novel