ARISYA duduk bersandar di sofa, memicit perlahan buku lalinya yang masih terasa sengal. Dia memandang ke arah dapur, melihat Ghan sibuk menyenduk sup ayam ke dalam mangkuk. Gerak-geri lelaki itu terlalu selesa, seolah-olah sudah biasa.
Dia menjeling cincin di jarinya. Betul ke aku ada hubungan dengan dia? Kenapa aku tak ingat langsung?
Ghan kembali ke ruang tamu dengan dulang di tangan, meletakkannya di atas meja kecil di hadapan Arisya. Bau sup ayam yang panas segera memenuhi ruang, membuatkan perutnya berbunyi perlahan.
“Awak masak sendiri ke?” soalnya, cuba mengalih perhatiannya daripada perut yang lapar.
“Takkan jiran sebelah pulak?” balas Ghan selamba. “Saya tahu Sya suka sup ayam.”
Arisya mengerutkan kening. “Mana awak tahu?”
Ghan tersenyum kecil, tapi ada sesuatu dalam matanya yang sukar ditafsir. “Sebab sebelum ni… awak selalu masakkan untuk saya.”
Arisya terkedu. Ada sesuatu dalam kata-kata itu yang membuatkan hatinya bergetar, tetapi dia tidak mahu menunjukkannya.
“Saya boleh makan sendiri,” katanya, cuba mengambil sudu.
Tapi Ghan lebih pantas. Dia mencedok sup, meniup perlahan supaya tidak terlalu panas, kemudian menyuakan sudu itu ke mulut Arisya.
“Eh, tak payah la. Saya boleh makan sendiri.” Arisya menolak, cuba menjauhkan wajahnya.
“Sya, awak kan kena rehat. Makan elok-elok.”
Arisya menarik nafas dalam, cuba mengawal rasa tidak selesa. “Saya… saya tak biasa macam ni. Lagipun, kita ni…”
Ghan mengangkat kening, menantikan ayat seterusnya.
“…kita ni… apa sebenarnya?”
Soalan itu membuatkan tangan Ghan terhenti. Dia meletakkan sudu perlahan, memandang wajah Arisya yang jelas sedang mencari jawapan.
“Apa maksud awak?” soalnya perlahan.
Arisya menjeling cincin di jarinya. “Saya tak ingat hubungan kita. Tapi cara awak layan saya ni… macam kita ada sesuatu. Tapi saya tak nak salah faham.”
Ghan diam seketika. Dia kelihatan seperti ingin berkata sesuatu, tetapi kemudian dia mengubah fikiran.
“Awak cuma perlu tahu yang saya akan jaga awak,” kata Ghan akhirnya.
Arisya mengetap bibir. “Tapi kenapa? Siapa saya pada awak sebenarnya?”
Ghan tersenyum nipis. “Seseorang yang penting.”
Jawapan itu membuatkan hati Arisya bercelaru. Dia mahu bertanya lebih lanjut, tetapi sebahagian dirinya takut dengan jawapan yang mungkin dia akan terima.
“Jadi… makan, ya?” Ghan menyuakan sudu sekali lagi.
Arisya menjeling tajam. “Saya boleh makan sendiri, encik Ghan. Jauh sikit, boleh?”
Ghan ketawa kecil tetapi akhirnya menyerahkan sudu itu. “Baiklah, cik Arisya.”
Arisya pura-pura mencebik, tetapi dalam diam, dia tahu ada sesuatu yang Ghan sembunyikan. Dia perlu tahu… siapa sebenarnya lelaki ini dalam hidupnya?
ARISYA masih termenung di sofa selepas selesai makan. Ghan pula sibuk mengemas meja, mencuci mangkuk sup di dapur. Walaupun dia tidak selesa dengan cara Ghan melayannya seperti seorang isteri, dia tidak boleh menafikan satu perkara lelaki itu sangat menjaga dan mengambil berat tentangnya.
Tapi kenapa? Siapa aku pada dia sebenarnya?
Arisya menekan skrin telefonnya, membuka nota yang pernah ditulis oleh Arish sebelum ini. Dia mencari nama “Ghan,” tetapi yang dia jumpa hanya satu perkataan ringkas dalam kurungan sweetheart.
Jantungnya berdegup laju. Apa maksudnya ni?
“Awak tengah fikir apa tu?”
Suara Ghan mengejutkannya. Arisya segera menutup skrin telefon dan menoleh ke arah lelaki itu, yang kini berdiri bersandar di dinding dengan tangan bersilang.
“Tak ada apa-apa.” Dia cuba mengelak.
Ghan mengangkat kening. “Awak nampak macam ada soalan.”
Arisya teragak-agak seketika sebelum akhirnya bersuara. “… kita ni siapa sebenarnya?”
Ghan terdiam. Wajahnya tenang, tetapi mata itu ada sesuatu di dalamnya.
“Kita… seseorang yang penting dalam hidup masing-masing,” jawabnya perlahan.
Arisya mengetap bibir. “Tapi saya tak ingat apa-apa. Saya tak ingat hubungan kita. Awak pun tak pernah terus terang.”
Ghan menarik nafas perlahan. Dia melangkah mendekati Arisya, lalu duduk di sofa bertentangan dengannya.
“Sya, saya tak nak paksa awak ingat sesuatu yang awak belum sedia.”
“Tapi awak tetap layan saya macam kita ada sesuatu...” Suara Arisya sedikit bergetar. “Macam… kita suami isteri.”
Ghan tersenyum nipis. “Awak rasa macam tu?”
Arisya memandang cincin di jarinya. “Saya tak tahu… sebab saya tak ingat.”
Hening. Ghan menunduk seketika, seperti sedang menimbang sesuatu dalam fikirannya.
“Awak…” Suara Arisya lebih perlahan kali ini. “Kalau betul saya penting untuk awak… kenapa awak tak beritahu saya dari awal?”
Ghan mengangkat wajahnya, merenungnya lama. Kemudian, dia mengukir senyuman yang sukar ditafsir.
“Sebab saya nak awak ingat dengan cara awak sendiri. Bukan sebab saya paksa.”
Jawapan itu membuatkan dada Arisya terasa berat. Dia mahu percaya pada Ghan, tetapi sesuatu dalam dirinya masih takut. Takut dengan apa yang mungkin dia temui apabila semua ingatannya kembali.
Dia menarik nafas dalam. “Sampai bila awak nak biarkan saya tertanya-tanya?”
Ghan tersenyum kecil, mengangkat bahu. “Sampai awak sendiri datang tanya saya… ‘awak, kenapa awak lambat sangat beritahu saya?’ "
Arisya mengerutkan dahi. “Itu bukan jawapan.”
“Tapi itu petanda yang awak dah bersedia.”
Arisya terdiam. Hatinya berperang dengan perasaannya sendiri. Di hadapannya, Ghan hanya tersenyum sabar, seolah-olah dia tahu… saat itu akan tiba juga.
MALAM semakin larut. Arisya berbaring di katil, memandang siling bilik yang samar diterangi cahaya lampu meja. Fikirannya masih berserabut dengan kata-kata Ghan.
'Sebab saya nak awak ingat dengan cara awak sendiri.'
Kenapa dia tak nak terus terang? Kenapa dia biarkan aku dalam keadaan tertanya-tanya macam ni?
Dia memandang cincin di jarinya, mengusapnya perlahan. Rasa kosong itu masih ada, rasa seperti dia kehilangan sesuatu yang penting, tetapi tidak tahu apa.
Bunyi ketukan lembut di pintu membuatkan dia tersentak.
“Sya, awak dah tidur?” Suara Ghan kedengaran dari luar.
Arisya berdehem perlahan. “Belum.”
Pintu terbuka sedikit, Ghan menjengukkan kepala. “Nak saya buatkan susu panas?”
Arisya mengeluh kecil. “Awak ingat saya ni budak kecik ke?”
Ghan tersenyum. “Dulu awak suka minum sebelum tidur.”
Dulu. Lagi-lagi ‘dulu’. Aku tak ingat semua tu!
Dia ingin menolak, tetapi perutnya terasa lapar semula. “Kalau awak dah buat, saya minum je.”
Ghan menghilang sebentar, kemudian kembali dengan segelas susu di tangannya. Dia menghampiri katil dan menghulurkan gelas itu.
Arisya bangun perlahan, menyambutnya dengan hati-hati. “Terima kasih.”
Ghan duduk di kerusi berdekatan, memerhatikannya tanpa berkata apa-apa. Arisya cuba mengabaikan renungan itu, tetapi akhirnya dia tidak tahan.
“Kenapa awak tengok saya macam tu?”
Ghan tersenyum nipis. “Sebab saya suka tengok awak.”
Arisya tersedak sedikit. “Awak ni!” Dia menjeling, pipinya terasa hangat.
Ghan ketawa kecil. “Jangan fikir banyak sangat, Sya. Tidur awal, okey?”
Arisya mengangguk perlahan.
Ketika Ghan bangun untuk beredar, Arisya tiba-tiba bersuara. “Awak…”
Langkah lelaki itu terhenti. Dia berpaling, menunggu Arisya menyambung kata.
“…Sampai bila saya akan ingat semuanya?”
Ghan tersenyum, kali ini dengan pandangan yang lebih dalam. “Sampai masa, awak akan ingat jugak.”
Tanpa menunggu jawapan, dia keluar dari bilik, membiarkan Arisya sendiri dalam keheningan malam.
Arisya menggenggam gelas susu itu erat.
Sampai masa?
Dia menghela nafas perlahan, menutup mata.
Kalau macam tu… aku tunggu.
Share this novel