“SAYANG… mana sayang dapat loket ni?”
Nada suara Ghan serius saat dia mengangkat loket perak berbentuk segi empat yang terukir dengan kod pengenalan. Loket itu baru saja ditemuinya di dalam beg tangan isterinya.
Arisya, yang baru selesai mencuci muka sebelum tidur, melangkah mendekati suaminya. Wajahnya sedikit berkerut saat melihat loket di tangan Ghan. Dia mengambilnya, meneliti seketika sebelum menghela nafas perlahan.
“Oh, loket ni…” ujarnya, seakan baru teringat sesuatu yang hampir dilupakan. Perlahan-lahan, dia melabuhkan punggung di atas katil.
“Loket siapa ni? Mana sayang dapat? Kenapa sayang simpan?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Ghan, jelas menunjukkan keresahannya.
Arisya mengangkat wajah, memandang suaminya dengan rasa hairan. “Kenapa tanya macam ni?”
Ghan menarik nafas dalam. Matanya masih tertumpu pada loket itu, sebelum kembali menatap Arisya dengan pandangan penuh harapan.
“Abang Cuma nak tahu saja…” bisiknya, nada suara lebih lembut namun sarat dengan keinginan untuk mendapatkan jawapan.
Arisya menarik nafas dalam, cuba mengumpul keberanian. “Sebenarnya... sayang tak sengaja terambil loket ni dulu,” katanya dengan senyuman serba salah.
Ghan mengetap bibir. “Maksud sayang?” Jantungnya mula berdegup kencang, seolah-olah menanti jawapan yang boleh mengubah segalanya.
Arisya menghela nafas panjang sebelum memulakan cerita. “Dulu, masa awal-awal datang study sini, sayang pernah terlibat dalam satu kemalangan…” Matanya bertaut dengan pandangan Ghan, melihat keterujaan dan kebimbangan yang bercampur di wajah suaminya.
“Kemalangan?” Ghan mengerutkan dahi.
“Ya, tapi bukan kemalangan biasa. Bas yang sayang naik terbalik dan terseret ke dalam longkang. Mujurlah longkang tu tak dalam…” Suara Arisya perlahan, namun setiap butir katanya jelas.
Ghan menelan liur. “Lepas tu?”
Arisya tersenyum kecil sebelum menyambung, “Masa tu, sayang duduk paling hujung. Jadi, sayang orang terakhir yang diselamatkan. Waktu tu, rasa macam nak pitam... oksigen pun rasa macam tak cukup.” Dia menarik nafas panjang, seolah-olah masih dapat merasakan debaran saat itu.
Ghan tidak berkedip, matanya terpaku pada wajah isterinya.
“Tiba-tiba, datang seorang anggota bomba nak angkat sayang keluar. Tapi sebab panik sangat, sayang rasa macam sesak nafas. Dalam kelam-kabut, sayang tarik baju dia… Rasa macam nak mati pun ada.”
Ghan diam, cuba menghadam cerita itu. “Jadi… apa kaitan dengan loket tu?”
Arisya tersengih kecil. “Err… tak sengaja rentap sampai putus.”
Ghan mengangkat kening. “Itu saja?” Nada suaranya seperti menyimpan sesuatu.
“Ha’ah.”
“Pasti?”
Arisya terkedu. “Err… kenapa?” Perlahan-lahan, perasaan tidak sedap hati menyelubunginya.
Ghan menghela nafas panjang sebelum menatap isterinya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. “Sayang lupa ke apa lagi yang sayang buat dekat dia?”
Arisya terdiam, cuba memproses kata-kata suaminya. “Sayang buat apa?”
Ghan tersenyum tipis sebelum menjawab, “You kissed my lips.”
Mata Arisya membulat. “Your lips?” Suaranya hampir tersekat di kerongkong, mulutnya ternganga. Baru kini dia sedar… lelaki yang menyelamatkannya pada hari itu lelaki yang dia cium dalam kepanikan rupanya suaminya sendiri.
Ghan menghela nafas ringan, seolah-olah menikmati reaksi isterinya. “Dah lama abang cari loket ni. Tak sangka rupanya sayang yang simpan,” katanya sambil membolak-balik loket perak di tangannya. Senyuman halus terukir di bibirnya.
Arisya, yang sudah tidak mampu menahan rasa malunya, segera menarik selimut dan menutup wajah. Wajahnya terasa semakin panas. Degupan jantungnya berdegup laju, seolah-olah rahsia yang sekian lama terkubur kini terbongkar begitu saja.
Ghan ketawa kecil melihat tingkah isterinya. “Eleh, malu lah tu.”
Arisya mengetap bibir di balik selimut, tidak berani bersuara.
“Tak sangka abang kahwin dengan orang yang curi first kiss abang,” sambung Ghan dengan nada mengusik, ketawanya semakin jelas.
Merona merah wajah Arisya mendengar gurauan suaminya. Malu bercampur geram, tapi dia masih tidak mampu memberi sebarang bantahan.
Namun, di sebalik perasaan malunya, ada sesuatu yang membuatkan dia ingin tahu. Perlahan-lahan, dia menurunkan selimut yang menutupi wajahnya. “Tapi… apa maksud yang tertulis dekat loket tu?” tanyanya, kini mula tertarik.
Ghan tersenyum, matanya penuh kelembutan saat memandang Arisya. “A.G.A tu singkatan nama abang. 131191 tu tarikh lahir abang. Loket ni arwah atok yang bagi, hadiah masa abang kecil dulu. Abang selalu pakai bila bertugas,” jawabnya, suaranya mengandungi nada nostalgia.
Arisya menatap loket itu, kini memahami nilai sentimentalnya. Ada rasa bersalah terselit, tapi lebih daripada itu… ada perasaan hangat yang semakin membesar dalam hatinya terhadap lelaki yang kini menjadi suaminya.
“Sayang, abang nak tanya sikit ni.”
Suara Ghan perlahan, seolah-olah ada sesuatu yang berat di hatinya.
Arisya mengangkat wajah, memandang suaminya dengan penuh tanda tanya. “Apa dia?”
Ghan menarik nafas dalam sebelum bersuara lagi, kali ini sedikit teragak-agak. “Hmm… kalau cerita lama macam tu sayang boleh ingat, maknanya kisah kita berdua sebelum kemalangan pun sayang ingatlah, kan?”
Arisya terdiam. Dia menatap wajah Ghan yang kelihatan risau dan penuh harapan. Ada sesuatu dalam pandangan itu yang membuatkan dadanya terasa hangat.
Beberapa saat berlalu sebelum dia mengangguk perlahan sebagai jawapan.
“Sayang maafkan abang?” Suara Ghan bergetar sedikit, penuh dengan rasa bersalah yang terpendam.
Arisya tersenyum kecil. “Nampaknya macam tu lah. Tapi… hopefully abang tak sia-siakan peluang ni,” jawabnya lembut, namun nadanya membawa makna yang mendalam.
Ghan menghela nafas lega. Senyumannya sarat dengan kelegaan dan syukur. Dengan penuh kasih, dia mengucup lembut dahi isterinya.
Fikirannya melayang ke detik-detik yang penuh liku, mengenang kembali perjalanan mereka yang telah lama berselirat dengan ujian. Kejadian-kejadian lalu kini terasa seperti kepingan puzzle yang akhirnya menemukan gambaran sempurna.
Tiba-tiba, dia teringat kata-kata ibunya suatu ketika dahulu, saat dia sendiri keliru tentang arah hubungan mereka.
“Mungkin betul jodoh kamu dengan Arisya.”
Dulu, kata-kata itu hanya dirasakannya seperti angin lalu. Tetapi kini, ia bergema kembali dalam hatinya membawa makna yang jauh lebih mendalam.
Ghan tersenyum kecil, menyedari bahawa takdir memang selalu punya cara tersendiri untuk menyatukan hati yang berjodoh.
Ghan mengeratkan genggaman tangannya pada jemari Arisya, mengusap perlahan seolah-olah tidak mahu melepaskannya.
“Sayang…” panggilnya perlahan.
Arisya mengangkat wajah, memandang suaminya yang kini duduk begitu dekat dengannya. “Hmm?”
Ghan tersenyum sebelum ibu jarinya mengusap pipi isterinya dengan lembut. “Terima kasih sebab masih ada di sini… dengan abang,” bisiknya, suaranya sarat dengan perasaan.
Arisya tersentuh dengan kata-kata itu. Dia tahu betapa dalamnya makna di sebalik ucapan itu. Tapi, sebelum suasana menjadi terlalu serius, dia tersenyum nakal.
“Hmm… tapi abang belum cukup romantik lagi,” usiknya sambil menjongket kening.
Ghan tergelak kecil. “Tak cukup romantik? Habis tu, nak abang buat apa? Nyanyi bawah tingkap bilik?”
Arisya ketawa sambil menggeleng. “Tak payah nyanyi. Nanti jiran sebelah pindah terus.”
“Eh, jangan pandang rendah bakat menyanyi abang. Dulu, masa sekolah, abang selalu jadi penyanyi utama tau.”
Arisya memandang suaminya dengan ragu. “Hah? Betul ke ni?”
“Dalam bilik air je la,” jawab Ghan selamba sebelum tergelak sendiri.
Arisya menjeling sebelum mencubit lengan suaminya. “Ha, kan dah kena!”
Ghan ketawa, kemudian menarik Arisya ke dalam pelukannya. “Aduh! Isteri abang ni garang betul. Tapi tak apa… garang pun tetap comel.”
Arisya menjeling manja, tetapi dalam diam, pipinya mula memerah.
Ghan tersenyum sebelum mendekatkan wajahnya ke arah isterinya. “Abang janji, abang akan jaga sayang sampai akhir hayat hidup abang.”
Arisya memejamkan mata seketika, merasakan kehangatan pelukan suaminya. Perlahan-lahan, dia tersenyum.
“Abang…” panggilnya lembut.
“Hmm?”
“I love you..”
Ghan tersenyum, lalu mengucup dahi isterinya lama.
“I love you too .”
Malam itu dipenuhi dengan gelak tawa dan usikan manja, namun di sebaliknya, terselit janji yang tidak perlu diungkap dengan kata-kata janji untuk terus bersama, tak kira apa pun yang berlaku.
Share this novel