PULANG BAB 30 : Demam

Romance Completed 15562

MALAM semakin larut, namun Arisya masih tekun di klinik, sibuk menelaah nota dan menyusun jadual kerja. Sesekali dia menghela nafas panjang, namun langsung tidak menyedari masa yang berlalu. Begitulah kebiasaannya, apabila sudah menumpukan perhatian, seakan dunia luar tidak lagi wujud.

Pintu utama terkuak perlahan, diiringi suara yang sudah biasa menusuk pendengarannya.

"Assalamualaikum, Cik Puan Arisya Hajar."

Nada suara itu tenang, tetapi cukup untuk mengejutkan Arisya daripada dunianya sendiri. Dia mengangkat wajah, matanya membulat sedikit.

"Waalaikumsalam... eh, awalnya balik?" soalnya spontan, masih belum menghubungkan masa dengan realiti.

Ghan mengangkat kening, lalu menapak ke arahnya sebelum menarik kerusi berdekatan.

"Bukan abang yang awal, sayang yang dah terlalu lewat. Dah malam ni, kenapa tak balik lagi?" tegur Ghan, separuh geram.

Arisya tersentak. Dia menyelak lengan bajunya untuk melihat jam di pergelangan tangan.
"Ops!"

Ghan menggeleng perlahan, bibirnya menguntum senyum nakal.
"Jangan sampai abang bawa Encik Biawak datang cari sayang," usiknya sambil berpeluk tubuh.

Arisya menjeling tajam.

"Huh, mengada-ngada!" rungutnya sambil mengemas nota yang berselerak di atas meja.

Arisya segera bangun menuju ke pintu keluar selepas siap mengemas mejanya, namun sempat lagi dia menoleh ke belakang.

"Siapa yang terakhir, kena tutup lampu," katanya dengan nada separuh bergurau.

Ghan tersengih sebelum menekan suis lampu satu per satu. Sebaik sahaja klinik gelap sepenuhnya, dia menarik tangan Arisya, menggenggam erat jari-jemarinya.

"Abang tak letih ke? Kenapa tak telefon je tadi?" soal Arisya, matanya melirik ke arah seragam kerja yang masih melekat di tubuh suaminya.

Ghan menghela nafas, menggeleng perlahan.

"Cuba sayang check telefon," katanya sambil membetulkan tali jam di pergelangan tangan.

Arisya segera menyelongkar beg tangannya. Saat skrin telefon menyala, hampir 20 panggilan tak terjawab terpapar di skrin.

"Alamak... sorry!" Arisya menekup mulut, rasa bersalah menyelinap di hatinya.

Ghan mendengus kecil.

"Kalau abang tak datang, entah-entah esok pun belum tentu sayang balik," bidasnya, separuh merajuk.

Arisya tersengih, cuba memujuk.
"Lepas ni Sya janji, Sya setting alarm, okay?"

Ghan menjungkit kening, pura-pura tidak percaya. "Ye lah tu."

Arisya ketawa kecil. Malam itu, dalam kesunyian jalan yang sepi, hanya bunyi derap langkah mereka berdua menemani.

Sampai sahaja mereka dirumah, Ghan mengajak Arisya terus ke dapur.

“Hah, balik pun... Jom makan,” tegur Puan Halimah sebaik sahaja Ghan dan Arisya melangkah masuk ke rumah.

Arisya tersengih. “Sorry, Mama... Duduk dalam klinik, tak sedar hari dah gelap.”

Puan Halimah menghela nafas kecil, namun tetap tersenyum. “Tak apa... Cuma jangan selalu balik malam, Mama risau.”

Arisya mengangguk patuh. Dia segera menuju ke sinki untuk mencuci tangan, sementara Ghan tanpa banyak bicara mencapai senduk, menyendukkan nasi ke dalam pinggan isterinya terlebih dahulu.

Melihat itu, Encik Ahmad yang duduk di hujung meja hanya tersenyum. Ada sesuatu yang mengusik hatinya setiap kali melihat anak lelakinya itu.

Arisya mengambil tempat di sisi Ghan, matanya jatuh pada pinggan yang sudah terisi dengan nasi dan seketul ayam masak merah.

“Thank you,” ucapnya lembut.

Ghan hanya mengangguk kecil, mengunyah makanan dengan tenang.

Encik Ahmad masih memerhati, matanya penuh makna. Dari seorang lelaki yang dahulunya keras dan degil, Ghan kini berubah 360 darjah kerana seorang wanita bernama Arisya. Perubahan itu cukup ketara lembut, penyayang, dan penuh perhatian.

Namun, jauh di sudut hatinya, ada keresahan yang tidak mampu diusir. Jika suatu hari nanti Arisya menolak Ghan... sanggupkah anaknya menerima kehilangan itu?


"ACHOO! ACHOO!"

Arisya menyedut kembali hingus yang hampir meleleh, lalu mencapai paracetamol di atas meja. Tanpa berfikir panjang, dia menelannya dengan harapan selsemanya akan hilang setelah bangun tidur.

Sejak tengah hari hingga ke petang, Arisya tidur lena, langsung tidak menghiraukan telefon pintarnya yang bergetar berkali-kali di atas meja.

KRING! KRING!

Telefon milik Encik Ahmad berdering nyaring, memecah kesunyian petang. Dia yang sedang asyik menyiram pokok segera mengangkat panggilan.

"Hello, ya..ada apa Ghan?" soalnya sambil menguak rambut yang sudah sedikit basah dek percikan air.

Di hujung talian, suara Ghan kedengaran cemas. "Sya mana Abah? Dah banyak kali Ghan call, WhatsApp pun tak balas."
Encik Ahmad tersenyum kecil, mengerti kegelisahan anaknya itu.

"Tengah hari tadi Sya cakap nak rehat di rumah sebab selsema. Tidur agaknya."

"Hmm... okaylah kalau macam tu. Ghan pun dah nak balik ni." Ghan mengakhiri panggilan dengan perasaan sedikit lega.

Setengah jam kemudian, Ghan sudah sampai dihadapan rumah. Manakala didalam bilik Arisya sempat terjaga seketika apabila mendengar deruman enjin kereta masuk ke perkarangan rumah. Walaupun selsemanya sudah beransur hilang, kepalanya masih terasa berat. Dia memilih untuk menarik selimut kembali, membiarkan matanya terpejam dalam keletihan.

Pintu bilik dikuak perlahan.

"Assalamualaikum..."
Senyap. Hanya bunyi kipas yang berputar menemani.

Ghan mendekati katil, memerhatikan isterinya yang masih berselimut hingga ke paras leher. Perlahan-lahan, dia meletakkan belakang tangannya ke dahi Arisya. Hangat.

"Sayang okey ke tak ni?" soalnya, menepuk lembut pipi Arisya.

Tiada jawapan.

Ghan menghela nafas. Selepas memastikan Arisya dalam keadaan baik, dia bergegas ke bilik mandi. Usai membersihkan diri dan menunaikan solat, dia kembali ke sisi Arisya, duduk di birai katil.

"Sayang, bangun. Dah nak masuk Maghrib ni," kejutnya dengan nada lembut, namun penuh kerisauan.

Arisya menggeliat kecil.

"Tak larat la..." jawabnya lemah, suaranya hampir tenggelam dalam keletihan.

Dahi Ghan berkerut. "Makan tak tadi?"

Arisya menggeleng perlahan, masih dengan mata tertutup. "Tak lalu. Rasa nak tidur saja."

Tangan suaminya yang masih sejuk selepas mandi ditarik ke pipinya dengan rasa lega.

Ghan tersenyum nipis. "Kejap lagi abang masak sup, okey?" bisiknya sebelum mengucup dahi Arisya dengan penuh kasih.

Selesai solat maghrib, Ghan terus ke dapur, mereneh sup untuk isterinya. Bunyi sudip berlaga dengan periuk menemani keheningan malam.

"Sya tak okey lagi ke?" tegur satu suara dari belakang.

Ghan menoleh sekilas. Encik Ahmad berdiri di muka pintu dapur, memerhati dengan senyuman kecil.

"Belum... Makan pun tak nak."

Encik Ahmad melangkah masuk, mencapai gelas kosong dan mengisi air dari dispenser.

"Tak bawa pergi klinik untuk check?"

Ghan mengangkat bahu. "Tengok keadaan... Kalau masih tak okay, esok kena bawalah."

Encik Ahmad mengangguk sebelum mengerling anak lelakinya yang sibuk mengacau sup di dalam periuk. Kemudian, senyuman penuh makna terbit di bibirnya. "Eloklah tu... Pergilah check. Manalah tahu, entah-entah pengikat hubungan kamu berdua dah ada."

Kening Ghan berkerut. "Apa maksud abah?"

Encik Ahmad menepuk dahinya sendiri. "Lambat pickup rupanya anak aku ni... Maksud abah, pengikat tu baby. Anak kamu berdua."

"UHUK!"

Tersedak Ghan dengan sup yang baru dihirupnya. Dia terbatuk-batuk, cuba mengawal diri.

Encik Ahmad hanya menepuk bahunya sebelum berlalu meninggalkan anaknya yang masih terpinga-pinga.

Ghan mengusap dagunya, termenung seketika. "Jadi pengikat tu... anak rupanya," bisiknya sendiri. Perlahan-lahan, senyuman mula terukir di bibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience