PULANG BAB 22 : PANGGIL SAYA ABANG

Romance Completed 15562

BUNYI deruan ombak menghempas pantai bergema di telinga Arisya. Angin laut yang mendamaikan menyentuh lembut wajahnya, sementara matanya menikmati keindahan matahari terbenam di hadapan mereka. Di sebuah restoran yang menghadap pantai, Arisya duduk bersebelahan dengan Ghan di sebuah meja makan, hanyut dalam dunianya sendiri.

Sejak Arisya hadir semula dalam hidupnya, Ghan tidak pernah melepaskan peluang untuk merakam setiap detik bersamanya. Dia sedar, mungkin memori lama mereka tidak lagi terpahat dalam ingatan Arisya, tetapi dia yakin dia boleh mencipta kenangan baru yang lebih indah untuk isterinya.

“Nak jalan dekat air?” soal Ghan lembut, matanya penuh harapan. Namun, Arisya hanya diam, tenggelam dalam fikirannya sendiri.

Ghan tersenyum kecil sebelum mencuit pipi Arisya perlahan.

“Kenapa?” Arisya tersentak, memandang Ghan dengan kening berkerut.

“Janganlah berangan jauh sangat… rasa macam saya sorang-sorang je dekat sini,” adu Ghan berpura-pura merajuk, matanya beralih ke lautan luas di hadapan mereka.

Arisya sengaja melemparkan senyuman manis, dia tahu Ghan mudah dipujuk hanya dengan senyumannya “Tadi awak cakap apa?” soalnya lembut, sengaja mahu memujuk.

Ghan terkaku seketika. Senyuman itu senyuman yang selalu membuat jantungnya berdegup laju. Dahulu, dia cuba menafikan perasaan itu, tetapi kini, dia sudah tidak mampu menolak lagi.
Ghan bangkit dari kerusi, menghulurkan tangan. “Jom, jalan dekat pantai?”

Arisya turut berdiri, membetulkan dress labuh berwarna biru lembut yang senada dengan shawl yang dipakainya. “Nak kena pegang tangan ke?” soalnya dengan kening yang sudah terangkat.

“Please…” rayu Ghan, mengharap Arisya menyambut huluran tangannya.

Arisya mengulum senyum sebelum menarik lengan Ghan yang berlapik dengan baju lengan panjang. “Saya pegang baju je tak boleh ke?”

Ghan tertawa kecil. “Hmm… okaylah, janji pegang jugak.”

Arisya tersenyum menang dan mereka mula melangkah di sepanjang pantai, membiarkan angin laut membelai lembut perasaan masing-masing. Bagi Ghan, setiap saat ini berharga. Dia perlu membuat Arisya jatuh cinta kepadanya sebelum dia memberitahu kebenaran tentang hubungan mereka.

Dalam asyik melayan perasaan tanpa dijangka, suara Arisya memecah keheningan. “Oh ya awak… tiket saya balik KL minggu depan.”

Langkah Ghan terhenti. Dadanya terasa sesak. Tidak… dia belum bersedia untuk melepaskan Arisya pergi.

Arisya juga berhenti, memandang wajah Ghan yang tiba-tiba berubah riak. “Kenapa?”

Ghan tidak menjawab. Sebaliknya, dia menarik lembut kedua-dua tangan Arisya, menggenggamnya erat.

“Berapa harga tiket Sya? Saya bayar balik double… janji Sya stay sini sampai saya habis cuti,” ucapnya penuh harapan.

Arisya membulatkan mata, terkejut dengan tawaran itu. “Serius la awak ni?”

Ghan mengangguk bersungguh-sungguh.

Arisya mengecilkan matanya, seakan-akan menilai keikhlasan Ghan.

“Betul. Saya tak tipu. Tak cukup? Saya up lagi,” ujar Ghan bersungguh-sungguh, matanya berbinar penuh keyakinan.

Arisya mengetap bibir, cuba menahan senyum. “Hmm… menarik jugak,” balasnya sambil tertawa perlahan.

“Kira jadi lah kan?” soal Ghan untuk kepastian, hatinya berbunga.

“Okey, setuju. Janji kan bayar double?” Arisya mengangkat kening, sengaja dial mengusik padahal sememangnya dia ingin menunda tarikh pulang selagi dia tidak mendapat jawapan yang sebenar.

Ghan ketawa kecil, senang dengan perubahan sikap Arisya yang lebih terbuka dan ceria. Tanpa berfikir panjang, dia menarik geram hidung Arisya. “Janji la, sayang.”

“Sakit la…” rungut Arisya sambil memegang hidungnya yang kemerahan.

Ghan hanya tersenyum, menatap wajah yang semakin hari semakin dia cintai.
Bersama, mereka melangkah menyusuri pantai, menikmati keindahan matahari terbenam seakan-akan dunia ini hanya milik mereka berdua.


SETELAH usai solat Isyak, seperti biasa Ghan membantu ibunya di dapur. Walaupun Arisya ingin menolong, Ghan tetap melarang.

Sementara menunggu waktu makan malam, Arisya merehatkan diri di luar rumah. Ditemani bunyi cengkerik dan hembusan angin malam yang mendamaikan, dia menikmati ketenangan yang jarang dirasai.

“Sya buat apa dekat luar ni?” tegur Encik Ahmad, lalu duduk di kerusi rehat bersebelahan.

“Eh, abah. Ambil angin je… seronok suasana macam ni,” jawab Arisya dengan senyuman. Dia sudah biasa memanggil Encik Ahmad dengan panggilan ‘abah’, seperti yang dipinta.

Encik Ahmad tersenyum senang melihat perubahan dalam hubungan Ghan dan Arisya. “Kalau seronok, stay terus sini. Boleh tolong abah jadi doktor haiwan dekat ladang.”

Arisya membulatkan mata, sedikit teruja. “Betul ke?”

Walaupun ingatannya masih samar-samar, kecintaannya terhadap haiwan tetap segar dalam diri.

“Betul. Dulu ada seorang anak perempuan abah yang selalu tolong abah…”
Kata-kata Encik Ahmad terhenti apabila Arisya mencelah.

“Aik? Bukan Ghan anak tunggal ke?” Dia mengerutkan dahi, menggaru dagu sambil berfikir.

Encik Ahmad hanya tersenyum penuh makna. “Nanti Sya tanya Ghan.”

Sengaja dia memberikan bayangan sebelum bangun meninggalkan Arisya sendirian, tenggelam dalam tanda tanya.

“SYA… jom makan,” ajak Ghan sebaik menghampiri isterinya.

Namun, Arisya tidak terus bangun. Sebaliknya, dia menatap Ghan dengan wajah serius. “Awak tipu saya ke?”

Ghan terhenti, keningnya berkerut. “Err… saya tipu apa?”

Jantungnya berdetak lebih laju. Dia cuba mengingati jika ada sesuatu yang dia sembunyikan daripada Arisya.

“Awak kata awak anak tunggal, tapi kenapa abah cakap dia ada anak perempuan?”

“Hah?”

Ghan terpinga-pinga. Apa pula yang abah merepek ni? desisnya dalam hati.

“Abah suruh tanya awak. Jangan cakap dengan saya yang awak tukar jantina pulak!” seloroh Arisya, namun nada suaranya serius.

"Astaghfirullah al-Azim…” Ghan menghela nafas, mendekati Arisya sebelum melutut di hadapannya. “Sayang, tak baik cakap macam tu.”

Arisya mengetap bibir, menyedari kata-katanya agak keterlaluan.
Ghan menggenggam tangannya erat. Mata mereka bertemu, dalam kelembutan suara, Ghan berkata, “Satu hari nanti, Sya akan tahu siapa yang abah maksudkan.”

Arisya menajamkan pandangan. “Siapa?”

Ghan tersenyum, membiarkan soalan itu tergantung. “Saya akan pastikan Sya tahu sebelum Sya balik KL, tapi…”

“Tapi apa?” Arisya mengangkat kening, ingin tahu.

“Panggil saya abang.”

Dahi Arisya berkerut. “Sebab?”

“Sebelum Sya accident, Sya selalu panggil saya abang. Dah lama saya tak dengar… rindu,” ujar Ghan jujur, bibirnya meleret dengan senyuman. Senyuman yang selalu membuatkan Arisya sesekali terpana terutamanya dengan lesung pipit yang begitu manis di pipinya.

Arisya mengalih pandangan, memandang langit malam yang bertaburan bintang. “Ye ke? Kenapa saya tak ingat, ya?”

“Saya tak kisah kalau Sya dah tak ingat… asalkan kita boleh mula cipta memori baru yang lebih manis.”

Arisya tersenyum nipis, namun masih tidak mahu mengalah begitu sahaja. “Sure ke panggil abang? Bukan baby? Atau darling? Tak pun honey?” soalnya dalam tawa kecil.

Ghan menggeleng laju. “Saya cuma nak dengar Sya panggil abang, macam dulu.”

Arisya mengangkat bahu, cuba berdiri untuk masuk ke dalam rumah, namun Ghan menghalang dengan tatapan mata yang penuh harapan.

“Ye lah- ye lah… saya panggil awak abang,” akhirnya Arisya mengalah.

Senyuman Ghan melebar, hatinya berbunga. Dia bangun dan menarik tangan Arisya lembut.
“Jom makan, sayang.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience