PULANG BAB 11 : FLASHBACKS 8 PULANG

Romance Completed 15562

“HELLO, Angah. Kau okey tak?” Soal Arish sebaik sahaja Arisya menyambut panggilannya.

“Okey je lah. Kenapa?” Arisya cuba berdalih, tidak mahu abangnya risau.

Namun, Arish bukan seseorang yang mudah diperdaya. “Kau tak payah tipu akulah. Kita ni berkongsi rahim, Angah. Apa yang kau rasa, aku pun boleh rasa.” Nada suaranya jelas menunjukkan kebimbangan yang telah lama bersarang dalam hatinya. Sudah sekian lama dia tidak bertemu Arisya, dan sejak adiknya berkahwin, hatinya tidak pernah benar-benar tenang.

Arisya menghela nafas panjang. “Habis tu, kau nak aku buat apa?” Dia merebahkan tubuh di atas katil, merenung kipas siling yang berputar perlahan.

“Aku dah transfer duit ke akaun kau untuk tiket flight. Kau balik sini, biar aku uruskan tuntutan fasakh kau,” ujar Arish tegas. Sebagai seorang peguam syariah di sebuah firma terkenal, dia tahu apa yang perlu dilakukan. Berbeza dengan Arisya yang memilih bidang yang sangat bertentangan dengannya.

Arisya segera mengaktifkan mod pembesar suara sebelum log masuk ke akaun bank. Matanya sedikit membulat.

“Long, kau transfer berapa?” soalnya hairan.

“Dua ribu je. Kenapa? Tak cukup ke?”

“Eh, cukup-cukuplah. Tapi… kau serius ke ni?” Suaranya bergetar sedikit, teragak-agak dengan keputusan yang tiba-tiba ini.

“Aku serius, Angah. Cukuplah kau korbankan perasaan kau untuk orang lain. Kau pun berhak bahagia.”

Kata-kata itu membuatkan dada Arisya terasa sesak.

“Dah, aku ada kerja ni. Okey, take care,” ujar Arish sebelum menamatkan talian.

Arisya masih memegang telefonnya, termenung seketika sebelum kembali memeriksa sejarah transaksi akaun banknya. Keningnya berkerut. Setiap bulan, ada transaksi masuk tanpa gagal.

“Ghan?” Nama suaminya muncul dalam benaknya. “Macam mana pula dia tahu nombor akaun aku?”

Rasa hairan semakin menebal. Dia segera membuka aplikasi WhatsApp, mencari perbualan dengan Ghan. Jarinya menatal skrin, membaca satu per satu mesej dengan teliti.

Namun, tiada sebarang tanda-tanda bahawa dia pernah memberikan nombor akaunnya kepada lelaki itu.

“Apa yang sebenarnya kau nak, Ghan?” bisik Arisya perlahan, hatinya semakin dihimpit tanda tanya.

TOK! TOK!

Bunyi ketukan kuat di pintu bilik Ghan memecah keheningan. Arisya berdiri di luar, menunggu dengan sabar. Dia tahu suaminya baru saja pulang dari tugasan, tetapi ada sesuatu yang perlu dia selesaikan malam ini juga.

Pintu terbuka perlahan, menampakkan wajah Ghan yang jelas keletihan. “Hmm… nak apa?” soalnya malas, matanya sedikit layu tetapi tetap tajam memandang Arisya yang tercegat di depan pintu.

“Macam mana abang boleh dapat nombor akaun bank Sya?” Arisya terus ke pokok persoalan, matanya menikam tepat ke arah suaminya.

Ghan mendengus kecil. “Adalah. Kau ni memang tak pernah semak akaun bank ke?” Dia bersandar di pintu, kedua-dua tangannya kini berada di pinggang.

Arisya tetap tidak berganjak. “Kenapa abang bagi duit tiap-tiap bulan?”

Ghan mengangkat kening, seolah-olah soalan itu tidak perlu ditanya. “Tu hak kau lah.” Jawapannya ringkas, tiada emosi. “Dah, aku letih.”

Tanpa membuang masa, dia terus menolak pintu untuk menutupnya, namun sempat Arisya menahan.

“Bagi nombor akaun abang, Sya nak pulangkan balik duit tu!” Ujar Arisya tegas tidak puas hati dengan jawapan sambil lewa suaminya.

Ghan yang malas melayan, terus ke katil untul berbaring, dia mengeluh kecil sebelum menggeleng. “Tak perlu pun. Kan aku dah cakap, tu hak kau.”

Arisya terdiam di luar pintu. Dia tidak tahu apa niat Ghan, tetapi satu perkara yang dia pasti dia tidak mahu terus terhutang budi kepada lelaki itu.

Arisya mengeluh perlahan, dia melangkah pergi, kembali ke biliknya sendiri. Namun, jauh di sudut hati, perasaan bercampur baur.

Dia perlu buat keputusan.
Dia perlu mencari alasan yang cukup kuat untuk menuntut cerai.

Kerana hakikatnya, dia sudah terlalu letih bertahan dalam hubungan yang tiada kepastian. Hubungan yang selama ini hanya berputar di takuk yang sama.
Lebih menyakitkan, Ghan masih menyintai Farisya hingga ke saat ini.

Dan Arisya tidak mahu lagi berada dalam bayang-bayang wanita itu.


MALAM ITU, Arisya berbaring di atas katilnya, merenung siling. Fikirannya berselirat. Kata-kata Ghan masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Tu hak kau.”

Tapi kenapa? Kenapa Ghan masih peduli? Sedangkan selama ini, dia tidak pernah menganggap Arisya lebih daripada sekadar isteri di atas kertas.

Dia menghela nafas berat. Tangannya mencapai telefon di sisi, membuka aplikasi bank sekali lagi. Satu demi satu transaksi masuk dari Ghan diteliti. Setiap bulan, jumlahnya tetap tanpa culas.

Arisya memejam mata, hatinya berperang dengan keputusan yang cuba dia buat. Dia mahu pergi. Mahu bebaskan diri dari perkahwinan ini. Tetapi kenapa terasa semakin berat?

“Kau dah sia-siakan hidup Arisya.”

Kata-kata Encik Ahmad, bapa mentuanya, kembali terngiang di fikirannya.

“Sepatutnya dia boleh bahagia dengan kerjaya yang dia minat.”

Air mata Arisya mengalir tanpa dia sedar. Dia rindukan dirinya yang dulu, rindukan kebebasan yang pernah dia miliki sebelum dia mengambil keputusan untuk menggantikan tempat Farisya.

TING!

Bunyi mesej masuk menarik perhatiannya. Matanya jatuh pada nama pengirim di skrin.

Ghan.

Jari-jarinya terhenti seketika sebelum dia membuka pesanan itu.

‘Jangan fikir yang bukan-bukan. Duit tu memang untuk kau. Aku tak nak kau susah.’ [Ghan]

Arisya menggigit bibir. Sepanjang mereka berkahwin, ini kali pertama Ghan menghantar mesej seperti ini. Selalunya, kalau mereka berbual, hanya dalam keadaan perlu dan kebanyakannya bukan dalam nada yang baik.

Tangannya gatal mahu membalas, tetapi dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Mahu bertanya lebih lanjut? Mahu menolak lagi? Atau… mahu biarkan sahaja?

Dia menghela nafas. Akhirnya, dia menaip ringkas.

‘Terima kasih. Tapi Sya tetap nak pulangkan duit tu.’ [ Arisya]

Tidak sampai beberapa saat, tanda biru muncul. Ghan sudah membaca mesejnya.

Namun, balasan yang dia terima selepas itu membuatkan dadanya berdebar tanpa sebab.

‘Jangan degil, Arisya.’ [ Ghan ]

Hanya dua perkataan, tetapi cukup untuk membuatkan hatinya tidak tenteram.


PAGI ITU, dapur rumah keluarga mentuanya dipenuhi aroma bawang tumis yang semakin garing di dalam kuali.

Arisya berdiri di singki, membersihkan daging ayam di bawah aliran air paip. Sesekali, dia menghela nafas panjang.

“Mama… Sya nak minta maaf.”

Nada suaranya perlahan, namun cukup untuk membuatkan Puan Halimah menghentikan aktivitinya memotong sayur. Dahi wanita itu berkerut.

“Eh, kenapa pula tiba-tiba minta maaf ni?”

Arisya diam seketika sebelum menjawab, suaranya sedikit bergetar. “Sebab Sya dah buat anak mama tak bahagia.”

Tangannya pantas menyapu garam dan kunyit pada ayam yang sudah dipotong, namun fikirannya melayang.

Puan Halimah menatap menantunya dari belakang. “Haish… jangan merepek. Kamu dah buat yang terbaik dah. Tak ada sebab pun untuk mama dengan abah tak suka kamu.”

Arisya tersenyum kelat. “Tapi Sya tetap salah, ma. Sya tak patut masuk campur dalam hal peribadi Farisya dengan abang. Sya tahu abang memang cintakan Farisya, tapi dia tak pernah nampak siapa Farisya yang sebenar. Farisya cuma gunakan abang…”

Dia menelan liur sebelum menyambung, “…tapi kalau pun Sya cerita benda sebenar, abang tetap takkan percaya.”

Puan Halimah terdiam. Dia bangun perlahan dan menghampiri Arisya. Tangannya menggosok lembut bahu menantunya, cuba memberikan ketenangan.

“Mama yakin semua yang berlaku ini bukan kebetulan, tapi aturan Allah. Mama yakin jodoh kamu dengan Ghan akan kekal sampai akhir hayat. Hari-hari mama doakan.

Mata Arisya berkaca. Dia cepat-cepat mengesat air mata yang hampir gugur.

"Awal bulan depan Sya ingat nak balik rumah ibu." Akhirnya, dia bersuara setelah mengumpul kekuatan.

Puan Halimah menoleh, kemudian menghidupkan api untuk mula menggoreng ayam. “Ghan dah tahu ke?”

Arisya menggeleng. “Belum.”

Puan Halimah tersenyum kecil. “Nanti Sya bagitahu Ghan. Mana tahu dia nak ikut sekali balik.”

Arisya hanya mengangguk.Senyumannya hambar. Dia tahu, itu takkan terjadi.
Ghan tak mungkin mahu mengikutnya pulang.

Malah, dia pasti suaminya tidak akan peduli pun jika dia pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience