PULANG BAB 19 : MISI GHAN

Romance Completed 15562

END FLASHBACKS (SAMBUNGAN BAB 3)

“KEJAP. Apa nama awak tadi?” Arisya mengerutkan kening, memastikan dia tidak tersalah dengar.

“Ghan. Kenapa?” jawab lelaki di hadapannya, mengangkat sedikit kening sambil tersenyum.

Arisya memandangnya dengan ragu. “Jadi awak bukan driver yang ibu tempah untuk jadi guide saya?”

Ghan tersenyum kecil, masih berdiri menghadap tingkap. “Jadi, saya ni siapa pada awak?” soalnya, menatap Arisya dengan pandangan tajam.

Arisya terdiam seketika, cuba mencari jawapan. Ingatannya masih kabur, tetapi dia yakin pernah mendengar nama itu. Tangannya mencapai telefon di poket seluar, membuka nota yang disimpannya sebelum ini. Matanya meneliti tulisan dalam skrin.

“Hmm… Arish ada tulis nama awak, dan dalam kurungan dia tulis ‘sweetheart’.”

Ghan tergelak kecil, terhibur dengan nada bersahaja Arisya yang kelihatan seperti anak kecil baru belajar sesuatu.

Arisya memandangnya dengan pelik. ‘Apa hal mamat ni gelak? Aku salah cakap ke?’ bisiknya dalam hati.

“Sweetheart, ya?” Ghan mengulang perkataan itu dengan nada usik. “Jadi cincin di jari awak tu saya yang bagi, kan?”

Arisya menunduk, memandang cincin di jarinya. Jari-jemarinya menyentuh cincin itu perlahan. “Awak yang bagi? Jadi awak nak ambil balik ke?” soalnya polos, cuba menarik keluar cincin dari jarinya.

Ghan segera menghalang, menggenggam tangannya erat. “Ini memang hak awak. Memang saya tempah khas untuk awak”

Arisya terdiam, cuba menghadam kata-kata itu.

“Oh ya, mana kunci bilik hotel?” soal Ghan, mengubah topik sambil memandang Arisya yang masih terkebil-kebil memandangnya kembali.

“Dalam beg, bawah kerusi,” jawab Arisya, baru teringatkan beg tangannya. “Kenapa awak tanya?”

“Saya nak check-out. Stay sini, okey?” ujar Ghan, sempat mencuit hidung Arisya sebelum bangun meninggalkannya.

‘Blur. Arisya semakin blur.’

Setelah memastikan kelibat Ghan hilang dari pandangan, Arisya menanggalkan tudungnya dan menyusun bantal tinggi, meniru keadaan katil hospital yang biasa didudukinya. Dia menyambung pembacaan nota dalam telefon pintarnya catatan ringkas mengenai insan-insan penting dalam hidupnya.

"Kenapa tak ada cerita detail pasal Ghan?" bisiknya perlahan.

Arisya memandang keluar tingkap, cuba mencari jawapan dalam langit yang terbentang luas. Namun, fikirannya tetap kosong. Ingatannya seolah-olah terpadam, seperti ada data tertentu yang hilang dari simpanan memorinya.

Apa sebenarnya yang aku lupa? Kenapa hati aku rasa lain bila jumpa Ghan? Betul ke dia orang yang aku sayang? Betul ke dia orang yang penting dalam hidup aku?

Pelbagai soalan berputar dalam kepalanya, menyesakkan mindanya seperti jalan raya yang dipenuhi kenderaan terperangkap dalam kesesakan. Akhirnya, kepalanya terasa berat, dan tanpa sedar, dia tertidur kepenatan.


“ARISYA, apa khabar? Kaki dah okey?” soal Encik Ahmad sebaik sahaja Ghan memimpin Arisya ke meja makan.

Arisya tersenyum kecil, walaupun dia masih terasa sedikit janggal berada di situ. Ada sesuatu dalam suasana ini yang membuatnya tidak berasa asing, tetapi dalam masa yang sama, dia tidak dapat mengingati dengan jelas.

“Alhamdulillah, dah tak sakit macam awal tadi,” jawabnya sopan.

Matanya melirik ke arah Ghan, yang sibuk membantu Puan Halimah menyediakan makanan. Dia melihat bagaimana lelaki itu menyenduk nasi ke setiap pinggan dengan penuh perhatian seakan-akan biasa melakukannya.

Seperti… Arisya sendiri pernah melakukannya untuk Ghan?

Tiba-tiba, tawa Encik Ahmad meletus, mengejutkan semua yang berada di meja makan.

“Abah kamu ni dah kenapa tiba-tiba ketawa?” soal Puan Halimah, menarik kerusi untuk duduk.

Encik Ahmad hanya menggeleng, namun masih tersisa tawa kecil di bibirnya.
“Makan, Arisya. Jangan malu-malu,” pelawanya sambil menyendukkan sayur ke pinggan Arisya.

Ghan, yang sejak tadi hanya diam, menjeling bapanya dengan pandangan geram, seakan-akan tahu ada sesuatu di sebalik tawa itu.


BUNYI kicauan burung semakin jelas di gegendang telinga, membuatkan Arisya mula terjaga dari lena yang lebih nyenyak berbanding ketika di hotel. Matanya mengerling sekeliling bilik dan baru tersedar dia sedang terbaring di atas katil Ghan.

Eh, kenapa aku tidur sini?

Cepat-cepat dia bangun dan duduk, matanya liar mencari kelibat Ghan. Nafasnya sedikit lega apabila tidak melihat lelaki itu di dalam bilik.

TOK! TOK!

Pintu ditolak ke dalam, dan muncul Ghan dengan senyuman terpamer di wajahnya. Sepantas kilat Arisya menarik selimut, menutup kepalanya sepenuhnya.

“Nak mandi dulu ke? Sarapan dah siap.” Suara Ghan kedengaran semakin dekat.

“It’s okay, saya buat sendiri.” Jawab Arisya dari balik selimut, wajahnya merah padam. Dia pasti muka baru bangun tidurnya sangatlah tidak terurus!

“Dah, bangun cepat.” Arah Ghan seraya menarik selimutnya.

Arisya panik, segera menutup wajah dengan rambut yang kusut masai.

“Tengok sikit kaki, masih sakit tak?” Ghan sudah pun duduk di sisi katil, tangannya berhati-hati membuka balutan di buku lali Arisya.

“Adoi! Sakitlah!” Arisya terjerit kecil apabila tangan Ghan tidak sengaja menolak kakinya semasa menarik balutan.

“Sorry, tak sengaja. Sya kena kurangkan berjalan dulu. Biar bengkak surut, nanti baru boleh urut.” Ucap Ghan sambil memerhati keadaan kaki Arisya yang semakin baik.

Arisya mencebik. “Hmm… okey. Dah tepi, saya nak mandi.” Dia cuba bangun sendiri, masih dengan sifat degilnya walaupun ingatan terjejas.

Tanpa memberi peluang, Ghan terus saja mengangkatnya.

“Eh, awak nak buat apa ni? Biar saya urus sendiri. Tak elok la buat macam ni!” Rayu Arisya, tidak selesa dengan perbuatan Ghan.

Ghan langsung tidak mengendahkan bantahan itu. Dia meletakkan Arisya perlahan di atas kerusi dalam bilik mandi, mujur saja bilik mandi terletak dalam bilik tidur.

“Okey, mandi cepat. Dah siap bagitahu saya. Jangan degil nak jalan sendiri.” Pesannya berdiri di muka pintu.

Wajah Arisya sudah masam mencuka.

“Nak saya mandikan sekali ke?” Ghan sengaja mengusik, bibirnya mengukir senyum nakal.

“No!” Balas Arisya sambil menjeling tajam.

Ghan tertawa melihat reaksi isterinya sebelum menutup pintu bilik mandi dan mula mengemas katil.

“Sya, lepas makan kita terus ke klinik check kaki, okey?” Laung Ghan sambil menyediakan pakaian bersih untuk Arisya.

“Okey!” Jawab Arisya, mulutnya penuh dengan buih ubat gigi.

Namun, hatinya sedikit geram.
‘Belagak macam suami aku pulak!’ Bebelnya perlahan.

Walaupun pada hakikatnya… Ghan memang suaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience